Pesta Regatta Lepa-Lepa: Meraikan Sejarah Dan Warisan Bangsa

1,127

Bermula daripada tarikh 21 sehingga 28 April pada tahun ini masyarakat Semporna akan merayakan sambutan yang ditunggu-tunggu segenap lapisan masyarakat di Semporna, Pesta Regatta Lepa-Lepa.

Perayaan ini bukan sahaja meriah di dalam kalangan warga Semporna, sebaliknya ia turut berjaya menarik tumpuan ratusan ribu pelancong dari dalam dan luar negara bagi sama-sama merayakan sambutan yang begitu signifikan kepada warisan dan tradisi kumpulan etnik Bajau di pesisir Pantai Timur Sabah.

Pesta Regatta Lepa-Lepa diperkenalkan pada tahun 1994 oleh Majlis Daerah Semporna bagi meraikan warisan sejarah etnik Bajau di daerah berkenaan agar tidak luput ditelan zaman. Pelbagai acara menarik diatur sepanjang acara sambutan berlangsung.

Pastinya Lepa-Lepa atau perahu tradisi etnik ini yang dihiasi dengan sambu layang (kain layar kapal) dan pelbagai bentuk hiasan yang berwarna-warni mencuri tumpuan di awal tirai pembukaan sambutan Regatta Lepa-Lepa setiap tahun.

Mengimbas kembali kepada peristiwa yang berlaku ratusan tahun yang silam. Asalnya daerah Semporna diberikan gelaran sebagai Tong Talun, yang bermaksud “Hujung Hutan”. Menerusi cerita yang diwarisi secara turun-temurun. Tiga orang pembesar dari etnik Bajau Kubang iaitu Panglima Uddang, Panglima Sallehangni dan Panglima Sakti antara individu yang bertanggungjawab memberikan nama Tong Talun kepada tempat baru berkenaan sekaligus membuka penempatan di kawasan ini.

Kisah turun-temurun yang diyakini sebagai bersandar kepada peristiwa sebenar ini lah yang turut menjadi sebahagian daripada atur cara sambutan Regatta Lepa-Lepa menerusi persembahan teater mengenai ketiga-tiga tokoh berkenaan.

BUKIT TENGKORAK DAN KEPENTINGANNYA KEPADA DAERAH SEMPORNA

Kisah tiga pembesar dari etnik Bajau Kubang bukan semata-mata warisan sejarah yang menjadi identiti kepada daerah Semporna. Sebaliknya daerah ini turut menyimpan khazanah peradaban Bukit Tengkorak yang bermula sejak era Neolitik lebih 3000 tahun dahulu.

Menariknya, peradaban Bukit Tengkorak yang terletak tidak jauh dari kawasan pesisir pantai yang menempatkan tarikan rekreasi air utama iaitu Bintara dan Warisan turut menjadi lokasi penemuan tembikar prasejarah yang terbesar di Asia Tenggara.

Bahkan peradaban ini dipercayai telah membuka dan meneroka jalur perdagangan laut yan terpanjang di dunia pada era Neolitik. Peradaban lama di kawasan Pantai Timur Sabah sering dikaitkan dengan etnik Dusun Subpan, Sungai dan Idahan seperti Kompleks pemakaman Agop Batu Tulug yang menggunakan keranda yang diperbuat daripada kayu belian dan berukir motif flora dan fauna yang terletak di kawasan Lembah Kinabatangan. Kawasan Lembah Segama yang terletak di Lahad Datu juga turut menunjukkan penemuan yang serupa.

Namun uniknya menerusi kajian arkeologi yang dijalankan oleh Dr. Stephen Chia dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 1996 mendapati, masyarakat Bajau yang masih meneruskan tradisi pembuatan tembikar Lapohan di sekitar Semporna menggunakan tanah liat yang diperolehi dari kawasan kaki Bukit Tengkorak. Lokasi yang serupa di mana sumber untuk mendapatkan bahan pembuatan tembikar yang banyak di temui di sekitar kawasan Bukit Tengkorak sejak ribuan tahun lamanya.

