Pada tahun kesembilan Hijrah, atau setahun selepas Pembukaan Mekah, atau 2 tahun selepas Perjanjian Hudaibiyyah, banyak kabilah Arab menghantar delegasi kepada Rasulullah SAW, menyatakan keislaman. Atas sebab itu, tahun tersebut dipanggil sebagai Tahun Delegasi. Pada tahun sama, Rasulullah SAW melancarkan ekspedisi ke Tabuk (juga Daumatul Jandal), iaitu pada bulan Rejab. Setahun kemudian, Haji Perpisahan atau Hajjatul Wada’ pula berlangsung.

Pada masa-masa akhir tahun 10 H, golongan yang bakal murtad mula menunjukkan belangnya. Sebagai contoh, Musaylamah mengutus ‘Ubadah ibn Harith untuk menghantar surat mendakwa perkongsian kenabian kepada Nabi Muhammad. Di Yaman pula, Abhalah Aswad al-Ansi mula bergiat seawal bulan Dzul Hijjah lagi, dan pembunuhannya pada malam 6 Rabiul Awal 11 H sempat dinyatakan oleh Rasulullah SAW; “Fairuz menang!”, melalui perantaraan maklumat Malaikat Jibril (makluman secara perutusan manusia tiba di Madinah selepas Khalifah as-Siddiq menghantar rejimen Sayyidina ‘Usamah ibn Zaid ke Balqa dan sebelum Pertempuran Dzil Qashah).

Namun, kewafatan Rasulullah SAW pada 12 Rabiul Awal 11 H mengubah keadaan di Tanah Arab. Selain Madinah dan sekitar, serta Mekah dan Taif, boleh dikatakan seluruh Arab dilanda kemurtadan, walaupun, dicelah-celah keramaian Murtadin, terdapat juga Muslim yang masih teguh dalam Islam. Episod penderitaan Muslim seperti di Mekah, kini berulang, cuma kali ini di pelbagai kawasan yang berbeza. Walau apapun, Khalifah as-Siddiq yang dibaiat bagi menyandang kepimpinan, pantas mencatur gerakan bagi menangani keadaan ini. Berikut adalah huraian ringkas mengenai [antara] pertempuran yang berlaku sepanjang kempen penundukkan golongan murtad (Kempen Rad ar-Riddah):

Penguasaan Aswad di Yaman (Dzul Hijjah 10 H – Rabiul Awal 11 H)

Mengaku sebagai nabi pada akhir 10 H, Aswad al-‘Ansi mendapat sokongan suku kabilah al-‘Ansi, kabilah Mathiij, Zubayd, Awad dan Masliyah. Selepas dijemput oleh Bani Harith ibn Ka’ab, Aswad berkem di Najran. Di sana, Aswad mengusir wazir lantikan Rasulullah SAW seperti S. Farwah ibn Missik dan S. ‘Amru ibn Hazm. Selepas meraih khidmat Qays ibn Maksyuh dan ‘Amru ibn Ma’dikarab, Aswad bergerak ke Sana’a bersama 700 kavalri. S. Shahr ibn Bazan, wazir kota itu, keluar memintas namun tewas. Aswad menyebar kemurtadan. Merespon hal ini, Muslimin bertindak secara sembunyi. Rasulullah mengarahkan Muslimin dan pembesar-pembesar Yaman yang masih Muslim untuk bertindak, berkumpul dan bersiaga. Kemuncaknya, balu Shahr iaitu Azad al-Farisiyyah yang diperisteri Aswad, berkolaborasi dengan Fairuz ad-Dailami. Aswad al-‘Ansi berjaya dibunuh-curi (assasinate) di rumahnya, pada malam 6 Rabiul Awal 11 H.

Ekspedisi ‘Usamah ibn Zaid (Rabiul Akhir – Jamadil Awal 11 H)
Walaupun dah dinaungi dengan kunjungan Rasulullah 2 tahun lepas, kawasan Tabuk dan Daumatul Jandal menerima impak berada dekat dengan Rom. Kabilah Quza’ah dan Kalb juga membuat onar. Untuk itu, serta demi membalas peristiwa di Mu’tah, S. ‘Usamah ibn Zaid dihantar bersama ketumbukan Mujahidin ke Balqa’. Walaupun tidak sepenuhnya ditundukkan, S. ‘Usamah ibn Zaid berjaya menyelesaikan misinya dalam masa tidak lebih 40 hari.

