Alexander The Great, satu nama yang sangat diingati dalam persada sejarah dunia. Seorang anak muda yang menggegar dunia apabila membina sebuah empayar yang meliputi 1/3 dunia yang dikenali ketika itu. Bukan calang-calang anak muda yang bernama Alexander ini. Dinobatkan antara jeneral-jeneral perang yang tidak pernah kalah langsung dalam peperangan, sebaris namanya dengan jeneral perang dalam sejarah seperti Khalid Al-Walid dan juga Genghis Khan.

Berpuluh-puluh pertempuran pernah dijejak oleh Alexander dan salah satu yang paling dikenang oleh umat manusia sehingga hari ini adalah PERTEMPURAN GAUGAMELA, di mana Darius III, raja Empayar Parsi daripada Dinasti Achaemenid kalah teruk meski membawa askar yang jumlahnya berganda-ganda daripada yang dimiliki oleh Alexander The Great sendiri.

Baik, cukup saya berbasa basi di bahagian pengenalan. Kita terus bersama mengembara dan menyelami salah satu daripada pertempuran teragung dalam sejarah dunia. Pertempuran yang tidak keterlaluan mengangkat Alexander The Great sebagai seorang jeneral agung pada usia yang muda.

Pertama, saya mencadangkan untuk kita menyelami dahulu beberapa analisis yang dibuat ke atas pasukan yang dipimpin oleh Alexander dan Darius sebelum kita bercerita terus tentang perjalanan pertempuran ini berserta dengan taktikal hebat yang digunakan oleh Alexander bagi membantai Raja Darius III. Saya buat dalam bentuk ringkas di bawah untuk kesenangan pembacaan.

1. Macedonia dan Hellenic League (Gabungan Negara Kota Yunani)

1.0 Alexander The Great

Seorang pemimpin yang memanjat tangga kemasyuran dalam usia yang sangat muda. Ketika Pertempuran Gaugamela ini bermula, usianya baru sahaja mencecah 25 tahun, dan ketika itu empayarnya sudah merangkumi Syiria dan juga Mesir. Maka pastinya darah mudanya yang menggelegak itu membuatkan dia terlalu terlebih yakin di sebalik minda geniusnya.

1.1 Tentera Macedonia

Askar: 40, 000
Askar Berkuda: 7000 orang

1.2 Unit Yang Menjadi Tulang Belakang

Askar Berkuda Tessalian: Dianggap sebagai unit berkuda terbaik di seluruh Greek. Menggunakan lembing dan tombak sebagai senjata. Kekuatan unit ini adalah sangat pantas dalam penggerakan di medan perang.

1.3 Senjata Utama

Sarissa: Sejenis tombak setinggi 6 meter dengan mata yang sangat tajam. Sangat berkesan dalam menangani senjata-senjata pendek yang memerlukan penggunanya menghampiri mereka. Tetapi sangat tidak berguna sekiranya dalam situasi satu lawan satu dan diluar formasi Phalanx, di mana memerlukan penggunanya berada dalam jarak yang rapat dan membentuk dinding tersendiri.

2. Dinasti Achaemenid

2.1 Darius III

Kelebihan Darius III dalam pertempuran ini hanyalah jumlah askarnya yang jauh lebih banyak daripada Alexander. Berbanding dengan Alexander yang seorang genius militari perang, Darius III tidak mempunnyai pengalaman di medan perang. Lagipun tiada apa bakat-bakat istimewa pada batang tubuh bernama Darius ini sehinggakan boleh memberi inspirasi pada askar-askarnya.

2.2 Tentera Achaemenid (Parsi)

Askar: 50 000 orang sehinggakan 1 Juta orang
Askar Berkuda: 13 – 42 Ribu orang.

2.3 Unit Yang Menjadi Tulang Belakang

Tentera Bergajah: Biasanya dalam peperangan, haiwan yang sebesar ini digunakan untuk merempuh ke arah pasukan musuh sambil menghentak-hentakkan kaki, dengan harapan askar musuh akan terpijak.

2.4 Senjata Utama

Kereta Kuda (Chariot) Scythian: Chariot sepanjang 1 Meter ini mempunyai bilahan yang tajam di bahagian roda sambil ditarik oleh empat ekor kuda. Biasanya chariot ini akan digunakan untuk merempuh ke formasi Phalanx Alexander. Namun untuk memastikan senjata utama mereka ini berfungsi, maka merek aharus memilih tanah yang terbuka dan lapang untuk melancarkan penggerakan dora berbilah pedangnya.