Tembikar Lapohan atau juga dikenali sebagai tembikar bajau dianggap sebagai satu seni yang diwariskan kepada kaum wanita sahaja. Kaum lelaki pula terlibat dalam melakukan kerja-kerja berat pembuatan tembikar seperti mengumpul dan menumbuk adunan tanah liat bersama pasir dan sebagainya.

Pada penghujung tahun 1996, individu yang dikenali sebagai Puan Milhalak antara pengusaha Tembikar Bajau atau Lapohan yang masih aktif menghasilkan tembikar berkenaan. Beliau menetap di kampung Tampi Kapur yang terletak di dalam Pulau Liak-Liak.

LEPA DAN SAMBULAYANG MEMBENTUK JATI DIRI

Lepa dalam bahasa bajau yang bermaksud perahu bukan sekadar sejenis pengangkutan air yang memudahkan pergerakan etnik bajau dari satu pulau ke pulau yang lain atau sewaktu melakukan aktiviti mencari hasil laut dan berdagang pada masa lalu bahkan hingga ke hari ini.

Sebaliknya ia juga turut dijadikan sebagai kediaman, melambangkan identiti etnik berkenaan yang tegar dengan cabaran kehidupan yang tidak menentu di lautan. Melahirkan semangat yang cekal dan tabah serta tidak mudah putus asa di dalam kehidupan.

Lazimnya lepa diperbuat daripada kayu yang bukan sahaja mampu mengapung di atas air akan tetapi juga dapat bertahan untuk satu jangka masa yang cukup lama.

Antara pohon kayu yang digunakan untuk menghasilkan Lepa dikenali dengan nama tempatan sebagai ubar suluk, urat mata, bulian, upil,M kalahan, tambu, gagil, cengkering, selangan batu, dan seraya merah.

Lepa dibina pada bentuk satah dan secara amnya memiliki lima tingkat binaan pada bahagian badannya. Bahagian bawah dikenali sebagai ba’ul dan dianggap sebagai bahagian yang sangat penting. Sementara tingkat kedua dikenali sebagai penghapit, tingkat ketiga pula adalah kapi-kapi. Di tingkat keempat ialah during-during, dan tingkat kelima atau terakhir ialah dinding angin.

Lepa turut menerima sentuhan estetika menerusi hiasan corak dan motif tertentu pada bahagian badannya. Hiasan motif atau corak ini terbahagi kepada dua iaitu corak dominan dan sekunder.

Bagi corak dominan ianya lebih tertumpu kepada corak berbentuk udang galah dan ikan ambiran. Ikan ambiran dikatakan sejenis ikan paus yang memakan rumpai laut. Di Filipina paus jerung pernah direkodkan memiliki kecenderungan ini.

Bahkan bahagian hadapan Lepa direka seperti seekor ikan sedang mengangakan mulutnya.

Bagi motif sekunder antara konsep yang digunakan adalah bermotif tumbuh-tumbuhan seperti sumping dulau (bunga kunyit), magsulap 
(bersilang-silang), kaloloh buta (motif yang berulang-ulang), sumping bahan (sejenis hidupan laut seperti siput), kambang tuli, gumbang-gumbang, kirai-kirai, kabuk-kabuk atau talum-talum (berbentuk bulan sabit), roti kalung (separo bulat), dan keladi biak.

Secara keseluruhan bahagian tengah Lepa direka bagi memuatkan tangkapan hasil laut dan dalam masa yang sama mampu menempatkan ruang tamu dan ruang untuk tempat tidur yang memakan hampir separuh keluasan Lepa.

Selain Lepa etnik Bajau Semporna turut menggunakan perahu yang dikenali sebagai Boggo. Akan tetapi Boggo hanya sesuai untuk aktiviti penangkapan ikan di kawasan perairan yang cetek. Etnik Bajau Darat yang menetap di Pulau Omadal dan Pulau Bum Bum merupakan antara kelompok etnik yang mempelopori seni pembuatan Lepa.

