“Bersekutu Bertambah Mutu” – motto yang kita nampak sejak dari kecil, tapi mungkin tak ramai yang hafal atau nak ambil tau.

Kalau tanya secara rawak, mungkin tak ramai yang boleh bagitau apa yang dimaksudkan dengan “Persekutuan” dekat nama Persekutuan Malaysia dan Persekutuan Tanah Melayu.

Persekutuan (“federation”) ialah satu jenis negara yang diwujudkan menerusi gabungan beberapa entiti yang cukup sifat negara (samada secara “de jure” atau “de facto”). Contoh Persekutuan selain Malaysia ialah USA. Nama penuh USA, “United States of America” itu sendiri bermaksud “Negara-Negara Amerika yang bergabung”.

Dalam Bahasa Inggeris tak ada beza “negara” dan “negeri”. USA pada asalnya terdiri daripada 13 “state” yang merdeka daripada British pada tahun 1776: ada “Commonwealth of Massachusetts”, “Commonwealth of Virginia”, “State of New York” dan “state” lain yang masuk lambat seperti “California Republic” dan “Republic of Texas”. Semua merupakan entiti berdaulat yang mempunyai kerajaan sendiri, perlembagaan sendiri, presiden sendiri.

Cuma pada tahun 1789, mereka bergabung jadi sebuah persekutuan. Dengan menjadi persekutuan, negara-negara ini perlu melepaskan aspek kedaulatan yang tertentu seperti hak untuk menjalin hubungan dengan negara asing. Hanya kerajaan pusat berhak demikian. Tapi pada masa yang sama mereka mengekalkan kedaulatan dalam hal-hal tertentu seperti kuasa untuk memungut cukai. Jadi persekutuan mewujudkan pembahagian bidang kuasa dan juga dua identiti rakyat: you can be a “New Yorker” pada masa yang sama jadi “American”.

Ini amat berbeza dengan negara kesatuan (“union” atau “unitary state”). Di bawah negara kesatuan semua wilayah tertakluk pada kuasa kerajaan pusat. Tak wujud negeri, yang ada hanya daerah atau provinsi. Contoh negara kesatuan: Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand, China, Jepun, Korea … boleh dikatakan negara kesatuan lebih banyak dari negara persekutuan.

Tapi jangan salah faham, jangan ingat kita mengamalkan persekutuan kerana pengaruh USA pulak. Sebelum ni orang dah salah faham bendera kita tiru USA, tak hairan ada orang ingat sistem kerajaan kita pun tiru USA (dengan segala bagai teori CIA Freemason diorang).

Sebenarnya kita tak perlu tiru sesiapa. Tradisi persekutuan dah wujud dalam sejarah Peradaban Melayu. Kita ada persekutuan tertua di dunia (yang masih wujud) iaitu persekutuan Negeri Sembilan yang wujud pada tahun 1773. 16 tahun sebelum USA. Tepuk sikit.

Asalnya Negeri Sembilan memang betul-betul ada 9 negeri atau “luak”: Sungai Ujong, Jelebu, Johol, Rembau, Jelai, Kelang, Naning, Segamat dan Ulu Pahang. Sistem 9 negeri agak unik kalau berbanding dengan negeri-negeri lain yang wujud pada masa itu misalnya Johor. Instead of menyatupadukan semua luak jadi sebuah “union” dan melantik seorang jadi raja, mereka memilih sistem persekutuan dengan menjemput Raja Melewar dari Kerajaan Pagaruyung di Tanah Minangkabau untuk jadi pemimpin mereka.

Gelaran pemerintah Negeri Sembilan, “Yamtuan” bermaksud “Yang Di-Pertuan”, yang dijemput untuk jadi tuan. Yang lagi unik, Negeri Sembilan tak macam negeri lain mengamalkan sistem warisan “primogeniture” (putera sulung sebagai pewaris takhta). Ketua-ketua luak atau “Undang” akan melantik dan menabalkan Yamtuan dari kalangan diraja melalui Majlis Undang. Ada unsur demokrasi di situ kerana suku dan luak yang berbeza akan mengambil bahagian dalam proses pemilihan ketua negara.

Model persekutuan ini kemudian diaplikasikan oleh Frank Swettenham ke atas 4 negeri Melayu yang menerima naungan British. Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan digabungkan jadi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896. British cuba mengubah persekutuan kepada sistem kesatuan menerusi Malayan Union pada tahun 1946, tapi terpaksa tukar balik kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 akibat tentangan hebat orang Melayu dan juga orang British seperti Swettenham yang lebih faham tentang tamadun Melayu.

Dalam Persekutuan Tanah Melayu kita boleh nampak unsur-unsur yang ada pada Persekutuan Negeri Sembilan: Majlis Raja-Raja memainkan fungsi Majlis Undang untuk memilih pemerintah yang bergelaran “Yang Di-Pertuan Agong”, dengan kata lain, Yamtuan Agong. Dan YDPA pertama Persekutuan Tanah Melayu yang pertama ialah Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan. Ini bukan kebetulan.

Kalau nak sambung cerita pasal “Luak Berundang” dan “Luak Tanah Mengandung” kang korang bertambah mind blown pulak. So point den ialah, sebenarnya negara kita adalah kesinambungan daripada tamadun yang dinamakan tamadun Melayu. Walaupun Persekutuan Tanah Melayu dah digantikan oleh Persekutuan Malaysia, ia masih mewarisi institusi, sistem dan simbolismenya.

Tanah Melayu tidak terlenyap dengan Persekutuan Malaysia. Persekutuan Malaysia bukan Tanah Melayu + Sabah + Sarawak. Sifirnya adalah Persekutuan Malaysia = Pahang + Perak + Terengganu + Perlis + Selangor + Negeri Sembilan + Johor + Kelantan + Kedah + Pulau Pinang + Melaka + Sabah + Sarawak. Malaysia ialah sebuah persekutuan yang terdiri daripada 13 negeri yang sama rata dari segi kedudukan.

Seperti dalam Perkara 1, Perjanjian Malaysia 1963:

“The Colonies of North Borneo and Sarawak and the State of Singapore shall be federated with the existing States of the Federation of Malaya as the States of Sabah, Sarawak and Singapore…”. Perhatikan penggunaan “states” bukan “state” apabila merujuk kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Hak Sabah kena jaga. Hak Sarawak kena jaga. Begitu juga dengan hak Pahang, hak Kedah, hak Perak dan sebagainya. Hak-hak Negeri-Negeri Melayu, Raja-Raja Melayu dah orang-orang Melayu juga perlu dijaga. Dan 9 dari 13 negeri ialah negeri Melayu Beraja. Semua telah termaktub dalam Perlembagaan.

Ini tak sama dengan negara kesatuan di mana wilayah di bawah kerajaan pusat tiada jaminan hak. Macam Catalonia di Sepanyol dan Scotland di UK, mereka perlu fight untuk dapat hak autonomi akibat rasa ditindas. Tapi kelebihan persekutuan ialah ia memperuntukkan hak-hak istimewa kepada semua negeri yang menganggotai persekutuan.

Itulah semangat persekutuan. Dan kewujudan persekutuan dalam tamadun Melayu membuktikan sifat inklusif dan keterbukaan tamadun Melayu itu sendiri.

Kalau ada individu yang telah merosakkan dan menzalimi kontrak sosial antara negeri, jangan kita terus membenci sistem atas kesalahan individu. Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Bersekutu bertambah mutu. Persekutuan ialah rahmat kepada penduduk Malaysia yang mengandungi hikmah tersendiri, dan kita harus terus menerus pertahankannya.

Sumber gambar: www.orangnogori.com


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.