Pertempuran Midway: Kursk Versi Amerika Syarikat

0
714
views

Semua sedia maklum selepas kempen pengeboman Pearl Harbor, tentera Jepun melancarkan kempen Blitzkrieg (perang kilat) mereka sendiri di rantau Pasifik dan Asia Tenggara sehingga berjaya menguasai kebanyakan wilayah rantau tersebut. Namun semua itu berubah selepas Pertempuran Midway yang tercetus pada 4-7 Jun 1942. Seperti Stalingrad dan Kursk yang menyaksikan perang di Medan Timur memihak kepada Kesatuan Soviet ke atas Nazi Jerman, Midway juga menjadi saksi perubahan hala tuju perang memihak kepada Amerika. Bagaimana situasi ini boleh berlaku?

Selepas berjaya menguasai Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Hindia Timur Belanda dan Filipina menjelang Mac 1942, Jepun melancarkan fasa kedua operasi pendudukan mereka iaitu mengasingkan dan menawan Australia dan India. Menerusi pelan tersebut, mereka merancang menawan Papua/New Guinea dan Kepulauan Solomon serta menjadikan dua pulau tersebut sebagai tapak serangan ke atas New Caledonia, Fiji dan Samoa. Dan selepas berjaya menawan bandar Lae dan Salamua, keseluruhan pesisir utara Papua/New Guinea jatuh ke tangan Jepun pada Mac 1942 dan menjadi tapak operasi mereka untuk menawan Port Moresby. Perkembangan ini amat menggusarkan kepimpinan tentera Bersekutu kerana ini pasti akan menyebabkan Australia terdedah kepada ancaman pengeboman Jepun terutama bandar Darwin.

Jetpack Langkawi

Melihat kepada kejayaan Amerika menyerang konvoi kapal Jepun di Lae dan Salamua dan kegagalan serangan mereka di Rabaul, ini mendorong Laksamana Shigeyoshi Inouye menangguhkan serangan ke atas Port Moresby. Alasannya, angkatannya tidak mempunyai kelebihan udara diperlukan di rantau tersebut. Selepas mendapat bantuan tiga kapal pengangkut pesawat, Inouye melancarkan serangan yang mencetuskan Pertempuran Laut Coral. Dalam pertempuran tersebut, kedua-dua pihak mengalami kerosakan teruk dengan Jepun kehilangan kapal pengangkut Shoho sementara Amerika kehilangan kapal pengangkut USS Lexington. Namun ada satu perkara yang kita perlu akui, kejayaan pihak Amerika mengekang pihak Jepun memaksa mereka berundur dan membatalkan serangan ke atas Port Moresby. Dan paling penting, ini juga kali pertama angkatan perang laut Jepun berjaya dihalang.

Pada April 1942, serangan bom ke atas Jepun dilancarkan dari kapal USS Hornet hasil idea legenda penerbangan, Leftenan Kolonel Jimmy Doolittle. Serangan ini merupakan tindak balas Amerika terhadap Jepun selepas serangan ke atas Pearl Harbor. Serangan yang dianggap mustahil oleh pihak Jepun berlaku pada 18 April di mana ia mensasarkan bandar-bandar besar Jepun seperti Tokyo, Kobe, Osaka dan Nagoya. Walaupun serangan tersebut tidak banyak memberi kesan pada infrastruktur dan ketenteraan Jepun, ia dianggap satu tamparan hebat kepada negara Matahari Terbit. Pada mereka, ini sesuatu yang tidak boleh diterima kerana ia dianggap mengancam Jepun terutama maharaja mereka. Justeru, sebagai tindak balas, Midway menjadi tapak untuk melebarkan lagi koridor pertahanan mereka dan sekaligus mematikan ancaman Amerika dengan sekali lagi melancarkan serangan ke atas Pearl Harbor.

Rancangan menyerang Midway sebenarnya sudah dirancang sejak dari Mac 1942 oleh Laksamana Isoroku Yamamoto. Menerusi rancangan tersebut, Yamamoto mahu pihak Jepun menyerang Pulau Aleutians, Alaska terlebih dahulu disusuli dengan Midway. Ini bertujuan membina koridor pertahanan di sebelah timur. Sekiranya pihak Amerika bertindak balas dengan serangan di Aleutian dan Midway, angkatan tentera laut boleh saja menyerang hendap mereka dan memusnahkan angkatan Pasifik Amerika. Tatkala negara Uncle Sam sibuk membina semula angkatan mereka, pihak Jepun akan menggunakan Midway sebagai pos kawalan yang boleh memberitahu ancaman Amerika akan datang. Namun, satu kelebihan yang tidak diketahui oleh Jepun ialah komunikasi mereka sudah terjejas berikutan tindakan pihak Amerika memecah kod komunikasi rahsia mereka. Maka ia bukanlah satu kejutan apabila pihak tentera laut percaya sasaran benar negara Matahari Terbit itu bukan Pulau Aleutians tetapi Midway.

