Pertempuran Gunung Pueh, Lundu 7 April 1973

0
3500
views

DIKETIKA komunis bermaharajalela suatu waktu dahulu di Sarawak, adakalanya jumlah anggota keselamatan kita tidak mampu menandingi banyaknya operasi-operasi yang harus disertai.  Dan acapkali juga anggota dalam “simpanan” akan dikerahkan juga biarpun mereka masih lagi didalam “pantang” untuk bertempur kerana masalah disiplin dan sebagainya.

Dan berbicara tentang konteks ini sebenarnya terselit satu kisah pertempuran yang pernah terjadi di bumi Sarawak iaitu yang berlaku di Gunung Pueh, Lundu pada tanggal 7hb April 1973.  Ini kerana pertempuran ini melibatkan anggota tentera “bottle washer” kerana merekalah yang dihantar untuk menyertai satu operasi sulit di Lundu pada waktu itu.

Kesemuanya bermula apabila mendapat perkhabaran berita daripada unit risikan bagaimana seorang pemberi maklumat mereka iaitu seorang anak tempatan Lundu telah mati digantung di pokok oleh komunis.  Mungkin kerana rahsianya sudah bocor maka si komunis durjana akan cuba membalas dendam agar ianya mampu menjadi tauladan kepada penduduk tempatan agar tidak bersekongkol dengan Kerajaan.  Begitulah yang sering terjadi di ketika zaman komunis di mana-mana tempat di Malaysia suatu waktu dahulu.

Di dalam pada itu, maklumat dari unit risikan juga menyatakan bahawa akan ada segerombolan gerila komunis akan mendatangi satu lokasi di Gunung Pueh.  Melalui sumber juga turut menyatakan kekuatan musuh mungkin sekitar 30 ke 40 orang kesemuanya.  Bertindakbalas daripada maklumat itulah, Leftenan Kolonel Sabaruddin Sulaiman iaitu Pegawai Pemerintah Batalion 2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada masa itu tidak mempunyai pilihan selain menghantar 12 orang anggota tentera “bottle washer” pelbagai pangkat ke Gunung Pueh serta merta.

Dengan diketuai oleh unit platun pada masa itu iaitu Kapten Hamid Awang yang turut diceritakan antara pegawai yang masih lagi di dalam “edah” kerana baharu sahaja dihadapkan ke Mahkamah Tentera telah diberikan tanggungjawab besar untuk memimpin unit platun ke Gunung Pueh.  Sekitar jam 4 petang pada maka tibalah platun ini ke lokasi yang diberikan dan tanpa berlengah mereka langsung membuat peninjauan perimeter di kawasan tersebut.

Jam 4 petang mungkin masih siang tetapi jika berada di hutan belantara sudah tentu keadaan sudah hampir gelap.  Dengan penuh berhati-hati mereka membuat tinjauan sehinggalah pada satu ketika iaitu apabila Prebet Taib bin Tawal bersama dengan rakannya, Sarjan Dollah merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada longgokan balak yang ditebang di satu lokasi.  Naluri seorang askar yang sudah biasa dengan keadaan hutan sudah tentu mempunyai pengalaman tentang keadaan sekeliling mereka maka kedua-duanya telah mula merangkak secara senyap menghampiri satu tempat di dalam hutan.

Ternyata gerak hati mereka benar belaka bahawa dihadapan mereka dapat dilihat dengan jelas ada empat gerila komunis sedang berehat tetapi tetap siaga dengan senjata mereka.  Cuma kelibat Prebet Taib dan Prebet Dollah tidak disedari oleh empat komunis ini.  Makanya kedua-dua anggota platun ini bertindak bijak dengan berundur seketika untuk kembali ke pegawai mereka iaitu Kapten Hamid Awang tentang letak duduk hal sebenarnya.

Usai mendapat informasi daripada Prebet Taib itulah pegawai Kapten Hamid Awang telah mengambil keputusan untuk kembali ke kem namun setelah berbincang sesama anggota unit platun ternyata kesemuanya bersetuju untuk menghapuskan gerila komunis pada hari itu juga.  Ini kerana mereka mengetahui bahawa kumpulan komunis tidak pernah tetap pada satu lokasi sahaja dan sering berpindah randah untuk mengaburi jejak mereka.  Jadi ini adalah peluang sekali sahaja yang akan diambil biarpun mereka mengetahui nyawa juga yang akan menjadi taruhan kelak.

