Pertempuran ini berlaku kira-kira 3 bulan selepas kemenangan penuh bergaya umat Islam di Pertempuran Yarmuk menewaskan bala askar Byzantine yang jumlahnya mengatasi jumlah tentera yang dibawa olehumat Islam. Untuk pertempuran kali ini, Khalifah Umar Al-Khattab telah menghantarkan Saad bin Abi Waqas sebagai komander utama tentera Islam untuk menghadapi bala Parsi yang dipimpin oleh Rostam Farrokhzad.

Untuk rekod dalam pertempuran ini, tentera Parsi di bawah Dinasti Sasasnid dikatakan membawa jumlah tentera dari lingkungan 80, 000 orang kepada 200 ribu orang tentera bersama dengan 33 ekor gajah perang manakala tentera di pihak umat Islam pula sekadar membawa dalam 30, 000 – 40, 000 orang.

Barisan askar Parsi yang berjumlah sekurang-kurangnya 80, 000 orang tentera itu dibahagikan kepada tiga unit. Infantri, Kavalari Berat dan juga Tentera Bergajah yang gajahnya diambil daripada wilayah jajahan Parsi di sekitar India. Tentera Islam pula terdiri daripada infantri dan unit kavalari, yang di mana mereka dibahagikan kepada empat bahagian, di mana di belakang setiap unit kavalari diletakkan di belakang tentera Parsi untuk persediaan atas apa-apa serangan balas.

Komander utama tentera Islam dalam pertempuran ini pula mengalami nasib malang apabila menghidap penyakit Sciatica dan mengalami lecuran di sekeliling di tubuhnya membuatkan Saad bin Abi Waqas tidak dapat menyertai pertempuran sebaliknya mengambil tempat di sebuah istana lama di sekitar Qadisiyyah. Dari istana itu, dia mampu mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang medan pertempuran dan memberi arahan kepada tentera Islam melalui pembantunya yang bernama Khalid Arfatah.

Sebelum pertempuran, dicatatkan bahawa tentera Islam telah berkampung di Qadissiyah seawal 3 bulan lagi dan Khalifah Umar ketika itu mengarahkan diplomasi berjalan di antara kedua-dua pasukan. Jemputan memeluk Islam ditawarkan kepada Maharaja Parsi Yasdegerd serta tawaran membayar jizyah digerakkan andai Parsi tidak mahu memeluk Islam. Utusan-utusan dihantar oleh pihak Islam kepada Parsi.

Ada sebuah kisah menarik yang berlaku. Maharaja Parsi berniat untuk memalukan utusan Islam ini dengan mengisi tanah ke dalam sebuah bakul lalu dituangkan ke atas kepala tentera Islam. Namun utusan Islam ketika itu lebih bijak lalu menggunakan peristiwa itu untuk menentang maharaja Parsi semula. Katanya, tindakan Maharaja Parsi itu sebenarnya melambangkan kerelaan Maharaja Parsi menyerahkan tanahnya kepada tentera Islam sebelum beredar meninggalkan maharaja itu.

Sepertinya, jeneral utama Parsi iaitu Rostam seperti bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh utusan Islam itu lalu membuatkan Maharaja Parsi mengarahkan sekumpulan tentera untuk menyerang mereka. Namun semuanya sudah terlambat kerana kumpulan utusan itu sudah sampai ke kem tentera Islam. Namun, Rostam memilih untuk meneruskan lagi diplomasi dengan tentera Islam tetapi semuanya gagal lalu membawa kepada pertempuran yang akan kita bicarakan ini.

Untuk pengetahuan kalian, artikel ini akan dibahagikan kepada empat bahagian yang akan menceritakan tentang setiap hari yang terjadi pada Pertempuran Al-Qadisiyyah yang penuh dengan kisah epik yang tak terbayang dek akal kita.

1. Hari Pertama

Pertempuran pada hari pertama dimulakan dengan tentera-tentera Parsi dan Islam menghantar jagoan masing-masing untuk bertarung. Pertarungan satu lawan satu antara kedua-dua pasukan ini biasanya bertujuan untuk melemahkan semangat tentera musuh dan dalam Pertempuran Qadisiyyah ini, kita dapat melihat yang banyak pertarungan satu lawan satu ini dimenangi oleh tentera Islam.

