PK Menempelak Penunggang Agama

2,490

Saya baru sahaja menghabiskan filem PK. Sebenarnya saya nak sangat melihat selepas melihat filem ini mendapat komentar positif daripada rakan-rakan saya. Filem ini sebenarnya sedang membawa anda untuk memikirkan kembali pegangan dan pandangan anda tentang tuhan dan agama. Sangat provokatif kepada mereka yang tidak pernah terlibat dalam soal teologi, perbincangan agama dan ketuhanan.

Ramai orang yang menolak untuk menonton filem ini dengan alasan bahawa filem ini membawa agenda pluralisme. Tetapi pada pandangan saya, tempias pluralisme itu yang memang sebati dengan budaya India dapat dilihat seperti percintaan seorang lelaki beragama Islam dan wanita beragama Hindu.

Apa-apa pun, kita tinggalkan persoalan itu kerana ada perkara yang lebih besar yang cuba dibawa oleh filem ini ialah mengkritik mereka yang menggunakan AGAMA dan TUHAN untuk kepentingan masing-masing, seperti kapitalis dan nafsu.

Filem ini seolah-olah cuba menggambarkan kepada kita bahawa segala masalah yang sedang melarat di dunia seperti kemiskinan, korupsi dan seumpama dengannya masih lagi belum selesai kerana agama-agama di dunia digunakan hanya demi kepentingan masing-masing oleh orang-orang agama mereka.

Apa yang saya nampak melalui pandangan saya, antara yang dikritik ialah ritual-ritual di dalam agama-agama yang wujud di dunia tidak langsung membawa kepada kebaikan masyarakat.

Ini dapat dilihat seperti babak di mana Amir Khan mempertikaikan mengapakah kita harus memandikan patung-patung yang membentuk tuhan atau ritual tertentu yang tidak masuk akal menjadi perantaraan antara manusia dan tuhan dengan air susu misalnya, dan bukankah lebih baik susu itu diberikan kepada mereka yang memerlukan daripada dibazirkan? Betapa mereka kebuluran diseluruh dunia lebih memerlukannya daripada patung tersebut. Mengapakah apabila mahu menyelesaikan sebuah masalah, maka tuhan menyuruh para pengganutnya melakukan sesuatu yang tidak masuk akal.

Kemudian, filem ini menyimpulkan bahawa segala masalah-masalah yang melanda dunia ini kerana ia datang dari manusia-manusia yang mencipta Tuhan. Mereka menunggang nama TUHAN untuk membodohkan para manusia. Watak lelaki botak gemuk (lupa nama dia) ditonjolkan sebagai contoh manusia yang mencipta TUHAN sehinggakan matlamat agama dan tuhan untuk membawa kebaikan kepada manusia tidak kesampaian.

Saya melihat bahawa filem ini cuba menunjukkan kepada kita bahawa agama pada hari cuba digambarkan sebagai sebuah agama penuh ritual sahaja dan alat para manusia yang mendakwa wakil tuhan untuk memenuhkan poket mereka.

Agama tidak lagi langsung dipandang sebagai sebuah sistem kehidupan, ianya hanya melibatkan perkara-perkara spiritual sahaja. Dan atas sebab itulah, filem ini menyimpulkan bahawa dunia hari ini penuh dengan pelbagai keburukan kerana masalah ini. Agama digambarkan sebagai hanyalah sebuah ritual spiritual dalam kehidupan oleh para pencipta tuhan.

Namun, saya sebagai seorang Islam, saya memandang filem ini, sambil saya cuba mencipta hujah untuk menjawab persoalan yang d lontarkan oleh filem ini.

Saya ambil satu contoh persoalan. Persoalan seperti kemiskinan dan kefakiran yang berleluasa di dunia sebenarnya dapat dirungkai andai menerapkan sebuah sistem yang dipanggil sebagai sistem zakat dan menghapuskan riba. Ini yang dibawa oleh agama Islam.

Saya melihat lagi filem ini membawa isu berkenaan manusia dikatakan mencari TUHAN dan menyuruh TUHAN menyelesaikan masalah mereka. Namun, hakikatnya dunia ini masih dalam keadaan yang tidak pernah berubah. Yang dipersalahkan adalah manusia yang mencipta TUHAN

Mengulas mengenai persektif ini dari sudut pandangan saya, sebenarnya TUHAN sudah lama memberti jalan kepada mereka sejak ribuan tahun yang lalu melalui para nabinya.

Dalam Islam, sistem yang lengkap berkaitan dengan kehidupan ditunjukkan kepada umat Islam. Jawapan kepada semua persoalan yang dibawa dalam filem ini menurut saya adalah sebenarnya kerana manusia tidak memandang agama sebagai SEBUAH SISTEM KEHIDUPAN!

Mungkin saya tidak tahu mengenai agama lain, tetapi dalam Islam, dari cara anda membuka mata, sehinggalah kepada anda bertani, meniaga, berpolitik, semuanya ada manual khas untuk pengganutnya. Yang menjadi persoalan, apakah pengganutnya mematuhi atau tidak manual itu?

Persoalan seperti:

“Tuhan, di manakah engkau? Mengapakah dunia ini penuh dengan pelbagai masalah? Mengapakah engkau membisu?”

Harus dijawab dengan:

“Bukankah tuhan sudah menurunkan para pemberi ingatannya pada suatu masa dahulu. Sebuah sistem yang lengkap dibawa dari langit untuk kalian. Yang menjadi persoalan bukan salah TUHAN, tetapi salah kalian mematuhi atau tidak manual dari TUHAN”

Tapi ya, mungkin kita boleh salahkan “para pencipta tuhan” ini. Mereka tidak membawa kepada para pengikut mereka tentang ajaran sebenar yang dibawa oleh agama yang dianuti. Atau kita juga boleh panggil para pencipta TUHAN ini dengan gelaran penunggang agama yang lebih terkenal dalam masyarakat kita.

Contohnya, pak ustaz yang menunggang nama agama untuk melariskan produk mereka. Para penjual produk makanan dan suplement yang menjual “pemakanan sunnah” dan melawan perubatan moden atas nama “agama” demi memastikan produk-produk jualan mereka terjual.

Anda penunggang agama yang saya maksudkan adalah golongan yang filem PK lakonan Amir Khan ini nak tampar sebenarnya…

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.