Pesawat Pejuang Sukhoi Su-30MKM – Tedung Selar Yang Menggerunkan

4,662

Pesawat ini merupakan pesawat pejuang generasi 4.5 buatan firma Irkut Aircraft Corporation, Rusia dan dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ia mula memasuki perkhidmatan angkatan tentera udara pada tahun 2007. Sejumlah 18 pesawat ditempah dengan penugasan utama sebagai pesawat tempur penguasaan ruang udara dengan keupayaan serangan darat yang komprehensif.

Berbeza dengan pesawat eksport buatan Rusia sebelum ini, Su-30MKM menggunakan sistem elektronik buatan Eropah dan diintegrasi dengan persenjataan buatan Rusia serta mengaplikasikan rukun pertempuran udara yang dibangunkan oleh anak tempatan. Lantas menjadikan ia pesawat termoden dan paling berkemampuan di rantau sebelah sini ketika ia mula memasuki perkhidmatan TUDM.

Bernaung di bawah No.11 Skuadron, pesawat yang dipanggil Tedung Selar ini merupakan penghuni tetap Pangkalan Udara Gong Kedak dan ditugaskan ketika waktu aman sebagai pesawat pemintas.

Kelebihan utama pesawat pejuang ini adalah terletak pada reka bentuk aerodinamik yang dipertingkatkan hasil pembangunan dan kajian terperinci pesawat Su-27.

Penambahan canard dan sistem kawalan tujahan vektor yang melengkapi dua enjin turbofan Saturn AL31F memberikan daya manuverabiliti yang tidak dapat ditandingi mana-mana pesawat buatan blok Barat dalam kelasnya. Hal ini menjadikannya amat berbahaya dalam pertempuran jarak dekat, ditambah kawalan penembakan senjata yang mengaplikasikan pembidikan terus dari helmet juruterbang. Juruterbang tidak perlu menghalakan pesawat ke arah musuh, sebaliknya hanya perlu berpaling dan menghalakan kepalanya yang dilengkapi helmet untuk menembak peluru berpandu ke arah musuh.

Kemudian, ditambah dengan daya tujahan dan sistem kawalan penerbangan fly by wire menjadikan pesawat ini amat lincah dalam pertempuran. Untuk rekod, sehingga hari ini hanya pesawat termoden angkatan udara AS yang mempunyai sistem kawalan tujahan vektor pada pesawat pejuang F/A-22 Raptor mereka. Persenjataan udara ke udara melibatkan sistem peluru berpandu jarak sederhana R-77 dengan panduan radar. Sejumlah varian peluru berpandu R-27 dengan variasi sistem panduan yang terdiri daripada panduan radar semi aktif dan panduan inframerah serta peluru berpandu jarak jauh KS-100 dengan capaian jarak efektif ke atas sasaran sehingga 300-400 km.

Persenjataan serangan darat untuk pesawat ini juga sangat impresif dengan keupayaan menyerang sasaran dari jarak jauh dengan empat jenis sistem persenjataan peluru berpandu udara ke darat jarak sederhana dan jarak jauh dengan panduan laser atau panduan. Sistem peluru berpandu Kh-31, peluru berpandu anti kapal Kh-39 serta varian-varian peluru berpandu udara ke darat Kh-29 dan Kh-59 adalah antara pemukul utama bagi operasi serangan udara ke atas sasaran militer.

Hal ini tidak mengambil kira sejumlah persenjataan berupa bom panduan laser KAB-500L dan KAB-1500L serta bom dan roket tanpa panduan. Keseluruhan bebanan persenjataan untuk pesawat Sukhoi ini mampu mencecah sehingga 8 000kg pada satu-satu masa.

Keupayaan peperangan elektronik melengkapkan pesawat multirole ini dengan kelengkapan sistem penyerakan elektronik Knirti SAP-518 dan SAP-48 bagi tujuan operasi pemusnahan bateri peluru berpandu anti pesawat yang melibatkan misi SEAD/DEAD (Suppression of Enemy Air Defence/Destruction of Enemy Air Defence). Pesawat Su-30MKM bertindak sebagai platform penyerakan elektronik (jammer aircraft) yang terbang bersama kumpulan pakej penyerang yang terdiri daripada pesawat pejuang yang sama atau pesawat lain dalam pegangan TUDM.

Selepas perolehan pesawat pejuang ini, negara tetangga serantau mulai merangka semula perolehan dan penggantian pesawat pejuang mereka, iaitu mereka memperlihatkan cubaan untuk mengatasi jika tidak berada pada aras sama dengan kemampuan pesawat TUDM terbaharu ini. Contohnya, Vietnam dan Indonesia membuat perolehan dengan firma Komsomolsk on Amur Aircraft Production (KNaaPO) yang juga merupakan cabang firma Sukhoi sejumlah pesawat Su-30MK/MK2.

Indonesia menempah 11 buah pesawat dan telah beroperasi sejak tahun 2013 manakala Vietnam menempah sehingga 36 buah pesawat Su-30MK2V dan mengoperasikannya sejak tahun 2013. Singapura pula menempah pesawat saingan Su-30, yakni F-15SG pada tahun 2007 dengan tempahan awal sebanyak 12 buah dengan tambahan 8 buah pesawat sebagai option. Perkara ini berubah apabila Singapura menambah tempahan kepada 12 buah, menjadikan jumlah keseluruhan F-15SG kepada 24 buah. Walau bagaimanapun, ia tidak termasuk jumlah sebenar pesawat yang ada dalam pegangan republik tersebut yang dikatakan mempunyai sehingga 40 buah pesawat sebagai tambahan.

Setelah 10 tahun berkhidmat dengan TUDM, terdapat ura-ura mengatakan bahawa angkatan udara negara kita memerlukan tambahan sejumlah pesawat tempur pelbagai tugasan bagi menyokong tugasan pesawat yang masih berkemampuan dan menggantikan pesawat sedia ada yang sudah dimamah usia melalui program MRCA. Namun sehingga artikel ini ditulis, program tersebut mengalami pelbagai halangan, terutama dari segi kos operasi dan perbelanjaan negara yang sangat terhad.

Kami amat mengharapkan pihak pemerintah mengambil perhatian serius berkenaan pertahanan udara kerana senario pertempuran masa kini melibatkan penguasaan ruang udara total dan pada masa sama melindungi ketumbukan tentera konvensional di daratan. Kuasa udara adalah amat kritikal dalam mengekalkan kedaulatan negara.

Anda sedang membaca sebahagian daripada petikan buku terbitan terbaru kami, Malaysia Military Power II. Berminat nak dapatkan buku ini? Klik link ini untuk wassap terus: www.wasap.my/60195812791

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.