Melihatkan apa yang sedang berlaku pada ketumbukan Parsi, maka Rostam terus mengarahkan agar pertempuran dimulakan dengan hujanan anak panah ke atas bahagian sayap kanan tentera Islam, lalu diikuti dengan serangan tentera bergajah ke atas barisan sayap kanan tentera Islam membuatkan bahagian infantri di hadapan terpaksa berundur.

Untuk mengatasi masalah ini di bahagian sayap kanan tentera Islam, Saad bin Abi Waqas telah mengarahkan agar komander kavalari kanan tentera Islam bersama dengan infantri daripada bahagian tengah kanan tentera Islam untuk membantu sayap kanan yang sedang diasak membuatkan sayap kiri tentera Parsi berundur kerana menerima asakan daripada kedua-dua arah.

Melihatkan kegagalan untuk menewaskan sayap kanan tentera Islam, Rostam terus mengarahkan agar sayap kanan dan kanan tengah barisan Parsi untuk menggempur pula bahagian sayap kiri tentera Islam. Serangan hampir serupa ketika serangan di sayap kanan tentera Islam. Hujanan anak panah yang kemudian disambung dengan serangan tentera bergajah tentera Parsi. Kelihatannya serangan tentera bergajah ini memang membuatkan unit kavalari tentera Islam kucar-kacir.

Namun, komander untuk bahagian tengah kiri tentera Islam iaitu Asim bin Amr mempunyai strategi untuk menentang gempuran daripada tentera bergajah Parsi ini. Rancangannya ialah untuk menggerakkan infantri untuk memotong tali yang meletakkan tempat duduk para penunggang gajah dan para pemanah untuk memanah penunggang kuda di belakang gajah. Tindakan ini berjaya membuatkan tentera bergajah yang sebelum ini mendatangkan masalah pada tentera Islam berundur dan diletakkan di belakang kavalari tentera Parsi.

Tanpa sebarang halangan dari tentera bergajah membolehkan serangan secara besar-besaran berjaya dilancarkan ke atas barisan Parsi. Kedua-dua pasukan saling bertempur sampai ke subuh namun pada hari pertama, tiada banyak perubahan dan masing-masing kental bertahan membuatkan kedua-dua pasukan terpaksa berundur dan menamatkan pertempuran pada hari pertama. Hari pertama dikenali oleh umat Islam sebagai Hari Yang Penuh Kekacauan.

2. Hari Kedua

Pada hari kedua pertempuran, sekali lagi Saad bin Abi Waqas memilih untuk memulakan pertempuran dengan menghantarkan jagoan-jagoan di pihak tentera Islam bertarung satu lawan satu demi meruntuhkan semangat tentera Parsi. Pertarungan ini berlanjutan sehinggalah tengah hari apabila tentera bantuan datang dari Syiria yang baru sahaja selesai Pertempuran Yarmuk demi membantu tentera Islam di Qadisiyyah.

Selepas menerima bantuan daripada Yarmuk, maka Saad bin Abi Waqas mengambil keputusan untuk menyerang serentak barisan askar tentera Parsi. Lagipun hari kedua pertempuran, tiada kelibat tentera bergajah Parsi. Antara strategi yang digunakan oleh umat Islam ketika itu untuk menakutkan unit kavalari Parsi ialah menghiasi unta-unta mereka kelihatan seperti raksasa yang menakutkan membuatkan unit kavalari tentera Parsi kucar-kacir dibuatnya.

Ini membuatkan bahagian kiri bahagian tengah kiri Parsi terdedah kepada bahaya. Namun, untuk hari kedua, kedua-dua pasukan masih belum mendapat kata putus siapakah pemenangnya memaksa pertempuran dilanjutkan ke hari kedua.

