Sejak diperturunkan Adam dan Hawa ke Bumi, umat manusia sudah terlibat dalam konflik. Sebermula Qabil dan Habil saling berbunuhan, konflik dan perang berevolusi mengikut tahap kemajuan tamadun manusia.

Pertempuran di daratan dan dilautan sudah wujud sejak manusia berkonflik, dengan segala macam mesin perang klasikal seperti tarbil dan ballista serta formasi tentera infanteri berpedang, bertombak dan pemanah yang diiringi tentera berkuda, yang juga digunakan pada kapal-kapal ghali dan ghalias, serta segala lanchara dan jong tetapi pertempuran diudara juga bermula sejak dinasti awal ketamadunan China dimana layang-layang yang menerbangkan tentera digunakan untuk tujuan pemantauan medan tempur.

Ia berkembang dengan pengenalan belon udara panas yang digunakan sewaktu Perang Saudara Amerika dan zaman pembaharuan Eropah namun ia tertumpu kepada tujuan pemantauan dan risikan.

Pengenalan zeppelin merubah corak bentuk pertempuran udara yang konsep pengeboman kedudukan musuh mulai mendapat tempat dikalangan petinggi tentera dan panglima-panglima perang. Pegeboman dari udara yang terawal di era moden direkodkan sewaktu perang antara Itali dan Turki di Libya yang memperlihatkan penggunaan kapal udara atau zeppelin ini sebagai pesawat pengebom yang membantai kedudukan pertahanan tentera Turki.

Ia mulai berkembang sewaktu Perang Dunia Pertama, dengan Jerman menggunakan kapal udara sebagai armada pengebom yang melaksanakan tugasan pengeboman keatas Bandar-bandar sasaran.

Diwaktu ini, kapal terbang mulai berevolusi, awalnya sebagai pesawat yang melaksanakan tugasan pemantauan medan tempur bagi mengumpul maklumat perisikan dan membantu bidikan pasukan artileri dan kemudian sebagai pelantar utama untuk berhadapan dengan kapal-kapal udara yang kebanyakannya dibina dengan bahan fabrik yang melitupi tetulang membentuk kerangka kapal udara yang didalamnya diisi gas lengai seperti Hidrogen dan Helium yang membolehkan ia terapung, dibantu enjin bagi mengemudi pergerakan kapal udara tersebut.

Pesawat tempur awal sewaktu era Perang Dunia Pertama tidaklah secanggih pesawat tempur masa kini, dimana struktur pesawat kebanyakannya dibina dengan kayu balsa dan dilitupi fabrik, didorong enjin dan juruterbang hanya dilengkapi senjata persendirian seperti pistol. Pada awalnya persenjataan anti pesawat seperti meriam digunakan untuk menembak jatuh kapal udara tetapi ia tidak efektif memandangkan masa menangkis agak terlewat bilamana kapal udara sudah berada di ruang udara kawasan pertahanan atau Bandar-bandar maka baharulah meriam penangkis dapat digunakan. Ini menyebabkan petinggi tentera mencari jalan untuk menangkis kapal-kapal udara ini dengan lebih awal, jauh dari kawasan sasarannya dan pesawat tempur adalah jawapan kepada penyelesaian tersebut.

Bilamana pesawat tempur dilihat mampu digunakan untuk mengatasi ancaman kapal udara, ia mulai dilengkapi persenjataan seperti raifal yang akan ditembak oleh penembak yang ditempatkan dibelakang juruterbang dan kemudian mesingan yang memberikan kuasa tembakan yang lebih ampuh. Tetapi sebelum semua itu mulai wujud, kebanyakan taktik pertempuran udara melibatkan pesawat cuba untuk melanggar antara satu sama lain dengan harapan ia akan dijatuhkan dengan merosakkan sayap atau menyebabkan kerosakan pada ekor pesawat tersebut. Disinilah juga bermulanya pertempuran udara antara pesawat dengan pesawat dan rekod pertama pertempuran udara antara pesawat tempur tanpa senjata ini berlaku dan kemudian ia berevolusi dengan pertempuran antara satu sama lain dengan senjata seperti pistol.

Semuanya berubah pada 1 Julai 1915 apabila Kurt Wintgens yang memandu pesawat Fokker M.5K /MG yang merupakan pesawat prototai Eindecker menentang pesawat Morane Saulnier Type L. Pesawat Wintgens dilengkapi mesingan Spandau MG14 Parabellum yang diseragamkan penembakannya dengan putaran bebilah kipas yang merekodkan kejayaan pertama pertempuran udara melibatkan persenjataan khusus pesawat. Pertempuran tersebut berlaku pada ketinggian 1300 meter pada jam 1800 dan memperlihatkan kesan kerosakan teruk pada pesawat Peranchis yang diterbangkan  de Boutiny yang mengalami kecederaan pada bahagian lengan walaupun beliau mendarat dengan selamat di wilayah neutral.

