Bak kata pepatah; lain padang lain belalang, lain orang lain ragam. Di saat AirAsia sedang terciduk dengan tuntutan bayaran balik kepada penumpang, Qantas Airways dari Australia dengan selamba merancang satu projek pemecah rekod dunia.

Betapa menjelang 2025 nanti, ia bakal menawarkan pakej penerbangan tanpa henti dari Sydney ke New York dalam masa 19-20 jam. Ini sekali gus akan meleburkan rekod yang dipegang oleh Singapore Airlines sejak Mac 2020 – ketika ia menjayakan penerbangan tanpa henti ke destinasi sama dalam tempoh 18 jam 40 minit, dengan purata kelajuan 806 km/h. Ibarat, pergi-balik dari Melaka ke Kelantan.

Tetapi itulah… kalau diikutkan, kedua-dua penerbangan tersebut masih terlalu jauh untuk mencabar rekod sebenar yang dibuat sejak 1958. Iaitu, penerbangan tanpa henti selama 64 hari, 22 jam, dan 19 minit yang merangkumi jarak penerbangan sejauh 150,000 batu. Punya jauh 150,000 batu ini, ia bersamaan dengan mengelilingi bumi enam kali. Kalau kita terbang ke bulan pula, jarak tersebut dah menjangkau lebih separuh perjalanan.

Dan apa yang mengagumkan, rekod ini dibuat menggunakan model pesawat biasa sahaja. Iaitu Cessna 172 – sejenis pesawat ringan berenjin tunggal keluaran 1955. Kira, tiga tahun selepas masuk pasaran, terus buat rekod yang tiada tandingan. Ibarat Perodua Kancil yang sampai sekarang tiada model boleh lawan title-nya sebagai scammer tempat parking.

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Ikutkan, penerbangan tersebut tidak dirancang pun berjalan sampai 64 hari. Tujuan asalnya sekadar memecahkan rekod lama (50 hari) sebagai satu kaedah pemasaran. Pemasaran ini pula bukanlah tentang model Cessna 172. Tetapi untuk sebuah hotel di Las Vegas, iaitu Hotel Hacienda.

Kalau dilihat, memang tiada kaitan pun antara rekod penerbangan dengan servis perhotelan. Tetapi dah namanya pemasaran. Apa-apa pun boleh dibuat. Asalkan dapat nama. Baik nama buruk, atau nama baik. Bagi kes ini, kira nama baiklah. Sebab nama yang ingin ditempa adalah ‘pemegang rekod dunia’. Rekod apa, belakang kira.

Lagipula, Hotel Hacienda memang ada menggajikan seorang mekanik (mekanik mesin judi) merangkap juruterbang veteran WW2. Namanya Robert Timm. Ikutkan, dia inilah yang beri idea supaya mencipta rekod dunia bagi mengatasi masalah kesenduan pelanggan.

Dan memandangkan dia sendiri ada pengalaman, maka idea tersebut diterima. Timm pun lantas diberi peruntukan berjumlah $10,000 (sumber lain sebut $100,000). Dengan peruntukan tersebut, dia membeli sebuah pesawat Cessna 172 dan mengupah seorang pembantu juruterbang.

Baki yang ada pula digunakan untuk pengubahsuaian. Antaranya seperti menukar enjin (kepada yang lebih kuat), memuatkan tangki tambahan (di kedua-dua belah sayap), mengejas pam minyak (supaya enjin boleh berfungsi semasa minyak diisi), memasang sinki (untuk kebersihan diri), dan meletakkan tilam (sebagai ganti bagi kerusi penumpang).

Cessna 172 diiringi sebuah trak pikap yang menyalurkan bekalan

Semua pengubahsuaian ini bagaimana pun belum mencukupi. Timm sempat gagal tiga kali. Dan hanya selepas menukar pembantu juruterbang (bernama John Cook), barulah penerbangannya menjadi.

Mereka berlepas pada 4 Disember 1958. Namun, pesawat tidak terus diterbangkan tinggi. Sebaliknya mereka sengaja mengekalkan altitud rendah. Ini supaya bahagian tayar dapat diwarnakan dengan cat putih sebagai tanda – betapa kalau mereka curi-curi membuat pendaratan, ia akan meninggalkan kesan.

Penerbangan pula dilegarkan sekitar Las Vegas, sambil sekali-sekala melencong ke Las Vegas untuk liputan televisyen. Di samping dua lokasi itu, Timm dan Cook juga membawa pesawatnya ke kawasan gurun di California dan Arizona. Sempadan dua negeri itu memang menjadi lokasi lazim untuk mereka mengisi minyak. Terutamanya di Blythe.

Ikutkan, apa yang unik sepanjang penerbangan ini adalah cara mereka mengisi minyak – selain cara mereka mengurus diri sepanjang 64 hari berada di atas pesawat. Ini kerana mereka langsung tidak mendarat. Sekadar merendahkan altitud sambil terbang beriringan dengan sebuah trak pikap (atau kereta sokongan). Daripada trak pikap inilah segala bekalan disalurkan oleh pihak hotel. Baik keperluan harian seperti makanan, minuman, tuala, dan baju bersih, mahupun bekalan minyak untuk perjalanan.