3. Hari Ketiga

Tentera bergajah yang dimiliki oleh Parsi digunakan sekali lagi dalam pertempuran kali ini. Tidak seperti hari pertama, hari ketiga melihatkan Rostam telah mengarahkan serangan serentak digerakkan ke atas umat Islam. Serangan dari unit berpanah menghujani anak panah mereka ke atas tentera Islam, sebelum tenetra bergajah yang duduk di barisan hadapan terus menggempur tentera Islam sambil dibantu oleh unit infantri dan kavalari tentera Parsi.

Ini membuatkan tentera Islam terpaksa berundur ke belakang. Rostam yang mahu menamatkan pertempuran hari itu menghantar sebuah rejimen kavalari untuk menyerang istana lama tempat Saad bin Abi Waqas bersemayam. Namun, mujurlah rancangan itu dapat dihidu oleh beberapa kontijen kavalari tentera Islam dan berjaya menghalau unit kavalari yang dihantar oleh Rostam.

Ketika ini, Saad bin Abi Waqas mendapati bahawa tentera Islam tidak akan mampu menang melainkan kalau tentera bergajah Parsi berjaya dihalau dari medan perang. Jadi, strategi Saad pada hari ketiga ialah dengan membutakan mata gajah yang dibawa oleh Parsi dan mematahkan gading gajah. Rancangan ini berjaya apabila gajah Parsi hilang kawalan dan terus menjadi senjata yang makan tuan. Mereka naim amuk lalu menyerang membabi buta termasuklah barisan tentera Parsi.

Melihatkan apa yang sedang terjadi pada tentera Parsi, maka Saad mengarahkan agar serangan serentak dijalankan sekali lagi. Namun, tentera Parsi masih kental bertahan meski ketika itu, mereka betul-betul terkesan dengan serangan tentera Islam. Dicatatkan juga bahawa helah ketika hari kedua dengan menyamarkan unta-unta mereka sebagai raksasa cuba digunakan, tetapi tidak membawa sebarang kesan. Hari ketiga di Qadisiyyah dikenali sebagai Malam Yang Dipenuhi Bunyi-Bunyi Gegaran.

4. Hari Keempat

Pada hari keempat, pertempuran terhenti seketika dan keputusan masih samar-samar. Namun, semangat di pihak tentera Islam yang memburu syahid tetap berkibar-kibar meski hampir sehari untuk bertempur semalam. Maka mereka tidak memilih untuk berehat lebih lama, sebaliknya melakukan serangan ke atas tentera Parsi. Ini mendatang kejutan dan serangan mengejut inilah yang membuatkan Parsi betul-betul goyah.

Dicatatkan serangan ini telah membuatkan tentera Islam mampu menembusi bahagian tengah Parsi. Dicatatkan juga bahawa Rostam, jeneral perang Parsi mati ketika hari keempat. Kononnya ketika hari keempat ini, rIbut pasir melanda medan pertempuran dan ketika Rostam sedang bersembunyi disebalik unta untuk melinudnginya dari ribut pasir, dikatakan senjata yang terikat pada tubuh unta tersebut terjatuh dan mengenai belakanng tubuh Rostam membuatkan Rostam lumpuh kerana kecederaan. Hilal bin Ullafah ialah dalangnya apabila tidak sengaja terpotong tali unta yang mengikat senjata itu. Melihatkan apa yang terjadi pada Rostam, dicatatkan bahawa Hilal telah memenggal kepala Rostam lalu berteriak di tengah-tengah medan perang.

“Aku bersumpah atas TUHAN yang memiliki kaabah yang aku telah membunuh Rostam!”

Ini membuatkan semangat tentera Parsi jatuh mendadak melihatkan ketua mereka mati di tangan tentera Islam. Ramai yang menyerah dan ramai juga yang melarikan diri dari medan perang, menuju ke arah sungai yang terbentang di belakang mereka.

Saad kemudian mengarahkan tentera Islam mengejar baki-baki tentera Parsi yang melarikan diri, membunuh mereka atau dijadikan tawanan perang. Untuk rekod dalam pertempuran ini, tentera Islam hanya kehilangan 8,500 orang sahaja manakala tentera Parsi mencatatkan angka korban sebanyak 40, 000 orang!


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Leave A Reply