500 tahun lepas, ada satu buku kecil yang mengandungi halaman sebanyak 103 muka surat dan ditulis dalam Bahasa Latin. Buku yang diberi nama Cosmographiae Introductio (Pengenalan Kosmografi) yang dicetak di sebuah bandar kecil Perancis bernama St-Die-des-Vosges ini nampak kurang penting tetapi ia sebenarnya menamatkan terus perdebatan yang berlarutan berkenaan ini: siapa sebenarnya yang sampai ke Amerika?

Penulis-penulis buku ini terdiri daripada sekumpulan ahli kemanusiaan yang diketuai ketua gereja bandar berkenaan, Walter Lud. Lud amat meminati bidang kosmografi iaitu kajian bumi dan tempatnya dalam alam semesta. Justeru, beliau mahu menghasilkan imej sebuah peta yang menggabungkan maklumat dari tamadun-tamadun awal seperti Yunani dan Rom dan ekspedisi pelayaran yang digerakkan negara-negara Eropah ketika itu.

Untuk menjayakan usaha ini, Lud mendapatkan bantuan kewangan daripada Duke of Lorraine, Rene II untuk menubuhkan sebuah tempat pencetak bernama Gymnasium Vosagense dan merekrut ahli-ahli kemanusiaan seperti Martin Waldseemuller dan Matthias Ringman. Ringman juga bertanggungjawab mengetuai penulisan buku Pengenalan Kosmografi yang dicetak bersama peta yang disediakan oleh Waldseemuller.

Apa yang dilakukan Waldseemuller dan Ringman bukanlah atas dasar material tetapi atas dasar ilmu. Dan pemilihan bandar St-Die-des-Vosges ini amat signifikan kerana ia amat hampir dengan bandar Strasbourg (Perancis), Basel (Switzerland) dan Freiburg (Jerman).

Untuk pengetahuan para pembaca, pada ketika itu, ketiga-tiga bandar ini merupakan lokasi percetakan dokumen dilakukan dan dari situ, mudah untuk kumpulan seperti Lud menyebarkan maklumat mereka kepada orang awam. Menurut Toby Lester, penulis buku The Fourth Part of the World: The Race to The Ends of the Earth, and the Epic Story of the Map That Gave America Its Name, ia amat bersesuaian bagi kumpulan Lud memproses semua maklumat yang diraih dari ekspedisi pelayaran yang digerakkan oleh Sepanyol dan Portugal.

Figure 1: Amerigo Vespucci

Dan terima kasih kepada semua maklumat yang dikumpul ini, ia membolehkan Waldseemuller melakar peta dunia baru dan ia menjadi sebahagian daripada buku Pengenalan Kosmografi. Peta ini diambil dari beberapa sumber seperti surat peneroka Itali Amerigo Vespucci, hasil kerja Claudius Ptolemy dan carta-carta pelayaran yang dibuat Vespucci dan Christopher Columbus.

Jika anda perasan tentang kedua-dua individu ini, wujud pertelingkahan siapa sebenarnya yang menemui benua tersebut. Dan walaupun Waldseemuller menyatakan logik memilih nama pertama Vespucci untuk nama America memandangkan nama-nama benua lain diberi nama perempuan dalam Bahasa Latin, ia masih mengundang rasa tidak puas hati untuk beberapa abad berikutnya. Biarawan Sepanyol abad ke-16, Bartolome de la Casas menganggap peta Waldseemuller satu penghinaan kepada Columbus sementara penulis Amerika Syarikat, Washington Irvine menganggap surat Vespucci satu cubaan nakal untuk mencuri kejayaan pesaingnya itu.

Figure 2; Christopher Columbus

Semua maklum empat ekspedisi pelayaran Columbus bermula pada tahun 1492 di mana pada pelayaran pertamanya, beliau menemui pulau-pulau Carribean. Amerika hanya ditemui menerusi pelayaran ketiganya pada tahun 1498. Sebaliknya, Vespucci menggambarkan empat siri pelayarannya dari tahun 1497 hingga 1504 menerusi satu surat kepada majikan Lud, Duke Rene II di mana beliau sudah sampai ke situ setahun sebelum Columbus tiba. Surat itu turut disalin semula dalam buku Pengenalan Kosmografi dan dijadikan bukti bagaimana nama Amerika itu diambil.

