Pertempuran Tralfagar: Kemenangan Yang Dibayar Dengan Gugurnya Pewira

0
516
views

Pertempuran Trafalgar berlaku pada 21 Oktober 1805 semasa berlangsungnya War of the Third Coalition (1803-1806) yang merupakan sebahagian dari Perang Napoleon (1803-1815). Pertempuran ini menjadi titik yang menghalang hasrat Napoleon untuk menggempur British sekaligus menjadi manifesto kekebalan kuasa maritim British yang kekal selama lebih dari seabad.

Statistik Pertempuran

Tarikh Berlaku:
21 Oktober 1805

British:
Komander:
Vice Admiral Horatio Lord Nelson

Jumlah Kekuatan:
27 buah kapal dan 4 frigate

Antara Kapal Yang Disebut:
Victory (104 meriam) (flagship, kapal utama)
Royal Sovereign
(100 meriam)

Kasualti:
Sekitar 1500 orang terbunuh dan tercedera
Tiada kapal hancur atau dirampas

Perancis-Sepanyol
Pimpinan:
Vice Admiral Pierre-Charles de Villeneuve
Admiral Don Federico Gravina

Jumlah Kekuatan:
33 buah kapal (18 Perancis, 15 Sepanyol) dan 7 frigate

Antara Kapal Yang Disebut:
Santa Ana (112 meriam)
Fougueux (74 meriam)
Bucentaure (80 meriam) (flagship, kapal utama)
Redoubtable (74 meriam)

Kasualti:
Sekitar 5000 orang terbunuh dan tercedera
Sekitar 7000 orang menjadi tawanan
19 atau 18 buah kapal dihancur atau dirampas

 

 

Rancangan Napoleon

Perjanjian Amien yang melibatkan perdamaian di antara British dan Perancis telah tamat tempoh pada tahun 1803 sekaligus membawa kedua-dua negara itu kembali ke kancah peperangan. Sepanyol kemudian menyertai peperangan sebagai sekutu Perancis pada hujung tahun 1804.

Waqaf Saham

Sebaik sahaja War of Third Coalition berlangsung, Napoleon Bonaparte memasang perancangan untuk menyerang British. Rancangan ini memerlukan penguasaannya ke atas Perairan Inggeris. Untuk itu, pada awal tahun 1805, beliau memberikan arahan kepada armada pimpinan Vice Admiral Pierre Villeneuve yang berada di Toulon untuk bergabung dengan kekuatan Sepanyol di Caribbean. Gabungan armada ini kemudian dirancang akan merentasi semula Atlantik lalu bergabung dengan kapal-kapal Perancis yang berada di Brest dan kemudian menguasai  perairan Inggeris.

Rancangan Napoleon ini mula tergugat apabila Villeneuve kembali ke perairan Eropah di mana beliau dikejar oleh armada British. Beliau malah mengalami kekalahan kecil dalam Pertempuran Tanjung Finisterrer pada 22 Julai 1805 membuatkan beliau terpaksa berlabuh di Ferrol, Sepanyol. Napoleon masih terus mengarahkannya untuk menuju Brest, namun Villeneuve sebaliknya berlayar ke Cadiz untuk mengelak dari kejaran armada British dan tiba di situ menjelang bulan September.

Bermulanya Pertempuran

Gambaran formasi yang digunakan oleh kedua-dua pihak
http://chasingdeer.co.uk/battle-trafalgar-diagram.html

Selepas tiba di Cadiz pada hujung September, Nelson mengambil-alih kepimpinan armada yang mengepung perairan itu dari Vice Admiral Robert Calder. Villeneuve terus berada di Cadiz sehingga 20 Oktober, atau sebahagian sumber lain mengatakan 18 atau 19 Oktober. Kemudian, beliau keluar berlayar ke arah barat daya menuju Gibraltar sambil terus dikawal pergerakannya oleh Nelson.

Menjelang waktu subuh 21 Oktober, Nelson memberi arahan kepada krunya untuk bersiap-sedia menghadapi pertempuran ketika mereka berada di barat laut Tanjung Trafalgar yang terletak di antara Cadiz dan Selat Gibraltar. Tidak lama kemudian, Villeneuve mengarahkan armadanya untuk berpatah-balik ke Cadiz. Gerakan ini menghasilkan huru-hara dalam formasi Villeneuve sekaligus membuatkan barisannya melengkung. Armada British terus melakukan kejaran dan menjelang waktu pagi sekitar jam 10-11, kedua-dua armada itu saling berhadapan.

Nelson lantas mengarahkan pegawai isyaratnya iaitu Leftenan John Pasco untuk menyampaikan pesanan masyhurnya; “England mahu setiap lelaki lakukan tugasnya.” Sambil berada di atas kapal Victory, Nelson mengetuai 11 buah kapal lain untuk memecah-masuk bahagian tengah armada Villeneuve.

Menurut rancangan Nelson, armadanya yang terdiri dari 27 buah kapal dipecahkan kepada dua barisan. Barisan pertama yang terdiri dari 12 buah kapal akan memecah masuk bahagian tengah. Pasukan ini dipimpin oleh beliau sendiri. Sementara itu, barisan kedua yang dipimpin oleh Vice Admiral Cuthbert Collingwood pula akan menyerang bahagian belakang (selatan) armada Franco-Spanish yang terdiri dari 33 buah kapal. Rancangan ini akan memecahkan barisan armada musuh sekaligus membuatkan kapal-kapal dari bahagian tengah hingga bahagian belakang terkepung atau diapit oleh armada British.

