Kerajaan Khalifah Abbasiyah telah mengantikan Kerajaan Khalifah Umayyah yang bermula dari tahun 750 masihi hingga 1258 masihi. Kerajaan ini telah mencatatkan perkembangan Islam yang paling popular dan banyak berkembang sehingga dikenali sebagai ‘Golden Age of Islam’. Kedudukannya yang bersebelahan dengan China dan India di sebelah Timur dan Kerajaan Rom Bizantine di sebelah Barat membolehkan kerajaan ini untuk menerima pelbagai pertembungan budaya yang akhirnya telah mencipta pelbagai idea kepada dunia (The Saylor Foundation, 2007).

Pertembungan antara Tamadun China dan Islam tercetus pada tahun 751 masihi merupakan titik permulaan kepada kegemilangan Islam. Tamadun China ketika itu yang dikuasai oleh Dinasti Tang bukan sahaja hendak melebarkan aktiviti perdagangan tetapi juga untuk melebarkan penguasaan geografi hingga ke Semenanjung Arab. Nama pertembungan ini dinamakan sebagai Pertembungan Talas atau ‘Battle of Talas’ sempena nama tempatnya iaitu Sungai Talas yang terletak sempadan antara negara Kazakhstan dan Kyrgystan(Frankel, 2013). Sekitar Sungai Talas ini merupakan laluan sutera yang kaya dengan hasil mahsul telah menjadi perebutan antara dua tamadun ini (Mohd-Ali et al., 2016).

Namun begitu, Dinasti Tang ketika itu terpaksa menghadapi Kerajaan Abbasiyah yang mendapat pertolongan ketenteraan oleh askar Tibet and Uyghur. Pertempuran ini akhirnya dimenangi oleh Kerajaan Abbasiyah yang diketuai oleh Ziyad ibn Salih, seorang bekas pemerintah dari zaman Umaiyah. Kawasan ini telah menjadi sebuah kawasan yang ekonomi yang sangat berdaya saing seiring dengan pembangunan Laluan Sutera ini(Mohd-Ali et al., 2016).

Dengan berakhirnya pertembungan ini, penyebaran blueprint teknologi pembuatan kertas telah dirampas dengan menawan beberapa askar dari Tamandun China(The Saylor Foundation, 2007) dan dibawa ke sebuah bandar Muslim yang dikenali sebagai Samarqand yang terletak di Uzbekistan. Muslim di bandar ini telah diajar untuk membuat kertas dengan menggunakan kain buruk dan disebarkan keseluruh Kerajaan Abbasiyah. Teknologi ini telah menjadi satu bahan yang penting dalam aktiviti – aktiviti penyebaran ilmu ke serata dunia disamping harganya yang murah dan sifatnya yang tahan lama.(The Saylor Foundation, 2007)

Pertempuran Talas

Pada tahun 751 masihi seorang jeneral perang bernama Gao Xianzhi telah dilantik sebagai komander atas kecermerlangan beliau dalam beberapa siri perang ketika Dinasti Tang dalam penaklukan Pamir, Kashmir dan Lembah Selatan Oxus. Beliau telah menjadi seorang yang sangat berpengaruh kerana berjaya menguasai kawasan Tarim. Kejayaan beliau telah melebarkan penguasaan Tamadun China hingga ke Asia Tengah.

Namun, beliau terpaksa menempuh tentera Islam daripada kerajaan Abbasiyah yang diketuai oleh Ziyad ibn Salih yang merupakan seorang bekas pemerintah Kerajaan Umaiyah untuk sebuah kota suci Kufa yang terletak di Baghdad. Peperangan ini merupakan pertempuran yang besar dan pertama antara tamadun besar iaitu Arab dan China. Kapasiti keseluruhan tentera Islam diketuai oleh Ziyad dianggarkan sebanyak 100 000 tentera yang dibantu oleh tentera tambahan dari Turkharistan. Manakala tentera dari Tamadun China pula dianggarkan sebanyak 10 000 orang dan dibantu oleh 20 000 orang dari bangsa Qarluk Turks.

Pertempuran ini telah berlangsung di selama 5 hari di Sungai Talas yang akhirnya dimenangi oleh Tentera Islam. Berdasarkan kapasiti daripada kedua – dua tentera adalah sangat berbeza namun yang menariknya tentera bantuan Cina dari Qarluk Turks sebanyak 2/3 daripada tentera Cina ini telah berpaling tadah kepada tentera Arab.

Ada satu sumber dari Hoberman mengatakan bahawa pemberontakan ini telah dirancang oleh Ziyad dan bangsa Qarluk Turk sebelum peperangan ini bermula. Gao Xianzhi dan beberapa tentera yang berdekatan dengannya terpaksa berundur kerana pemberontakan daripada Bangsa Qarluk Turk ini. Kekalahan ini sangat memalukan bagi Gao Xianzhi kerana ini merupakan kekalahan beliau yang pertama dan berpunca daripada kecuaian beliau sendiri.

Punca Kekalahan Gao Xianzhi

Seperti yang disebut sebelum ini, kekalahan Gao merupakan kecuaian beliau sendiri kerana gagal memastikan integriti tentera Bangsa Turks dalam peperangan ini. Selain itu, keupayaan tentera Bangsa Qarluk Turks ini melebihi tentera dari China sendiri membuatkan bangsa ini senang dipengaruhi oleh Ziyad dalam pemberontakan terhadap Gao sendiri.

Tambahan lagi, fokus Gao dalam peperangan hanya mementingkan dalam aspek strategi tanpa memastikan moral dan integrity tentera telah menyebabkan kekalahan yang amat dahsyat. Antara punca lainnya, Gao gagal menguasai bentuk muka bumi di kawasan pertempuran bersungai dan menyebabkan Gao gagal dalam formasi bertahan dan terpaksa melarikan diri apabila mengetahui beliau telah dikhianati. Punca kekalahan terbesar apabila beliau masih ingin bertempur dengan tentera Islam yang jauh lebih besar berbanding tentera sendiri.

Jelas sekali, Gao Xianzhi gagal terutama dari aspek moral yang menjadi punca utama beliau kalah dan menyebabkan kerugian yang sangat besar dalam peperangan ini terutamanya untuk Tamadun China. (Pangelinan, 2010)

Kesan Rampasan Teknologi Kertas dari Tamadun China

Perpustakaan Darul Hikmah yang dikenali sebagai ‘House of Wisdom’ oleh Barat yang diasaskan oleh Al-Ma’mun lalu di bawah pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid, ia telah menjadi sebuah pusat penyebaran ilmu. Perpustakaan ini telah menjadi titik pertemuan para sarjana Barat dan Islam untuk berbincang mengenai ilmu – ilmu dalam pelbagai bidang.

Antara tokoh – tokoh Islam yang terkenal sewaktu pemerintahan Kerajaan Abbasiyah ialah Al-Khwarizmi, Al-Beruni, Al- Farabi dan Ibnu Sina telah memberi impak yang sangat membanggakan umat Islam ketika itu sehingga dikenali dan dikagumi oleh sarjana – sarjana Barat terutamanya dari Eropah (Haghnavaz, Alerasoul, & Branch, 2014).

Kesimpulannya, teknologi pembuatan kertas yang dirampas oleh Kerajaan Abbasiyah daripada Tamadun China telah menjadi titik permulaan kepada penyebaran ilmu sewaktu zaman keemasan Kerajaan Abbasiyah yang sangat membanggakan orang Islam sewaktu itu. Kertas yang digunakan telah menjadi satu agen penyebaran ilmu sehingga ke seluruh pelusuk dunia ketika itu (Cooperson, 2017).

Sudah semestinya aktiviti – aktiviti penyebaran ilmu ini akan menjadi perlahan sekiranya pertempuran Talas antara Tamadun Islam dan China tidak berlaku. Tidak dapat dinafikan lagi kertas sehingga kini masih menjadi satu agen penyebaran ilmu yang sangat berguna kepada umat manusia.

Rujukan

1. Cooperson, M. (2017). The Abbasid “Golden Age”: An Excavation. Al-ʿUsur Al-Wusta: The Journal of Middle East Medievalists, 25(29), 41–65. Retrieved from http://islamichistorycommons.org/mem/wp-content/uploads/sites/55/2017/11/UW-25-Cooperson.pdf

2. Frankel, J. D. (2013). Chinese-Islamic Connections: China’s Internal/External Muslim Relations.

3. Haghnavaz, J., Alerasoul, S., & Branch, J. (2014). A history of islam in central asia 1*, 2, 127–130.

4. Mohd-Ali, S., Puteh-Behak, F., Saazai, N., Saat, M., Darmi, R., Harun, H., & Samah, R. (2016). Tackling the Issue of Credibility in Phenomenographic Interviewing to Capture Problem-Based Learning (PBL) Experience. Mediterranean Journal of Social Sciences MCSER Publishing, 7(4), 2039–9340. https://doi.org/10.5901/mjss.2016.v7n4p

5. Pangelinan, M. J. G. (2010). FROM RED CLIFFS TO CHOSIN : THE CHINESE WAY OF WAR A Monograph by School of Advanced Military Studies Fort Leavenworth , Kansas AY 2010.

6. The Saylor Foundation. (2007). The Saylor Foundation Saylor.org Page 1 of 4. 1, 2–5. https://doi.org/10.1177/0951692897009004001

Artikel disumbangkan oleh Khaled Nordin Untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.