Pertempuran ini merupakan mukaddimah pertempuran udara yang lebih kompleks, dimana kedua dua pihak Berikat dan Tripartite masing-masing memperkuatkan persenjataan pada pesawat, memperhalusi rekabentuk dan sifat aerodinamik pesawat dan paling penting, mewujudkan taktik pertempuran udara asas seperti Rukun Dicta Boelcke dan Rukun 15 Mannock yang masih menjadi rukun dan rujukan asas pertempuran udara semua angkatan udara moden masa kini. Perkembangan dan kemajuan teknologi pesawat pada masa itu seringkali mengubah penguasaan udara dari kedua-dua pihak, dan pertempuran udara menjadi lebih sengit dengan pengenalan pesawat yang lebih berkemampuan untuk terbang lebih tinggi dan lebih pantas dan melahirkan kalangan “fighter ace” seperti Manfred Von Richtofen, Lanoe Hawker, Werner Voss, Oswald Boelcke dan ramai lagi.

Menuju tamatnya Perang Dunia Pertama, pertempuran udara telah menjadi satu bentuk peperangan yang sangat penting dan ini dibuktikan lagi dengan pemodenan pesawat pesawat tempur yang pelbagai – dari pesawat pejuang kepada pesawat pengebom dan pesawat pengintipan dan taktik pertempuran yang diperhalusi lagi sesuai dengan perkembangan teknologi pada waktu itu.

Perang Dunia Kedua memperlihatkan pengunaan pesawat udara yang sangat ekstensif dalam setiap medan pertempuran antara pihak Berikat dan Kuasa Paksi, seperti yang ditunjukkan oleh Empayar Jepun sewaktu serangan terancang mereka keatas Pelabuhan Pearl di Hawaii keatas jujukan armada kapal perang angkatan laut Amerika Syarikat yang memperlihatkan gabungan penggunaan pesawat pengebom junam, pesawat pengebom altitude tinggi, pesawat penggempur torpedo dan pesawat pejuang dalam kelompok gugusan tugas yang sama. Contoh sama juga dapat dilihat dalam kempen Malaya yang mana, dalam siri kemaraan Jepun dari Kota Bahru dan Jitra menuju Singapura, dengan sejumlah 568 buah pesawat tempur pelbagai digunakan dengan meluas dalam kempen menakluk Malaya dan Singapura.

Sewaktu kemaraan Jepun, kekuatan udara mereka dilengkapi dengan pesawat-pesawat tempur yang dikendalikan oleh angkatan laut dan angkatan darat Jepun yang mana angkatan laut Jepun menjadi mata tombak utama serangan  awal keatas Malaya dengan sejumlah 110 buah pesawat yang membentuk flotilla udara 22nd Koku Sentai dengan 99 buah pesawat pengebom Mitsubishi G3M1 dan 25 pesawat pejuang Mitsubishi A5M4, terbahagi kepada 3 kumpulan iaitu Genzan Kokutai, Mihoro Kokutai dan Kanoya Kokutai.

Angakatan darat Jepun pula terdiri dari 3rd Hiko Shudan yang dilengkapi pesawat-pesawat  Nakajima Ki-27, Nakajima Ki-43, Mitsubishi Ki-51, dan pesawat pengebom Kawasaki Ki-48, Mitsubishi Ki-21 dan Mitsubishi Ki-30 – kebanyakannya terlibat dalam serangan udara keatas pangkalan-pangkalan udara British pada waktu itu di Alor Setar, Sungai Petani dan Butterworth pada hari pertama kempen Malaya menyebabkan pihak Berikat kehilangan hingga 60 pesawat tempur pada hari pertama sahaja.

Pada minggu pertama kempen, Jepun telah menguasai ruang udara Malaya, dengan British berundur ke selatan dan terus menerus memindahkan skuadron pesawat pengebom mereka dari Taiping, ke Ipoh dan seterusnya Kuala Lumpur dan akhirnya di Singapura pada 24 Disember 1941. Kempen Malaya juga memperlihatkan pengunaan pesawat tempur oleh Jepun dalam membantu pendaratan pasukan darat mereka di Endau, melaksanakan pengeboman keatas Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura yang menyebabkan kemusnahan pangkalan-pangkalan tentera dan fasilitas-fasilitas logisitk.

Selain Malaya dan Singapura, Jepun juga menggunakan kekuatan angkatan udara mereka untuk melemahkan kedudukan tentera Berikat di China, Filipina dan Indonesia – mempercepatkan proses penaklukan dan pembebasan keatas penguasaan colonial Eropah keatas negara-negara Asia Pasifik pada waktu itu.

Pertempuran udara sewaktu Perang Dunia Kedua dirantau sebelah sini adalah sangat sengit, terutama selepas serangan keatas Pelabuhan Pearl dan kemudian apabila armada Jepun kehilangan kesemua kapal pengangkut pesawat utama mereka – Hiryu, Soryu, Kaga dan Akagi mereka ketika pertempuran Midway.

Jujukan pertempuran udara di Lautan Pasifik juga sangat ekstensif, dengan pertembungan antara armada kapal pengangkut dan armada kapal perang Amerika Syarikat dengan Jepun. Pertempuran di Laut Coral, mengubah taktik peperangan laut apabila kapal-kapal perang tidak lagi menyerang antara satu sama lain dengan persenjataan seperti meriam tetapi dengan menghantar pesawat masing-masing untuk saling menenggelamkan atau memusnahkan armada.

