Bila sebut perihal Viking atau Norsemen, kita boleh bayangkan keganasan yang dilakukan mereka semasa menyerang kota atau kubu di Eropah dari abad kelapan hingga ke-11 Masihi seperti dipaparkan dalam drama bersiri History, Vikings. Tetapi satu perkara yang mengundang persoalan ialah wujudkah hubungan golongan ini dengan Tamadun Islam dalam abad-abad yang dinyatakan? Jika ya, apakah respon kerajaan berkenaan bila berhadapan dengan mereka?

Abbasiyah dan Charlemagne

Semasa ekspedisi menyerang dan menjarah yang dilakukan di Eropah Barat dan Eropah Timur, kumpulan Viking ini berkemungkinan sudah mempunyai hubungan dengan dunia Islam. Walaupun kumpulan ini sudah menjarah banyak tempat di Eropah, di dunia Islamlah mereka merasakan seperti berada di sebuah pasaraya besar yang menawarkan segala-galanya untuk mereka. Dan tidak mustahil pertembungan sebegini sudah berlaku semasa era kerajaan Bani Abbasiyah atau lebih tepat era Khalifah Harun ar-Rashid.

Ini kerana pada zaman berkenaan, para cendekiawan yang datang dari pelbagai latar belakang bertemu di kota Baghdad di mana mereka saling bertukar pengetahuan tentang sesuatu bidang. Dan kebanyakan karya mereka ini kemudiannya diterjemah dan disimpan di Perpustakaan Baitul Hikmah, perpustakaan terpenting dunia pada ketika itu. Dan sebut pasal kisah Viking, baginda mendapat maklumat tentang golongan itu dari Maharaja Charlemagne yang memerintah Perancis ketika itu. Hubungan khalifah Bani Abbasiyah itu dengan baginda amat rapat sehinggakan Harun ar-Rashid menghadiahkan banyak barang termasuk beberapa jenis minyak wangi dan jam air khas untuk kegunaan Charlemagne.

Figure 2: Charlemagne mempunyai pandangan buruk terhadap Viking, satu sentimen yang tidak dikongsi Khalifah Harun ar-Rashid.

Charlemagne menganggap Viking satu golongan yang menyusahkan kerana kecenderungan mereka menyerang dan menjarah setiap bandar yang disinggahi kumpulan itu. Sehinggakan pada satu ketika, baginda akan menangis teresak-esak memikirkan kejahatan yang dilakukan Viking terhadap keturunannya dan rakyat baginda yang dikasihi. Namun, sentimen baginda tidak dikongsi oleh kerajaan Bani Abbasiyah yang melihat ini satu peluang menjalin hubungan ekonomi yang baik dengan pihak berkenaan. Ini kerana golongan Viking mempunyai banyak barang dagangan yang dimahukan pedagang Islam ketika itu seperti bulu, kulit, ikan, madu dan gading.

Dan sebagai pertukaran, mereka mahukan kuantiti perak yang banyak dan dianggap berharga kepada mereka. Jika tidak, mengapa banyak duit syiling perak zaman Abbasiyah banyak ditemui di Rusia dan negara-negara Baltik seperti dilaporkan Timothy F. H. Allen, Joseph A. Tainter dan Thomas W. Hoekstra dalam buku mereka Supply-Side Sustainability. Selain itu, kota-kota yang pernah dikuasai Viking seperti York dan Dublin dikatakan menggunakan duit dirham sebagai mata wang utama mereka dari abad ke-10 hingga abad ke-12 Masihi. Duit perak ini menjadi kegilaan Viking dan dianggap punca berlakunya Era Viking. Dan menurut Profesor Thomas S. Noonan, ini turut menjelaskan mengapa mereka suka berlayar ke Timur. Para pedagang Islam suka mendapatkan barangan yang dibuat dari bulu musang hitam, bulu yang amat digemari ramai ketika itu.

