Pertempuran Nagashino: Kebijaksanaan Strategi Oda Nobunaga

12,327

Pertempuran ini mengambil masa pada era Sengoku, yakni era sebelum penyatuan Jepun di bawah Kesyogunan Tokugawa. Peristiwa ini diibaratkan sebagai Era Negeri-negeri Berperang dalam sejarah China Purba sebelum disatukan di bawah dinasti Qin.

Terdapat tiga watak utama dalam pertempuran ini; Oda Nobunaga, tokoh daimyo (bangsawan feudal) yang merintis idea penyatuan Jepun, seakan Otto von Bismarck dan penyatuan Jerman; Tokugawa Ieyasu, anak kepada daimyo Mikawa dari puak Tokugawa yang nantinya menjadi syogun (seakan komander jeneral) selepas berakhirnya era Sengoku; dan Takeda Katsuyori, seorang daimyo yang berperang dengan puak Tokugawa.

Secara ringkas, pertempuran mengambil tempat berdekatan Istana Nagashino yang dijaga oleh Okudaira Sadamasa, sekutu puak Tokugawa. Situasinya ialah pasukan Sadamasa sedang bertahan di kawasan istana itu telah dikepung oleh pasukan Katsuyori apabila bantuan dari pasukan Nobunaga-Ieyasu sampai.

Bagi menghadapi tentera Katsuyori yang akan menyerang pada bila-bila masa, Nobunaga menyediakan pasukan penembak (menggunakan arquebus) yang terdiri daripada 3,000 orang askar. Beliau membina pertahanan menggunakan pancang-pancang kayu yang ditanam secara zig-zag.

Tujuan pembinaan ini adalah untuk melindungi pasukan penembak tadi daripada kemaraan rejaman lembing atau tikaman pedang atau lain-lain senjata tajam daripada tentera musuh.

Di pihak Katsuyori, walaupun majoriti pasukannya terdiri daripada askar-askar berkuda yang membawa lembing, pedang dan senjata-senjata tradisional yang lain, dikatakan setiap empat orang askar terdapat purata tiga askar bersenjata api.

Walaupun Katsuyori tahu Nobunaga memiliki pasukan penembaknya yang handal dan terlatih (Nobunaga benar-benar bergantung kepadanya), namun Katsuyori menjangkakan masa untuk mengisi peluru atau persediaan menembak mengambil tempoh yang lama (perkara biasa bagi senapang pada masa dahulu) dan ini memberi peluang kepada pasukan berkuda mereka yang bergerak pantas untuk menyerang dan sempat menghuru-harakan pasukan Nobunaga-Ieyasu. Namun, Nobunaga memiliki cara lain untuk mengatasi masalah itu dan hal ini di luar jangkaan Katsuyori.

Apabila pasukan pertama Katsuyori menyerang pertahanan Nobunaga-Ieyasu, mereka telah ditembak dalam jarak 50 meter secara serentak. Pasukan kedua segera dihantar dengan harapan dapat menggempur pertahanan Nobunaga yang dijangkakan sedang mengisi peluru namun pasukan itu tewas sebelum sempat menghampiri pancang-pancang kayu itu. Tindakan ini amat mengejutkan Katsuyori. Sebenarnya, apa yang dilakukan Nobunaga adalah mengatur pasukan penembaknya segala bergilir-gilir di mana selepas kumpulan pertama menembak, kumpulan kedua menggantikan tempat kumpulan pertama dan bersedia menembak, manakala kumpulan pertama tadi segera mengisi peluru.

Begitulah seterusnya. Strategi ini merupakan salah satu taktik pertempuran yang menggunakan senjata penembak termasuk panah. Dengan cara ini, pasukan senjata api Nobunaga dapat menewaskan setiap gelombang serangan yang mendatang. Pasukan Katsuyori akhirnya tewas dan pengepungan mereka dapat digagalkan. Kira-kira seramai 10,000 orang tentera telah gugur menurut rekod Shinchō kōki manakala hanya 60 orang askar yang berada di pihak Nobunaga-Ieyasu telah terbvnuh.

Anda sebenarnya sedang membaca sebahagian daripada buku Pertempuran-Pertempuran Agung: Seni Pertempuran Terulung. Berminat nak membaca lebih banyak pertempuran yang mengasyikkan? Buat tempahan di nombor wassap ini: www.wasap.my/60195812791

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.