Apabila perang mulai memihak kepada pihak Berikat, Jepun pula menerima kesan keunggulan penguasaan ruang udara oleh Amerika Syarikat yang mana angkatan udara negara tersebut melaksanakan kempen pengeboman ekstensif keatas bandaraya utama Jepun dengan pesawat pengebom B-29 Superfortress yang mampu berada pada ketinggian 3000 kaki, terhindar dari ancaman meriam penangkis pesawat dan mempunyai kemampuan membawa bom yang lebih besar.

Teater Perang Dunia Kedua di Eropah juga sangat sengit dengan pertempuran udara, dengan Nazi Jerman menggunakan taktik perang kilat atau Blitzkrieg yang mengaplikasikan gabungan ketumbukan armor, ketumbukan angkatan mekanise dan infanteri bermotor serta pesawat penggempur untuk melemahkan dan seterusnya mengalahkan seteru mereka.

Tetapi landskap pertempuran udara berubah dengan mendadak, apabila Nazi Jerman disaat akhir mereka menghadapi kekalahan keatas Berikat memperkenalkan senjata ofensif yang tidak memerlukan juruterbang – peluru berpandu, dan pesawat tempur yang menggunakan enjin jet.

Pengenalan peluru berpandu  balistik seperti V1 dan V2 serta beberapa prototaip pesawat pejuang berenjin jet menggemparkan Berikat, tetapi teknologi tersebut tetap tidak dapat mengubah hakikat yang Nazi Jerman sudah berada diambang kekalahan.

Teknologi enjin jet dan peluru berpandu serta roket menjadi rebutan kuasa-kuasa Berikat, antaranya Amerika Syarikat sendiri, Kesatuan Soviet serta Peranchis dan Britain sendiri – memulakan satu era baharu yang memperlihatkan perlumbaan senjata yang sangat ekstensif.

Era jet menandakan bermulanya Perang Dingin antara Blok Barat yang diterajui Amerika Syarikat dan Blok Komunis oleh Kesatuan Soviet, dan sejurus itu perang proksi  antara keduanya berlangsung di Semenanjung Korea yang menjadi medan pertempuran pesawat-pesawat jet kedua-dua kuasa besar dunia pada ketika itu.

Perang Korea menjadi saksi pertempuran pesawat jet pada skala besar, dengan Kesatuan Soviet membantu Korea Utara dengan melatih dan menyediakan pesawat MiG-15 dan bertempur dengan pesawat buatan Amerika F-86 Sabre. Pada peringkat awal perang Korea, tentera Bersekutu menguasai ruang udara Semenanjung Korea tanpa apa-apa sebarang cabaran dari pihak Korea Utara sehinggalah pada 1 November 1950, Korea Utara menyerang balas dengan menggunakan 8 buah pesawat MiG-15 yang dikendalikan juruterbang Soviet memintas dan menembak jatuh 15 pesawat angkatan Bersekutu. Pertempuran antara pesawat jet berlangsung pada hari yang sama antara MiG-15 dan pesawat F-80C.

Pada 12 April 1951, 30 pesawat MiG menggempur 3 skuadron pesawat pengebom pasukan Bersekutu, menembak jatuh 3 dan menyebabkan 7 lagi mengalami kerosakan. Pertempuran ini menyebabkan operasi pengeboman keatas Korea Utara dihentikan selama 3 bulan, dan pada waktu ini pertempuran udara antara pesawat jet kedua-dua belah pihak berlangsung secara terus menerus sehingga gencatan senjata diumumkan dengan sejumlah 729 pesawat MiG tewas dalam pertempuran udara dengan pesawat pasukan Berikat yang kehilangan 78 pesawat F-86 Sabre.

Perseteruan antara kedua-dua blok kuasa besar sewaktu Perang Dingin terus berlangsung dan kali ini melibatkan Perang Vietnam dimana sekali lagi pertempuran udara di ruang udara Vietnam berlangsung dengan sangat sengit dan kadang-kala berat sebelah namun ada masanya mengejutkan pihak Amerika yang sehingga pengunduran mereka masih menggenggam kekuasaan udara.

Era Perang Vietnam adalah era peperangan dengan peluru berpandu yang melengkapi persenjataan pesawat jet generasi ketiga. Peluru berpandu pada ketika itu sangat tidak tepat, mengharapkan panduan infra merah yang meluru kearah enjin jet pesawat seteru untuk memusnahkannya. Pada awalnya angkatan udara Vietnam Utara mengalami kekalahan demi kekalahan namun campur tangan secara proksi oleh Kesatuan Soviet yang memperkenalkan pesawat MiG-21 dan menyeludup masuk pelbagai sistem peluru berpandu anti pesawat, dari sebesar-besar SA-3 Guideline sehinggalah sistem anti pesawat lancaran bahu yang dikendalikan pasukan gerila merubah landskap pertempuran di Vietnam.

