Di dalam surah al-Baqarah ayat 246-252 mengisahkan secara lengkap dan ringkas gambaran tentang pasukan Bani Israil pimpinan Raja Thalut yang disertai oleh Nabi Daud a.s menentang Raja Jalut.

“Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka Bani Israil sesudah Nabi Musa, iaitu ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah pimpinannya) di jalan Allah.” Nabi mereka menjawab, “Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang.” Mereka menjawab, “Mengapa kami tidak mau berperang di jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari anak-anak kami?” Maka tatkala perang itu diwajibkan atas mereka, merekapun berpaling. Kecuali beberapa saja di antara mereka. Dan Allah Maha Mengetahui siapa orang-orang yang zalim.”

(al-Baqarah: 246)

“Nabi mereka mengatakan kepada mereka, “Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi rajamu.” Mereka menjawab, “Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?” Nabi (mereka) berkata, “Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.” Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas PemberianNya lagi Maha Mengetahui.”

(al-Baqarah: 247)

“Dan Nabi mereka mengatakan kepada mereka, “Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja, ialah kembalinya Tabut kepadamu. Di dalamnya terdapat ketenangan dari Tuhanmu dan sisa dari peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun. Tabut itu dibawa malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu, jika kamu orang yang beriman.”

(al-Baqarah: 248)

Maka tatkala Thalut keluar membawa tenteranya, dia berkata, “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya, dia bukanlah pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku”. Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata, “Tidak ada kesanggupan bagi kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya”. Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah berkata: “Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar”.

(al-Baqarah: 249)

“Tatkala Jalut dan tenteranya telah nampak oleh mereka, mereka pun (Thalut dan tenteranya) berdoa: “Ya Tuhan kami, tuangkanlah kesabaran atas diri kami, dan kokohkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir”.

(al-Baqarah: 250)

“Mereka (tentara Thalut) mengalahkan tentara Jalut dengan izin Allah dan Daud membunuh Jalut. Kemudian Allah memberikan kepadanya (Daud) pemerintahan dan hikmah (sesudah meninggalnya Thalut) dan mengajarkan kepadanya apa yang dikehendakiNya. Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian umat manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) ke atas semesta alam.”

(al-Baqarah: 251)

“Itu adalah ayat-ayat dari Allah, Kami bacakan kepadamu dengan hak (benar) dan sesungguhnya kamu benar-benar salah seorang di antara nabi-nabi yang diutus.”

(al-Baqarah: 252)

Menurut tafsir Ibnu Katsir, majoriti ulama berpendapat sosok nabi yang dinyatakan oleh Allah swt di dalam ayat 246 adalah Nabi Samuel a.s.

Raja Pertama Bani Israil Yang Melakar Sejarah Dunia

Tanah Palestin suatu ketika dahulu pernah diperintah oleh Nabi Yusha bin Nun dan baginda bertanggungjawab memimpin Bani Israil setelah mendapat amanah dari Nabi Musa a.s. Kepimpinan Nabi Yusha a.s membawa kekuasan Bani Israil stabil sehinggalah menjelang kewafatan baginda. Setelah kewafatan Nabi Yusha a.s, Bani Israil berpecah belah dan kandungan isi kitab Taurat diubah-ubah bahkan ditambah isinya oleh pendeta mereka.

Akibat dari perpecahan, ketidakstabilan dalam pemerintahan dan mengabaikan perintah Allah swt, maka datanglah seorang raja dari luar datang menyerang tanah Palestin dan merebutnya dari Bani Israil. Sejak itu, Bani Israil terus jatuh dan menghadapi zaman-zaman kegelapan dan kehinaan.

Kisah ini bermula setelah Thalut bersama adiknya melangkah kaki keluar dari kampung untuk mencari keldai peliharaan milik keluarganya yang hilang dari kandang. Maka setelah beberapa hari berjalan di padang pasir yang luas dan tandus maka tibalah mereka kedua ini di sebuah tempat bernama Shofa yang dimana tinggalnya seorang nabi Allah swt iaitu Nabi Samuel a.s. Adiknya mengajak Thalut untuk bertemu sebentar dengan Nabi Samuel a.s untuk meminta pertolongan darinya.

Setelah tiba di rumah Nabi Samuel a.s, maka diceritakanlah tentang apa yang berlaku ke atas mereka sehingga datang bertemu dengan baginda a.s. Nabi Samuel a.s tersenyum lalu memberitahukan bahawasanya keldai peliharaan mereka dalam keadan yang selamat dan dalam perjalanan pulang ke kandang. Setelah memberikan jawapan itu, Nabi Samuel a.s menyatakan hasratnya yang sudah lama tersimpan setelah melihat perwatakan Thalut.