Seperti mana golongan Viking keluar mengembara dari masa ke masa, begitu juga golongan cendekiawan Islam yang dihantar pemerintah mereka untuk mengembara dan menimba seberapa banyak pengetahuan sepanjang pengembaraan mereka. Menerusi interaksi mereka dengan orang Viking, mereka menggelar golongan tersebut Rus dalam Bahasa Arab. Sementara orang Rusia pula menggelar orang Viking sebagai Oleg. Salah seorang daripada Oleg ini iaitu Oleg dari Novgorod mendarat di Rusia dengan sekumpulan orang Rus.

Andalusia

Cendekiawan Islam mempunyai pandangan berbeza-beza tentang orang Viking. Bagi kerajaan Abbasiyah, mereka dianggap pedagang asing yang datang dari tanah yang jauh. Tetapi berbeza pula dengan cendekiawan Islam yang menetap di kawasan berlakunya serangan Viking terutama Andalusia. John M. Riddle dalam bukunya A History of the Middle Ages menulis selepas kegagalan ekspedisi mereka melawan Alfonso I dan Austria, orang Viking mula menyerang wilayah yang dikuasai kerajaan Bani Umayyah yang berpangkalan di Andalusia ketika itu.

Antara wilayah yang menjadi sasaran ialah Lisbon dan Seville. Murka dengan serangan yang digerakkan orang Viking, Khalifah Abdul Rahman II (822-852 Masihi) belajar bagaimana berlawan dengan mereka sehingga mereka berputus asa dan berundur. Tatkala mereka cuba berundur dengan barang rampasan dan tawanan perang ke kapal mereka, pasukan Abdul Rahman II memerangkap mereka di pelabuhan sungai dan membakar kapal-kapal orang Viking.

Selepas usaha mereka gagal di Andalusia, orang Viking mula mensasarkan bandar-bandar pesisir pantai Afrika Utara seperti Tunis di mana ramai orang ditangkap dan dijual sebagai hamba di banyak tempat termasuk Ireland. Ada juga yang bertindak berani masuk ke Itali tetapi gagal menemui jalan ke Rom.

Walaupun serangan mereka tidak popular dalam kalangan orang Andalusia, tetapi ini menunjukkan orang Viking mahir dari segi strategi peperangan dan kekuatan tentera mereka. Jika tidak mengapa selepas berjaya menghalau keluar orang Viking dari Andalusia, Abdul Rahman II kemudiannya mengikut jejak langkah orang-orang Perancis dengan mengukuhkan pertahanan Seville sekiranya mereka mahu mencuba lagi pada masa akan datang. Ini menunjukkan bahawa Andalusia memandang berat ancaman yang dibawa orang Viking terhadap kerajaan mereka.

Selepas era penjelajahan dan penjarahan mereka berakhir terutama selepas kekalahan mereka di tangan Gonzalo Sanchez dari Aragon pada tahun 971, mereka mula menawarkan khidmat sebagai askar upahan di banyak negara termasuk kerajaan-kerajaan Islam. Buktinya, wujud bukti seorang Viking bernama Halvdan yang berkhidmat sebagai askar upahan semasa era kerajaan Rom Timur menerusi dua inskripsi rune yang ditemui di Hagia Sophia, Istanbul. Sementara kerajaan-kerajaan Islam yang merekrut mereka datang dari Andalusia atau dari wilayah-wilayah Caucasus.

Bukti pengaruh Islam ke atas orang Viking

Selain rekod bertulis seperti catatan Ahmad ibnu Fadlan, seorang pengembara Arab abad ke-10, bukti pengaruh Islam terhadap orang Viking boleh ditemui pada beberapa objek. Pada tahun 2015, sepasukan ahli arkeologi menjumpai rangka seorang wanita abad kesembilan dengan memakai cincin perak bertatahkan batu permata berwarna ungu. Cincin tersebut sudah ditemui pada akhir abad ke-19 lagi tetapi apa yang menimbulkan minat ahli arkeologi ialah inskripsi yang terkandung pada batu tersebut.

