Moving Forward As One

Pintu Tertua Britain Dibalut Kulit Manusia?

1,629

Semua orang tahu bahawa England mempunyai sejarah yang sangat gelap barangkali kucing pun boleh sesat. Bangkit jatuh seorang raja kadangkala menyebabkan pertumpahan darah.

Hubungan luar sempadan pun boleh tahan gila. England pernah berdepan dengan bala William Wallace daripada Scotland. Kalau bukan angkara pengkhianatan John de Menteith, barangkali Wallace takkan mati dalam keadaan menyiksa dan mengaibkan.

Entah bagaimana sejarah gelap gelita sebegini melahirkan sebuah negara yang indah belaka.

Dalam perkarangan bandar raya London, ada sebuah gereja sangat penting… iaitu Gereja Kuliah Saint Peter di Westminster. Oleh kerana terlalu panjang, nama gereja ini diringkaskan menjadi Biara Westminster.

Biara Westminster

Ada beza antara biara dan gereja. Gereja adalah sebuah rumah ibadat agama Kristian, manakala biara pula berfungsi sebagai pejabat untuk paderi.

Biara Westminster dulu ringkas saja, bagaikan sebuah gereja kecil yang diasaskan Raja Edgar pada tahun 960. Ia kekal bertapak di London sampai 1042, apabila Edward dimasyhurkan sebagai Raja England.

Secara berperingkat, Biara Westminster diberi sentuhan baharu dan siap melalui proses penahbisan pada 28 Disember 1065, seminggu sebelum kemangkatan Edward (Barratt, 2012).

Edward the Confessor

Sekitar abad ke-13, Henry III pula memberi sentuhan baharu kepada Biara Westminster. Baginda tidak begitu berkenan dengan seni bina Romani. Jadi baginda membiayai usaha pengubah suaian untuk mengikut seni bina Goth.

Walaupun seni bina diubah begitu ketara, ada satu benda dalam Biara Westminster dikekalkan Henry III (dan raja-raja seterusnya). Benda tersebut adalah sebuah pintu yang sebenarnya dipasang semasa Edward bertakhta.

Pintu tersebut membuka jalan ke ruangan depan Biara Westminster daripada dulu sampai sekarang, disahkan pintu paling tua di United Kingdom (AJ, 2005). Yang paling menghairankan, pintu ini tidak diperbuat daripada batu atau besi. Sebaliknya, ia menggunakan bahan kayu yang masih tahan hingga hari ini kerana barangkali satu rahsia di luar jangkaan sesiapa.

Lagenda menyatakan bahawa pintu ini sebenarnya dibalut dengan kulit manusia (Biddle & Badham, 2000). Tidak pasti siapa yang dimangsakan untuk menjaga kualiti pintu ini. Tidak pasti juga jika mangsa disiat semasa hidup atau selepas mati.

Namanya sudah tenggelam dalam timbunan masa, yang hanya mengenang bangsanya sebagai anak Denmark. Itu pun dikenang secara tekaan sahaja. Semakin lama, tekaan ini menjadi lagenda yang tidak dapat dibenamkan. Biara Westminster perlu menelan kepahitan dalam menghadapi dakwaan yang mungkin suatu fitnah pun.

Pintu yang dimaksudkan.

Tetapi daripada pihak Biara Westminster, pintu ini tidak dibalut dengan kulit manusia. Itu hanya mitos. Kerana kulit digunakan adalah daripada seekor lembu (BBC, 2005). Dan pintu ini dijaga dengan baik kerana sentiasa berada di dalam, tidak pernah terdedah pada panas, hujan, ribut atau salji. Dan ia juga sentiasa digunakan, dengan penjagaan amat rapi terutamanya semasa penyelenggaraan engsel atau tombol.

Mereka berpendapat bahawa lagenda ini timbul daripada peringatan palsu. Seorang lelaki didapati membuat dosa dalam biara. Jadi kulitnya disiat keluar dan dipaku pada pintu sebagai tanda peringatan kepada sesiapa yang berniat untuk menghina kesucian biara. Itu sahaja. Masalahnya, penjelasan ini mencurahkan minyak pada api.

Dengan sejarah England yang begitu gelap, takkan mungkin orang berasa pelik. Malah lagilah orang ingin tahu jika betul-betul direka. Sementara pintu tempat lain lekang dalam masa 30 tahun, takkan pula pintu ini boleh tahan hampir 1,000 tahun?

Diulangi semula: pintu ini disahkan paling tua di United Kingdom. Memang usianya sangat lama. Tetapi, ia bukan pintu tertua dunia. Jadi pintu mana yang paling tua di dunia? Tunggu artikel lain!

RUJUKAN:

AJ. (2005, Ogos 5). Oldest functioning door in Britain discovered.

Barratt, N. (2012). Greater London: The Story of the Suburbs. Random House.

BBC. (2005, Ogos 3). Abbey oak door ‘Britain’s oldest’.

Biddle, M., & Badham, S. (2000). King Arthur’s Round Table: An Archaeological Investigation. Boydell & Brewer. Halaman 407.

Ruangan komen telah ditutup.