Persidangan Nicaea (juga dikenali sebagai Persidangan Nicaea Pertama) diadakan pada tahun 325 Masehi atas perintah Maharaja Constantine dan disertai oleh kira-kira 300 orang paderi dari seluruh Empayar Rom yang membincangkan isu-isu teologi, khususnya tentang ajaran Arius.

Salah satu kesan utama yang lahir daripada Persidangan Nicaea adalah pembentukan Fahaman Nicaea yang sehingga kini menjadi asas bagi kebanyakan aliran dalam agama Kristian.

LATAR PERISTIWA YANG MEMBAWA KEPADA PERSIDANGAN NICAEA

Pada tahun 324 Masehi, Constantine menyandang kedudukan sebagai pemerintah tunggal Empayar Rom. Walaupun pada waktu itu beliau sendiri bukan penganut Kristian (hanya dibaptiskan semasa beliau nazak pada tahun 337M), beliau membenarkan penganut Kristian (menerusi Titah Milan 313M) mengamalkan ajaran agama mereka tanpa ditindas.

Beliau juga berharap agama Kristian dapat dimanfaatkan sebagai medium penyatuan rakyat jelatanya. Namun, perpecahan yang berlaku dalam agama tersebut memberi kesan kepada perpecahan dalam kalangan warga Rom. Demi menyatukan kembali ajaran Kristian, Constantine pun mengadakan Persidangan Nicaea.

Maharaja Constantine ditemani oleh paderi-paderi Persidangan Nicaea Pertama (325), memegang Lembaran Pengakuan Iman Nicaea-Constantinople 381

Pada kurun ke-4 Masehi, berlaku satu kontroversi besar dalam lingkungan keagamaan Kristian berkenaan sifat tuhan, khususnya berkaitan Jesus dan tuhan bapa. Satu kumpulan berpendapat bahawa walaupun Jesus-Christ adalah utusan tuhan yang menjadikannya unggul berbanding manusia lain, beliau sama sekali tidak mempunyai sifat ketuhanan memandangkan beliau sendiri adalah makhluk.

Kepercayaan sebegini dikenali sebagai Arianisme, bersempena nama penyebar fahaman tersebut iaitu Arius dari Iskandariah. Kumpulan lain pula bertegas mengatakan bahawa Jesus dan tuhan itu sama, yakni berkongsi kewujudan dan keabadian yang sama (mentuhankan Jesus). Fahaman sebegini dikenali sebagai Kristologi-Homoousian.

Permasalahan seputar ajaran Arius ini sudah pun diperdebatkan seawal 320-321 Masehi, di mana sebuah persidangan terpaksa diadakan oleh paderi Iskandariah, St. Alexander. Persidangan tersebut disertai oleh lebih seratus orang paderi dari Mesir dan Libya yang kemudiannya masing-masing sebulat suara mengisytiharkan Arius sebagai kufur.

Walau bagaimanapun, Arius tetap terus menyebarkan fahamannya dan meraih pengikut-pengikut baru. Selepas diusir dari bumi Mesir, Arius membawa diri ke Palestin dan seterusnya ke Nicomedia.

Permasalahan agama yang melibatkan Arianisme ini dianggap serius hingga memaksa Constantine campur tangan dalam usaha mendamaikan kedua-dua aliran itu, di mana beliau mengutus surat kepada Arius dan St. Alexander yang isi kandungannya menitahkan mereka agar menamatkan konflik berkenaan.

Namun dek kerana masing-masing enggan mengalah, Constantine pun memutuskan untuk meleraikan konflik itu dengan mengadakan sebuah persidangan keagamaan.

Lukisan Ortodoks Timur menggambarkan Persidangan Nicaea Pertama (325)

KELANGSUNGAN PERSIDANGAN NICAEA

Pada tahun 325 Masehi, Persidangan Nicaea pun diadakan. Persidangan ini dihadiri oleh kira-kira 300 orang paderi dari seluruh Empayar Rom, terutama dari wilayah-wilayah di sebelah timur.

Apa yang menghairankan, paus yang berkuasa pada ketika itu, iaitu Paus Sylvester I tidak hadir dan hanya menghantar dua orang wakil. Constantine sendiri hadir dan duduk di kerusi pengerusi, namun halatuju perdebatan diserahkan kepada ketua-ketua agama yang terlibat.

Lukisan dari Biara Megalo Meteoron di Yunani, menggambarkan Persidangan Nicaea Pertama 325

Salah satu susulan paling signifikan daripada Persidangan Nicaea adalah pembentukan Fahaman Nicaea yang secara efektif mendefinisikan Kristian ortodoks (berintisarikan tritunggal).

Semasa persidangan ini ditamatkan, Arianisme hanya mempunyai tiga orang penyokong sahaja, iaitu Arius, Theonas dari Marmarica, dan Secundus dari Ptolemais. Ajaran Arius diisytiharkan sebagai menyeleweng dan buku-bukunya habis dibakar. Arius sendiri dibuang negeri ke Illyria.

Sehingga kini, Fahaman Nicaea masih diterapkan oleh kebanyakan aliran utama Kristian, seperti Katolik Rom, Ortodoks Timur, dan Protestan. Tambahan lagi, penglibatan Constantine dalam persidangan berkenaan sering dianggap oleh penganut Kristian sebagai simbol kesatuan Gereja dan Negara.

Lukisan kurun ke-17 dari Russia yang menggambarkan artikel-artikel Pengakuan Iman ini

RUJUKAN:

Wu Mingren. (9 November 2018). The Council of Nicaea: Pagan Emperor Constantine Used Christianity to Unify Church and State. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/council-nicaea-0010969


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.