Perpecahan di kalangan pemimpin-pemimpin Islam di Sepanyol telah memberi kesempatan kepada orang-orang Kristian di sebelah utara untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka. Sebelum ini mereka terpaksa membayar ufti atau jizyah kepada kerajaan-kerajaan Islam. Akan tetapi selepas itu kerajaan-kerajaan kecil atau Muluk al-Tawaif terpaksa pula membayar ufti kepada kerajaan Kristian.

Pemimpin kerajaan Kristian yang paling handal ketika itu ialah Alfonso VI yang memerintah Leon dan Castile. Beliau telah berjaya memungut ufti daripada pemimpin-pemimpin kerajaan kecil Islam termasuk pemimpin dari Seville. Pada tahun 1085, Toledo yang diperintah oleh Bani ‘Abbad pimpinan Sultan Muhammad II al-Mu’tamid telah jatuh ke tangan Alfonso VI.

Kejatuhan Toledo telah memyebabkan Khalifah al-Mu’tamid di Seville meminta bantuan daripada kerajaan al-Murabitin di Afrika Utara bagi memerangi Alfonso VI. Di sini menampakkan bahawa al-Mu’tamid lebih rela menyerahkan nasibnya kepada saudara seagama walaupun datangnya dari luar Sepanyol daripada menyerah kalah kepada musuh Islam iaitu puak Kristian. Pendirian beliau ini jelas daripada kata-kata: “Aku lebih rela menjadi pemandu unta di padang pasir daripada menjadi penternak khinzir di Castile.”

Tindakan Khalifah al-Mu’tamid membawa masuk tentera al-Murabitin ke Sepanyol adalah titik permulaan kepada penubuhan kerajaan al-Murabitin di Sepanyol. Pemimpin al-Murabitin yang memerintah Afrika Utara pada ketika itu ialah Sultan Yusuf bin Tasyfin. Beliau adalah berketurunan Barbar, sebagai pengasas kerajaan al-Murabitin di Afrika Utara. Pada tahun 1062, beliau telah berjaya mendirikan kerajaannya yang berpusat di Marrakesh, Afrika Utara.

Pada tahun 1086, beliau telah menerima jemputan daripada al-Mu’tamid, pemerintah kerajaan Bani ‘Abbad (1086-1091) di Seville untuk datang ke Sepanyol bagi menentang Alfonso VI. Tanpa berlengah-lengah Yusuf terus datang dengan tenteranya seramai 3,000 orang.

Sewaktu Raja-Raja Sepanyol bekerja keras untuk menguasai bandar-bandar dan perkampungan Islam, di mana dalam hal ini mereka telah bersatu dan bekerjasama, Alfonso VI melancarkan tekanan ke atas Zaragoza. Raja Aragon mengepung Tortosa, dan Raja Barcelona sedang bersiap-siap untuk memerangi Valencia. Pada waktu yang sangat genting inilah Yusuf bin Tasyfin menyeberangi laut menuju Sepanyol. Beliau disambut secara kebesaran oleh al-Mu’tamid bin ‘Ibad di al-Jazirah al-Khadra.

Umat Islam dan Muluk al-Tawaif berduyun-duyun datang mengunjungi kem al-Murabitin, sehingga terhimpun satu pasukan tentera yang besar dekat kem tersebut, yang terdiri dari rakyat Sepanyol. Ini ialah selain pasukan tentera yang sengaja di bawa oleh Yusuf dari Maghribi. Berita ini telah sampai dengan segera kepada Raja-Raja Kristian.

Akhirnya mereka meninggalkan kegiatan-kegiatan (aksi) yang sedang mereka lakukan, dan mereka semuanya berhimpun di bawah bendera Alfonso VI yang sedang berangkat ke selatan dengan tujuan menemui pasukan al-Murabitin.

Kedua pasukan ini telah bertemu di Badajoz (di barat Zallaka), Sepanyol pada 23 Oktober 1086 bersamaan bulan Rejab 479H. Pertempuran yang merupakan hari dan saat penentuan ini telah diadakan pada hari Jumaat.

Alfonso telah menggunakan muslihat yang tidak disangka-sangka oleh kaum muslimin, yang mana beliau telah mengirim perutusan untuk mengemukakan usulan kepada panglima perang kaum muslimin ini supaya pertempuran tersebut dilangsungkan pada hari Jumaat, Sabtu atau Ahad.

Akan tetapi al-Mu’tamid cukup mengerti muslihat panglima kristian itu. Al-Mu’tamid mengingatkan pasukan al-Murabitin mengenai muslihat tersebut. Ternyata firasat Ibnu ‘Ibad memang benar. Alfonso membuat ketetapan supaya serangan dilancarkan waktu solat Jumaat. Akan tetapi umat Islam telah membuat langkah-langkah penjagaan untuk menghadapi serangan Kristian, sesuai dengan taklimat dan pengarahan Ibnu ‘Ibad.

Yusuf bin Tasyfin membahagikan pasukannya kepada tiga bahagian utama. Pasukan pertama diketuai oleh al-Mu’tamid dengan 15,000 mujahid. Pasukan kedua yang mengandungi 11,000 tentera diperintah oleh Yusuf sendiri dan pasukan ketiga dianggotai oleh 4,000 tentera khas dari Afrika lengkap dengan lembing panjang. Pasukan al-Mu’tamid merupakan ketumbukan pertama yang bertempur dengan tentera Kristian sehingga ke petang.

Kemudian, giliran pasukan Yusuf pula mengempur kedudukan musuh dan mengepung Alfonso serta tentera-tentera Kristian. Ketika tentera Kristian mula panik dan luntur segala semangat yang ada kerana teruk diserang dari segenap penjuru, Yusuf mengarahkan pasukan ketiga pula untuk masuk ke tengah-tengah medan pertempuran bagi menghancurkan terus pasukan musuh.

Dari sejumlah 60,000 tentera musuh, hanya tinggal 500 sahaja yang hidup. Dan daripada jumlah tersebut, hanya 100 orang yang berjaya pulang ke Castile dengan selamat. Di antara pembesar Castile yang terbunuh termasuklah Rodrigo Muñoz dan Vela Oveguez manakala Alfonso berjaya melarikan diri tetapi kehilangan sebelah kaki. Di pihak muslimin pula, antara tokoh yang syahid ialah Imam Besar Cordova, Abu al-Abbas Ahmad bin Rumayla.

Berita kemenangan ini telah sampai ke Maghribi dan seluruh bandar di Sepanyol, yang menyebabkan umat Islam merasa kesegaran dan kegembiraan. Akan tetapi Yusuf bin Tasyfin tidak dapat melanjutkan pertempuran dalam menghadapi bangsa Sepanyol dan untuk menumpaskan mereka setelah mereka mengalami kekalahan yang besar ini.

Ini kerana Ibnu Tasyfin menerima berita kewafatan anaknya yang merupakan naib beliau sendiri di Marrakesh (pusat kerajaan al-Murabitin). Ibnu Tasyfin bergegas pulang ke Maghribi. Sebagai naib beliau di Sepanyol adalah panglima tenteranya, Siar bin Abu Bakar.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.