Nabi Samuel a.s menjelaskan tentang suatu petanda akan datang padanya seorang pemuda yang gagah bernama Thalut di kampung Shofa dan pemuda itu akan diangkat sebagai pemimpin untuk meminpin Bani Israil menentang pasukan tentera Raja Jalut. Thalut yang berasa kurang selesa dengan kenyataan dari Nabi Samuel a.s merendahkan diri mengatakan bahawasanya diri beliau tidak layak menjadi pemimpin kerana beliau berasal daripada keturunan Bunyamin bin Yaakub (adik Nabi Yusuf a.s) dan sukunya adalah suku yang paling hina daripada 12 suku yang lainnya. Nabi Samuel a.s mematahkan persoalan Thalut dengan menjawab:

“Ini adalah atas iradah dan wahyu Allah swt. Sudah menjadi perintah Allah swt dan kehendakNya, hendaklah engkau bersyukur atas nikmat Allah swt itu dan membulatkan tekadmu untuk memimpin perjuangan yang hebat ini”.

Setelah mendapat jawapan yang ringkas dan padat tersebut maka Thalut mengakui bahawasanya beliau adalah pemimpin yang ditunggu-tunggu oleh Nabi Samuel a.s yang dihantarkan oleh Allah swt.

Setelah Thalut bersetuju untuk menerima mandat besar daripada Nabi Samuel a.s, maka baginda membawa Thalut pergi menemui Bani Israil. Tanpa persoalan dan bantahan, maka Bani Israil menerima Thalut sebagai pemimpin baharu mereka melalui perlantikan oleh Nabi Samuel a.s setelah mereka sendiri melihat perwatakan Thalut yang gagah dan mempunyai ilmu yang luas.

Sebenarnya, sebelum kedatangan Thalut, Bani Israil dipimpin oleh para hakim selama 356 tahun dan pada tempoh waktu ini, Bani Israil telah melupakan ajaran Nabi Musa a.s serta mereka seringkali bergaduh dam berselisih faham sesama sendiri. Dengan kehadiran Thalut yang membawa sifat Mustafha, maka kepimpinannya telah menyatu-padukan Bani Israil di bawah satu pemerintahan yang bersistematik. Kepimpinan Raja Thalut memakan masa yang lama sebelum baginda mengumpulkan pasukan tentera untuk menewaskan pasukan tentera Raja Jalut.

Perlantikan Raja Thalut sampai ke telinga pemimpin yang memerintah di tanah Palestin pada ketika itu. Di dalam al-Quran, Jalut digambarkan sebagai seorang raja yang tidak beriman kepada Allah swt seperti yang dikisahkan di dalam surah al-Baqarah ayat 250:

“Tatkala Jalut dan tentaranya telah tampak oleh mereka, merekapun (Thalut dan tentaranya) berdoa, ‘Ya Tuhan Kami tuangkanlah kesabaran atas diri kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.”

Setelah mempersiapkan pasukan Bani Israil, maka bergeraklah pasukan Raja Thalut ke sebuah tempat untuk bertemu dengan pasukan Raja Jalut. Pada awalnya, pasukan Raja Thalut disertai oleh 700,000 orang tentera yang terdiri daripada kalangan pemuda yang gagah dan mempunyai ilmu berperang.

Ada sumber lain yang mengatakan tentera Raja Thalut pada ketika itu hanyalah berjumlah 100,000 orang tentera. Jumlah yang kecil dibandingkan dengan jumlah tentera yang dipimpin oleh Raja Jalut yang dianggotai seramai 250,000 atau 400,000 orang lengkap bersenjata dan mempunyai perbekalan yang cukup ketika di medan perang.

Sebelum pasukan Raja Thalut keluar untuk menempuhi jarak perjalanan yang jauh, baginda bertitah seperti yang difirmankan Allah swt melalui surah Baqarah ayat 249 yang berbunyi:

“Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya, dia bukanlah pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku”. Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: “Tak ada kesanggupan kami pada hari Ini untuk melawan Jalut dan tentaranya.” orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: “Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. dan Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Setelah menempuhi perjalanan yang jauh, kehausan mulai melanda pasukan Raja Thalut. Bekalan air minuman mereka telah habis sepanjang perjalanan.

Raja Thalut yang mengetahui kondisi pasukannya terus bertitah:

“Kita akan menemui sungai ketika dalam perjalanan. Barangsiapa yang meminumnya (dalam jumlah yang banyak) maka hendaklah dia keluar dari pasukan dan barang siapa yang tidak menceduknya dan hanya sekadar membasahi kerongkongnya maka dia akan dapat bersamaku dalam pasukan.”

