Perspektif Ungku Aziz Terhadap Pembangunan

0
592
views

Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid sememangnya dikenali sebagai antara ahli ekonomi ulung Melayu dan Malaysia amnya. Bukan sedikit buah fikirannya disumbangkan demi kepentingan negara dan ummah. Salah satu idea anak kelahiran London, England ini ialah penubuhan Tabung Haji pada tahun 1963 yang banyak membantu umat Islam yang berhajat menunaikan fardu haji di Baitullah. Namun, sumbangannya tidak terhenti di situ saja. Ini kerana Ungku Aziz mempunyai persepsi sendiri terhadap pembangunan terutama membabitkan orang Melayu dan Islam.

Tabung Haji

Salah satu masalah yang menarik perhatian beliau ialah masalah kemiskinan dan ini banyak ditekankan dalam pelbagai rencana dan pembentangan. Malah, tidaklah mengejutkan sekiranya Ungku Aziz dianggap ahli ekonomi pertama negara ini yang menyimpulkan punca utama masalah kemiskinan ialah eksploitasi dan pengabaian yang menjejaskan pembangunan individu dan masyarakat. Sebelum beliau, pentadbir era kolonial dan orientalis Barat sentiasa menyalahkan sikap malas bangsa Melayu dan kuatnya pegangan agama Islam sebagai punca kemiskinan.

Dan mitos tersebut diteruskan oleh sesetengah orang sehingga hari ini walaupun sudah dibuktikan sebaliknya bukan saja oleh Ungku Aziz tetapi juga oleh filsuf ulung Melayu, Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas. Menurut beliau, masalah ini berlaku disebabkan oleh pengabaian bersifat sistematik oleh pentadbiran British yang diteruskan pentadbiran pasca-kemerdekaan dan eksploitasi orang tengah serta peminjam wang. Situasi sebegini nyata memberi kesan bukan saja pada taraf hidup tetapi juga kekuatan ekonomi kelompok miskin luar bandar.

Hasil daripada pendedahan ini, Ungku Aziz berusaha mencari jalan menamatkan bentuk penganiayaan dan pengabaian yang memberi kesan buruk kepada taraf ekonomi orang Melayu dan Islam. Salah satu idea beliau ialah penubuhan Tabung Haji hasil dari cadangannya kepada pihak kerajaan pada tahun 1959 melalui Pelan Penambahbaikan Ekonomi Jemaah Haji Muslim. Pelan tersebut bertujuan membantu menambahbaik taraf ekonomi orang Melayu Islam dengan menubuhkan sebuah syarikat. Menurut Ungku Aziz, idea di sebalik Tabung Haji ialah membantu taraf ekonomi bakal jemaah yang menyimpan wang untuk belanja haji di mana kebanyakan mereka terdiri daripada kelompok miskin luar bandar.

Idea ini timbul hasil kajian yang dilakukan di beberapa tempat di Malaysia dan ianya dibentangkan di bawah tajuk ‘The Mobilisation of Domestic Savings in South East Asia’ di Bangkok pada tahun 1951. Menerusi kajian ini, Ungku Aziz mahu melihat bagaimana orang Melayu menyimpan wang dan mengapa mereka berbuat demikian. Hasil kajiannya mendapati orang Melayu takut menyimpan wang di bank ketika itu kerana bimbang wang tersebut bercampur dengan hasil riba. Selain itu, beliau turut mendapati tujuan utama orang Melayu menyimpan wang sebagai duit belanja semasa perjalanan haji dan umrah. Selain menyimpan wang, mereka turut menggunakan wang tersebut untuk membeli binatang ternakan. Binatang-binatang ini kemudiannya dijual bila sudah tiba masa untuk melakukan perjalanan ke Baitullah.

Dan jika mereka merasakan wang simpanan dan penjualan binatang masih belum mencukupi untuk membiayai urusan haji, orang Melayu juga tidak keberatan menjual tanah mereka. Menurut Ungku Aziz, tindakan sebegini menyebabkan mereka menjadi lebih miskin sekembalinya dari perjalanan haji dan secara tidak langsung, menjejaskan ekonomi orang Melayu. Untuk mengelakkan budaya buruk ini berterusan dan menggalakkan orang Melayu belajar menyimpan demi masa hadapan mereka, maka ini yang membawa kepada penubuhan Tabung Haji.