Strategi diatur dengan sekemas mungkin dan pada masa itulah Prebet Taib telah diberikan satu tugas yang berat biarpun hanya seorang prebet tetapi menjadi ketua unit platun oleh Kapten Hamid Awang.  Pada masa itu platun seramai 12 orang telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan perubatan semboyan dan serangan.  Kumpulan serangan dianggotai sendiri oleh Kapten Hamid Awang, Sarjan Dollah dan Prebet Taib yang mana merupakan barisan hadapan serangan pada masa itu.

Waqaf Saham

Di dalam suasana sudah hampir malam mereka kembali semula ke lokasi di mana empat komunis sedang berehat tadi.  Dengan penuh berhati-hati akhirnya setelah siaga semuanya, Prebet Taib terus menembak ke arah empat komunis itu.  Maka bermulalah episod berbalas tembakan antara kedua-dua pihak membelah suasana hening dan kelam Gunung Pueh.

Ada satu ketika, Prebet Taib telah bertindak berani dengan melompat langsung ke kawasan musuh dan dikala itulah beliau umpama singa lapar telah menghayun senjatanya tepat ke kepala tiga orang komunis tanpa mereka mampu untuk membalas serangannya.  Di dalam keadaan riuh itu juga diceritakan Prebet Taib hilang pertimbangannya sehingga beliau terperosok jatuh ke tanah dengan posisi terlentang.  Dengan posisi sedemikian, Prebet Taib sebenarnya terdedah kepada serangan tiga komunis yang sebenarnya belum mati lagi akibat hayunan senjata beliau sebaliknya salah seorang daripada komunis itu mampu berdiri dan sudah siaga untuk membedalnya.

Namun belum sempat berbuat apa-apa, Kapten Hamid Awang sudahpun menghalakan bedilan peluru M79 dari posisi belakang komunis tersebut yang akhirnya rebah betul-betul diatas Prebet Taib yang terlentang pada masa itu.  Malah Kapten Hamid turut tidak melepaskan dua lagi rakan komunis yang masih hidup walau cedera sehingga kesemua mereka mati cuma seorang sahaja komunis yang berjaya meloloskan diri dengan terjun ke sungai yang berhampiran.

Setelah memastikan bahawa tiada lagi saki baki komunis yang ada akhirnya di dalam kegelapan malam mereka menjumpai sekujur tubuh kaku di atas puing balak. Dan kesemua mereka terpaksa menelan segalanya apabila sekujur tubuh yang kaku itulah Prebet Ali, salah seorang daripada unit platun yang baru berusia 19 tahun telah tewas di dalam pertempuran tersebut.

Pertempuran di Gunung Pueh pada tanggal 7 April 1973 ini menyaksikan 12 anggota RAMD berperang berhabis-habisan dengan empat gerila komunis dengan tiga orang komunis mati ditembak dan seorang anggota keselamatan Malaysia gugur sebagai bunga bangsa.  Mereka turut berjaya merampas tiga laras senjata automatik berserta peluru dan peralatan lain.

Atas kecemerlangan tugasan mereka, Kapten Hamid Awang yang berasal dari Kuala Trengganu telah dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) di ketika berusia 26 tahun manakala Prebet Taib bin Tawal, anak kelahiram Ayer Molek, Melaka menerima penganugerahan Pingat Gagah Berani juga pada usia yang masih muda remaja lagi. Kedua-duanya menerima penganugerah dari Yang Dipertuan Agong Malaysia pada tahun 1974.

Walau dikategorikan sebagai anggota tentera “bottle washer” atau bermasalah disiplin namun hakikatnya kesemua mereka adalah barisan anggota keselamatan yang akan tetap berjuang selagi kudrat masih ada untuk keamanan negara Malaysia.  Semangat perjuangan yang tidak akan luntur kerana biar putih tulang jangan sesekali putih mata.

Lest We Forget.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

 

Rujukan:

  1. Keberanian Luar Jangkauan https://btdmonline.net/2017/04/sjn-taib-tawal-pgb-bersara-keberanian-luar-jangkauan/
  2. Perginya Seorang Wira Negara https://www.facebook.com/pagemkatm/posts/1030206657050696
  3. Seorang Pahlawan Yang Tidak Luput Dimakan Zaman http://xnuripilot.blogspot.my/2011/07/seorang-pahlawan-yang-luput-dimakan_07.html

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.