Bagi yang pernah menonton Ghost in the Shell – Solid State Society, pasti sedia maklum isu warga emas menjadi tumpuan utama plot filem anime sains fiksyen berkenaan. Tetapi walaupun sistem yang ditampilkan untuk membantu masalah warga emas di sana bersifat fiksyen, ia bukan satu jenaka. Isu ini bukan saja mencetuskan dilema dalam kalangan rakyat Jepun tetapi turut membantu industri berkaitan kematian tumbuh subur bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Jepun merupakan rumah kepada populasi warga emas yang paling cepat berumur di dunia. Lebih suku daripada populasi rakyat negara itu berusia 65 tahun ke atas dan angka tersebut dijangka meningkat kepada 40% pada tahun 2050. Dan salah satu isu yang membelenggu warga emas Jepun ialah mati seorang diri di rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga dan jiran. Walaupun Tokyo tidak merekodkan angka rasmi berkenaan isu ini, pusat pemikir Institut Penyelidikan NLI menganggarkan 30,000 penduduk mati seorang diri di seluruh negara setiap tahun.

Dengan angka kematian ini semakin bertambah, maka tidak mengejutkan jika anda mengetahui kewujudan firma-firma yang membersihkan rumah individu yang mati keseorangan ini. Selain mereka, syarikat-syarikat insurans juga mula menjual polisi-polisi terhadap tuan rumah jika penyewa-penyewa mereka mati di hartanah milik mereka. Polisi ini meliputi kos pembersihan rumah dan pampasan untuk kehilangan sewa. Ada juga turut memasukkan pelan penyucian semula rumah selepas urusan pembersihan rumah selesai.

Tetapi bagi seorang pemilik apartmen di Kawasaki, satu kawasan di selatan Tokyo, dia tidak mempunyai insurans untuk perkara berkenaan. Jadi, dia perlu mengeluarkan kos $2,250 sebagai bayaran khidmat firma pembersihan Next untuk membersihkan dan menjadikan apartmennya itu sesuai untuk disewa. Pemilik itu berbuat demikian selepas mendapat tahu apa yang berlaku ke atas salah seorang penyewanya Hiroaki. Hiroaki ialah seorang warga emas berusia 54 tahun dan gagal melunaskan bayaran sewa selama beberapa bulan. Justeru, syarikat pengurusan hartanah merasa pelik mengapa perkara ini berlaku lalu menghantar seorang wakil untuk menyiasat.

Bila wakil syarikat berkenaan membuka pintu, alangkah terkejutnya dia bila melihat Hiroaki terbaring kaku di atas tilam futonnya. Hasil siasatan pihak berkuasa mendapati penyewa itu sudah mati selama empat bulan dengan badan, tilam dan lantai rumah berada dalam keadaan kering. Ya, lalat dan larva memang melambak dalam apartmen itu tetapi baunya tidaklah mencetuskan rasa tidak selesa jiran tetangga atau sebuah kedai yang berada di bawah. Selepas mayat dialihkan, pasukan pembersihan Next tiba diketuai Akira Fujita dengan sebuah lori kosong dan alat pelindung seluruh badan.

Benda pertama yang perlu dialihkan ialah tilam futon yang dipenuhi dengan sisa berwarna coklat dan ulat yang juga punca utama bau busuk dalam apartmen itu. Selepas ia dialihkan dan disimpan dalam satu beg plastik vakum, ia kemudian dibawa keluar ke lori. Krew Fujita bekerja dengan tekun tanpa melakukan apa-apa yang menjengkelkan seperti mengumpat si mati atau rasa tidak selesa dengan bau apartmen kerana yang penting pada akhirnya, apartmen tersebut kembali bersih.

Apartmen yang berkeluasan 200 kaki itu dipenuhi dengan pelbagai tanda hidup secara bersendirian seperti botol-botol minuman ringan, tin-tin minuman keras, puntung rokok dan suratkhabar lama. Kesemuanya dimasukkan dalam beg-beg plastik yang disediakan sebelum diangkat keluar. Selain itu, mereka juga terpaksa membersihkan bilik air, dapur dan pintu dengan menggunakan cecair pembersih industri yang kuat. Selepas semua itu selesai, fokus dialihkan pula kepada pembuangan kertas dinding dan penentuan berapa banyak jubin lantai yang harus dialihkan.

Kisah Hiroaki ialah kisah yang biasa melanda mana-mana warga emas yang hidup bersendirian di Jepun. Semasa hayatnya, dia bekerja sebagai jurutera sistem selama 20 tahun dan pernah bekerja dengan syarikat-syarikat besar seperti Nissan dan Fujitsu. Tetapi disebabkan dia hanya bekerja secara kontrak, Hiroaki tidak pernah mendapat faedah pekerjaan dan memerlukan bantuan kebajikan untuk menambah pendapatan rendahnya.