Penubuhan Tabung Haji dianggap antara yang pertama seumpamanya di dunia dari segi pemikiran ekonomi dan institusi agama Islam. Namun bagi orang Islam, sistem sama sudah wujud yang dikenali sebagai sistem sheikh tetapi dalam bentuk skala kecil. Idea Tabung Haji ini bukan saja mengubah waktu perjalanan dan tempoh penginapan para jemaah yang berangkat ke Baitullah tetapi juga memberi peluang kepada lebih ramai orang Islam mengerjakan dalam tempoh 60 tahun dari Malaysia. Selain itu, pengenalan institusi ini juga menggalakkan budaya menyimpan wang dalam kalangan orang Melayu Islam.

Walaupun Tabung Haji masih belum memenuhi sebahagian mandat asal Ungku Aziz tetapi dari segi nilai ekonomi, ia merupakan entiti korporat bernilai berbilion ringgit dan menguruskan pelbagai pelaburan mengikut prinsip syarak. Ini menyebabkan banyak negara Islam mengagumi kejayaan Tabung Haji terutama dalam soal pengurusan jemaah haji dan mahu mempelajari bagaimana Malaysia dapat mewujudkan sebuah sistem pengurusan dana jemaah haji yang baik. Malah, ramai pakar ekonomi Muslim menganggap Tabung Haji salah satu kejayaan entiti korporat terhebat di dunia.

Tetapi selepas 20 tahun penubuhannya, Ungku Aziz merasakan masih ada ruang yang boleh ditambahbaik. Pertama, beliau merasakan cadangan asalnya untuk menggerakkan simpanan membabitkan warga luar bandar masih belum direalisasikan. Kedua, Ungku Aziz merasakan Tabung Haji seharusnya menggalakkan umat Islam menyimpan bagi kegunaan lain yang bermanfaat seperti pendidikan dan tidak menamatkan simpanan selepas mereka selesai menunaikan haji.

Ketiga, beliau juga mencadangkan keuntungan modal yang diraih dari pelaburan-pelaburan yang dibuat harus diagih-agihkan kepada para penyimpan dengan tujuan dapat merancakkan lagi ekonomi ummah dan bukan setakat meraih keuntungan bagi pihak Tabung Haji semata-mata. Menurut beliau, sekiranya semua ini dapat direalisasikan, ia sebenarnya dapat memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam soal kemiskinan. Ini kerana bila kemiskinan dapat dibanteras, ia memberi peluang kepada orang Islam membangunkan diri mereka dalam pelbagai aspek kehidupan sekaligus mewujudkan keadilan dari segi sosioekonomi.

Malah, hasrat beliau ini bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a: Pada suatu hari, Rasulullah telah memasuki masjid (baginda) dan mendapati seorang lelaki Ansar yang dipanggil Abu Umamah. Rasulullah bertanya, “Wahai Abu Umamah, kenapa aku tak ada nampak pun engkau duduk-duduk di masjid semasa waktu solat?””Abu Umamah menjawab, “Kerisauan dan hutang-hutang memaksaku demikian, Ya Rasulullah.”

Baginda kemudiannya bertanya, “Adakah engkau mahu jika aku ingin mengajarmu kata-kata yang apabila engkau menyebutnya Allah akan membawa pergi kerisauanmu dan melunaskan hutangmu? Abu Umamah menjawab, “Sudah tentu, Ya Rasulullah!”” Rasulullah s.a.w kemudian bersabda, “Ucapkanlah ketika pagi dan petang: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dari-Mu daripada kerisauan, kesedihan, rasa lemah-lemah (badan) dan sifat malas, juga daripada sifat penakut dan kedekut, serta dari belenggu hutang dan penganiayaan (perlakuan keras/kasar) manusia terhadapku.””Abu Umamah berkata, “Justeru aku telah mengamalkannya, maka Allah telah menghilangkan kerisauanku dan terlunas semua hutang-hutangku.”

Ini menunjukkan betapa tegasnya Nabi s.a.w terhadap isu kemiskinan kerana ia berpotensi merosakkan potensi manusia bukan saja pada peringkat individu tetapi juga pada peringkat masyarakat dan negara.