Walaupun dalam jumlah yang kecil, angkatan udara Vietnam mampu menyebabkan skuadron pesawat pengebom Amerika kucar-kacir, menyerang hendap pesawat penggempur dan pesawat pejuang Amerika sendiri dengan taktik gerila dan gandingan system peluru berpandu anti pesawat dari Kesatuan Soviet yang diseludup masuk melalui China menyukarkan lagi penguasaan udara keatas Vietnam pada ketika itu. Taktik baharu SEAD / DEAD (Suppresion of Enemy Air Defence / Destruction of Enemy Air Defence) oleh Amerika Syarikat membuka satu lagi lembaran baharu konsep peperangan masa depan – peperangan elektronik.

Pesawat penggempur sistem pertahanan udara yang membawa pod-pod serakan elektronik bagi membutakan sistem radar mulai digunakan oleh pihak Amerika dan atur gerak pesawat khusus untuk tujuan pemantauan risikan isyarat dan elektronik (Signal Intelligence – SIGINT dan Electronic Intelligence – ELINT) juga turut membantu menentukan atur gerak pasukan didaratan dalam pertempuran yang sukar dan jauh didalam kawasan hutan tropika.

Pihak Vietnam pula walaupun tidak menguasai ruang udara sepenuhnya masih mampu memberikan tamparan hebat kepada angkatan udara Amerika sekali-sekala, dan pertempuran udara yang berlangsung antara meriam melawan peluru berpandu dan peluru berpandu melawan peluru berpandu telah membuka mata kalangan pembina senjata akan kelemahan dan kelebihan sistem persenjataan sedemikian dalam pertempuran udara.

Satu lagi evolusi penggunaan pesawat udara sewaktu konflik Vietnam adalah pengenalan helicopter dan helicopter penggempur sebagai senjata perang yang membawa masuk tentera darat Amerika menyusup jauh didalam hutan belantara Vietnam, dengan penubuhan Kalvari Udara yang menggunakan sepenuhnya khidmat helicopter sebagai talian hayat pasukan infanteri yang bertempur dengan gerila Vietcong.

Helikopter penggempur juga diperkenalkan sebagai satu bentuk mesin perang khusus yang menyerang kedudukan musuh dengan bedilan roket dan meriam sambil melindungi helicopter pengangkut membawa masuk tentera dan bekalan serta membawa keluar anggota yang tercedera atau tewas. Penggunaan ekstensif helicopter dalam konflik Vietnam telah merubah taktik penghantaran pasukan tentera yang dahulu mengharapkan kenderaan berperisai atau penghantaran udara menggunakan pesawat pengangkut yang melepaskan anggota dengan payung terjun.

Selain helikopter, penggunaan pesawat pengangkut yang diubahsuai membawa persenjataan seperti meriam dan mesingan berat yang ditembak dari dalam pesawat untuk tugasan bantuan rapat udara juga diperkenalkan bagi memenuhi kekangan pesawat tempur yang perlu berulang-alik dari pangkalan udara atau kapal pengangkut untuk pengisian semula beban persenjataan.

Pesawat pengangkut seperti C-47, C-119 dan C-130 diubahsuai dengan menempatkan meriam 105mm, meriam 30mm dan meriam 25mm mengubah designasi pesawat pengangkut tersebut kepada pesawat penggempur dengan nama-nama seperti AC-47 Spooky, AC-119G Shadow, AC-119K Stinger dan AC-130 Spectre menjadi penyelamat kepada pasukan infanteri yang bertempur dimedan dengan menyediakan bantuan rapat udara untuk jangka masa lama

Namun Perang Vietnam memberikan satu pengajaran paling penting kepada semua angkatan bersenjata dunia – walaupun penguasaan udara secara total wujud, ia tetap tidak dapat menafikan faktor penguasaan wilayah oleh pasukan bersenjata di darat. Vietnam Utara menguasai seluruh wilayah Vietnam Selatan sepenuhnya dengan gabungan kekuatan gerilyawan sukarela dan pasukan perajurit tetap walaupun Amerika menguasai ruang udara yang mana telah gagal untuk mengekalkan kekuasaan blok Barat.

Pengeboman ekstensif oleh angkatan udara Amerika keatas laluan logistik Vietnam Utara sepanjang konflik tersebut juga gagal mengekang kemaraan Vietnam Utara yang akhirnya mencapai kemenangan dan menandakan pengunduran sepenuhnya angkatan bersenjata Amerika dari konflik berdarah tersebut.

Sepanjang perang Dingin juga, turut berlangsung konflik bersenjata di Timur Tengah yang juga menjadi pengajaran utuh mengenai pertempuran udara moden.

Perang Arab Israel  adalah konflik besar yang melibatkan pertempuran udara yang ekstensif dan gandingan pesawat tempur dengan sistem peluru berpandu penangkis pesawat Mesir menggemparkan Israel dan seluruh dunia yang mana kesan kemusnahan angkatan udara mereka yang tinggi akibat ditembak jatuh sistem peluru berpandu anti pesawat telah membuka satu lagi langkah balas untuk membolehkan pesawat sukar untuk ditangani sistem sedemikian dalam konflik masa depan. Ia juga merupakan pertempuran yang melibatkan gabungan divisyen tentera darat Mesir yang mara untuk menguasai Semenanjung Sinai dan kemaraan tersebut dilindungi angkatan udara mereka sendiri.

Pengajaran dari Perang Arab Israel ini juga telah menunjukkan bahawa walaupun ada kekuatan udara yang signifikan sekalipun, penguasaan medan tempur oleh pasukan bersenjata di darat masih lagi penting dan ini dibuktikan oleh Mesir pada peringkat awal konflik dan kemudian oleh Israel pada penghujung konflik dan peri penting dalam konflik ini adalah, kesilapan pihak Israel yang memandang rendah keupayaan Mesir melakukan aturgerak kenteraan secara mengejut dan sangkaan angkatan udara Israel yang dapat memenangi pusingan kedua Perang Arab Israel ini dengan kekuatan angkatan udara mereka kerana terlalu yakin dengan kejayaan lepas dalam siri pertama Perang Arab Israel.

Perang Ramadan atau Perang Yom Kippur yang berlangsung dengan serangan udara mengejut oleh Mesir keatas Israel pada 6 Oktober 1973 dengan kekuatan sehingga 200 buah pesawat menyerang secara serentak 3 pangkalan udara Israel, bateri-bateri peluru berpandu pertahanan udara, stesen radar, pusat kawalan dan perintah serta lokasi artileri, diiringi 2000 bedilan artileri Mesir selama 53 minit keatas garisan pertahanan Bar Lev. Pada masa yang sama, 16 buah pesawat pengebom Tupolev Tu-16 melancarkan serangan serentak keatas kedudukan pertahanan Israel di Semenanjung Sinai dengan peluru berpandu.

Israel menyerang balas dengan melaksanakan operasi cegah rintang dengan angkatan udara mereka tetapi disambut dengan bateri-bateri peluru berpandu Mesir. Dalam peperangan ini, Israel kehilangan sehingga 300 buah pesawat tempur manakalah pihak Mesir bersama-sama Syria dan Jordan sehingga 500 buah pesawat. Walaupun Mesir mencapai kemenangan strategic, mereka dikalahkan akhirnya oleh Israel yang asalnya kehilangan sejumlah besar pesawat tempur tetapi diganti serta merta oleh sekutu mereka Peranchis dan Amerika Syarikat sendiri.

Menuju era 80an telah menyaksikan konflik antara dua negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan dan kelengkapan perang yang setara, dimana Argentina dan Britain terlibat dalam Konflik Falklands yang sehingga kini menjadi rujukan utama sekolah-sekolah perang terutama oleh angkatan laut.

Falklands adalah kepulauan yang terletak jauh di selatan Lautan Atlantik, yang mana ia telah ditakluk secara mengejut oleh Argentina. Tindakan balas Britain pada waktu itu telah menyaksikan aturgerak armada angkatan laut negara tersebut dikerah untuk kembali menakluk kepulauan tersebut. Dalam pertempuran udara antara Royal Navy dan Fuerza Aerea Argentina, pihak Argentina menggunakan pesawat Mirage yang dilengkapi peluru berpandu anti kapal dan pesawat seperti A-4 Skyhawk yang dilengkapi bom tanpa panduan untuk mengasak armada gugusan tugas British serta menyerang konvoi armada tersebut.

Pertempuran udara juga turut berlangsung, dengan pesawat Mirage beraksi dan bertempur dengan pesawat Harrier dalam pertempuran yang pada awalnya dikatakan berat sebelah memandangkan ia melibatkan pesawat Mirage yang merupakan pesawat jet supersonic dan Harrier yang hanya berkelajuan subsonic tetapi mempunyai daya manuver yang lebih lincah kerana ia jenis pesawat VTOL (Vertical Take Off and Landing).

Pesawat angkatan udara Argentina yang berpangkalan dari tanah besar Amerika Selatan melancarkan pengeboman keatas kedudukan pasukan penakluk British yang cuba menguasai Falklands, dan ini telah menyebabkan tahap efektif pesawat-pesawat Argentina seperti A-4 Skyhawk, Mirage III, Dagger dan Canberra untuk mewujudkan zon rondaan udara dan memberikan bantuan rapat udara kepada pasukan sahabat berkurang.

Walaupun Port Stanley mempunyai pangkalan udara, ia tidak mampu mengendalikan pesawat jet kerana jarak landasan yang pendek. Memandangkan tiada pesawat jet Argentina yang ditempatkan di Stanley maka ia diserang bertalu-talu oleh angkatan udara British pada siang hari dan dibedil oleh kapal-kapal armada British pada malam harinya, namun ia tidak menyebabkan pangkalan udara Stanley ditutup sepenuhnya. Serangan udara oleh British keatas pangkalan udara tersebut disambut oleh sistem peluru berpandu anti pesawat Roland dan Tigercat bersama-sama meriam anti pesawat Oerlikon.