Inskripsi berbentuk Arab Kufi bila dibaca merujuk kepada perkataan il-La-La yang bermaksud demi atau kepada Allah. Walaupun pakaian yang dipakai wanita berkenaan merupakan pakaian tradisional Scandinavia tetapi keadaan rangka menyukarkan pengkaji dan ahli arkeologi menentukan jenis etnik dan agama yang dianutinya. Apakah cincin tersebut merupakan harta rampasan perang, hadiah atau sebahagian daripada pakaian tradisionalnya? Atau wanita tersebut sebenarnya sudah memeluk Islam? Ia satu soalan yang membingungkan semua sehingga hari ini.

Selain penemuan cincin itu, satu lagi penemuan mengejutkan dibuat ahli arkeologi tekstil dari Universiti Uppsala, Annika Larsson. Pada tahun lepas, semasa mengkaji kain pengebumian Viking, Larsson mendapati kain tersebut dipenuhi dengan huruf-huruf Kufi yang mengandungi nama Ali (berkemungkinan Ali bin Abi Talib r.a) dan Allah. Kain tersebut datang dari kubur-kubur kapal Viking dan dari 100 kain yang dikaji beliau, 10 kain mengandungi nama Ali dan Allah. Walaupun tidak diketahui ke mana hala tuju penemuan ini tetapi Larsson tidak menolak kemungkinan sesetengah yang dikebumikan dalam kapal tersebut merupakan orang Islam.

Ujian DNA yang dijalankan pada sesetengah mayat mendapati mereka berasal dari Parsi, satu wilayah di mana Islam merupakan agama majoriti. Bahan kain yang dijumpai ditentukan dari Asia Tengah, China dan Parsi. Kini, Larsson dan pasukannya sedang mengkaji siapa yang memakai kain berkenaan semasa dikebumikan dalam kubur kapal tersebut.

Larsson menambah, “Kajian yang dibuat melihat adat pengebumian Viking dipengaruhi idea-idea bersifat Islamik seperti kehidupan selepas kematian.” Ada juga yang berpandangan corak yang ditemui Larsson itu disalin semula pada kain pengembumian mereka selepas terpengaruh dengan hubungan dan budaya orang Islam. Tetapi bagi Larsson, ini menunjukkan kepentingan kajian sejarah terutama bagi mengelakkan sejarah dipergunakan bagi mengukuhkan naratif salah pihak-pihak tertentu.

Selain itu, Islam juga merupakan agama popular yang dianuti orang Viking terutama golongan wanita. Ini ada direkodkan dalam banyak memoir termasuk memoir ahli geografi abad ke-16 Amin Razi. Amin Razi menulis, “Mereka (orang Viking) amat menggemari daging khinzir. Ini termasuk mereka yang memeluk Islam di mana mereka masih menggemari daging binatang berkenaan.”

Di Andalusia pula, ada sekumpulan orang Viking yang memilih menetap di tenggara Seville memeluk Islam dan menjadi pembekal keju bagi wilayah Cordoba dan Seville. Di Rusia pula berdasarkan komen Andrew Marr, Oleg dari Novgorod sebenarnya sudah berkira-kira untuk memeluk Islam. Tetapi selepas diberitahu baginda perlu melepaskan alkohol selepas memeluk Islam, baginda memilih Kristian dari mazhab Yunani Ortodoks dan mendirikan batu pertama untuk sebuah gereja di Kiev.

SUMBER

  1. Little, Becky. (2017). History.com. Why Are These Viking Burial Clothes Inscribed with Arabic Script? https://www.history.com/news/why-are-these-viking-burial-clothes-inscribed-with-arabic-script
  2. Nizamoglu, Cem dan Yassir-Deane, Sairah. MuslimHeritage.com. A Tale of Two Civilisations: The Viking and the Muslim Civilisation. http://muslimheritage.com/article/viking-and-muslim-world

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.