Tetapi isu nama Amerika hanyalah sekelumit daripada persoalan yang lebih besar: bagaimana dua penulis ini mengetahui benua baru ini dikelilingi air? Ini kerana rekod berkenaan Amerika dikelilingi oleh laut hanya direkodkan pada tahun 1513 berdasarkan pemerhatian Vasco Nunez de Balboa yang melihat Lautan Pasifik buat kali pertama dari puncak sebuah gunung di Panama.

Dan selepas ekspedisi pelayaran Ferdinand Magellan yang mengelilingi dunia sehingga mengelilingi Amerika Selatan dan berlayar ke Lautan Pasifik pada tahun 1520, barulah orang-orang Eropah mengetahui kedudukan sebenar Dunia Baru. Di sinilah, surat Vespucci sekali lagi memainkan peranan. Dalam suratnya yang bertajuk Mundus Novus atau Dunia Baru, beliau menulis, “Tidak lama dahulu, saya telah menulis kepada kamu secara terperinci tentang kepulangan saya dari wilayah-wilayah baru yang patut dipanggil dunia baru.

Ini kerana nenek moyang kita langsung tiada pengetahuan berkenaan mereka dan ini sesuatu yang baru bagi yang mendengar tentang mereka. Sesungguhnya, ia melangkaui pandangan orang-orang terdahulu bahawasanya tiada benua di selatan Khatulistiwa. Tetapi saya telah menemui sebuah benua di wilayah-wilayah selatan di mana ia didiami oleh ramai orang dan banyak haiwan melebihi kita di Eropah, Asia dan Afrika.”

Dalam satu surat lain yang dikatakan ditulis oleh Vespucci, beliau mendakwa benua itu terikat dengan timur benua Asia, satu kenyataan yang disanggah oleh Ringman dan Waldseemuller. Ini kerana hasil kajian teliti kedua-duanya mendapati ianya bukan sebahagian daripada benua Asia tetapi bahagian dunia yang keempat dan terbaru.

Pada April 1507, peta baru yang dihasil Waldseemuller mula dicetak dan menghasilkan sebanyak seribu cetakan. Bagi kebanyakan orang Eropah yang arif dengan geografi, peta baru ini dilihat sama saja seperti peta lain. Benua Eropah dan Afrika Utara diambil dari maklumat Ptolemy, sub-Sahara Afrika diambil dari carta pelayaran Portugis dan Asia diambil dari maklumat Ptolemy dan Marco Polo. Tetapi pada benua baru ini, bentuknya agak asing bagi mereka dan untuk kali pertama, mereka diperkenalkan dengan Amerika.

Satu lagi fakta menarik berkenaan nama Amerika ialah ia sepatutnya dinamakan Amerigen oleh Ringman. Ini sebenarnya sebahagian daripada permainan perkataan ahli kemanusiaan Jerman itu yang menggabungkan nama pertama Vespucci dengan perkataan Yunani gen yang membawa maksud bumi, dan secara tidak langsung membawa makna tanah Amerigo.

Tetapi maksud Amerigen sebenarnya lebih daripada itu. Gen juga bermaksud kelahiran dalam Bahasa Yunani sementara ameros bermaksud baru, sekaligus membolehkan kita membacanya sebagai tanah Amerigo tetapi juga kelahiran baru. Nama itu juga boleh dikaitkan dengan meros yang bermaksud tempat. Justeru bila kita membaca Amerigen, kita sebenarnya membaca satu frasa berbunyi A-meri-gen yang bermaksud tanah yang tiada tempat untuk menggambarkan benua baru yang tidak diketahui dalam dunia geografi.

Salinan Waldseemuller dan buku karangan Ringman itu mendapat sambutan di Eropah dan mula muncul di universiti-universiti terkemuk Jerman selepas tahun 1507. Salinan dan lakaran peta berkenaan yang dibuat pelajar dan pensyarah dari serata tempat bermula di Cologne hinggalah ke Vienna. Buku Pengenalan Kosmografi itu dicetak beberapa kali dan mendapat sambutan berikutan surat Vespucci. Tetapi apa pula kisah pelayar Itali itu dan Columbus selepas pengenalan buku itu pada tahun 1507?

Vespucci berkemungkinan tidak mengetahui impak tulisannya itu kerana buku berkenaan tidak pernah sampai ke Iberia sebelum menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1512 di Seville, Sepanyol. Bagi Columbus pula, buku berkenaan berjaya dimiliki warisnya, Ferdinand pada tahun 1539 dan bagi kerajaan Sepanyol, surat Vespucci dianggap cubaan merampas kejayaan Columbus.