Walau bagaimanapun, rancangan ini juga memaksudkan mereka akan menghadapi bedilan hebat sepanjang kemaraan ke bahagian-bahagian yang disasarkan. Bedilan-bedilan meriam menghentam kapal-kapal British yang mara, mengorbankan dan mencederakan rama tentera yang berada di atas dek. John Scott, iaitu Setiausaha Nelson sendiri terbunuh semasa kemaraan ini. Fasa ini sahaja melibatkan 1200 kematian dan kecederaan di pihak British. Nelson dan kaptennya sendiri iaitu Thomas Hardy pun tidak ketinggalan terumbang-ambing di atas Victory yang turut menerima tembakan.

Namun ternyata, gerakan berani ini membuahkan hasil. Collingwood yang menaiki Royal Sovereign berjaya memecah masuk di antara Santa Ana dan Fougueux sekaligus menguasai pertempuran di bahagian itu. Kapal utama Nelson iaitu Victory pula berjaya meletakkan kedudukannya di antara Redoubtable dan kapal yang dinaiki Villeneuve sendiri iaitu Bucentaure. Bedilan-bedilan Victory yang disasarkan ke atas Bucentaure berjaya menggegarkan kapal utama Perancis itu, mengorbankan ramai krunya sekaligus melumpuhkan kefungsian kapal tersebut. Pertempuran melawan tentera-tentera dari kapal Redoubtable turut berlangsung. Salah satu tembakan yang dilepaskan oleh tentera Perancis mengenai Nelson, menembusi dadanya. Beliau dengan pantas dibawa ke bahagian bawah oleh Thomas Vardy untuk dirawat oleh Surgeon William Beatty.

Sambil itu, disiplin dan kualiti latihan tentera-tentera British yang jauh lebih tinggi berbanding Franco-Spanish berjaya membuatkan pertempuran memihak mereka. Malah, Vice Admiral Collingwood yang mempamerkan prestasi cemerlang turut membantu British menghancurkan atau merampas 19 buah kapal musuh. Thomas Hardy yang tadinya sibuk mengendalikan kru Victory kin turun ke bawah untuk menjenguk Nelson sekaligus memaklumkan kemenangan yang sudah memihak mereka. Mendengar berita tersebut, Nelson dengan nafas yang tercungap-cungap memberikan kata-kata terakhir; “Sekarang, legalah hati aku. Terima kasih Tuhan, aku telah tunaikan tanggungjawabku.” Selepas melutut dan mengucup ketuanya itu, Kapten Thomas Hardy yang tidak dapat menahan kesedihan kembali ke dek dan menyertai semula pertempuran yang berakhir pada jam 5 petang, 30 minit selepas kematian Nelson.

(Kiri) Horatio Nelson (Kanan) Cuthbert Collingwood
https://artuk.org/discover/artworks/admiral-horatio-nelson-17581805-1st-viscount-nelson-kb-11630
http://collections.rmg.co.uk/collections/objects/14099.html

Kemenangan Yang Mengorbankan Wira Negara

Pertempuran yang berlangsung selama 5 jam ini mengorbankan sekitar 458 orang tentera British sementara 1208 yang lain tercedera. Di pihak Perancis-Sepanyol pula merekodkan 3243 orang terbunuh, 2538 tercedera dan sekitar 7000 orang menjadi tawanan perang. Dari 33 buah kapal secara keseluruhan, hanya 11 sahaja yang terselamat. Sementara 19 atau 18 buah kapal yang dihancurkan atau dirampas oleh British kesemuanya karam dan sebahagiannya dirampas semula, meninggalkan hanya 4 buah sahaja berjaya dibawa pulang.

Dalam upacara penghormatan atas pemergian para pejuang yang terkorban, Admiral Collingwood merangkap rakan Nelson membuka Order of Thanksnya dengan rangkap berikut:

“Kematian yang akan sentiasa dikenang-kenang, kematan Vice Admiral Lord Viscount Nelson, Duke of Bronte, the Commander in Chief, yang gugur dalam pertempuran pada 21 haribulan di atas kapal Victory akan sentiasa diselubungi dengan kegemilangan dan penghormatan. Memori dirinya sangat dekat di hati angkatan laut British dan negara British. Pembelaannya terhadap maruah Rajanya dan kepentingan Negaranya akan sentiasa dijulang tinggi sebagai contoh yang bersinar buat para pelaut British.”

Diperakui sebagai salah satu pertempuran laut terhebat dalam sejarah British, Pertempuran Trafalgar melihatkan Perancis tidak memberikan ancaman besar kepada Royal Navy British dalam tempoh terdekat. Perwira British itu menerima pengebumian kehormat di Gereja St. Paul di London. Tugu peringatan turut didirikan di sebuah tempat yang dinamakan Trafalgar Square, London bagi mengenang jasa Vice Admiral Nelson yang menjadi imej kekuasaan maritim British.

Tugu Peringatan Nelson yang terletak di Trafalgar Square, London
https://it.wikipedia.org/wiki/File:Admiral_Horatio_Nelson,_Nelson%27s_Column,_Trafalgar_Square,_London.JPG

Sumber Rujukan

Hickman, Kennedy. (2017). Napoleonic Wars: Battle of Trafalgar
https://www.thoughtco.com/napoleonic-wars-battle-of-trafalgar-2361192

Lambert, Andrew. (2011). Battle of Trafalgar.
http://www.bbc.co.uk/history/british/empire_seapower/trafalgar_01.shtml

Penyunting Ensiklopedia Britannica (2017) Battle of Trafalgar.
https://www.britannica.com/event/Battle-of-Trafalgar-European-history

Staff History.com. (2009). Battle of Trafalgar.
http://www.history.com/topics/british-history/battle-of-trafalgar

Staff History.com. (2010). Battle of Trafalgar.
http://www.history.com/this-day-in-history/battle-of-trafalgar

Johnson, Ben. (2013). Trafalgar Day.
https://www.historic-uk.com/HistoryUK/HistoryofBritain/Trafalgar-Day/