Pertemuan Dua Pemimpin: Trump Dan Jong-un

0
843
views

Selepas pelbagai rintangan, “Meeting of the Century” antara Donald Trump dan Kim Jong-un yang dinanti-nantikan akhirnya akan diadakan pada esok, jam 9 pagi di Hotel Capella, Sentosa, Singapura.

Meeting yang hampir tak jadi kerana dibatalkan oleh Trump pada 24 Mei yang lalu. Kenapa tetiba “on” balik? Adakah analisis den waktu dulu (sini) masih relevan?

Masih. Kerana Kim masih pemenang dalam “game” ini. Apa yang Trump buat ada dalam pengiraan Kim.

Perjumpaan Trump-Kim kali ini merupakan pertemuan pertama antara seorang presiden US (yang dalam perkhidmatan) dan seorang pemimpin tertinggi Korea Utara (NK). Umpama “first date” pasangan lelaki dan perempuan lah. Dalam first date kalau perempuan cepat sangat menyerah dan menurut permintaan lelaki, maka lelaki akan kurang menghargai perempuan kerana anggap diorang terlalu “mudah”.

Berdasarkan analogi ini, apabila Trump ajak Kim berdialog, kalau Kim cepat-cepat bersetuju, maka NK akan nampak “desperate” dan terpaksa untuk bersetuju dengan semua terma dan syarat yang ditetapkan oleh US.

Untuk mengekalkan “leverage”, NK kenalah jual mahal dan main tarik tali dengan US, terutamanya dalam isu “denuclearization”. Bagi US, denuclearization bermaksud NK harus menghapuskan semua senjata nuklear. Tapi bagi Kim, ia bukan opsyen yang bijak kerana senjata nuklear merupakan talian hayat NK.

Pada 29 April, iaitu 2 hari selepas perjumpaan bersejarah antara Kim dan Moon Jae-in, presiden Korea Selatan (SK), Penasihat Keselamatan Negara US iaitu John Bolton memberitahu media bahawa US berusaha untuk mengaplikasikan “Libya Model” dalam rundingan US-NK.

Libya Model merujuk kepada rundingan US-Libya pada tahun 2004 di mana Muammar Gaddafi melepaskan sepenuhnya senjata nuklear Libya. Tanpa senjata nuklear, Gaddafi tidak dapat mempertahankan Libya daripada serangan udara NATO pada tahun 2011, dan akhirnya rejim Gaddafi tumbang dan Gaddafi mati dibunuh.

Kim pasti tidak mahu perkara yang sama berlaku pada dirinya, atau pun pada anak-anak dan cucu-cucu dia. Jadi pada 8 Mei, Kim membuat lawatan terkejut ke China, seolah-olah meminta “nasihat” daripada China. Seminggu selepas itu (16 Mei), Kim mengugut untuk membatalkan perjumpaan dengan Trump dan sekali gus menggantung dialog antara NK dan SK. Walaupun ugutan Kim dibuat atas alasan “provokasi pihak US-SK menerusi latihan ketenteraan bersama”, tapi semua orang tahu punca yang sebenar ialah komen Bolton tentang Libya.

Waqaf Saham

Sebenarnya Bolton bukan bodoh, dia tahu apa reaksi NK sekiranya dia sebut pasal Libya Model. Habis kenapa dia masih nak sebut? Sesiapa yang kenal Bolton akan tahu dia ni seorang “war hawk” dan “neocon” yang kurang senang dengan pendekatan dasar luar Trump. Jadi ada kemungkinan besar dia mahu sabotaj rundingan US-NK dan seterusnya merancang tindakan ketenteraan ke atas NK.

Jadi apa Trump boleh buat? Selain menafikan kenyataan Bolton di Twitter, Trump juga mengeluarkan surat pada 24 Mei untuk membatalkan perjumpaan dengan Kim. Trump tak mahu kelihatan terlalu “desperate” untuk mengheret Kim ke meja perundingan. Tapi pada masa yang sama, Trump merangka suratnya dalam laras bahasa “open-ended”. Maksudnya sekiranya Kim berubah fikiran, maka Trump akan mengadakan semula perjumpaan.

Kim tentu mahu perjumpaan diadakan semula, kalau tidak dia akan jadi macai China selama-lamanya. Tapi takkan dia nak merayu dekat Trump kan? Jadi apa yang Kim buat 2 hari selepas itu (26 Mei), dia pergi berjumpa dengan Moon sekali lagi. Mesej yang cuba disampaikan oleh Kim ialah dia “ikhlas” untuk berunding dengan Trump, dan dia harap Moon boleh jadi orang tengah antara US dan NK. Play victim. Kalau Trump tak mengadakan semula perjumpaan, maka Trump akan dilihat sebagai kejam dan dibenci oleh sekutunya SK.

Sementara itu, Trump berusaha untuk menyelamatkan keadaan dengan mengetepikan Bolton. Trump mengutus Pengarah CIA, Mike Pompeo untuk berunding terus dengan NK. Pada masa yang sama, Kim cuba menaikkan sahamnya dengan menerima kunjungan Menteri Luar Rusia pada 31 Mei, dan memberi isyarat bahawa Kim akan melawat Moscow.

Trump tak mahu melepaskan “first-mover advantage” dalam diplomasi NK dan kuasa-kuasa besar, apatah lagi lepaskan kepada Putin. Maka, tanpa membuang masa lagi, Trump mengumumkan pada 1 Jun bahawa perjumpaan antara dia dan Kim akan diadakan seperti biasa pada 12 Jun.

Kedua-dua Trump dan Kim merupakan strategis yang hebat. Sekiranya Trump tidak mengenakan “maximum pressure” ke atas China dan NK, maka China tak mungkin mendesak NK untuk ke meja perundingan.

Tapi kalau dibandingkan, Kim lagi handal dalam memanfaatkan krisis sebagai peluang. Dengan memanipulasi kepentingan US, China dan Rusia yang bercanggah, Kim berjaya mengeluarkan NK daripada keadaan isolasi hanya dalam masa 6 bulan. Dalam tradisi pemikiran strategi perang Asia Timur, ini dinamakan sebagai “menjadikan tamu sebagai tuan rumah” (반객위주” / 反客爲主) yang bermaksud menjadikan pihak yang pasif sebagai pihak yang berinisiatif.

Nak faham strategi Trump, kena baca “The Art of the Deal”.

Nak faham strategi Kim, kena baca “36 Stratagems”.

Nak faham kedinamikan kedua-dua player ini, kena baca “game theory”.

Jadi mari kita lihat pada esok sejauh mana “game” antara Kim dan Trump ini boleh pergi lagi.