Untuk dua abad berikutnya, Sepanyol enggan meletakkan nama Amerika pada peta rasmi dan dokumen mereka. Tetapi itu tidak menghalang ahli kartografi terkenal, Gerardus Mercator yang memutuskan seluruh Dunia Baru dan bukannya bahagian selatan saja patut dilabel. Petanya yang dilakar pada tahun 1538 memperkenalkan kita kepada dua benua baru yang kita kenali hari ini, Amerika Utara dan Amerika Selatan.

Untuk beberapa abad berikutnya, peta Waldseemuller semakin dilupakan dan ini mendorong ramai melancarkan usaha mencari peta yang dianggap berharga dari segi sejarah dan sumbangannya kepada dunia geografi. Dan ianya ditemui secara tidak sengaja pada musim panas 1901 oleh seorang profesor sejarah dan geografi dari sekolah berasrama Jesuit di Feldkrich, Austria, Father Joseph Fischer. Pada masa lapangnya, beliau suka mengunjungi perpustakaan awam dan peribadi Eropah untuk mencari peta-peta lama yang menunjukkan bukti pelayaran awal orang-orang Norse ke Amerika. Pada satu hari, Fischer mendapat maklumat wujud koleksi peta lama di Istana Wolfegg di mana salah satunya merupakan peta abad ke-16 yang menggambarkan Greenland secara unik.

Selepas tiba di bandar kecil Wolfegg pada 15 Julai, Fischer berjaya mendapatkan peta yang dimahukannya lalu memutuskan memeriksa keseluruhan koleksi peta dan buku lama yang terdapat di istana berkenaan. Dan pada hari ketiga bersamaan 17 Julai 1901, beliau membuat satu penemuan yang mengejutkan. Fischer menemui sebuah folio hasil karya cendekiawan Jerman terkenal, Johannes Schoner di mana di dalamnya wujud pelbagai dokumen yang tidak disangka-sangka. Dalam folio berkenaan mengandungi carta bintang yang dilukis Albrecht Durer dan peta Waldseemuller dengan potret Ptolemy dan Vespucci pada bahagian atas peta sebagai bukti. Beliau segera menyampaikan penemuannya itu kepada ahli geografi terkenal dari Innsbruck, Franz Ritter von Wieser dan kedua-duanya mula mengkaji kesahihan dokumen berkenaan. Pada musim luruh 1901, kedua-duanya mendedahkan berita tersebut kepada orang ramai dan ramai menyambut berita tersebut dengan gembira.

Enam tahun selepas itu, bersempena ulangtahun ke-400 peta berkenaan, seorang penjual buku berpangkalan di London bernama Henry Newton Stevens Jr mendapatkan hak menjual peta Waldseemuller bersama semua peta yang dihasilkan ahli kartografi Jerman itu termasuk peta Carta Merina dengan harga $300,000 atau tujuh juta dolar mengikut nilai semasa hari ini. Tetapi tawaran berkenaan tidak mendapat sambutan dan selepas dunia menyaksikan dua siri perang dunia dan satu perang dingin, minat terhadap peta berkenaan kembali pudar.

Tetapi semua itu berubah pada tahun 2003 apabila Perpustakaan Kongres berjaya mendapatkan peta itu dengan harga $10 juta selepas mengadakan rundingan dengan kerajaan Jerman dan pemilik Istana Wolfegg selama bertahun-tahun. Dan pada 30 April 2007, hampir 500 tahun selepas dibikin, Cancelor Jerman Angela Merkel memindahkan secara rasmi peta berkenaan kepada Amerika Syarikat. Dan pada Disember tahun sama, Perpustakaan Kongres menjadikan ia sebagai pameran tetap di Jefferson Building dengan menjadikan ia tarikan utama pameran ‘Meneroka Era Awal Amerika’.

SUMBER

  1. Lester, Toby. (2009). Smithsonian Magazine. The Waldseemuller Map: Charting the New World. https://www.smithsonianmag.com/history/the-waldseemuller-map-charting-the-new-world-148815355/
  2. Ramani, Madhvi. (2018). BBC. The epic story of the map that gave America its name. http://www.bbc.com/travel/story/20180702-the-epic-story-of-the-map-that-gave-america-its-name

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.