Dan laporan sebegini bukan asing dalam kalangan media Jepun kerana ia sentiasa dilaporkan saban hari. Kebiasaannya, mereka yang mati bersendirian ini ialah lelaki warga emas dan kematian mereka hanya diketahui beberapa bulan apabila peti surat mereka penuh atau bau busuk keluar dari kediaman mereka. Tetapi ada juga kes individu yang berusia 40-an mati bersendirian di kediaman mereka.

Fenomena ini muncul akibat perubahan struktur keluarga Jepun dan soal pertambahan bilangan warga emas dalam masyarakat Jepun itu sendiri. Dahulu, sudah menjadi lumrah melihat isi rumah dipenuhi ahli-ahli keluarga dari tiga generasi. Tetapi kini, semakin ramai yang memilih hidup membujang dan jika ada yang berkahwin pun memilih tidak mempunyai ramai anak.

Menurut penyelidik Masaki Ichinose dari Universiti Tokyo, keruntuhan konsep kekeluargaan di Jepun mengakibatkan bilangan individu yang hidup bersendirian semakin tambah. Dan prospek mereka untuk mati bersendirian juga semakin bertambah terutama membabitkan lelaki warga emas.

Menurut Ichinose, lelaki warga emas mudah terdedah kepada prospek ini kerana sikap sombong dan enggan meminta bantuan orang lain. Bila mereka bersara dari pekerjaan mereka, mereka kehilangan sokongan satu-satunya komuniti yang mereka kenali. Tambah penulis Kumiko Kanno, jika mereka memilih hidup membujang atau menjadi duda akibat kematian isteri atau perceraian, prospek mereka hidup bersendirian juga semakin bertambah. Menurut Kanno, semua hubungan yang dibina ada kaitan dengan pekerjaan mereka. Jadi, agak sukar bagi mereka untuk cuba membina hubungan dengan komuniti tempatan lebih-lebih lagi jika mereka hidup bersendirian.

Untuk mengelak masalah ini daripada menjadi serius, sesetengah kerajaan tempatan mula melaksanakan khidmat memeriksa individu yang hidup bersendirian dan menggalakkan jiran tetangga saling mengambil berat antara satu sama lain. Tetapi untuk menyelesaikan isu ini secara holistik, penyelesaiannya bersifat berbeza-beza. Bagi Ichinose, penawar bagi masalah ini ialah mengukuhkan semula institusi kekeluargaan Jepun termasuk menggalakkan warga Jepun berkahwin dan mempunyai ramai anak.

Sementara Kanno pula melihat perubahan gaya hidup perlu dilakukan termasuk mengintegrasikan golongan warga emas yang bersara ini dengan komuniti tempatan. Menurutnya, sesetengah daripada mereka masih mengamalkan gaya hidup sama sebelum mereka bersara dan ini membuatkan mereka tidak tertarik membina jaringan hubungan sosial baru.

Selain industri pembersihan rumah pasca-kematian, industri kematian membabitkan rumah pengebumian juga rancak tumbuh tatkala industri lain mengalami kemerosotan. Salah satu syarikat yang menikmati keuntungan ini ialah Tear Corp, sebuah syarikat yang menguruskan rangkaian rumah pengebumian di Jepun dan dikenali kerana mempunyai senarai harga yang munasabah dan telus yang diiklankan dalam talian. Sejak ia disenaraikan di Bursa Saham Tokyo pada tahun 2014, harga saham syarikat tersebut sudah bertambah sebanyak dua kali ganda.

Contoh jika anda mahukan keranda kayu biasa dan khidmat perkabungan membabitkan ahli keluarga dan rakan-rakan? Tear hanya mengenakan kos 300,000 yen (RM 11, 000) termasuk dokumen kerajaan, ais kering dan penyediaan abu mayat. Jika mahukan sesuatu yang lebih selesa dan mewah, kosnya hanya sejuta yen (RM 37, 000) dan ia masih lagi murah jika dibandingkan harga purata 1.4 juta yen (RM 51, 000).

Bagi yang melanggan khidmat mereka lebih awal, Tear akan memberi diskaun sebanyak 10%. Kesedaran berkenaan kos pengebumian ini timbul apabila pengasas syarikat itu Norihisa Tomiyasu bergaduh besar dengan majikannya berkenaan tindakannya mengenakan kos pengebumian yang mahal kepada pelanggan.

Menurut beliau, kos tersebut boleh dipotong bagi meringankan beban pengguna dan pada masa sama, masih membantu rumah-rumah pengebumian meraih keuntungan. Tambahnya, perkhidmatan sebegini juga merupakan satu cara bagi mereka membantu keluarga-keluarga yang kehilangan orang tersayang untuk pulih dan meneruskan kehidupan tanpa rasa bersalah.

Isu kos pengebumian yang mahal bukan sesuatu yang baru di Jepun. Data dari Pusat Hal Ehwal Pengguna Kebangsaan mendedahkan pertambahan kes aduan kos pengebumian dari 83 kes pada 1996 kepada 724 kes pada tahun 2015. Antara punca pertambahan ini berlaku ialah bil yang dikeluarkan rumah pengebumian terlalu mahal dan pengenaan caj tersembunyi yang tidak diketahui pelanggan.