Pendidikan

Waqaf Saham

Isu pendidikan amat dititikberatkan Ungku Aziz terutama di peringkat universiti kerana dilihat dapat membantu pembangunan orang Melayu pada peringkat individu dan masyarakat. Maka tidak hairanlah sepanjang tempohnya sebagai Naib Cancelor Universiti Malaya (UM) selama 20 tahun, misi pendidikannya bukan saja menghasilkan graduan tetapi graduan yang boleh membantu menyelesaikan masalah budaya, ekonomi dan sosial yang dihadapi negara.

Sesuatu yang disedari Ungku Aziz ialah orang Melayu tidak berapa cemerlang dalam banyak bidang berbanding bangsa-bangsa lain dalam soal ekonomi moden. Salah satu puncanya ialah kekurangan peluang pendidikan dan satu-satunya universiti yang dimasuki orang Melayu mengajar kebanyakan jurusannya dalam Bahasa Inggeris. Ini bermakna pelajar yang datang dari sekolah Melayu akan berhadapan kesukaran memasuki universiti atau belajar dengan baik. Masalah ini membawa kepada penubuhan Pusat Pengajian Asas Sains (Centre for Foundation Studies in Science) bagi membantu para pelajar yang datang dari keluarga miskin.

Berdasarkan pengalamannya pada tahun 1970-an, hanya lima pelajar Melayu yang mendaftar dengan fakulti perubatan dan jika bernasib baik, dua atau tiga sahaja yang tamat pengajian sebagai doktor. Untuk mengatasi masalah berkenaan, UM turut mengorak langkah dengan menubuhkan pusat matrikulasi dan merekrut pelajar-pelajar luar bandar yang berminat mempelajari bidang kritikal seperti perubatan, sains dan kejuruteraan. Ungku Aziz menambah, “Pada ketika itu, pelajar bandar akan pergi ke London untuk menyambung pengajian perubatan. Tetapi dalam fakulti, pensyarahnya mengajar dalam Bahasa Inggeris sementara anak-anak Melayu yang terpilih berfikir secara Melayu. Terma bukan satu masalah tetapi mindanya yang berfikir secara Melayu. Atas sebab itu, kami mencari guru-guru yang boleh mengajar perubatan dan bidang berkaitan dalam Bahasa Melayu.”

Selepas tiga atau empat tahun persediaan, anak-anak Melayu ini dapat menguasai jurusan mereka dan ini memotivasikan mereka untuk memperbaiki kemahiran Bahasa Inggeris mereka. Sejak ditubuhkan pada tahun 1977, Pusat Matrikulasi UM sudah melahirkan lebih 2,000 doktor, 800 doktor gigi dan 2,600 jurutera. Sementara 7,000 hingga 8,000 graduan dilahirkan Pusat Pengajian Asas Sains di mana sesetengah daripadanya menjadi pakar dalam bidang masing-masing dan semakin menghampiri usia persaraan.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna Ungku Aziz melupakan pembangunan rohani orang Melayu terutama berkenaan nilai moral dan etika. Antara kebimbangan beliau ialah kehilangan jati diri bangsa sesetengah anak-anak Melayu yang terpengaruh dengan pelbagai falsafah dari Timur dan Barat. Kebimbangan anak jati London ini ada asasnya kerana beliau sedar perubahan yang dibawa negara-negara Barat dalam mengejar kemajuan dengan mengetepikan nilai moral dan etika kononnya atas nama pembangunan dan kemajuan. Beliau bimbang pandangan sempit masyarakat yang menyamakan kejayaan dengan nilai material sebenarnya merosakkan rohani dan jati diri bangsa Melayu itu sendiri.

Dan melihat kepada pembangunan yang berlaku hari ini, walaupun Melayu semakin maju dari segi ekonomi dan materialnya tetapi dari segi nilai moral dan etika, ia merupakan satu tragedi. Ungku Aziz melihat pembangunan seharusnya seiring bukan saja dengan kemajuan material tetapi juga dengan penambahbaikan jati diri dan rohani bangsa Melayu itu sendiri. Dan menurut beliau, orang Melayu seharusnya berusaha berpegang kepada tiga nilai yang membentuk sebuah masyarakat yang hebat iaitu jujur, ikhlas dan telus.