Figure 1: Isoroku Yamamoto]

Laksamana Nagumo Chuichi mengetuai angkatan Jepun ke Midway. Angkatan tersebut terdiri daripada empat kapal pengangkut besar Akagi, Kaga, Soryu dan Hiryu dengan 229 pesawat. Dua lagi kapal pengiring berangkat dari Guam dan Saipan serta disokong 17 kapal terbang peninjau laut. Sementara Yamamoto pula memantau semua operasi dari kapal perang super Yamato. Sementara pihak Amerika pula membawa tiga kapal pengangkut iaitu USS Yorktown, USS Hornet dan USS Enterprise ke Midway. Tiga kapal ini membawa 234 pesawat dan mereka turut disokong oleh 110 pesawat pejuang, pengebom dan peronda di Midway. Amerika turut mengerah 25 kapal selam digerakkan ke Midway di bawah pimpinan Laksamana Muda Robert H. English di mana kapal-kapal ini berada sekitar perairan pulau tersebut.

Figure 2: Chuichi Nagumo

Seperti biasa, Yamamoto membahagikan angkatan tentera lautnya kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan kapal pengangkut, kumpulan kapal perang dan kumpulan yang bertanggungjawab menyerang Midway sekiranya mereka berjaya menumpaskan angkatan tentera laut Amerika yang dipimpin Chester Nimitz. Bagaimanapun, ketiga-tiga kumpulan ini berjauhan antara satu sama lain dan sukar memberi bantuan jika mereka diperlukan. Sementara Nimitz pula memilih taktik serangan hendap dengan menggunakan maklumat risikan yang disediakan oleh perisikan tentera laut. Tanpa pengetahuan pihak Jepun, Nimitz menambah bilangan pesawat di Midway.

Sementara kapal-kapal pengangkutnya pula ditempatkan di timur laut Midway, menanti peluang sesuai untuk menyerang hendap kapal-kapal Jepun bila mereka tiba di medan perang. Nimitz sendiri mendapat bantuan dari dua komander taktikal, Laksamana Muda Frank Jack Fletcher dan Laksamana Muda Raymond A. Spruance. Ketiga-tiganya mengetahui serangan pertama yang dilancarkan mana-mana pihak akan memberi kelebihan sama ada kepada Jepun atau Amerika. Ini kerana kapal-kapal pengangkut mengandungi minyak dan bahan letupan, sekaligus menjadikan ia amat terdedah pada bom atau torpedo.

Figure 3: Chester Nimitz

Sebelum pertempuran meletus, kedua-dua belah pihak cuba mengabadikan ekspedisi mereka di Midway untuk tatapan rakyat di negara asal. Di pihak Jepun, mereka menggunakan khidmat pelukis Jepun-Perancis terkenal, Tsuguharu Fujita. Sementara pihak Amerika pula menggunakan khidmat pengarah filem terkenal, John Ford untuk merakamkan semua detik di Midway sebelum dan semasa pertempuran meletus. Dan semasa pertempuran meletus, sebutir bom meletup berhampiran kubu di mana Ford dan jurukameranya merakam tentera Amerika membalas serangan udara tentera Jepun. Melihat kebanyakan tentera yang bertempur ketika itu berusia awal 20-an tetapi kelihatan tenang pada saat perang berkecamuk, Ford berkata, “Kita sudah menang pertempuran ini.”

Dan apa yang dinyatakan Ford menjadi kenyataan. Pada 3 Jun, pihak Amerika mengebom pasukan penyerang yang menghampiri Midway. Namun serangan tersebut gagal membuahkan hasil. Sebagai tindak balas, Nagumo mengerah 100 pesawat menyerang Midway pada hari berikutnya. Serangan Jepun membuahkan hasil walaupun Midway dipertahankan oleh 50 buah pesawat. Bagaimanapun, serangan Nagumo gagal menghalang pihak Amerika dari terus beroperasi di pulau tersebut. Dan di sinilah kesilapan taktikal Yamamoto terdedah. Yamamoto menyangka mereka hanya perlu menyerang kapal pengangkut Amerika yang baru tiba di Midway dan pulau tersebut. Tanpa disangka-sangka, mereka sudah berada di kedudukan strategik sebelum angkatannya tiba. Dan perkembangan ini meletakkan Nagumo dalam dilema sama ada menyerang angkatan tentera laut Amerika atau menawan Midway. Dilema Nagumo memberi kelebihan besar kepada pihak Amerika.