Perlu diingat, Jepun mempunyai kos pengebumian paling mahal di dunia dengan kos pengebumian biasa saja memakan kos tiga juta yen. Dan selalunya yang menjadi punca pertambahan bilangan kos pengebumian ialah caj yang dikenakan kuil-kuil Buddha untuk upacara pengebumian. Caj untuk meletakkan nama selepas mati si mati saja dikenakan kos 400,000 yen (RM 15, 000).

Salah seorang yang pernah terkena ialah seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Yuki. Semasa hendak menguruskan pengebumian neneknya, dia hanya mahukan satu upacara ringkas dan hanya dihadiri ahli keluarga sahaja. Tetapi pada hari pengebumian, Yuki terkejut beruk kerana ia diadakan di sebuah dewan yang besar dan lima/enam sami dikumpulkan untuk membaca mentera.

Dan apabila selesai sahaja urusan pengebumian, bil yang dikenakan sebanyak lima juta yen (RM184, 000)! Dia menganggap kos yang dikenakan melampau tetapi dia malu untuk membangkitkan soal itu dengan pihak rumah pengebumian. Perkara ini juga mendorong Tomiyasu mengarahkan senarai harga pakej pengebumian diiklankan secara dalam talian bukan saja menunjukkan mereka telus tetapi juga mengelakkan pengguna tertipu dengan pengurusan rumah-rumah pengebumian yang tidak bertanggungjawab. Yang penting menurut beliau ialah pengguna perlu mempertahankan hak mereka tanpa perlu merasa malu walaupun dalam soal pengebumian orang tersayang.

Ada sesetengah rumah pengebumian menjadi lebih kreatif dengan mengadakan upacara pengebumian melalui kaedah pandu lalu. Di rumah pengebumian Ueda yang dikendalikan oleh Masao Ogiwara, ahli keluarga si mati boleh melihat upacara pengebumian menerusi monitor yang disediakan dalam kereta. Sementara mana-mana individu yang mahu memberi penghormatan terakhir boleh melakukan perkara sama dari kenderaan mereka dan tanpa perlu menyalin pakaian. Keadaan ini amat membantu individu yang bekerja untuk memberi penghormatan terakhir tanpa perlu meninggalkan pekerjaan harian mereka.

Ada juga yang mahukan ahli keluarga ingin tahu hajat mereka dan ini direalisasikan menerusi pakej surat cinta dari langit. Sebelum mereka meninggal dunia, syarikat-syarikat pengebumian membantu merakam video mereka dalam bentuk DVD sebelum dihantar kepada keluarga pasca-kematian. Di sini, ahli keluarga dapat melihat mereka kali terakhir menerusi rakaman video dan lawatan kenangan secara digital.

Sementara sebuah syarikat bernama Ishinokoe (Suara Batu/Voice of the Stone) pula menghasilkan kod QR yang diletakkan pada batu nisan. Jika ahli keluarga mengimbas kod tersebut melalui aplikasi pengimbas kod dalam telefon pintar mereka, mereka dapat mengakses pelbagai jenis gambar dan memorabilia si mati yang dihubungkan dari sebuah laman sesawang dalam talian kepada kubur berkenaan.

Disebabkan bilangan populasi semakin berkurangan terutama di luar bandar, ini mencabar kuil-kuil Buddha untuk merekrut sami-sami. Dan jika trend sebegini berterusan, 75,000 kuil Buddha dijangka hilang menjelang tahun 2040. Ini mendorong sesetengah syarikat lebih kreatif termasuk menghasilkan robot-robot yang membaca mentera sutra Buddha.

Amazon Jepun pula lebih berani dengan menawarkan khidmat sewaan sami secara dalam talian dengan hanya satu klik di hujung jari. Manakala Yahoo Ending pula menjual pakej perkabungan terdiri daripada penghapusan akaun-akaun internet, pemberitahuan kematian, ucapan selamat tinggal dan membina laman sesawang khas memorial yang dipenuhi dengan gambar-gambar dan video-video si mati.

Pengebumian eksotik sebegini mungkin nampak janggal satu masa dahulu. Tetapi di Jepun, pilihan-pilihan ini juga membantu rumah-rumah pengebumian sentiasa di hadapan berbanding pesaing-pesaing mereka. Dan melalui pelbagai inovasi ini, ia juga sebenarnya membantu industri berkaitan kematian beradaptasi dengan dunia serba digital dan pada masa sama, membantu warga Jepun dari tidak lagi dibebankan dengan kos pengebumian yang terlalu mahal dan rutin pengebumian yang merenyahkan.

SUMBER

1. Fifield, Anna. (2018). Japan’s lonely deaths: A growing industry is now devoted to cleaning up after Japanese people dying alone. The Independent. https://www.independent.co.uk/news/long_reads/lonely-deaths-japan-die-alone-clean-apartments-japanese-industry-next-homes-clear-a8182861.html

2. McNeill, David. (2017). The business of death: Profiting from loss in Japan. The Irish Times. https://www.irishtimes.com/business/innovation/the-business-of-death-profiting-from-loss-in-japan-1.3198203


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.