Kehausan ini menguasai tindak-tanduk mereka sehingga ada yang lemah dan takut untuk pergi berperang sehinggalah pasukan Raja Thalut menemui sebatang sungai yang membentang diantara daerah Palestin dan Jordan. Kerana kehausan yang menguasai diri, maka nafsu tidak dapat dikawal oleh sebahagian tentera Bani Israil. Mereka telah lupa dengan perintah Allah swt yang telah disampaikan oleh Raja Thalut.

Akibat ketamakan dan gagal dalam menguasai nafsu untuk mengikut perintah Allah swt, maka sebahagian besar pasukan melanggar yang arahan yang telah dititahkan oleh Raja Thalut telah dikeluarkan dari pasukan. Maka, jumlah pasukan yang beriman kepada Allah swt yang tinggal pada ketika itu hanya berbaki seramai 4000 orang tentera sahaja.

Sisa pasukan tentera yang masih setia dengan Raja Thalut termasuklah Nabi Daud a.s. Setelah pengasingan selesai, Raja Thalut bersama 4000 orang tentera meneruskan perjalanan menuju ke daerah Jerusalem.

Sebelum Raja Thalut dan orang-orang yang beriman bersamanya menyeberangi sungai, pasukan tentera Bani Israil yang tidak taat berkata seperti yang difirmankan Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat 249:

“Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: “Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya”

Maka, tentera Bani Israil yang beriman kepada Allah swt membalas jawapan dari pihak mereka:

“Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah, berkata: “Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.”

Setelah itu pasukan Raja Thalut yang beriman kepada Allah swt meneruskan perjalanan menuju ke Jerusalem.

Perjalanan Raja Thalut bersama sisa pasukannya ini terhenti di sebuah lembah yang bernama Lembah Elah. Di sinilah, pasukan Raja Thalut akan mendirikan kem sebelum mereka berhadapan dengan pasukan tentera Raja Jalut dari Palestin.

Dari kejauhan, pasukan Raja Jalut sudah menunggu untuk bersiap-sedia membantai mangsanya.

Perang Dua Orang Raja: Hak Dan Batil

Menurut Sami bin Abdullah al-Maghluts di dalam bukunya yang bertajuk Atlas Sejarah Nabi dan Rasul, peperangan yang berlaku diantara Raja Thalut bersama Nabi Daud a.s terhadap Raja Jalut terjadi pada tahun 1050 SM.

Pada tahun terbabit, kedua belah pasukan sudah bersiap sedia di medan pertempuran, menunggu untuk mengangkat pedang dan menikam musuh.

Daerah Sha’arayim.

Sebuah daerah menjadi saksi pertempuran bersejarah diantara seorang raja yang dilantik Allah swt untuk menentang raja zalim dan paling berkuasa pada ketika itu.

Pasukan Raja Jalut yang dianggotai seramai 400,000 orang tentera lengkap bersenjata menunggu dengan siap siaganya untuk menghadapi pasukan Raja Thalut yang seramai 4000 orang tentera.

Ketakutan dan kegelisahan mulai menyerang tentera Raja Thalut. Motivasi mereka untuk berperang melawan pasukan Raja Jalut pun berkurangan. Raja Thalut tidak mahu melihat motivasi para tenteranya hancur gara-gara telah kalah jumlah. Baginda mahu pasukannya terus bersemangat, lalu baginda pun menadah tangan ke langit seraya diikuti oleh pasukannya. Kisah Raja Thalut berdoa dikisahkan di dalam surah Baqarah ayat 250:

“Tatkala Jalut dan tentaranya telah nampak oleh mereka, merekapun (Thalut dan tentaranya) berdoa: “Ya Robb kami, tuangkanlah kesabaran atas diri kami, dan kokohkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.” 

Amukan badai pasukan Raja Jalut datang dengan lajunya menuju ke arah pasukan Raja Thalut. Sebahagian tenteranya yang masih lemah meragui yang mereka akan menang di dalam peperangan ini. Maka Raja Thalut menasihati mereka seperti yang difirmankan Allah swt di dalam surah 

“Bagaimana mungkin kita dapat mengalahkan pasukan yang perkasa itu?” Kemudian orang-orang mukmin dari pasukan Thalut menjawab: “Yang penting dalam pasukan adalah keimanan dan keberanian. Berapa banyak kelompok yang sedikit mampu mengalahkan kelompok yang banyak dengan izin Allah swt”.

Sebahagian besar tentera Bani Israil maju kehadapan dan menentang Raja Jalut, tetapi kesemuanya tewas di dalam tangan raja yang perkasa tersebut. 