Kekangan jarak yang jauh antara tanah besar Argentina dengan Kepulauan Falklands sedikit sebanyak menjadi sebab kekalahan Argentina, namun ia tetap memberikan tamparan hebat keatas armada British yang mengalami jumlah kapal yang rosak dan karam akibat serangan udara dari pihak Argentina sewaktu operasi pendaratan di San Carlos.

Angkatan Laut British diserang oleh pesawat jet Argentina yang terbang rendah dengan persenjataan seperti bom tanpa panduan dan peluru berpandu anti kapal Exocet dan di San Carlos sahaja, Britain kehilangan 4 buah kapal perang dalam sela masa kurang seminggu – bermula dengan HMS Ardent pada 21 May, HMS Antelope pada 24 May dan Atlantic Conveyor pada 25 May yang turut memperlihatkan HMS Coventry juga musnah, sementara HMS Broadsword, HMS Argonaut dan HMS Brilliant mengalami kerosakan teruk.

Kebanyakan kapal perang yang mengalami kerosakan teruk tidak musnah sama sekali disebabkan bom yang digunakan dan dibawa pesawat Argentina dilepaskan terlalu awal untuk membolehkan fiusnya meletup namun ini tetap memberikan penangan yang teruk kepada angkatan laut Britain sewaktu pendaratan pasukan tentera di San Carlos.

Pertempuran di San Carlos ini menjadi rujukan sekolah perang berkenaan pertempuran udara dan angkatan laut serta menyerlahkan kelemahan dan betapa mudah kapal perang menjadi sasaran serangan udara tanpa payung perlindungan udara yang ekstensif dan menjadi pengajaran kepada kebanyakan angkatan laut yang kemudian meningkatkan keupayaan kapal perang dari segi sistem peluru berpandu anti pesawat, perlindungan pasif dan radar yang lebih berkemampuan dalam menghadapi ancaman pesawat tempur.

Perang Falklands boleh dikatakan konflik terakhir yang melibatkan dua kuasa ketenteraan yang seimbang, walaubagaimanapun  dan menuju era 90an kebanyakan konflik melibatkan penguasaan udara sepenuhnya seperti yang dapat dilihat dalam Perang Teluk Pertama dan Kedua.

Menuju akhir era 80an, Perang Iran-Iraq turut memperlihatkan evolusi pertempuran udara, dan penglibatan sistem peluru berpandu balisitik, senjata kimia dan pengeboman keatas Bandar-bandar kedua-dua negara secara ekstensif antara dua pihak bertelagah. Perang Iran-Iraq yang berlanjutan selama 7 tahun, bermula pada 22 September 1980 dan berakhir dengan gencatan senjata pada Ogos 1988.

Iraq yang memulakan perang keatas Iran dengan menakluk wilayah di sempadan kedua-dua negara tersebut, dengan serangan udara mengejut oleh Iraq keatas pangkalan-pangkalan udara Iran dan serangan udara ekstensif keatas Bandar Khoramshar yang dibedil bertalu-talu sepanjang hari 22 September 1980 itu serta kedudukan pertahanan angkatan bersenjata Iran. Serangan balas oleh Iran dilancarkan hari berikutnya dilaksanakan dan mensasarkan pangkalan udara di Kirkuk, Al-Rasheed, Nasiriya, Habbaniyah dan Tammuz, Shaiba, Kut, dan Umm Qasr selain lapangan terbang antarabangsa Baghdad dan Al-Muthanna.

Medan minyak dan loji penapisan minyak juga menjadi sasaran angkatan udara Iran yang mengerah 140 buah pesawat penggempur dan 60 buah pesawat pemintas disertai pesawat penangki dalam operasi yang dipanggil Kaman 99. Serangan balas Iran telah mengejutkan petinggi dan panglima perang Iraq dan mereka tidak menjangkakan Iran mampu melaksanakan serangan balas dan menyebabkan kemusnahan yang teruk. Serangan balas Iran telah menyebabkan Iraq mengalami kemerosotan kekuatan udara sehingga 55 peratus, dengan kebanyakan pangkalan udara tidak dapat beroperasi selama berbulan-bulan.

Perang Iran-Iraq juga menyaksikan buat pertama kalinya pertempuran udara antara helicopter penggempur kedua-dua negara, yang mana sewaktu kemaraan Iraq pada hari pertama konflik, helicopter Mi-25 angaktan bersenjata Iraq berhaapan dengan helicopter penggempur AH-1 Cobra yang dikendalikan Iran. Dalam pertempuran tersebut helicopter penggempur Iran melancarkan peluru berpandu TOW keatas helicopter Iraq dan memusnahkannya.

Selain pertempuran antara helicopter, Perang Iran-Iraq juga adalah satu-satunya perang yang menyaksikan kedua-dua belah pihak menggunakan peluru berpandu balistik keatas Bandar-bandar utama kedua-dua. Penggunaan peluru berpandu balistik yang ekstensif dan satu-satunya dalam peperangan moden setakat ini telah menyebabkan kemusnahan menyeluruh Bandar di Iran seperti Tehran, Tabriz, Isfahan dan Shiraz manakala di Iraq, Baghdad, Basra dan Kirkuk menjadi sasaran Iran. Peluru berpandu balisitk Iraq yang dibekalkan oleh Kesatuan Soviet terdiri dari jenis Scud dan dibalas oleh Iran dengan peluru berpandu jenis sama yang diperoleh dari Libya.