Pertempuran Dzi Husan – Dzil Qashah (Rabiul Akhir – Jamadil Akhir 11 H)
Melihat kekosongan Madinah rentetan penghantaran rejimen S. ‘Usamah, Murtadin yang berkumpul di Dzil Qashah mula bertindak. Sebahagian besar mereka berangkat dan berkem di Dzi Husan dan sebahagian dari sebahagian itu menghampiri Madinah. Tulayhah ibn Khuwaylid turut membantu dengan menghantar rejimen di bawah Hibal. Khalifah mengarahkan komander di pos-pos militari seperti S. Zubayr ibn al-‘Awwam, S. ‘Ali ibn Abi Talib dan lain-lain untuk menyerang. Murtadin yang mendekati itu digiring kembali ke Dzi Husan.

Keesokan hari, Khalifah memimpin Mujahidin menuju kem Dzi Husan, namun dikejutkan oleh helah Hibal dalam perjalanan, memaksanya kembali ke Madinah. Murtadin dari Dzi Husan dan Dzil Qashah pun bergerak menghampiri Madinah. Sebelum sempat mereka bersedia, Khalifah memimpin serangan malam, memukul musuh berundur ke Dzil Qashah. Serangan berterusan, hingga Dzil Qashah dikuasai. S. Talhah ibn ‘Ubaydillah kemudian dihantar bersama rejimen kecil untuk mengejar musuh. Khalifah kembali ke Madinah dan sebahagian besar Mujahidin ditinggalkan di Dzil Qashah di bawah pimpinan S. Nu’man ibn Muqarrin.

Pertempuran Abraq (Jamadil Awal 11 H)
Sekembalinya ketumbukan S. ‘Usamah ibn Zaid, Khalifah mengarahkan mereka berehat sambil beliau keluar ke Dzil Qashah, mengambil tentera di situ. Dari sana, mereka menuju Abraq. Murtadin di Abraq yang disertai pelarian dari Dzil Qashah telah pun bersedia. Namun, elemen tewas telah pun tersebar di barisan mereka. Berikan tentangan pada awal, Murtadin akhirnya tewas. Ada yang lari ke Buzakha, ada yang bertempiaran di serata Abraq dan ada yang kembali kepada Islam.

Pertempuran Buzakha (Jamadil Akhir 11 H)
Berangkat bersama 4000 Mujahidin dari Dzil Qashah, gerakan S. Khalid al-Walid ke Pergunungan Aja dan Jadilah berhasil menambah kekuatan seramai 1500 lagi, hasil bantuan S. ‘Adi ibn Hatim. Dua utusan [S. Tsabit ibn Aqram dan S. ‘Ukasyah ibn Mihsan] yang dihantar menemui syahid, maka S. Khalid pun mendepani Tulayhah di Buzakha.

Tulayhah meletakkan 700 tentera Bani Fazarah sebagai penggempur utama di samping tentera-tenteranya sendiri, dan ‘Uyainah ibn Hishn dilantik sebagai Komander-Medan. Sebelum itu, usaha S. ‘Adi ibn Hatim turut membuatkan ahli kabilah Tayy di Buzakha untuk tidak terlibat dalam pertempuran. Pertempuran berlangsung, dan tentangan kuat diberikan tentera Bani Fazarah, namun tidak lama. Menyedari temberang Tulayhah, ‘Uyainah yang diasak keras berundur bersama ahli kabilahnya dan sebahagian Bani Asad. Walaupun tewas, Tulayhah sempat melarikan diri bersama beberapa Murtadin yang terselamat, mendiami kawasan Bani Kalb.

Mengejar ke Ghamrah (Jamadil Akhir 11 H)
Sejurus Pertempuran Buzakha berakhir, S. Khalid al-Walid menghantar beberapa skuadron kavalri untuk mengejar musuh yang lari dan menundukkan suku-suku kabilah di kawasan sekitar. Murtadin yang dihambat di Ruman menyerah tanpa melawan. S. Khalid al-Walid sendiri mengetuai pengejaran ke atas ‘Uyainah ibn Hishn. Mereka dihambat di Ghamrah. Pertempuran berlaku dan beberapa Murtadin dibunuh sementara yang lain melarikan diri. ‘Uyainah sendiri tertangkap dan dibawa ke Madinah.

Pertempuran Naqra (Jamadil Akhir – Rejab 11 H)
Usai di Ghamrah, S. Khalid al-Walid mengumpulkan ketumbukannya dan mara ke Naqra, di mana sekumpulan Bani Sulaym pimpinan ‘Amru ibn ‘Abdul Uzza [Abu Shajra] berkumpul. Pertempuran berlangsung sengit, namun Murtadin tetap tewas. Abu Shajra sendiri tertangkap dan dihantar ke Madinah. Berakhir pertempuran, S. Khalid al-Walid kembali ke Buzakha dan menerima pertaubatan banyak kabilah. Dalam tempoh 3 minggu di Buzakha itu juga, beliau menghukum-qisas Murtadin yang telah membunuh Muslim.

Pertempuran Zhafar (Akhir Rejab 11 H)
Ramai pengikut Tulayhah yang tewas di Buzakha bergabung dengan Salma Umm Ziml bint Malik di Zhafar. S. Khalid al-Walid pun membawa angkatannya ke sana, mendepani Salma yang dah pun bersedia. Kedua-dua sayap Salma berjaya ditekan, namun, keadaan di barisan tengah masih neutral. S. Khalid lantas membentuk sebuah unit gempur, menembusi 100 pengawal peribadi Salma. Tidak lama, Salma dan unta-mulianya terbunuh, membawa kepada ketewasan Murtadin.

Menghukum al-Faja’ah (Jamadil Akhir / Rejab 11 H)
‘Iyas ibn ‘Abdi Yalail as-Sulaymi bertemu Khalifah, meminta dibekali senjata dan tentera konon untuk bantu Kempen Rad ar-Riddah. Diperkenan, ‘Iyas malah bertingkah seperti bandit gurun pasir. Setiap orang yang dijumpainya menjadi mangsa penjarahannya. Aktivitinya itu berleluasa di timur Mekah dan Madinah. S. Turaifah ibn Hajiz dihantar oleh Khalifah untuk menangkapnya. ‘Iyas kemudian dihukum bakar hidup-hidup di Baqi’.

Pertempuran Nibbaj (?? Rabiul Akhir – Rejab 11 H)
Bersama para pengikut dari Bani Taghlib di Iraq, Sajah bint Harits memasuki kawasan Bani Tamim, berkem di al-Hazn. Berkat keturunan ayahnya, Sajah menerima sokongan ramai, terutama dari suku-kabilah Yarbu’i. Selepas menjamin keselamatan masyarakat itu, Sajah menerima khidmat Qays ibn Maksyuh. Atas cadangannya, Sajah menyerang Nibbaj, mendepani Bani Rubbab, namun tewas. Sajah lantas bawa diri ke Yamamah, bersekutu dengan Musaylamah sebelum tidak lama kembali ke Iraq.

Ekspedisi ke Buthah (Akhir Rejab – Sya’ban 11 H)
Selepas S. Khalid al-Walid menjelaskan keterdedahan situasi di Bani Tamim, Ansar yang awalnya enggan, kini menyusuli S. Khalid al-Walid menuju Buthah. Di sana, S. Khalid al-Walid menghantar skuadron-skuadron ke serata Buthah. Murtadin di sana, yang dah pun disuruh oleh Malik ibn Nuwayrah untuk menyerah, kembali kepada Islam. Skuadron S. Dirar ibn al-Azwar pula menangkap Malik dan isterinya, serta beberapa ahli Yarbu’i. Malik lantas dihukum bunuh.

Serangan Ikrimah (Akhir Rejab 11 H)
Mendengar rentetan kejayaan S. Khalid al-Walid yang kini berada di Buthah, S. Ikrimah ibn Abi Jahal yang selama ini berjaya mengawal pergerakan Musaylamah, bertindak menyerang nabi palsu yang berkekuatan  40 000 orang itu. Ketika itu, S. Syurahbil ibn Hasanah sedang menuju kepadanya. Akibatnya, S. Ikrimah tewas, langsung diarah ke Oman. S. Syurahbil pula berhenti sedikit jauh dari kem S. Ikrimah, menanti arahan selanjutnya.

Pertempuran Yamamah (Sya’ban – Syawal 11 H)
Majja’ah ibn Murarah dan 40 kavalrinya ditangkap oleh S. Syurahbil dalam perjalanan pulang dari Bani Tamim, tepatnya ketika berehat di Tsaniyatul Yamamah. Berkem bertentangan dengan Jubailah, S. Khalid terlebih dahulu memanfaatkan orang dalam. S. Tsumamah ibn Utsal dan lain-lain melemahkan moral Murtadin sebelum bergabung menjadikan S. Khalid kini mempunyai 13 000 orang tentera. Mendepani 40 000 Murtadin, Mujahidin ditekan teruk, hingga S. Umm Tamim [isteri S. Khalid] turut terancam, namun diselamatkan oleh Majja’ah.

Semangat kabilah yang mulanya diketepi, kini dikembalikan. Mujahidin melakukan serangan balas ketika Murtadin sibuk menjarah kem Muslimin. Ar-Rajjal ibn Anfawah; komander sayap kiri dibunuh oleh komander sayap kanan Muslim, iaitu S. Zaid ibn al-Khattab, saudara S. ‘Umar al-Khattab. Atas gerakan Muhakim ibn Tufail, 7000 Murtadin berjaya berundur ke Kebun, sebelum komander sayap kanan itu sendiri dipanah mati oleh S. ‘Abdurrahman ibn Abu Bakar as-Siddiq. Lama mengepung, S. Barra’ ibn Malik melontar diri bagi membuka gerbang. Mujahidin merempuh masuk, membunuh kesemua Murtadin dalam itu. S. Wahsyi ibn Harb pula berjaya menombak perut Musaylamah, sebelum dihabiskan oleh S. Abu Dujanah Simak ibn Kharasyah.

Penundukkan Yamamah (Syawal – Akhir Dzul Qaedah 11 H)
S. Khalid al-Walid membawa ketumbukannya ke kubu Yamamah. Majja’ah dihantar untuk memujuk masyarakatnya menyerah. Sebaliknya berlaku, Majja’ah menjalankan helah, menyuruh semua wanita memakai baju besi dan berdiri di atas tembok. S. Khalid al-Walid lantas menandatangani perjanjian damai, menyedari kelelahan tenteranya yang tidak memungkinkan sebarang pertempuran. Beralih dari kubu, Khalid memberi rehat kepada Mujahidin. Kemudian, skuadron-skuadron dihantar untuk menyapu bersih Murtadin-Murtadin yang bertebaran di serata Yamamah.

Menundukkan Wilayah Perbatasan (?? Jamadil Akhir – Syawal 11 H)
Kabilah Quza’ah dan Kalb di sekitar Tabuk dan Daumatul Jandal kembali membuat onar. Bekas wazir di Oman, S. ‘Amru al-‘As dipindahkan tugas ke sana untuk mengamankan keadaan. Namun, beliau hadapi kesukaran dengan kekuatannya yang kecil. Untuk itu, S. Syurahbil ibn Hasanah digerakkan ke sana sejurus selesai Pertempuran Yamamah. Wilayah itu pun berjaya dikawal.

Mengamankan Oman (Syawal – Akhir Ramadhan 11 H)
Laqiet ibn Malik mengaku sebagai nabi dan meraih ramai pengikut. Lantas, dia menewaskan dua putera Julanda; Jaffar dan Abbad, memaksa mereka berkem di Suhar. Menerima laporan, Khalifah menghantar dua buah rejimen pimpinan S. ‘Arfajah ibn Hartsamah dan S. Hudzaifah ibn Mihsan. 4 buah rejimen Mujahidin termasuk pimpinan S. Ikrimah ibn Abi Jahal itu bergabung, mendepani Laqiet di Daba. Mujahidin hampir sahaja berundur akibat diasak teruk, sebelum Bani Najiyah, Judaith dan Abdul Qays datang membantu. Laqiet terbunuh bersama lebih kurang 10 000 pengikutnya.

Kempen di Mahrah (Syawal 11 H)
Dua pemimpin Murtadin bertelagah rebutkan tampuk hierarki. Akibatnya, Musabbah membawa majoriti Murtadin berkem di Jairut. S. Ikrimah ibn Abi Jahal tiba bersama lebih 700 kavalri, lantas menyerukan Islam. Syikhrit dan pengikutnya yang sedikit itu bergabung dengannya. Pertempuran meletus, dimenangi Mujahidin. Musabbah terbunuh. S. Ikrimah kekal di Mahrah, menyeru Islam ke serata tempat. Hasilnya, seluruh masyarakat kembali kepada Islam.

Kempen di Bahrain (Syawal – Dzul Qaedah 11 H)
Juwatsan dikepung teruk oleh Murtadin hingga tiada makanan dapat masuk. Mereka terselamat apabila S. A’la ibn Hadhrami tiba bersama S. Tsumamah ibn Utsal. Bergabung dengan kepimpinan Mujahidin tempatan seperti S. Jarud ibn Ma’alli dan S. Qais ibn ‘Asim, S. A’la mengepung al-Hajr. Kepungan berterusan beberapa hari sebelum S. ‘Abdullah ibn Hadzf melaporkan keadaan musuh yang terbuai mabuk pada satu malam. Serangan dilancarkan ke atas 12 000 Murtadin. Murtadin yang terselamat melarikan diri ke Darain dan berlayar ke pulau. Namun, mereka dikejar dengan ajaib oleh S. A’la, ditundukkan.