Minyak ini pula diisi menggunakan sistem takal-bercangkuk. Di mana, salah seorang dari Tim atau Cook akan menanti di pintu pesawat. Lalu, takal diturunkan untuk mencangkuk hos atau tangki minyak yang dihulur dari trak. Hos ini kemudian dimasukkan ke tangki tambahan…. sebelum minyak yang diisi akan dipam ke silinder enjin menggunakan pengepam elektrik.

Kebiasaannya, proses begini ambil masa tiga minit untuk penuh dan ia dilakukan dua kali sehari. Kalau didarab dengan 64 hari, kira 128 kali jugalah mereka ulang proses mengisi minyak seumpama ini. Masa sama, bukan proses mengisi minyak sahaja yang diulang berkali-kali. Rutin harian lain juga sama.

Selamba lap tingkap sambil pesawat terbang (ZRX Owners Associaton)

Misalnya, tidur bergilir empat jam, berus gigi di sinki, dan mandi guna air dalam botol. Betul, ikutkan mereka boleh sahaja habiskan 64 hari tersebut tanpa mandi – macam yang dibuat oleh sebilangan backpacker. Sebab, tidak mati pun kalau tidak mandi.

Tetapi demi kesejahteraan hidung, Timm dan Cook tetap mandi di luar pesawat – yakni sambil berpijak pada pintu dan platform pemijak di luar pintu. Tempat sama itu juga dipijak semasa mengelap pintu hadapan, macam dalam gambar di atas.

Kira, mujur juga mereka terbang di kawasan tak berpenghuni. Kalau tidak, pasrah sajalah sesiapa yang terkena simbahan air mandian dan basuhan mereka. Terkena itu okay lagi. Dapat curahan ‘hujan’ berwarna kuning dan ‘hujan batu’ kecoklatan, memang naya.

Apapun untuk menghabiskan masa, mereka berdua dicatatkan membaca komik, membuat senangan ringan, dan main kira-kira. Mahu bersembang agak payah sedikit. Sebab bunyi enjin pesawat terlampau kuat. Tambah pula dengan deruan angin lintang. Memang berdengunglah telinga. Cessna 172 ini nampak saja kecil. Tetapi kelajuan maksimumnya boleh cecah 302 km/h. Kalah MyVi.

Cessna 172 yang diguna (Eddie Maloney / CC BY-SA 2.0)

Dan seperti mana-mana pengembaraan, penerbangan ini pun diiringi ujian. Contohnya pada hari ke-35, mereka berdua hampir terhempas di tengah malam apabila Timm tertidur semasa memandu. Mujur, fungsi autopilot masa itu berfungsi.

Dibuatnya insiden tersebut berlaku empat hari kemudian, memang ke alam sebalik matalah jawabnya. Sebab pada hari ke-39, mesin penjana elektrik pesawat rosak. Akibatnya, mereka terpaksa bergelap. Tanpa lampu. Tanpa pemanas. Tanpa pengepam minyak elektrik. Sampai terpaksa menggunakan pam tangan.

Kemudian sekitar hari ke-60 (selepas rekod dipecahkan) pula, palam pencucuh (spark plug) dan kebuk pembakaran (combustion chamber) tersumbat dek lapisan karbon. Lantas, mereka pun memutuskan untuk mendarat pada 7 Februari 1959.

Kiranya dari 4 Disember 1958 hingga 7 Februari 1959, mereka memang terbang tanpa henti. Sambut Krismas dan Tahun Baru semua atas pesawat. Cuma sempatlah pada hari tersebut, Timm terbangkan pesawat di padang terbuka untuk layangkan gula-gula (guna parachute kecil) pada anaknya yang berusia 6 tahun.

Apapun setamatnya penerbangan, Timm kembali bekerja seperti biasa sebagai mekanik di hotel. Cook pun begitu juga, meneruskan karier sebagai juruterbang. Sambil pesawat Cessna 172 yang mereka guna pula dijual kepada seorang lelaki dari Canada, sebelum dipulangkan ke Las Vegas untuk dipamerkan di Lapangan Antarabangsa McCarran.

Ini bagi memperingati rekodnya yang sampai hari ini masih bertahan – lebih bertahan berbanding Hotel Hacienda yang membiayai penerbangannya. Kira agak ironi juga. Rekod tersebut dibuat bagi memasarkan hotel itu. Alih-alih, dia yang terkubur dahulu (diganti jadi Mandalay Bay Resort pada 1996).

 

RUJUKAN

Bright Side. (nd). What Happened on the Longest Flight Ever and Why They Hung in the Air for Days.

Doran, Michael. (2022, 20 May). How Two Pilots Flew For More Than 64 Consecutive Days Without Landing. Simple Flying.

Preston, Benjamin. (2012, 27 December). How a Slot Machine Mechanic Flew 150,000 Miles Over 64 Days Without Landing. Jalopnik.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply