Apabila ribuan rakyat membanjiri kota Damsyik pada 15 Mac 2011, seberapa ramai yang sangka demonstrasi mereka akan meletuskan satu peperangan skala besar. Satu pertunjukan perasaan telah dibalas dengan kezaliman. Dan akhirnya, sebuah republik yang penuh dengan keindahan menjadi padang jarak padang terkukur. Berikutlah ciri-ciri Syria pada hari ini, dengan politik dan ekonomi yang musnah serta terbelah. Timbul untuk merobek negara dalam ketidakstabilan adalah sebuah pertubuhan yang mengakui diri sebuah khilafah.

Bangkitnya mereka memperbaharui penggunaan khalifah yang telah berkurun tertimbus. Namun tiada apa yang baik datang dari Kedaulatan Islam di Iraq dan Syria (ISIS). Khalifah Abu Bakar al-Baghdadi tidak memenangi bai’ah secara terhormat seperti pemimpin-pemimpin berwibawa yang lain. Jika darjatnya tidak boleh disamakan dengan habuk dari tumit Saidina Abu Bakar as-Siddiq, apatah lagi kedudukannya bersama Nabi Muhammad SAW. Zalimnya Abu Bakar al-Baghdadi dan ISIS sehinggakan umat Islam pula dimangsakan.

Sementara itu, nun jauh di Moscow, perkembangan di Syria sangatlah menggusarkan. Kedua-dua republik ini telah lama menjadi sahabat. Apabila Vladimir Putin mengumumkan campurtangan di Syria pada 2015, Bashar Assad sudahpun seinci dua di dalam ambang kemusnahan. Rusia pula tidak sempurna di mata dunia ketika ini. Kejatuhan harga bahan api global telah melemahkan ekonomi negara terbesar dunia tersebut. Kemasukan Crimea ke dalam kedaulatan Rusia turut disusuli sekatan ekonomi yang tidak langsung melemahkan azam Rusia.

Maka September 2015 menandakan satu kepentingan dalam sejarah politik Syria. Pada bulan tersebut, Bashar Assad mengizinkan kemasukan Angkatan Ketenteraan Rusia untuk mematahkan barisan penentangan Syria. Pada asalnya, penglibatan Rusia hanyalah sekadar bekalan senjata semata-mata. Hasrat campurtangan Rusia pula jelas dan nyata, tanpa sebarang penipuan. Kremlin bukan sahaja mahu menumpaskan pertubuhan pengganas. Sebaliknya, Rusia mahu kerajaan Bashar Assad kembali berkuasa di Syria.

Objektif ini sememangnya layak dikecam. Bashar Assad adalah sebahagian daripada punca utama berlakunya Perang Saudara Syria. Namun ketelusan Rusia dari awal lagi melambangkan kenapa mereka bertapak di Syria. Operasi Rusia cukup berbeza dengan Amerika Syarikat, yang berdekad-dekad berlagak seperti broker keamanan antara Palestin dan Israel. Ataupun yang mana Amerika Syarikat mendustai dunia mengenai senjata-senjata bahaya Saddam Hussein, serta pembunuhan bayi yang dilakukan Rejim Baath.

Daripada skop neutral, campurtangan Rusia ada asasnya. Kejatuhan Bashar Assad akan membuatkan Syria menjadi Iraq 2.0. Apabila sebuah kerajaan jatuh, satu kekosongan kuasa (power vacuum) akan membarah. Perkara ini akan mengeruhkan lagi keadaan di Syria dan rantau Sham. Dalam masa enam bulan, campurtangan Rusia telahpun membuahkan hasil sementara Amerika Syarikat menyalak di sudut. Tumbukan padu kepada ISIS telah memenangkan pihak kerajaan kota Palmyra. 280 orang dianggarkan menjadi mangsa zalim ISIS. Pihak ketenteraan Rusia pula telah menyahaktifkan sebanyak 5000 bom dalam masa sebulan. Sebagai tanda simbolik, Rusia memainkan persembahan tradisi di amfiteater Rom dalam Palmyra.

ISIS akan merangkul semula Palmyra kemudian, sebelum dirampas kembali pihak kerajaan, turut dengan bantuan Rusia. Aleppo sebuah kota yang sangat penting bagi Syria tumpas ke tangan kerajaan pada Disember 2016. Maka pengepungan tiga tahun ISIS di kota Deir ez-Zor ditamatkan. Menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat, Rusia telah mengukuhkan kedudukan kerajaan Syria dalam masa setahun sahaja. Kenyataan ini menempelak keraguan mereka sendiri. Pada awalnya, Rusia dianggap akan keluar dengan aib kegagalan. Asas mereka adalah dua peperangan di Chechnya yang menunjukkan masalah koordinasi dan disiplin.

Tetapi operasi Syria menunjukkan angkatan ketenteraan yang baru. Pada Januari 2017, Jeneral Valery Gerasimov menoktahkan bahawa sebanyak 71,000 bedilan dibuat dalam 19,160 misi.

Tentu sekali misi-misi ini menumpahkan darah rakyat jua. Operasi Rusia tiada beza dengan pengemopan dibuat kepada para militan Chechnya. Grozny dikatakan kota paling teruk dimusnahkan sebelum Rusia mengambil semula wilayah tersebut. 5,700 rakyat dianggarkan terbunuh dalam serangan udara Rusia, lebih ramai berbanding mangsa-mangsa ISIS (4,250). Di Deir ez-Zour, seorang bayi meraung di tengah kemusnahan. Lima orang mati dalam serangan pakatan Rusia-Syria ini. 10 mati dalam serangan keesokannya.

Tetapi Vladimir Putin berdiri pada hari ini di tempat yang para pemimpin Kesatuan Soviet tidak mampu bermimpi pun.

Rusia telah tolak imbangan berat dari bahu Syria, sesuatu yang Leonid Brezhnev contohnya gagal dalam Perang Soviet-Afghan pada 1979-1989. Hanya dengan beberapa dozen jet dan ribu anggota sahaja, Persekutuan Rusia mengisytiharkan kemenangan keatas ISIS dalam masa dua tahun. Kini Vladimir Putin dengan megah berkunjung Syria, Turki dan Mesir. Dibantu dengan dasar-dasar luar negara Donald Trump yang tidak konsisten, Rusia melonjak ke kedudukan yang belum pernah dicapai dalam pentas dunia.

Vladimir Putin turut menandatangani perjanjian untuk mendirikan reactor nuklear di Mesir. Kemudian, beliau menyelesaikan kemelut bersama Turki. Konflik bersama musuh sejati ini dielakkan apabila beliau menyuarakan sokongan kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan. Mereka berdua bersetuju tubuhkan zon “de-escalation” untuk menamatkan peperangan. Selepas itu, Vladimir Putin berpaling kepada Arab Saudi pula, satu lagi musuh kerana memberikan militan-militan Afghanistan senjata semasa dalam konflik Perang Dingin dahulu. Hasilnya, Raja Salman buat julung kalinya mengunjungi Moscow pada bulan Oktober 2017.

Sambil mengisytiharkan kemenangan di Syria, Vladimir Putin juga jelaskan Rusia tidak akan kemana. Pangkalan udara dan fasiliti lautan yang dibina ketika zaman Kesatuan Soviet akan dibaiki dan dimajukan. Tartus pula akan dinaiktaraf untuk dijadikan pelabuhan kapal-kapal perang besar. Dalam perjanjian bersama Mesir, skop yang sama dipersetujui bahawasanya ketenteraan Rusia akan bertapak di sana setelah menghilang hampir 50 tahun.

Tidak boleh dinafikan bahawa tindakan Rusia bertujuankan motif politik jua. Kini Vladimir Putin bergerak kearah pilihanraya akan datang dengan resumé yang megah. Sama ada semua ini adalah demi penerusan karier politik, itu tidak dapat dijaminkan. Apa yang pasti adalah, jika ya, sememangnya Vladimir Putin berjaya membentangkan manifesto dengan dakwat darah serta menunjukkan kuasa baru Rusia di dalam abad ke-21.

Cuma dalam masa sepuluh tahun, barulah jelas boleh diketahui apakah harga Bashar Assad benar-benar bayar untuk perkhidmatan tidak terhingga ini. Dari segi peribadi, beliau turut menjadi salah satu daripada pihak yang menang. Dan Bashar Assad memerlukan satu kebodohan yang tiada batas untuk hilang kuasa sekarang. Jika diperhalusi secara teliti, darah rakyat Syria kini tidak akan hilang kesannya dari tangan beliau. Namun, apa beliau kisah – hilang rakyat boleh diganti, hilang kuasa padah menanti.

Itulah politik dari dulu sampai sekarang. Hanya satu cara sahaja dapat mengelakkannya:

Tentera-tentera Islam diharamkan membunuh wanita dan kanak-kanak (Sahih Muslim 1744 & Sahih Bukhari 3015). Rasulullah SAW juga menasihati tentera-tenteranya supaya, “jangan mengkhianati, jangan keterlaluan dan jangan bunuh bayi yang baru lahir.” (Sahih Muslim 1731 & Al-Tirmidzi 1408). Baginda juga bersabda, “sesiapa yang membunuh orang yang mempunyai perjanjian bersama orang Islam tidak akan mencium bau Syurga, meskipun bau ini sangat harum pada jarak empat puluh tahun.” (Sahih Bukhari 3166 & Ibnu Majah 2686)

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

1 Comment

Leave A Reply