Pergelutan di Sana’a (Rabiul Akhir – Syawal 11 H)
Memasang perangkap di rumahnya, Qays ibn Maksyuh mengajak S. Dadzawaih dan wazir Sana’a, S. Fairuz ad-Dailami bertandang untuk dijamu. Berjaya membunuh yang pertama, S. Fairuz terlepas dan berkem di Khawlan. Menerima sokongan pengikut Aswad al-‘Ansi, Qays bertindak menghapuskan Abna [orang Parsi yang menetap dan berkacuk dengan bangsa Arab di Yaman]. Di Khawlan, Mujahidin berbondong bergabung dengan S. Fairuz. S. Tahir ibn Abi Halah dan S. Masruq al-Akki pula bergiat di Tihamah. 6 bulan kemudian, S. Fairuz mara, seiring dengan keberangkatan rejimen S. Muhajir ibn Abi ‘Umayyah. Sana’a berjaya dikuasai semula.

Bergabung di Abyan (Syawal – Dzul Qaedah 11 H)
S. Muhajir ibn Abi ‘Umayyah mara menuju Najran dari Madinah, dan dalam perjalanan, ramai yang menyertainya. Bersama Fairuz, beliau mengamankan Sana’a, menyebabkan Qays dan ‘Amru ibn Ma’dikarab masing-masing lari ke Abyan dan Lahj. S. Ikrimah ibn Abi Jahal pula selepas berkempen di Mahrah, berangkat mengamankan Nakha’ dan Himyar di Abyan. Namun, Qays dan ‘Amru berpakat menyerangnya, sebelum bertelagah sesama sendiri. Melihat ketibaan S. Muhajir dari Najran, dua Murtadin itu menyerah.

Menyelamatkan Ziyad (Akhir Syawal – Dzul Qaedah 11 H)
Ramai ahli Kindah murtad dan berkem di Riyaz, dipimpin oleh Harithah ibn Suraqah. S. Ziyad ibn Lubayd melancarkan serangan malam ke atas kem itu dan menang. Mengetuai sendiri penghantaran tawanan dan rampasan ke Madinah, S. Ziyad dipintas oleh Ash’ats ibn Qays yang mendulukan semangat assobiyah, berniat membebaskan ahli sekabilahnya itu. Dihimpit teruk, S. Ziyad menghantar utusan kecemasan kepada S. Muhajir dan S. Ikrimah yang dah pun dalam perjalanan dari Abyan. Mahu tingkatkan tempo, S. Muhajir ketuai seluruh kavalri dan memacu ke sana. Gerakan itu berjaya menyelamatkan S. Ziyad dan membuatkan Ash’ats berundur ke Nujair.

Pengepungan Nujair (Dzul Qaedah – Dzul Hijjah 11 H)
Dengan 5000 orang tentera gabungan, S. Muhajir dan S. Ziyad mengepung 2 dari 3 gerbang Nujair. Kemudian, S. Ikrimah tiba bersama unit infantri, mencantas habis laluan-keluar masuk. Sambil itu, S.Muhajir menghantar skuadron-skuadron ke serata tempat, menundukkan kabilah Kindah yang kemudian menyerah. Hanya Nujair yang masih bertahan, Ash’ats akhirnya menyerah dan memeterai perjanjian damai.

Dengan berakhirnya kemurtadan di Yaman, Hadhramawt, Yamamah, Bahrain, Oman dan Mahrah, Semenanjung Tanah Arab disatukan di bawah panji Islam, atas kepimpinan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, menjelang akhir tahun ke-11 H. Kempen yang berlangsung selama hampir itu berakhir dengan jaya, dan kemudian, dengan pantas disusuli oleh kempen ke Selatan Iraq, atas pimpinan-militari S. Muthanna ibn Harithah asy-Syaibani al-Bakri dan S. Khalid ibn al-Walid al-Makhzumi yang mara dari selatan Iraq [Ubulla], dan S. Iyad ibn Ghanam yang mara melalui Daumatul Jandal.

RUJUKAN:

Bidayah wa Nihayah: Khulafa’ ar-Rasyidin karangan Imam Ibn Kathir.

The Biography of Abu Bakar as-Siddiq karangan Dr. Ali Muhammad Sallabe.
Khalid al-Waleed Sword of Allah karangan General Akram.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.