Selain serangan peluru berpandu balistik, serangan udara ekstensif dengan pesawat pengebom Tu-16 dan Tu-22 keatas kedudukan strategic oleh Iraq dengan menggunakan peluru berpandu juga dilaksanakan manakala pesawat seperti MiG-25 dan Su-22 menyerang sasaran pada jarak dekat selain melindungi pesawat pengebom strategic.

Fasa serangan udara dan serangan peluru berpandu balistik oleh kedua-dua negara yang dikenali Perang Bandar telah memperlihatkan kemusnahan infrastruktur awam dan kematian penduduk awam, dan pada Februari 1984 kepimpinan Iraq pada ketika itu mengarahkan serangan udara besar-besaran keatas 11 bandar utama di Iran dilancarkan dengan sejumlah besar kematian adalah disebabkan serangan peluru berpandu balistik dan turut menyaksikan serangan balas oleh Iran keatas Bandar utama di Iraq. Perang Bandar yang meliputi 5 fasa serangan keatas Bandar kedua dua negara ini adalah cubaan untuk melemahkan struktur ekonomi dan semangat lawan pihak bertelagah.

Selepas Perang Iran-Iraq, Iraq yang terlibat dalam perang Teluk Pertama dan Perang Teluk Kedua telah menjadi saksi kepada evolusi penguasaan dan pertempuran udara, dengan pengunaan ekstensif sistem peperangan elektronik,  pengunaan persenjataan pintar, pesawat halimunan, serangan udara terkoordinasi dan akhirnya pengenalan pengunaan dron. Perang Teluk Pertama adalah medan ujian strategi peperangan maklumat dan peperangan elektronik bagi membantu mencapai penguasaan udara total yang melibatkan semua cabang angkatan udara yang saling melengkapi dan penentuan sasaran yang lebih tepat dengan perkongsian maklumat yang saling berhubungan dengan sistem komunikasi satelit.

Pesawat amaran awal dan kawalan udara seperti E3 Sentry menjadi teras kumpulan tugas angkatan udara yang mana ia menjadi pusat pengumpulan maklumat pertempuran dan maklumat perisikan yang kemudiannya dikongsi dengan pesawat-pesawat penggempur, pesawat tempur dan pesawat pejuang yang terlibat dalam operasi tertentu. Ini dibantu pesawat sokongan seperti pesawat penangki KC-10 Extender yang menyediakan perkhidmatan pengisian bahan api diudara bagi memanjangkan lagi tempoh operasi pesawat tempur, serta pesawat E-6C JSTARS yang menyediakan maklumat hasil pemantauan isyarat elektronik, radar dan komunikasi mengenai pergerakan musuh serta memantau dan mengendalikan koordinasi angkatan di daratan yang terlibat dalam pertempuran bagi memberikan pasukan sahabat maklumat masa sebenar dalam satu-satu operasi.

Jaringan dan gabungan sebegini telah memberikan pukulan hebat keatas Iraq pada Perang Teluk Pertama yang mana mereka masih menggunakan taktik hasil ajaran Kesatuan Soviet yang lebih perlahan dan kurang menumpukan kepentingan pengumpulan maklumat dan data elektronik dan isyarat bagi membantu pasukan sahabat.

Dengan pantas angakatan udara Iraq ditewaskan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya dan sekali lagi pada Perang Teluk Kedua yang mana Iraq tidak memberikan tentangan langsung di udara lantas membolehkan Amerika Syarikat menguasai sepenuhnya ruang udara Iraq untuk melaksanakan serangan udara, pengeboman jitu dan bantuan rapat udara kepada pasukan sahabat selain operasi-operasi udara lain.

Pengenalan pesawat dron pasca Perang Iraq dan Perang Afghanistan sebagai mata tombak dalam perang melawan keganasan juga telah merubah landskap pertempuran dan penguasaan udara era moden yang berlaku dalam jangka waktu kurang 50 tahun. Kini dron mulai menggantikan pesawat tempur dalam pelaksanaan misi sukar dan jauh didalam wilayah takluk musuh, menyerang sasaran yang dikehendaki dan pulang dengan selamat tanpa perlu mengorbankan pengendalinya yang mengendalikan pesawat dron tersebut ribuan batu nautika dari medan tempur.

Dron digunakan dengan meluas oleh Amerika Syarikat dalam misi ofensif di Afghanistan dan Pakistan yang mana ia digunakan sebagai penyerang untuk membunuh ketua kumpulan pengganas atau suspek pengganas yang dikenalpasti. Dron seperti MQ-1 Predator dan kemudian MQ-9 Reaper yang asalnya hanya bertujuan untuk melaksanakan misi pemantauan dan pengumpulan maklumat risikan kini dilengkapi persenjataan untuk membunuh sasaran yang dikehendaki. Perang Iraq dan Perang Afghanistan memperlihatkan MQ-1 Predator dan M1-9 Reaper menembak sebanyak 244 butir peluru berpandu sepanjang 2007 hingga 2008 keatas sasaran kumpulan pengganas, militan dan gerila.Pengunaan dron yang sama keatas kumpulan pengganas dan militant diluar Iraq juga dapat dilihat dengan penglibatan pesawat ini dalam membunuh pemimpin-pemimpin dan ahli kumpulan Al-Qaeda di Yemen dan Somalia serta keatas kebanyakan kawasan yang diduduki kumpulan tersebut di sempadan Pakistan dan Afghanistan.