Sekarang kita jelas bukan tentang kekuatan yang dimiliki oleh kedua-dua belah pihak, bermula daripada jeneral perang mereka sehinggalah kepada unit dan senjata yang menjadi tulang berlakang pasukan masing-masing.

Baiklah, kita bermula pada sedikit kisah penceritaan tentang Pertempuran Gaugamela yang harus kita kenang dalam sejarah.

Pertempuran Gaugamela bukanlah pertempuran pertama yang dihadapi oleh Parsi menentang Alexander. Sebaliknya sebelum ini, Parsi dimalukan di Pertempuran Issus dan juga Pertempuran Granicus. Jadi, Darius III tahu yang dia sedang berdepan dengan salah satu bakat terhebat dalam peperangan yang wujud pada ketika itu. Maka ketika sebelum perang, Darius III sendiri telah menawarkan kepada Alexander The Great sebahagian empayarnya dengan harapan Alexander tidak mengheret pertempuran itu ke tahap yang lebih teruk. Namun sayangnya, tawaran daripada Darius III itu ditolak mentah-mentah oleh Alexander yang pada asalnya mahu mempertimbangkan tawaran Darius III sebelum ditentang oleh orang-orang kanannya.

Kali ini, tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukannya di Pertempuran Issus, maka Darius memilih tanah yang lapang untuk memastikan askarnya yang dianggarkan sehingga mencecah 1 Juta orang serta unit kereta kuda Chariotnya bergerak lancar. Alexander pula dalam masa yang sama memang sudah mengkaji habis penggerakan dan taktikal askar Parsi terutamanya di bawah pimpinan Darius III memandangkan Pertempuran Issus, begitu banyak anak-anak buah Darius III dijadikan tahanan perang.

Tahanan-tahanan perang ini menjadi tempat Alexander III mengorek sebanyak rahsia tentang nemesis utamanya, Darius III dalam menghalang cita-citanya menakluk Parsi.

Pertempuran bermula apabila Alexander membawa askarnya berkampung kira-kira 11 kilometer daripada lokasi kem Parsi. Sampai sahaja di sana, Alexander digesa oleh jeneral-jeneralnya untuk menyerang kem Parsi secara mengejut pada waktu malam namun Alexander mengatakan bahawa dia tidak mahu ‘mencuri’ kemenangan dan merasakan bahawa kalau serangan mengejut itu dilakukan, ianya tidak akan berpihak pada askarnya. Dalam masa yang sama pula, Darius pula merasakan bahawa Alexander akan melakukan serangan mengejut pada waktu malam pula menyuruh askar-askarnya berjaga sepanjang malam. Malangnya serangan yang sepatutnya berlaku tidak berlaku, Maka pada keesokan harinya, askar-askar di bawah Alexander mendapatkan tidur lena dan rehat panjang manakala askar-askar Darius terpaksa bertempur dalam keadaan mengantuk dan kepenatan berjaga menunggu serangan yang tak kunjung tiba.

Maka pagi itu, bertolaklah Alexander The Great membawa 40 ribu orang askar Macedonia dan gabungan negara-negara kota Yunani yang lain. Sampai sahaja dia ke medan pertempuran itu, digambarkan dalam rekod sejarah mereka melihat lautan manusia yang tidak tergambar banyaknya membentang dalam medan perang, dengan jumlah askar berkuda yang sangat banyak, dengan dicatatkan keberadaan tentera bergajah sebanyak 15 ekor, bersama unit elit tentera Parsi bernama Immortal menjaga dan mengelilingi Darius.

Taktikal Alexander dalam pertempuran ini untuk mewujudkan ruang yang jarak untuk barisan askar parsi, lalu ini secara tak langsung melemahkan bala askar Parsi yang dikatakan sehingga mencecah 1 Juta orang. Jadi, bagaimana Alexander mahu memastikan perancangannya berjaya? Jom kita ikut kronologi Pertempuran Gaugamela.

1. Kalau tadi kita tahu yang betapa pengecutnya Darius III dengan perlindungan yang agak mengarut, tetapi Alexander memimpin barisan askar berkudanya di bahagian sayap kanan manakala jeneral kepercayaannya Parmenion pula mengetuai barisan askar berkuda di sayap kirinya. Dia meletakkan askar pejalan kaki di barisan tengah yang disuruhnya bergerak dalam formasi Phalanx.

2. Jadi, bagaimanakah Alexander mahu memastikan bahawa Darius termakan dengan perangkapnya? Maka Alexander pun menggerakkan sayap kanan di bawah pimpinannya dan sayap kiri di bawah Parmenion, bergerak dalam bentuk lencongan sebanyak 45 darjah.

Bentuk lencongan yang dibuat oleh Alexander ini sebenarnya tidak menuju terus kepada barisan askar Parsi, sebaliknya menarik mereka jauh dari bahagian tengah Parsi. Penggerakan Alexander tidak menerus ke arah barisan sayap kiri dan kanan Parsi sebaliknya menumpukan pada sudut tertentu. Dalam masa yang sama, Alexander meletakkan unit Phalanx di hujung sayap kiri dan kanan, untuk berjaga-jaga kalau ada penggerakan mengejut dari sayap Parsi yang mereka akan berdepan.

3. Dalam masa yang sama, barisan tengah dalam formasi Phalanx dengan tombak Sarissa pula akan berdepan dengan barisan depan tentera Parsi. Darius telah menghantar kereta kuda Chariot berserta tentera gajahnya untuk menentang bahagian tengah barisan Macedonia. Namun, tentera bergajah berjaya dipatahkan serangan apabila hujanan tombak dilancarkan oleh barisan tengah Macedonia.

Manakala Alexander seperti sudah menjumpai cara terbaik mematahkan serangan kereta kuda Chariot yang terdapat belahan tajam di rodanya. Ketika kereta kuda itu sedang menuju ke arah formasi mereka, maka mereka dengan berbesar hati meninggalkan ruang kosong untuk kereta kuda itu lalu, dan ketika kereta kuda itu terperangkap di tengah-tengah formasi Phalanx, maka mereka pun beramai-ramai menghancurkan kereta kuda tersebut.

4. Dalam masa yang sama, di sayap kanan tentera Macedonia yang dipimpin oleh Alexander sendiri sedang berdepan dengan ketumbukan askar berkuda Scythian yang tidak terikira banyaknya. Namun, berkat kehebatan pimpinan Alexander dan dispilin askarnya, tentera berkuda Scythian berjaya dikekang.

5. Penggerakan 45 darjah yang dilakukan oleh Alexander telah menarik barisan sayap kiri Parsi semakin jauh daripada bahagian tengah Parsi, tempat di mana Darius sedang bersemayam bersama dengan bodyguard yang agak merapu banyak jumlahnya. Melihatkan ini peluangnya untuk menyerang bahagian tengah Parsi, maka Alexander terus beransur membentuk barisan untuk terus merempuh ke dalam gap yang terbentuk, lalu terus mencari Raja Darius III. Serangan tiba-tiba dari Alexander mendatangkan rasa kejutan pada Darius apabila tiba-tiba askar-askar Alexander berjaya memasuki barisan tengah Parsi. Ini membuatkan Raja Darius terus cabut dari medan perang.

6. Apa yang dilakukan oleh Alexander ini pula menimbulkan gap antara sayap kanan pasukan Alexander dan juga bahagian tengah, membuatkan askar Parsi dapat menyerbu ke dalam kem tentera Macedonia dan membeaskan tahanan perang disitu. Ketika ini, mereka tidak tahu si pemimpin mereka dah lari awal.

7. Namun ketika sinar kemenangan mula kelihatan untuk bahagian sayap kanan yang dipimpin oleh Alexander, Parmenion pula sedang berusaha menahan asakan bertali arus dari sayap kanan Parsi. Terperangkap antara membantu kawan atau terus mengejar Darius, maka Alexander memilih untuk membantu Parmenion.

8. Lalu Alexander pun terus membawa askar-askarnya itu terus pada sayap kiri pasukannya, dan sepanjang pengerakkan itu, Alexander kehilangan dalam 60 orang askarnya. Namun sampai sahaja di sayap kirinya, dia dapati bahawa askar Parsi telah mengundurkan diri apabila menyedari raja mereka telah cabut awal.

9. Selepas peperangan ini, Darius yang merancang untuk mengumpulkan askar-askar bagi berdepan dengan Alexander pula, dia telah dibunuh oleh orang kepercayaannya bernama Bessus. Ketika Alexander menjumpai mayat Darius, dia berasa sedih kerana merasakan raja seperti Darius tidak harus menemui pengakhiran seperti ini. Sepatutnya dia sendiri terkorban dalam peperangan, sekurang-kurangnya kematian seperti itu sesuatu yang dihormati.

10. Akhirnya, Alexander sendiri telah mengadakan ritual pengebumian Darius sesuai dengan kepercayaan dan agama anutan Darius di Persepolis. Selepas pengebumian Darius, Alexander sendiri mengejar dan mencari Bessus dan menjatuhkan hukuman mati ke atas Bessus.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Leave A Reply