Tidak ramai yang pernah mendengar tentang Pertempuran Sungai Talas. Namun, pertempuran di antara bala tentera Tang-China dan Abbasiyah-Arab ini memberikan kesan susulan yang sangat penting, tidak hanya pada Cina dan Asia Tengah, tetapi juga pada seluruh dunia.

Asia pada abad ke-8 menyaksikan berlakunya perubahan kuasa yang silih-berganti. Pep3rangan yang bertujuan untuk mendominasi perdagangan, kuasa politik dan hegemoni keagamaan turut menjadi kelaziman. Era ini dipenuhi dengan pep3rangan, persekutuan, pertalaman dua muka dan pengkhianatan.

Pada waktu itu, tidak ada seorang pun menjangka bahawa sebuah pertempuran yang berlangsung di tebing Sungai Talas di wilayah Kyrgyzstan moden, bakal menghentikan kemaraan Arab dan Cina di Asia Tengah sekaligus mengukuhkan hubungan di antara penganut ajaran Buddha/Confucius dengan Muslim di Asia.

Tiada siapa menjangka bahawa pertempuran tersebut bakal menjadi instrumen yang memindahkan sebuah ciptaan penting dari Cina ke dunia barat – iaitu teknologi penghasilan kertas, sebuah teknologi yang bakal mengubah sejarah dunia buat selama-lamanya.

LATAR BELAKANG PERTEMPURAN

Buat beberapa tempoh waktu, Empayar Tang (618-906) dan pemerintahan Cina yang lalu telah meluaskan pengaruh mereka di Asia Tengah. Dalam kebanyakan situasi, mereka menggunakan ‘kuasa pengaruh’ dengan mengadakan persepakatan-persepakatan dagangan dan permeteraian hubungan wilayah-lindungan. Jarang sekali kaedah kekerasan dan penaklukan ketenteraan digunakan oleh Cina untuk menguasai Asia Tengah.

Namun, penghalang paling mencabar yang dihadapi oleh Dinasti Tang sejak tahun 640M sehingga tahun-tahun berikutnya ialah Empayar Tibet yang diasaskan oleh Songstan Gampo. Kekuasaan ke atas wilayah-wilayah yang kini dikenali sebagai Xinjiang, Cina Barat dan wilayah-wilayah sekitar sentiasa bertukar-tukar tangan antara Cina dan Tibet sepanjang abad ke-7 dan 8 Masihi. Selain itu, Cina turut menghadapi cabaran daripada Turki-Uighur di barat laut, Indo-Eropah Turfan dan puak Lao-Thai di sempadan selatan.

KEBANGKITAN BANGSA ARAB

Semasa Tang sedang disibukkan dengan seteru-seteru tersebut, sebuah kuasa besar baharu muncul di Asia Tengah.

Nabi Muhammad wafat pada tahun 632M dan umat Islam di bawah pemerintahan Dinasti Umayyah (661-750M) kemudiannya menguasai wilayah-wilayah  yang begitu luas – dari Sepanyol dan Portugal di barat, merentas Afrika Utara dan Timur Tengah, sampailah ke kota-kota oasis di Merv, Tashkent dan Samarkand di timur. Penaklukan yang dilakukan oleh bangsa Arab ini berlangsung dengan begitu pantas.

Pengaruh dan kepentingan yang dimiliki oleh Cina di Asia Tengah boleh dijejak seawal tahun 97SM, iaitu semasa panglima Dinasti Han yang bernama Ban Chao memimpin sebuah pasukan tentera seramai 70 000 orang untuk mara sehingga ke Merv (di wilayah Turkmenistan moden) dalam usaha mengejar kumpulan perompak yang sering mengganggu kafilah-kafilah yang melalui Laluan Sutera.

Cina juga telah lama menjalinkan hubungan perdagangan dengan Empayar Sassanid di Parsi, atau yang lebih awal, Parthian. Malahan, Parsi dan Cina pernah bekerjasama dalam menundukkan kebangkitan kuasa Turki. Tambahan lagi, Cina turut mempunyai sejarah yang agak lama dengan Empayar Sogdian yang berpusat di Uzbekistan moden.

FASAL AWAL KONFLIK CINA-ARAB

Perluasan kuasa yang dilakukan dengan begitu pantas oleh bangsa Arab tidak dapat tidak pada akhirnya pasti akan bertembung dengan pengaruh-pengaruh Cina yang telah bertapak di Asia Tengah.

Pada tahun 651M, Dinasti Umayyah menakluk ibu kota Sassanid di Merv dan membvnuh maharajanya, Yazdegerd III. Melalui pangkalan yang baru ditakluki itu, mereka meneruskan penaklukan ke Bukhara, Lembah Ferghana dan wilayah-wilayah sejauh Kashgar (di sempadan moden Cina-Kyrgyz).

Berita kemangkatan Yazdegard kemudiannya dibawa ke ibu kota Cina di Chang’an (Xian) oleh puteranya sendiri, iaitu Firuz yang melarikan diri ke Cina setelah tumbangnya kota Merv. Firuz kemudian menjadi panglima kepada salah sebuah pasukan tentera Cina dan kemudian dilantik sebagai gabenor kepada sebuah daerah yang berpusat di wilayah moden Zaranj, Afghanistan.

Pada tahun 715M pula, buat pertama kalinya berlaku pertembungan ketenteraan di antara Arab dengan Cina di Lembah Ferghana. Pihak Arab dan Tibet bertindak menurunkan Raja Ikhshid dari takhtanya lalu menaikkan seorang lelaki bernama Alutar. Ikhshid kemudian meminta Cina untuk campur tangan bagi pihaknya. Maka, Tang pun menghantar sepasukan tentera yang memiliki kekuatan seramai 10 000 orang untuk menggulingkan Alutar dan menaikkan semula Ikhshid.

Dua tahun kemudian, sebuah pasukan tentera Arab-Tibet melakukan pengepungan ke atas dua buah kota di daerah Aksu (Xinjiang moden). Sebagai tindak-balas, Cina menghantar sebuah pasukan yang terdiri dari tentera-tentera upahan Qarluq. Pasukan tentera upahan tersebut berjaya menewaskan kekuatan Arab-Tibet dan menamatkan pengepungan.

Setelah itu pada tahun 750M, Kekhalifahan Umayyah tumbang dan digantikan oleh Dinasti Abbasiyah yang bersifat lebih agresif.

KEKHALIFAHAN ABBASIYAH

Menerusi ibu kota pertama mereka di Harran, Turki, Kekhalifahan Abbasiyah memulakan kempen bagi memperkukuhkan kuasa mereka ke atas empayar bangsa Arab yang ditinggalkan oleh Dinasti Umayyah. Antara wilayah yang menjadi tumpuan adalah sempadan timur – Lembah Ferghana dan wilayah-wilayah di sebaliknya.

Kekuatan Arab di timur Asia Tengah dan sekutu-sekutu Tibet dan Uighur dipimpin oleh seorang ahli taktikal p3rang yang hebat, bernama Panglima Ziyad bin Salih. Sementara itu, pasukan tentera di wilayah barat Cina pula diketuai oleh Gabenor-Panglima Kao Hsien-Chih (Go Seong-ji) yang merupakan seorang komander beretnik Korea. Pada masa itu, bukanlah suatu hal yang pelik untuk melihat pegawai-pegawai asing memimpin pasukan tentera Cina kerana bangsawan Cina ketika itu tidak gemar untuk menceburi bidang ketenteraan.

Pertempuran penentuan di Sungai Talas yang menjadi tajuk penulisan ini terlebih dahulu didahului oleh sebuah pertembungan di Ferghana.

Pada tahun 750M, berlaku persengketaan antara sempadan yang melibatkan raja Ferghana dengan pemerintah Chach. Raja Ferghana mengadukan permasalahan tersebut kepada pihak Cina yang kemudiannya menghantar Panglima Kao untuk membantu Ferghana.

Makanya, Panglima Kao pun mengepung Chach. Dalam situasi tersebut, beliau bermain helah dengan mengemukakan tawaran kepada raja Chachan untuk keluar dari ibu kota dengan selamat. Setelah raja Chachan keluar, beliau malah memungkiri janjinya dan memenggal raja tersebut. Sama seperti apa yang berlaku semasa kejatuhan Merv pada tahun 651M, putera raja Chachan kemudiannya meloloskan diri dan melaporkan insiden tersebut kepada gabenor Arab-Abbasiyah di Khorasan yang bernama Abu Muslim.