Spruance dan Fletcher diberi satu tugas mudah oleh Nimitz: cari dan musnahkan kapal pengangkut pesawat Jepun. Setelah lokasi mereka dikesan, Fletcher mengarahkan semua pesawat dihantar dari Hornet dan Enterprise. Sementara Spruance pula teragak-agak pada mulanya tetapi memutuskan menghantar separuh pesawat dari Yorktown untuk mengebom kumpulan kapal pengangkut Jepun. Nagumo pada mulanya mahu menyerang Midway sekali lagi tetapi selepas mendapat tahu lokasi Yorktown, mengarahkan semua torpedo dihalakan ke arah kapal pengangkut Amerika itu. Nagumo juga mengarahkan krew mengisi semula minyak pesawat-pesawat yang mengebom Midway sebelumnya. Apa yang dilakukan oleh Nagumo bersifat berhati-hati tetapi ia satu tindakan yang memakan diri.

Pihak Amerika mempunyai rancangan bagaimana hendak menenggelamkan kapal-kapal pengangkut Jepun. Mereka mahu menggabungkan serangan torpedo dan serangan pesawat pengebom dengan tujuan mengelirukan krew pertahanan kapal-kapal tersebut. Tetapi ada satu masalah, kebanyakan skuadron ini terpisah dan ada yang terlepas menyertai pertempuran tersebut. Pesawat-pesawat yang membawa torpedo merupakan yang pertama sampai. Tetapi disebabkan mereka terbang rendah, ramai menjadi mangsa pesawat Zero Jepun. Antara 9.30 hingga 10.24 pagi, 47 pesawat torpedo Amerika berjaya ditembak jatuh. Nagumo menyangka mereka sudah berjaya menepis tentangan Amerika dan serangan mereka sudah memberi kesan pada Midway. Kini beliau sudah berangan mahu menghapuskan saki-baki tentera Amerika yang masih ada. Tetapi telahan Nagumo tidak menjadi kerana nasib menyebelahi pihak Amerika.

Pesawat-pesawat pengebom Enterprise yang tersesat pada awalnya berjaya tiba di medan pertempuran tatkala pesawat-pesawat Zero kembali ke kapal masing-masing untuk mengisi semula minyak, peluru dan bahan letupan. Mereka mengikuti sebuah kapal pengangkut Jepun yang bergegas kembali ke kumpulan kapal pertama selepas menghalau sebuah kapal selam Amerika yang cuba mensasarkan mereka. Orak buri yang dihasilkan kapal itu menjadi penanda ke mana kumpulan pesawat pengebom ini meletakkan sasaran mereka. Dengan keadaan langit yang cerah dan tanpa gangguan pesawat-pesawat Zero, kumpulan pesawat pengebom ini mula mengebom kapal-kapal pengangkut Jepun. Pihak Jepun nyata terkejut dengan serangan ini kerana mereka tidak mempunyai radar. Sebaliknya, mereka mengharapkan penglihatan manusia untuk mengesan sebarang ancaman tetapi ternyata, ia masih belum mencukupi.

Dalam tempoh lima minit, kapal pengangkut Akagi dan Kaga dibom sekaligus mencetuskan kebakaran yang tidak dapat dikawal. Dek mereka dipenuhi dengan bom, torpedo dan bahan api di mana semua pesawat merupakan bom petrol yang menanti masa untuk meletup. Dan ianya meletus dengan bantuan tiga atau empat bom seberat seribu paun yang mencetuskan kebakaran besar pada Akagi dan Kaga. Selepas itu, giliran pesawat-pesawat pengebom Yorktown pula tiba dan mensasarkan kapal pengangkut Soryu. Soryu turut menerima nasib sama seperti Akagi dan Kaga. Hanya Hiryu saja yang berjaya melepaskan diri dari medan pertempuran.

Sebagai tindak balas, Nagumo mengarahkan Hiryu menggerakkan 40 pesawat untuk menyerang Yorktown. Walaupun Yorktown mempunyai radar amaran, mengeluarkan karbon dioksida dari saluran minyak dan krew pertahanan menjalankan tugas cemerlang menangkis ancaman mereka, ia masih tidak menghalang mereka menggugurkan tiga bom ke atas Yorktown. Pada masa sama, Yorktown turut diserang dengan torpedo sebanyak dua kali.

Figure 4: Keadaan dek USS Yorktown selepas dibom dan diserang torpedo Jepun.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan Nagumo tidak menjadi kerana di sebalik kerosakan buruk yang dialaminya, ia masih bertahan. Ini berlaku disebabkan pihak Amerika sudah melabur bukan sedikit duit berkenaan kawalan kerosakan, sistem keselamatan dan pemadaman api. Pihak Amerika sudah belajar dari apa yang berlaku di Laut Coral dan mereka tidak mahu ianya berlaku sekali lagi. Dalam pertempuran tersebut, Amerika kehilangan sebuah kapal pengangkut yang meletup selepas diserang pihak Jepun. Yorktown terselamat dan pesawat-pesawatnya berjaya mendarat di Hornet dan Enterprise. Dan sekarang, giliran Hiryu pula mengikut jejak langkah Akagi, Kaga dan Soryu di mana ia berjaya dikesan dan ditenggelamkan pesawat-pesawat pengebom Amerika enam jam kemudian.

Figure 5: Keadaan kapal pengangkut pesawat Hiryu sebelum ditenggelamkan oleh pesawat-pesawat pengebom Amerika.

Jika Nagumo menyangka pengalaman perit Midway sudah berakhir, telahannya salah. Pada 6 Jun, pesawat-pesawat pengebom Hornet dan Enterprise menenggelamkan kapal kruzer Mikuma dan merosakkan dua kapal pemusnah, Asashio dan Arashio dan satu kapal kruzer Mogami. Namun sebelum meninggalkan medan pertempuran, krew kapal selam Jepun, I-168 melancarkan torpedo ke atas Yorktown dan kapal pemusnah USS Hammann yang membekalkan kuasa semasa proses salvaj Yorktown. USS Hammann tenggelam dan mengorbankan 80 nyawa sementara Yorktown pula tidak dapat diselamatkan dan tenggelam pada 7 Jun. Yamamoto yang mendapat berita kemusnahan kapal pengangkut pesawatnya segera mengarahkan mereka berundur. Spruance pula menganggap ia satu perangkap dan mengarahkan tidak mengejar kumpulan Jepun yang berundur itu.

Dalam pertempuran tersebut, Jepun kehilangan empat kapal pengangkut, satu kapal kruzer, 270 pesawat dan 3,500 orang krew dan juruterbang. Kebanyakan juruterbang mereka terselamat tetapi pasukan penyelenggaraan teknikal yang memastikan kapal mereka terus beroperasi pula tiada. Sementara pihak Amerika pula kehilangan satu kapal pengangkut, satu kapal pemusnah dan 307 orang tentera. Dan paling penting, ia mengubah hala tuju perang dan memihak kepada Amerika semula.

Bagi Yamamoto, kekalahan di Midway mengakibatkan beliau kehilangan prestij dalam kalangan kepimpinan tentera Jepun. Beliau cuba melancarkan beberapa kempen untuk memperlahankan kemaraan tentera Amerika di Pasifik tetapi kehilangan nyawa yang ramai di pihak Jepun mengakibatkan ia tidak membuahkan hasil. Menyedari statusnya setaraf seperti Erwin Rommel dan Erich von Manstein di pihak Nazi Jerman, Franklin Delano Roosevelt mengarahkan pihak tentera memburu dan membunuh Yamamoto. Dan pada 18 April 1943, pihak Amerika berjaya membunuh beliau semasa dalam perjalanan meninjau keadaan tentera Jepun di Pulau Solomon.

Sementara bagi Nagumo pula, kekalahan di Midway turut mendedahkan sikapnya yang lambat mengambil keputusan dan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kekuatan tentera laut Jepun. Dari November 1942 hingga Jun 1943, Nagumo diberi kedudukan sebagai pentadbir tentera laut di wilayah Sasebo dan Kuree. Beliau sekali lagi diberi peluang mengetuai Armada Pertama dari Oktober 1943 hingga Februari 1944 walaupun peranannya terhad kepada latihan saja. Dan melihat situasi di Pasifik semakin mencemaskan, Nagumo mengetuai pertahanan di Pasifik Tengah. Apabila Pertempuran Saipan tercetus pada 15 Jun 1944, Armada Kelima Amerika Syarikat memberi pukulan maut pada pertahanan Nagumo apabila memusnahkan tiga kapal pengangkut armada dan 600 pesawat. Nagumo akhirnya membunuh diri pada 6 Julai dengan menembak dirinya di kepala berbanding melakukan seppuku, kaedah tradisional bunuh diri bagi tentera Jepun.

SUMBER

  1. Lambert, Andrew. (2011). BBC. Battle of Midway. http://www.bbc.co.uk/history/worldwars/wwtwo/battle_midway_01.shtml
  2. Naval History and Heritage Command. Battle of Midway: 4-7 June 1942. https://www.history.navy.mil/research/library/online-reading-room/title-list-alphabetically/b/battle-of-midway-4-7-june-1942.html

 

Previous articleOda Nobunaga – Bapa Penyatuan Seluruh Jepun
Next articleMitos Di Sebalik The Great Escape
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE