Hidup zaman dulu bukan senang jujurnya. Zaman prasejarah mana ada hospital atau klinik swasta. Kawasan rawatan pun entah betul-betul bersih bebas kuman tak.

Sakit kepala biasa pun kadangkala boleh bawa m4ut. Bagaimana pula kalau penyakit kronik.

Umumnya untuk mengkaji perubatan prasejarah, kita perlu tengok rangka dan fosil manusia. Itu saja jalan untuk kita kenalpasti penyakit dan perubatan zaman dulu. Sebab bila bercakap pasal prasejarah, ia ialah zaman yang penulisan belum ada lagi berdasarkan satu tempoh sangat panjang dan budaya begitu banyak.

Dengan bukti arkeologi dan artifak sedia ada, kita boleh membuat tekaan paling tepat tentang cara hidup komuniti dulu. Memandangkan zaman sekarang pun kita terbuai dengan tanggapan bahawa penyakit ialah bala atau musibah, apatah lagi zaman dulu.  Manusia prasejarah juga mempunyai kepercayaan terhadap mistik dan ghaib yang sangat tebal.

Salah satu jejak langkah antropologi yang mengajar kita tentang perubatan prasejarah terdapat dari kubur-kubur purba. Saintis menemui beberapa tulang yang disiat keluar kulitnya, dilunturkan dan dijahit. Unsur perubatan juga melibatkan kanibalisme dalam kalangan komuniti prasejarah, berdasarkan penemuan kesan kunyahan pada tulang manusia yang selaras dengan gigi manusia.

Di Australia pula, manusia prasejarah terbukti berupaya untuk menjahit luka dan menutup tulang patah dengan tanah liat untuk membetulkan kedudukan tulang yang patah itu. Jadi amatlah sukar untuk mengenalpasti doktrin perubatan dalam kalangan manusia prasejarah secara keseluruhan memandangkan cara hidup mereka pun berlainan. Ada juga komuniti yang tidak tahu cara untuk membetulkan tulang. Mereka tidak tahu cara untuk menghentikan penyebaran penyakit, mengamalkan kebersihan dan juga mengutamakan pengairan bersih.

Maka dengan amalan cara hidup salah, dan sanitasi tidak terjaga, kesannya jelas terhadap jangka hayat mereka.

Cara hidup zaman itu mewajibkan manusia untuk mengangkat benda berat dan alat bantuan untuk menggerakkan beban belum tercipta. Akibatnya, ramai dalam kalangan mereka mempunyai masalah sendi lutut iaitu osteoarthritis. Selain mengangkat berat, mereka juga kerap menarik batu sehingga menyebabkan keretakan pada saraf tunjang mereka. Pergerakan batu bata yang besar ini juga merosakkan otot mereka.

*Contoh alat bantuan menggerakkan beban ialah roda dan gandar.

Selain bertukang, manusia prasejarah juga memungut hasil hutan yang mengundang luka, lebam dan retakan tulang. Ketiadaan antibiotik, antiseptik dan vaksin untuk memerangi bakteria, kulat dan virus setiap hari mengancam kesihatan mereka.

Kekurangan Vitamin D juga mendedahkan mereka kepada sindrom rakitis. Orang yang kekurangan nutrisi tersebut memiliki tulang yang rapuh dan lemah, pertumbuhan yang terhambat, serta bentuk tulang yang tidak normal.

Lelaki pula didapati hidup lebih lama berbanding perempuan, kerana mereka mempunyai akses terus kepada hasil buruan. Wanita perlu menunggu hasil-hasil ini dibawa keluar dari hutan, sekaligus menyumbang kepada malnutrisi pada ketika kesihatan mereka diancam dengan proses kelahiran anak.

Jadi dengan situasi ini, mereka yang sedikit sebanyak celik tentang kesihatan mencuba nasib dengan herba. Sekitar 60,000 tahun lepas, kelompok manusia prasejarah di Iraq didapati mengamalkan herba yarrow (Achillea millefolium) yang boleh menghentikan pendarahan. Yarrow juga mempunyai zat anti-radang dan anti-ulser yang membuatkannya digunakan sehingga hari ini untuk memerangi jangkitan paru-paru, masalah penghadaman dan penyakit hati.

Untuk membersihkan perut, mereka menggunakan herba mallow (Malva neglecta). Golongan di Eropah juga menggunakan Birch Polypore (piptorus betulinus) untuk membantu proses pencernaan dan penghadaman. Kesan-kesan herba birch ditemui dalam satu mumia daripada zaman tersebut. Para saintis turut mengesahkan bahawa herba ini boleh menyebabkan cirit birit atau kelawasan (mencuci perut).

Mallow
*Sumber gambar : Glacier FarmMedia
Birch Polypore
*Sumber gambar : medicalmushrooms.net

Selalunya kerja perubatan pada zaman ini diserahkan perempuan untuk memastikan keluarga mereka sihat. Dan ilmu herba ini pun diwarisi turun-temurun setelah dipelajari daripada persekitaran.

Rekod perubatan herba pada zaman purba amat mengagumkan. Malah penemuan herba zaman purba digunakan pada zaman moden dengan penambahbaikan.

RUJUKAN:

  1. Applequist, W., & Moerman, D. (2011). Yarrow (Achillea millefolium L.): A Neglected Panacea? A Review of Ethnobotany, Bioactivity, and Biomedical Research. Economic Botany, 65(2), 209-225. Retrieved from jstor.org/stable/41242932
  2. Greek medicine.net
    http://www.greekmedicine.net/A_Greek_and_Unani_Herbal/herb.php?id=8
  3. Prehistoric Medicine, BBC Website
    https://www.bbc.co.uk/bitesize/guides/zc2yhv4/revision/2
  4. Jen Viegas (2012) Prehistoric People Ate Each Other, Bones Show
    https://www.seeker.com/prehistoric-people-ate-each-other-bones-show-1766074936.html
  5. Melissa Hogenboom (2016) The People Who Ate Each Other, BBC
    http://www.bbc.com/earth/story/20161011-the-people-who-ate-each-other
  6. Yvette Brazier (2018) What was medicine like in prehistoric times? ,Medical News Today
    https://www.medicalnewstoday.com/articles/323556.php#medical-research

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Diploma Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Ranaco Education & Training Institute (RETI). Bidang penulisan sebagai pengisian masa lapang. Minat dalam bidang psikologi pekerjaan dan teknologi bangunan. "Hidup tak pernah adil. Tindak balas kita berbeza." - Azam Abu Bakar, 2019

Comments are closed.