Abu Muslim kemudiannya menghimpunkan tentera di Merv dan berangkat untuk menyertai pasukan Panglima Ziyad bin Salih yang sudah pun berada jauh di timur. Pasukan Arab bertekad untuk memberikan pengajaran kepada Panglima Kao… dan menerapkan pengaruh Abbasiyah dengan lebih kukuh.

PERTEMPURAN SUNGAI TALAS

Pada bulan Julai 751M, pasukan tentera dari dua buah empayar besar itu saling berhadapan di Talas yang terletak berhampiran dengan sempadan moden Kyrgyz/Kazakh.

Catatan daripada Cina menyebutkan bahawa tentera Tang dalam pertempuran tersebut berjumlah 30 000 orang. Sementara itu, catatan Arab pula melebih-lebihkan angka tersebut sehingga mencecah 100 000 orang. Jumlah tentera Arab, Tibet dan Uighur tidak direkodkan, namun diyakini lebih ramai berbanding tentera Tang.

Sepanjang lima hari lamanya kedua belah pihak itu saling bertembung. Tatkala Qarluq Turki kemudiannya tiba untuk membantu pasukan Arab, pasukan tentera Tang pada akhirnya menemui jalan penamat.

Sumber-sumber daripada Cina mendakwa bahawa Qarluq pada mulanya berp3rang di pihak mereka dan berpaling tadah semasa pertempuran sedang berlangsung. Namun, catatan Arab menuliskan hal yang sebaliknya. Mereka mengisyaratkan bahawa Qarluq sememangnya menjalinkan persekutuan dengan Abbasiyah sejak konflik itu belum bermula lagi. Dakwaan daripada catatan Arab ini lebih munasabah memandangkan dalam pertempuran tersebut, Qarluq tiba-tiba sahaja melancarkan ser4ngan mengejut ke atas bahagian belakang pasukan Tang.

(Jika dakwaan daripada sumber Cina itu benar, maka bukankah Qarluq sepatutnya berada di tengah-tengah medan p3rang? Dan jika begitu keadaannya, bukankah ser4ngan mengejut tersebut kurang memberikan kesan memandangkan mereka sudah pun berada di sana sepanjang masa?)

Sebahagian penulisan moden daripada Cina berkenaan pertempuran ini masih menyelitkan perasaan marah terhadap pengkhianatan yang kononnya dilakukan oleh Qarluq itu.

Namun walau apapun keadaannya yang sebenar, ser4ngan Qarluq tersebut menandakan permulaan kepada pengakhiran bagi tentera pimpinan Kao Hsien-chih. Daripada puluhan ribu tentera yang dihantar oleh Tang ke medan p3rang, hanya sejumlah kecil sahaja berjaya selamat.

Kao Hsien-chih sendiri termasuk dalam salah seorang yang terselamat itu – namun beliau hanya dapat meneruskan kehidupan selama 5 tahun sebelum didakwa dan dihukum atas kesalahan berlaku korup. Selain ditimpa jumlah korban yang begitu tinggi, sejumlah besar tentera lain pula diberkas dan dibawa ke Samarkand (kini Uzbekistan) sebagai tawanan p3rang.

Keadaan ini boleh sahaja dimanfaatkan oleh Abbasiyah untuk meneruskan kemaraan ke Cina. Namun, laluan perbekalan yang perlu mereka tempuhi sudah pun terlalu jauh dan menghantar kekuatan tentera yang sebegitu besar untuk merentasi pergunungan Hindu-Kush dan wilayah bergurun di Cina barat berada di luar batas kemampuan mereka.

Walaupun Pertempuran Talas memperlihatkan kekalahan total buat Panglima Kao, pada hakikatnya keputusan pertempuran tersebut adalah seri secara taktikal buat kedua belah pihak. Mana tidaknya, kemaraan bangsa Arab ke timur habis terhenti. Empayar Tang pula terpaksa mengalihkan perhatiannya dari Asia Tengah untuk menumpukan kekuatan bagi menghadapi pemberontakan yang berlaku di sempadan utara dan selatan.

KESAN SUSULAN PERTEMPURAN TALAS

Dalam tempoh terdekat, Pertempuran Talas tidak menampakkan kesan yang begitu signifikan. Paling tidak pun, catatan daripada Cina menyebutkan pertempuran tersebut sebagai sebahagian dari bibit bermulanya kejatuhan Dinasti Tang.

Pada tahun yang sama, puak Khitan di Manchuria (Cina utara) menewaskan kekuatan imperial di wilayah tersebut. Lao-Thai di Yunnan moden pula memberontak di wilayah selatan. Meletusnya pemberontakan An Shi pada tahun 755-763M yang dilihat tidak hanya sekadar pemberontakan biasa tetapi sebuah pep3rangan saudara, telah mengakibatkan empayar Cina itu semakin melemah.

Menjelang tahun 763M, Tibet berjaya menawan ibu kota Chang’an (kini Xian). Dengan begitu banyak kehuru-haraan yang berlaku di wilayahnya sendiri, Dinasti Tang sejak tahun 751M kelihatan tidak mempunyai sebarang tekad mahupun kuasa untuk menaburkan pengaruhnya di Lembah Tarim.

Bagi pihak Arab pula, Pertempuran Talas tidak memberikan sebarang titik perubahan kepada mereka. Kebiasaannya, pihak yang memenangi sesebuah pertempuran dapat menempa pembaharuan dalam sejarah mereka. Namun dalam hal ini, mereka tidak mempunyai sebarang perkara yang dapat disebut-sebut sebagai kesan susulan yang signifikan daripada Pertempuran Talas.

Barry Hoberman menyebutkan bahawa sejarahwan Muslim abad ke-9 iaitu Imam al-Tabari (839-923) tidak pernah menyebutkan langsung tentang Pertempuran Sungai Talas.

Sehingga separuh millennia lamanya, barulah pertempuran tersebut mendapat perhatian sejarahwan Arab – iaitu di dalam penulisan Ibn al-Athir (1160-1233) dan al-Dzahabi (1274-1348).

Walau bagaimanapun, pada hakikatnya Pertempuran Talas melahirkan kesan-kesans susulan yang agak penting. Empayar Cina yang terus melemah kini tidak lagi memiliki kekuatan untuk campur tangan dalam pertarungan kuasa di Asia Tengah. Kesannya, pengaruh Abbasiyah-Arab pun dapat berkembang dengan luas.

Terdapat sebahagian ilmuwan yang mempersoalkan peranan Pertempuran Talas yang terlalu dilebih-lebihkan dalam dakwaan kononnya ia adalah punca utama Islamisasi di Asia Tengah. Memang benar bahawa puak Turkic dan Parsi di Asia Tengah tidak semuanya memeluk Islam dengan segera pada bulan Ogos 751M.

Namun, ketiadaan kuasa yang menghalang kehadiran Arab di wilayah itu membenarkan pengaruh Arab tersebar secara bertahap tetapi pasti di Asia Tengah. Dalam tempoh masa 250 tahun berikutnya, kebanyakan bekas penganut ajaran Buddha, Hindu, Zoroastrian, dan Kristian Nestorian di Asia Tengah memeluk agama Islam.

Lebih penting dari itu semua, dalam kalangan tawanan p3rang yang dibawa oleh Abbasiyah daripada Pertempuran Talas terdapat sejumlah artisan mahir Cina, termasuklah Tou Houan. Menerusi tangan mereka, dunia Arab terlebih dahulu dan kemudiannya dunia Eropah dapat mempelajari seni penghasilan kertas. (Pada masa itu, Arab menguasai Sepanyol dan Portugal, serta Afrika Utara, Timur Tengah dan seb.)agian besar Asia Tengah.)

Setelah itu, kilang-kilang pembuat kertas tumbuh dengan begitu pesat di Samarkand, Baghdad, Damsyik, Kaherah, Delhi … dan pada tahun 1120M pula, buat pertama kalinya kilang kertas dibina di Eropah – iaitu di Xativa, Sepanyol (kini Valencia). Menerusi kota-kota yang dikuasai oleh Arab itu, teknologi penghasilan kertas berkembang ke Itali, Jerman dan Eropah.

Dengan penemuan teknologi penghasilan kertas berserta teknologi percetakan ini, kemajuan dalam bidang sains, teologi, dan sejarah dapat dipicu di dunia Eropah pada Zaman Pertengahan, yang hanya berakhir dengan kemunculan Wabak Hitam pada tahun 1340an.

TERJEMAHAN:

Kallie Szczepanski. (13 Julai 2018). The Battle of Talas – A Little-Known Skirmish That Changed World History. ThoughtCo. https://www.thoughtco.com/the-battle-of-talas-195186


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.