Moving Forward As One

Petanda-Petanda Ngeri Sebelum Kelahiran Cyrus The Great

4,052

Dalam penulisan dan kajian sejarah Parsi, kebanyakan sejarawan telah merujuk kepada karya Herodotus, The Histories. Menurut Herodotus, mimpi merupakan antara petanda awal suatu peristiwa penting akan berlaku.

Raja Medes, Astyages telah bermimpi sesuatu yang sangat aneh dan luar biasa. Mimpi tersebut bukanlah mengenai dirinya tetapi anak perempuannya, Mandane. Dalam mimpi itu, Mandane telah membuang air kecil dengan banyaknya sehingga membanjiri bukan sahaja Ecbatana (pusat pemerintahan Astyages), bahkan ke seluruh Asia.

Mimpi sebegini sangat membimbangkan Astyages. Bila Mandane telah menginjak usia yang sesuai untuk berkahwin, Astyages enggan mengahwinkan anak perempuannya itu dengan sesiapun dari kalangan orang ternama Medes. Walau bagaimanapun,  Astyages telah mengahwinkan Mandane dengan seorang jejaka Parsi, bernama Cambyses.

Astyages fikir, melalui perkahwinan tersebut, dapatlah terhindar dari mimpi ngeri tersebut. Sangkaannya meleset. Beliau telah bermimpi sesuatu yang lebih mengejutkan dari sebelumnya. Dalam mimpi kali ini, terdapat tumbuhan menjalar telah tumbuh keluar dari bahagian kem.aluan Mandane dan terus mekar ke seluruh Asia.

Kali ini, Astyages telah meminta pandangan dan nasihat daripada para paderi dan pentafsir mimpi. Beliau dimaklumkan bahawa akan ada keturunan dari Mandane yang akan menjadi seorang raja dan akan mengancam kedudukan dan status Astyages.

Lantas, Astyages memanggil Mandane yang sarat mengandung itu, segera pulang ke istananya. Astyages telah menitahkan salah seorang bangsawannya, Harpagus untuk membunuh bayi Mandane, sebaik sahaja ia dilahirkan. Harpagus sebaliknya telah menyerahkan titah perintah itu kepada seorang pengembala kambing, bernama Mitradates.

Mitradates bersetuju dan menerima tugasan tersebut. Mitradates telah menukarkan Cyrus yang baru lahir itu dengan anaknya yang telah lahir mati (stillborn). Kemudian, Mitradates dan isterinya, Spako telah membesarkan Cyrus seperti anak mereka sendiri.

RUJUKAN:

Waters, M. (2014). Ancient Persia: A Concise History of the Achaemenid Empire, 550–330 BCE (Illustrated ed.). Cambridge University Press.

Ruangan komen telah ditutup.