Pertempuran Covadonga Dan Era Reconquista

793

Pernahkah mendengar nama sebuah kota di utara Sepanyol yang dinamakan Asturias? Kini kota yang menjadi saksi sejarah epik dunia antara Kristian Katolik dan Tentera Islam Umayyah itu menjadi kebanggaan penganut agama Kristian setibanya Hari Krismas setiap tahun. Pada mereka, bermula dari kota itulah penyebaran dan kebangkitan agama Kristian meningkat naik bukan saja di Sepanyol tetapi di seluruh dunia.

Kita mungkin hairan bagaimana Andalusia yang telah ditakluk oleh Tariq bin Ziyad dan Musa bin Nusair akhirnya kembali di tawan oleh tentera Kristian Katolik? Kita perlu tahu bahawa penduduk asal Andalusia tidak menentang kerajaan Islam adalah kerana terlalu lama berada di bawah pemerintahan puak Visigoth yang menekan rakyat. Maka mereka merasakan pemerintahan Islam lebih selamat dan tidak sesekali mereka akan kembali untuk pemerintahan yang lain.

Bermula pada 711 M, Tariq Bin Ziyad seperti yang diarahkan oleh Musa bin Nusair telah memulakan ekspedisi dengan 7000 orang tentera yang majoritinya hanyalah pasukan infantri (pasukan pejalan kaki) untuk menghadapi 100 000 orang tentera yang lengkap yang diketuai oleh Raja Roderick. Melihat keadaan itu, Tariq meminta bantuan Musa bin Nusair dan beliau menghantar 5000 orang tentera lagi sebagai tambahan yang diketuai oleh Tharif bin Malik, menjadikan jumlah mereka 12000 orang kesemuanya. Masih sedikit jika nak dibandingkan dengan tentera Visigoth.

Pertemuan kedua dua tentera ini dikenali sebagai Pertempuran Rio Barbate ataupun  Perang Guadalate yang keputusannya kemenangan berpihak kepada pasukan tentera Islam. Inilah titik mula penaklukan Hispania (nama sebelum penaklukan) keseluruhannya. Apa yang menarik adalah perang ini berlaku pada 28 Ramadhan iaitu ketika Umat Islam sedang berpuasa. Sudahlah sedikit, berpuasa pula. Maka ini adalah kualiti tentera Islam ketika itu.

Selepas kemenangan dalam pertempuran ini, Tariq Bin Ziyad bersama baki tentera yang ada seramai 9000 orang dan semakin bertambah penyertaannya dari penduduk setempat dan bantuan dari Afrika Utara meneruskan penaklukan sehingga sampai ke pintu gerbang Toledo. Toledo memang dikenali sebagai kubu kuat tentera Kristian di Hispania. Lagi pula kawasannya yang strategik sebagai pertahanan dari musuh luar menjadikan kota itu idaman ramai.

Setelah Toledo dikuasai oleh Tariq bin Ziyad, maka beliau naik terus ke utara sehingga mampu menakluki Castille dan Leon dan berhasil menghalau tentera Gothic ke arah barat daya di Pergunungan Giliqiyah yang menjulang.

Musa bin Nusair juga turut turun ke Andalusia untuk membantu Tariq bin Ziyad dan mereka bersama sama memulakan kempen penaklukan ke utara Andalusia yang dimulakan dengan Barcelona dan kemudian mereka bergerak ke timur menuju ke kota Zaragoza yang merupakan kota terbesar di timur Andalusia.

Musa bin Nusair kemudian meneruskan perjalanan ke wilayah barat laut bersama pasukannya hingga berhasil sampai ke hujungnya. Kota demi kota akhirnya jatuh ke tangan tentera Islam hingga akhirnya selesai dengan penaklukan seluruh Andalusia, kecuali sebuah kota yang terletak di hujung kawasan barat laut, yang dikenali dengan nama Kota Shakhrah (Santiago). Kota ini terletak di Selat Biscae pada pertemuannya dengan Laut Atlantik. Di sinilah bermula segala galanya yang akan menumbangkan kerajaan Islam di Andalusia.

KOTA SHAKHRAH PERMULAAN SEGALANYA

Setelah Andalusia ditakluki oleh tentera Islam, maka pembesar pembesar Kristian yang wilayahnya ditakluki telah lari ke barat laut Andalusia memohon perlindungan di sana. Asturias merupakan kawasan terpencil di sebalik pergunungan yang tidak dapat ditembus oleh mana mana pihak termasuklah tentera Visigoth sebelum Islam. Kawasan ini dihuni oleh puak Astures yang bekerja sebagai petani dan pelaut.

Jadi, apabila saki baki tentera dan pembesar telah lari ke sini, kawasan itu dibangunkan sedikit demi sedikit. Ada seorang pembesar bernama Pelagius yang kini tugunya didirikan di kawasan bernama Covadonga. Pelagius ini merupakan saudara kepada Raja Roderic yang ditumpaskan oleh Tariq bin Ziyad.

Dendam kesumatnya terhadap pemerintahan Islam semakin mendalam apabila mereka berasa ditekan kerana dikenakan jizyah. Maka plot untuk menawan kembali Andalusia telah dilakukan. Pelagius telah mampu menarik puak Astures dan Visigoth untuk bersamanya bagi menyerang pos pos kawalan berhampiran Asturias. Setelah Tariq bin Ziyad dan Musa bin Nusair dipanggil kembali ke Baghdad oleh Khalifah ketika itu, para pentadbir yang baru telah menaikkan nilai jizyah sehingga menekan kafir zimmi yang berada di Andalusia.

Munuza selaku pentadbir telah lari ke selatan Andalusia akibat dari pemberontakan Asturias. Pemberontakan ini mendapat lebih perhatian lagi selepas tentera Islam dikalahkan dalam Pertempuran Toulouse di selatan Perancis. Al Qama dan Munuza telah kembali ke Asturias untuk memadamkan pemberontakan yang terjadi pada awal 722 M.

Menyedari keupayaan tentera tidak mampu menandingi Al Qama dan Munuza, maka Pelagius berundur ke sebuah lembah bernama Covadonga. Di sini dia menggunakan taktik gerila menunggu kedatangan Al Qama. Tanpa disedari, Al Qama telah diumpan dan tentera Islam telah diserbu dan dibunuh termasuk Al Qama. Saki baki tentera melarikan diri.

Kejayaan ini menjadikan Pelagius dihormati oleh pembesar Galicia dan Asturia. Maka makin ramai yang menyertai perjuangan Pelagius. Dengan bilangan tentera yang mantap, maka Pelagius bergerak menyerang Munuza dan Munuza syahid dalam pertempuran. Selepas menghapuskan dua ancaman dari Umayyah ini, Pelagius telah memastikan Asturias bebas dari ancaman kaum Muslimin.

Maka tertubuhlah Kerajaan Asturias yang telah menjadi Pelagius sebagai raja pertama. Kerajaan Asturias telah menjadi penyelamat kepada Kristian di bumi Andalusia. Kerajaan Asturia menjadikan bebas di bumi Andalusia dan ia permulaan kepada pertempuran panjang yang memakan masa berabad lamanya yang dikenali sebagai Reconquista – Penaklukan Semula Sepanyol, yang juga akan menyebabkan jatuhnya kota Cordova dan Islam seluruhnya di bumi Andalusia pada tahun 1236 M.

RUJUKAN

1. Thoriq Ahmad, (1984), Ini Sejarah Kita, Pustaka Buku Putih

2. Prof. Dr. Raghib As-Sirjani, (2013), Bangkit dan Runtuhnya Andalusia, Pustaka Al Kautsar

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.