Dron juga menjadi pelantar baharu untuk operasi pemantauan dan perisikan dan teknologi dron juga semakin mudah didapati dan penguasaan teknologi sebegini tidak lagi eksklusif kepada negara-negara kuasa besar semata-mata. Dari Pakistan hingga China, Russia ke Jerman, Indonesia, Singapura dan Malaysia, malahan kumpulan pembebasan Palestin seperti Briged Izzedine Al Qassam dan beberapa kumpulan pemisah di Syria juga mulai menggunakan dron untuk melaksanakan serangan keatas seteru masing-masing, dan tidak mengira negara kecil atau besar masing-masing berlumba-lumba untuk memperkembangkan lagi dan memperhalusi teknologi pembuatan dan pengendalian dron, dan sedikit sebanyak cuba menemukan lebih banyak kebarangkalian dan potensi pesawat dron ini.

Dimasa kini, pesawat tempur generasi kelima sudah mulai memasuki perkhidmatan kebanyakan negara maju, dengan Amerika Syarikat menjadi pelopor pesawat generasi 5 ini melalui pengoperasian pesawat tempur F/A-22 Raptor dan F-35 Lightning II yang mempunyai ciri-ciri yang lebih ampuh berbanding generasi pesawat sebelumnya. Keupayaan manuver super yang tinggi, sifat kerangka pesawat yang halimunan dari gelombang gema radar dan penderia-penderia optic, keupayaan “supercruise” serta kelengkapan penderia elektronik dan optic yang termaju menjadi penanda aras utama pesawat generasi kelima.

Tetapi monopoli pesawat halimunan generasi kelima ini kini telah dipecahkan yang mana Russia turut berkesperimentasi dengan generasi terbaharu pesawat sebegini melalui program PAK-FA yang dikendalikan oleh firma Sukhoi melalui pengenalan pesawat Sukhoi T-50 dan kemudian oleh China yang memperkenalkan pesawat Chengdu J-20 dan kemudian J-31 dalam masa kurang 10 tahun penyelidikan.

Selain Russia dan China, negara lain seperti Turki dan Jepun serta Korea Selatan juga turut mulai berjinak-jinak kearah pembangunan pesawat generasi kelima yang lebih andal dan lebih rendah kos pembuatannya bagi memenuhi keperluan pasaran negara dunia ketiga dengan masing-masing mempunyai program eksperimental untuk pesawat tersebut. Selari dengan itu, teknologi dron juga semakin pesat berkembang dan kini cubaan untuk membina drone yang jauh jangkauan jarak operasi dengan kemampuan beban persenjataan yang lebih besar dan mempunyai ciri-ciri halimunan juga sedang diteruskan.

Evolusi teknologi pesawat udara dan pertempuran udara yang berlaku kurang dari 100 tahun ini telah mengubah rupabentuk, rukun, strategi dan taktik peperangan moden dengan mendadak sekaligus turut mengubah sejarah peperangan dalam masa yang singkat.

Bermula dari kerangka kayu balsa yang dilentur dengan tangan dan kemudian keluli serta aluminium dan titanium, pesawat tempur telah berkembang dengan pesat dan lebih kompleks dan menggunakan bahan yang lebih tahan lasak tetapi ringan seperti gentian karbon dan kini dengan penemuan bahan yang menyerap gelombang radar dan menangkis pembebasan haba mendadak, ditambah dengan pengunaan sistem computer berkuasa tinggi yang mampu mencerna pelbagai input data maklumat dalam masa milisaat yang sangat membantu juruterbang dalam membuat keputusan sewaktu operasi , pesawat tempur telah menjadi satu asset yang sangat berharga.

Jika dahulu pesawat hanya berbekalkan senjata ringan dan seorang juruterbang, kini pelbagai jenis persenjataan moden yang dilengkapi panduan computer menguasai ruang udara masa depan. Peluru berpandu menjadi lebih pintar dan lebih andal, pesawat menjadi semakin pantas dan semakin berkemampuan daya manuvernya hasil kajian rekabentuk aerodinamik yang sangat ekstensif dan satu masa nanti, juruterbang hanyalah satu pekerjaan yang tinggal dalam teks-teks sejarah dan sistem computer berkuasa tinggi akan menggantikan manusia dalam pertempuran udara masa hadapan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

A Seaman is not only a Navigator, but also a Merchant and a Soldier. "Through the seas we are strong. Jalesveva Jayamahe." 1. Diploma Nautical Studies, ALAM (2009). 2. Combined Mate and Master, A1MC, ALAM (2014). 3. COC Class 3, MARDEP Malaysia.

Leave A Reply