Tidak lengkap sebuah Lepa tanpa kain layar utama yang dikenali sebagai sambulayang. Secara tradisi setiap premis bangunan baik milikan kerajaan mahupun persendirian dan kawasan awam di Semporna akan dipasang dengan sambulayang pelbagai saiz dan warna beberapa hari sebelum acara sambutan berlangsung. Ini bagi menandakan ketibaan pesta Regatta Lepa-Lepa yang semakin hampir di samping menceriakan pemandangan di sekitar daerah kecil ini.

Namun begitu pemasangan sambulayang tidak hanya terhad sewaktu sambutan pesta Regatta Lepa-Lepa sahaja. Sebaliknya ia turut dipasang sewaktu upacara perkahwinan dengan diiringi tarian tradisi Igal-Igal, menyambut orang kenamaan, majlis khatam Al-Quran, kelahiran bahkan kematian serta banyak lagi bersesuaian dengan suasana dan nuansa majlis.

Selain pemasangan sambulayang, lepa juga turut dihiasi dengan kapi-kapi. Ianya lebih mirip seperti bendera kecil dengan bentuk segi empat tepat. Terdapat juga hiasan kain kecil yang dikenali sebagai kipas-kipas dan berbentuk segi tiga.

Seterusnya adalah lamak bua’an. Lamak bua’an adalah hiasan kain yang lebih besar daripada kapi-kapi dan mempunyai lekuk pada satu bahagian hujung seakan-akan bukaan mulut ikan. Rekaan ini terinspirasi daripada sejenis ikan yang dikenali sebagai ikan bebang.

Lamak kapi pula adalah kain layar berbentuk segi empat tepat. Ia lazim dihasilkan dengan menggunakan kain yang diperbuat daripada kapas.

PENUTUP

Pesta Regatta Lepa-Lepa disambut meriah saban tahun. Ia ibarat sambutan “hari raya” bagi seluruh warga Semporna. Semua akan memakai pakaian terbaik yang mereka ada dan keluar menyertai ratusan ribu yang lain bagi meraikan sebuah pesta yang bukan sekadar pesta biasa akan tetapi satu peristiwa berharga yang hanya disambut setahun sekali bagi meraikan warisan, sejarah dan adat-resam sebuah daerah kecil yang kaya dengan keindahan gugusan pulau nya yang cantik serta tinggalan sejarah yang tidak wajar dipandang sebelah mata.

Pada awal sambutan acara ini Lepa-Lepa berhias akan berarak dari kampung-kampung yang terletak di kawasan pulau-pulau yang berhampiran menuju tapak sambutan. Penari igal-igal lengkap dengan pakaian tradisi yang cantik dan memukau akan mempersembahkan tarian mereka diiringi paluan daripada alat muzik tradisi seperti tagungguk daripada mula lepa belayar sehinggalah ia selamat tiba ke destinasi.

Regatta Lepa-Lepa bukan sekadar sambutan biasa, sebaliknya ia turut menjadi wadah bagi para artisan dan penggiat seni tempatan dari seluruh Semporna berkumpul dan saling bertukar buah fikiran dan pandangan dalam usaha memastikan legasi nenek moyang kekal subur untuk tatapan generasi akan datang.

BACAAN LANJUT

1) Dr. Stephen Chia, 1994-2014, Arkeologi Bukit Tengkorak Sabah, Penerbit Universiti Sains Malaysia

2) Prof. Madya Dr. Ismail Ali, 2010, Pembudayaan Lepa dan Sambulayang
dalam Kalangan Suku Kaum Bajau di Semporna, Sabah, Malaysia: Satu Penelitian Semula, Universiti Malaysia Sabah.

3) Philipines, Cebu stories, 2012, Whaleshark nibbling on seaweed, duthpickle.com
(https://www.dutchpickle.com/…/whaleshark-nibbling-on-seawee…)

4) Sabah Tourism Board, 2019, Popular Places Batu Tulug.
(https://www.sabahtourism.com/destination/batu-tulug/)

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.