Kenyataan Ungku Aziz ini dilihat jauh ke hadapan berbanding teori-teori ekonomi yang dibawa pemikir-pemikir Barat yang dilihat kosong dari segi moral dan agama. Malah ideanya turut mendapat sokongan Pemenang Hadiah Nobel Amartya Sen yang melihat ekonomi tanpa etika merosakkan ekonomi kebajikan. Sen menambah ekonomi akan menjadi lebih produktif dengan memberi lebih banyak tumpuan kepada pertimbangan etika yang membentuk tingkah laku dan pertimbangan manusia.

Sejarah dan warisan bangsa

Sejak tahun 1980-an, Ungku Aziz aktif mempromosikan kajian sastera dan warisan intelektual orang Melayu. Menerusi satu temubualnya dengan akhbar New Straits Times beliau berkata, “Kajian sastera dan warisan manusia tidak seharusnya dilupakan walaupun ketika Malaysia sedang bergerak menuju ke arah masyarakat saintifik dan progresif pada abad seterusnya. Ini kerana manusia tidak boleh hidup dengan sains sahaja kerana ia memerlukan tambahan budaya dalam mindanya. Terdapat banyak contoh negara-negara maju di mana pencapaian saintifiknya diseimbangkan dengan sistem pendidikannya yang menggalakkan penuntutnya menghargai mahakarya dulu dan sekarang serta mengenali hasil kerja dan usaha manusiawi sepanjang zaman dan merentasi negara-negara.”

Misalnya, Ungku Aziz menggalakkan orang Melayu mempelajari pemikiran orang Melayu pada masa silam kerana asas pemikiran mereka ini boleh diceduk, diadaptasi dan disesuaikan mengikut situasi dihadapi orang Melayu hari ini. Kenyataan ini sebenarnya menunjukkan persetujuannya dengan kenyataan sepupunya sendiri, Syed Muhammad Naquib. Ini kerana filsuf agung Melayu itu merasakan pemikiran orang Melayu zaman silam masih relevan dalam menyelesaikan masalah moden.

Antara sebab orang Melayu merasa jauh dengan budaya dan warisan intelektual silam disebabkan faktor penjajahan. Berdasarkan kajian peribadinya berkenaan pantun dan rekod sejarah orang Melayu, bangsa Melayu sudah dikenali sebagai pedagang yang hebat dan dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Ungku Aziz menambah, “Pedagang Melayu masuk ke belantara dan mengutip hasil untuk ditukar dengan pedagang China, India dan negara-negara lain. Mereka sudah berlayar sekitar perairan Nusantara dan mempunyai kompas tersendiri dipanggil pedoman. Ini menunjukkan Timur itu sudah bertamadun dan kita sudah ada pedagang-pedagang Melayu jauh sebelum kedatangan Barat di Nusantara.”

Bersesuaian dengan pendiriannya yang menekankan warisan kesusasteraan Melayu, Ungku Aziz menyokong penggunaan Bahasa Melayu sebagai alat pengajaran dalam sistem pendidikan kebangsaan atas sebab perpaduan nasional. Beliau juga bertanggungjawab dalam pembentukan Universiti Malaya, di mana amat penting bagi sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia untuk mencapai perpaduan sebenar tanpa mengabaikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perdagangan dalam dunia tanpa sempadan. Dalam satu temubualnya bersama NST pada tahun 2008, beliau berkata, “Bahasa Melayu itu merupakan satu-satunya cara untuk mencapai perpaduan kebangsaan sebenar.

Pada masa sama, Bahasa Inggeris perlu dikuasai bagi mendapatkan faedah sepenuhnya globalisasi.” Atas sebab itu, beliau mencadangkan penggunaan dua bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran untuk sistem pendidikan kebangsaan serta patut dimulakan di bangku sekolah lagi. Bagi memastikan penguasaan sepenuhnya kedua-dua bahasa berkenaan, Ungku Aziz mencadangkan ia patut dipelajari dan dikuasai dalam tempoh 11 tahun pembelajaran dan jika boleh, tahun pertama pengajian universiti. Beliau menambah bahasa seharusnya dipandang serius kerana ia merupakan alat perpaduan dan patut diajar sekurang-kurangnya dua tempoh dalam seminggu.