Dengan ketakwaan dan kesungguhan tentera Bani Israil berperang melawan tentera Raja Jalut, maka berserulah Raja Thalut kepada pasukannya yang kepada sesiapa yang berjaya membunuh Raja Jalut akan mendapat anugerah dengan menikahi anak perempuannya dan memberikan separuh kekuasaan Bani Israil kepadanya. Maka, Nabi Daud a.s menawarkan diri berhadapan dengan Raja Jalut tanpa perasan takut sekalipun. Pada mulanya, Raja Jalut tidak ingin melawan dengan Nabi Daud a.s sehinggalah Nabi Daud a.s sendiri bersungguh-sungguh ingin mencabar kehebatan Raja Jalut. Raja Jalut berasa sesuatu yang ganjil dengan semangat Nabi Daud a.s. Maka tanpa melengahkan masa, Raja Jalut membuka langkah untuk menyerang Nabi Daud a.s. Tetapi sebelum Raja Jalut menghayunkan senjatanya, Nabi Daud a.s terlebih dahulu menarik lastik batu miliknya.

Dengan sekali lontaran batu dari senjata lastik, batu tersebut terbang melayang dengan bantuan angin dengan izinNya tepat mengenai dahi Raja Jalut. Kelajuan dan kekuatan batu yang dilontarkan hanya sekali sahaja oleh Nabi Daud a.s berhasil membunuh Raja Jalut. Setelah kematian Raja Jalut, maka tentera Palestin mulai berpecah belah kerana kematian pemimpin mereka di dalam tangan seorang pemuda yang berusia 9 tahun. Tanpa berbasa-basi, tentera Raja Jalut membuka langkah seribu dan melarikan diri dari medan perang. Raja Thalut bersama pasukannya berjaya menciptakan kejayaan yang besar sehinggakan kisah keimanan dan kemenangan mereka ini dirakamkan oleh Allah swt di dalam al-Quran.

Dari sinilah bermulanya penapakkan Bani Israil di Jerusalem dan terbinanya kerajaan Bani Israil yang pertama dibawah pimpinan Raja Thalut.

Tapak Sha’arayim: Saksi Pertempuran Perang Jalut-Thalut

Dalam bahasa Ibrani, perkataan Sha’arayim bermakna benteng dengan dua pintu. Profesor Yosef meyakini, bangunan yang berupa longgokan batu-batu tersebut merupakan tapak runtuhan Kota Sha’arayim.

Di lokasi ini, Profesor Yosef menemui sebuah bangunan yang menyerupai pintu gerbang dari sebuah benteng kuno. Dalam Kitab Perjanjian Lama disebutkan, tempat pertempuran antara Nabi Daud a.s melawan Raja Jalut ini terjadi di Kota Sha’arayim. Sha’arayim telah disebut sebanyak tiga kali dalam Perjanjian Lama, dan dua kali ianya dikaitkan dengan kisah Nabi Daud a.s.

Sementara itu, hasil ujian ‘initial carbon’ terhadap bekas runtuhan batu-batu dan barangan tembikar yang ditemukan Profesor Yosef diperkirakan ianya berusia di antara tahun 1000 sehingga 975 SM. Tempoh waktu ini adalah sama seperti tempoh waktu pemerintahan Raja Daud di kota Jerusalem.

Penemuan ini merupakan yang kedua di sekitar Benteng Elah atau dikenali sebagai Khirbet Qeiyafa dalam bahasa Arab.

Lokasi ini sekarang berada di Kota Bet Shemesh, Israel.

Pada Oktober 2008, Profesor Yosef berhasil pula menemui sejumlah barangan tembikar yang diperkirakan berusia diantara sekitar 3000 tahun yang lalu. Beberapa di tembikar tersebut terdapat susunan teks berbahasa Ibrani. Penemuan ini dianggap sebagai penemuan yang terpenting di Israel sejak penemuan Surat Gulungan di Laut Mati beberapa tahun lalu.

Profesor Yosef meyakini, penemuan tersebut akan menambahkan lagi bukti baharu bahawasanya Kota Sha’arayim merupakan benteng awal atau pusat pemerintahan dari Kerajaan Israel di masa kekuasaan Raja Daud a.s.

– TAMAT –

RUJUKAN:

1. Tafsir Ath Thabari.

2. Tafsir Ibnu Katsir.

3. Kisah Penciptaan dan Tokoh-tokoh Sepanjang Zaman oleh Syaikh Muhammad bin Ahmad bin Ilyas.

4. David and Goliath City Found in Israel oleh Mati Milstein di National Geographic News (2008).



Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.