Satu lagi kebimbangan Ungku Aziz berkenaan orang Melayu ialah pemahaman agama dalam kalangan masyarakat. Ini kerana menurutnya, orang Melayu tidak menerima sepenuhnya agama berikutan perubahan sosial dalam masyarakat. Beliau menambah, “Mereka tahu tentang rukun-rukun tetapi mereka tidak mempunyai masa membangunkan kestabilan dan belajar untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.” Bagi mempromosikan idea menambah kefahaman agama, Ungku Aziz selalu mempromosikan idea dari Tamadun Islam. Ini diperlihatkan menerusi penubuhan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya di mana pada awalnya, beliau dihubungi oleh wakil Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan. Menerusi hubungan tersebut, mereka mahu menggabungkan atau mencampurkan institusi berkenaan dengan UM bagi membolehkan pelajar-pelajarnya mendapat kelulusan universiti.

Pada tahun 1975, idea tersebut diterima Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Selepas ia dibentangkan di hadapan Majlis Senat Universiti, ia mendapat persetujuan pihak majlis. Dalam kertas tersebut, beliau turut mencadangkan para pelajar diterapkan semangat berdikari dan melihat kepentingan pembangunan negara. Bagi mencapai agenda berkenaan, beliau mencadangkan satu konsep baru bagi akademi di mana kampus mempunyai sebuah ladang bagi membolehkan pelajar menanam sayur-sayuran, menternak haiwan dan ikan air tawar. Hasil ladang boleh menjadi sumber bekalan makanan penduduk kampus dan ia boleh menjadi tempat bagi para pelajar bersenam dan bermeditasi. Idea radikal ini diinspirasikan dari pembacaan Ungku Aziz berkenaan sistem madrasah yang digunakan Tamadun Islam zaman silam.

Pada tahun 1985, Ungku Aziz juga bertanggungjawab memperkenalkan kursus Tamadun Islam sebagai kursus pilihan yang ditawarkan kepada semua pelajar sama ada beragama Islam atau bukan beragama Islam. Beliau menekankan kursus tersebut bukan menjurus kepada proses Islamisasi tetapi sebaliknya memberi peluang kepada pelajar bukan beragama Islam mempunyai pemahaman lebih mendalam terhadap Islam terutama dari segi tamadun. Kursus tersebut seharusnya tidak patut diendahkan kerana minat terhadap Islam di dunia sudah tidak boleh diendahkan. Ini juga menunjukkan kesungguhan Ungku Aziz bahawa Tamadun Islam turut menyumbang kepada kemajuan dunia. Sepanjang tempoh beliau selama 20 tahun sebagai Naib Cancelor, Ungku Aziz banyak meluluskan program pendidikan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa yang berkait dengan Tamadun Islam.

Selain Tamadun Islam, beliau mempunyai minat mendalam terhadap kesenian Islam dan warisan kesusasteraannya. Ungku Aziz merasakan ia dapat mengisi kekosongan dalam kesenian Melayu dan seharusnya diperkenalkan pada peringkat sekolah dan universiti. Beliau turut merasakan Islam seharusnya ditonjolkan keindahannya melalui seni dan kesusateraan terutama seni kaligrafi kerana ia menyedarkan orang ramai terutama umat Islam sendiri bahawasanya Tamadun Islam juga kaya dengan warisan seni dan kesusasteraannya. Atas sebab itu semasa berada di UM, pelbagai pameran membabitkan seni dan kesusasteraan Islam dianjurkan di situ bagi mencetuskan kesedaran dalam kalangan orang ramai. Selain itu, Ungku Aziz merasakan Melayu yang mendabik diri mereka sebagai intelektual seharusnya boleh mengenali abjad-abjad Jawi dalam buku-buku sastera abad ke-18 dan ke-19 atau sekurang-kurangnya, tulisan Arab yang berbeza. Ini sebenarnya merupakan amalan biasa yang dilakukan kelompok cendekiawan Islam silam.

SUMBER

Borhanuddin, M. Syafiq. (2015). Turkish Journal of Islamic Economics. Ungku Aziz’s Perspective On ‘Development’. https://www.researchgate.net/publication/273351675_UNGKU_AZIZ_S_PERSPECTIVE_ON_DEVELOPMENT/fulltext/57a7f37708aee07544c201d2/273351675_UNGKU_AZIZ_S_PERSPECTIVE_ON_DEVELOPMENT.pdf

 

 

Previous articleSultan Az-Zahir Baybars: Daripada Hamba Menjadi Raja
Next articleMakan Tengah Hari Bersama E-Sukan
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE