Persamaan Bahasa Rohingya Dan Iceland – Rumpun Indo-Eropah

1,053

Bahasa Rohingya ataupun nama asalnya, “Ruáingga (رُاَࣺينڠَ)” adalah sebuah bahasa yang dituturkan oleh 1.8 juta orang di seluruh dunia. Bahasa ini dituturkan di negara Myanmar dan Bangladesh. Penutur bahasa ini juga boleh ditemui di negara Persekutuan Malaysia.

Bahasa Iceland ataupun nama asalnya, “íslenska” adalah sebuah bahasa yang dituturkan lebih 300 ribu orang di seluruh dunia. Selain Iceland, bahasa ini juga dituturkan oleh ribuan orang di sekitar negara Denmark, Amerika Syarikat dan Kanada.

PENGHIJRAHAN INDUK

Hampir separuh penduduk dunia bertutur dalam bahasa Indo-Eropah. Indo-Eropah adalah sebuah induk bahasa purba yang telah melahirkan banyak bahasa di benua Eropah sehingga utara India.

Indo-Eropah dipercayai berasal dari kawasan steppe di peta moden Ukraine dan Rusia. Masa berlalu, mereka berhijrah keluar ke seluruh arah. Penghijrahan tersebut akhirnya telah melahirkan sub-keluarga bahasanya yang tersendiri.

Penghijrahan Indo-Eropah ke benua kecil India telah melahirkan Indo-Iranian. Penghijrahan demi penghijrahan telah menurunkan Indo-Aryan dan Sanskrit. Akhirnya, Sanskrit telah melahirkan bahasa moden seperti Rohingya.

Penghijrahan Indo-Eropah ke skandinavia telah melahirkan sub-keluarga Jermanik. Penghijrahan demi penghijrahan telah menurunkan Jermanik Utara, Bahasa Norse dan akhirnya bahasa moden seperti Bahasa Iceland.

PERBANDINGAN PERKATAAN “ORANG” 

Tahukah anda, “manú” dan “maður” adalah antara perkataan yang terdapat dalam Bahasa Rohingya dan Bahasa Iceland. Jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, kedua-dua perkataan tersebut membawa maksud “orang”.

Perkataan “manú” dalam Rohingya berasal daripada Sanskrit, “mánu (मनु)”. Sanskrit berasal daripada Proto-Indo-Aryan, *mánuṣ. Proto-Indo-Aryan pula berasal daripada Proto-Indo-Iranian, *mánuš. Proto-Indo-Iranian pula berasal daripada Proto-Indo-Eropah, *mon-.

Perkataan “maður” dalam Iceland berasal daripada Norse, “maðr”. Norse berasal daripada Proto-Jermanik, *mann. Proto-Jermanik pula berasal daripada Proto-Indo-Eropah, *mon-.

PERBANDINGAN PERKATAAN “AWAK” 

Tahukah anda, “tuñí” dan “þú” adalah antara perkataan yang terdapat dalam Bahasa Rohingya dan Bahasa Iceland. Jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, kedua-dua perkataan tersebut membawa maksud “awak”.

Perkataan “tuñí” dalam Rohingya berasal daripada Sanskrit, “tvám (त्वम्)”. Sanskrit berasal daripada Proto-Indo-Aryan, *tuHám. Proto-Indo-Aryan pula berasal daripada Proto-Indo-Iranian, *túH. Proto-Indo-Iranian pula berasal daripada Proto-Indo-Eropah, *túh₂.

Perkataan “þú” dalam Iceland berasal daripada Norse, “þú”. Norse berasal daripada Proto-Jermanik, *þū. Proto-Jermanik pula berasal daripada Proto-Indo-Eropah, *túh₂.

PERBANDINGAN PERKATAAN “RATUS”

Tahukah anda, “cót” dan “hundrað” adalah antara perkataan yang terdapat dalam Bahasa Rohingya dan Bahasa Iceland. Jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, kedua-dua perkataan tersebut membawa maksud “ratus”.

Perkataan “cót” dalam Rohingya berasal daripada Sanskrit, “śatá (शत)”. Sanskrit berasal daripada Proto-Indo-Aryan, *śatám. Proto-Indo-Aryan pula berasal daripada Proto-Indo-Iranian, *ćatám. Proto-Indo-Iranian pula berasal daripada Proto-Indo-Eropah, *ḱm̥tóm.

Perkataan “hundrað” dalam Iceland berasal daripada Norse, “hundrað”. Norse berasal daripada Proto-Jermanik, *hundaradą. Proto-Jermanik pula berasal daripada Proto-Indo-Eropah, *ḱm̥tóm.

BAHASA SATEM DAN BAHASA CENTUM

Perasan ke tak, perkataan “cót” dan “hundrað” macam terlalu jauh? Untuk pengetahuan semua, kesemua bahasa dalam keluarga Indo-Eropah telah terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan yang dimaksudkan adalah “Bahasa Satem” dan “Bahasa Centum”.

Bahasa Satem melibatkan peralihan bunyi [k] kepada [s], [ʃ], [θ] dan sebagainya ataupun [tʃ], [dʒ], [tɕ] dan sebagainya. Untuk kes ini, bunyi [k] dalam *ḱm̥tóm telah beralih menjadi [ʃ] seperti dalam Bahasa Sanskrit, “śatá (शत)” dan Rohingya, “cót”. Untuk pengetahuan semua, “satem” secara harfiahnya bermaksud “seratus” dalam Bahasa Avestan.

Kesemua bahasa dalam Bahasa Centum mengekalkan bunyi [k] kecuali dalam keluarga Jermanik, mereka beralih kepada bunyi [h]. Untuk kes ini, bunyi [k] dalam *ḱm̥tóm telah beralih menjadi [h] dalam Bahasa Iceland, “hundrað”. Untuk pengetahuan semua, “centum” secara harfiahnya bermaksud “seratus” dalam Bahasa Latin.

INFLEKSI DALAM ROHINGYA DAN ICELAND

Kesemua bahasa dalam keluarga Indo-Eropah mempunyai infleksinya yang tersendiri. Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia, “infleksi” ditakrifkan sebagai “perubahan kata yang menunjukkan pelbagai hubungan tatabahasa”.

Perhatikan infleksi yang terdapat dalam Proto-Indo-Eropah yang masing-masing bermaksud “saya membawa”, “awak membawa” dan “dia membawa”. Infleksi berkenaan adalah *bʰéroh₂, *bʰéresi, *bʰéreti. Ketiga-tiga infleksi tersebut adalah antara seratus infleksi dalam induk tersebut.

Perhatikan infleksi yang terdapat dalam Bahasa Rohingya yang masing-masing bermaksud “saya membawa”, “awak membawa” dan “dia membawa”. Infleksi berkenaan adalah “bhôri”, “bhôro”, “bhôren”. Ketiga-tiga infleksi tersebut adalah antara empat puluh infleksi dalam bahasa tersebut.

Perhatikan infleksi yang terdapat dalam Bahasa Iceland yang masing-masing bermaksud “saya membawa”, “awak membawa” dan “dia membawa”. Infleksi berkenaan adalah “ég bera”, “þú berar”, “han bera”. Ketiga-tiga infleksi tersebut adalah antara dua puluh lapan infleksi dalam bahasa tersebut.

KES TATABAHASA

Kes Tatabahasa ataupun dalam Bahasa Inggeris, “Grammatical Case” adalah sebuah pengkelasan kata nama, kata ganti nama diri, adjektif, nombor dan sebagainya mengikut fungsi tatabahasanya dalam sesuatu frasa, klausa ataupun ayat.

Proto-Indo-Eropah mempunyai lapan kes tatabahasa. Pertimbangkan perkataan “*méh₁n̥s” yang bermaksud “bulan”. Perubahan perkataan berkenaan mengikut kesnya serta maknanya secara ringkas.

Kes Nominatif: *méh₁n̥s (Bulan)
Kes Vokatif: *méh₁n̥s (Hei, Bulan)
Kes Akusatif: *méh₁n̥sm̥ (kepada Bulan)
Kes Jenitif: *méh₁n̥sos (punya Bulan)
Kes Ablatif: *méh₁n̥sos (dari Bulan)
Kes Datif: *méh₁n̥sey (untuk Bulan)
Kes Lokatif: *méh₁n̥si (di Bulan)
Kes Instrumental: *méh₁n̥sh₁ (dengan Bulan)

Bahasa Rohingya pula mempunyai enam Kes Tatabahasa. Pertimbangkan perkataan “hóliba” yang membawa maksud “tukang jahit”. Perubahan perkataan berkenaan mengikut kesnya serta maknanya secara ringkas.

Kes Nominatif: hólibaye (Tukang Jahit)
Kes Vokatif: hólibaya (Hei, tukang jahit)
Kes Akusatif: hólibare (kepada tukang jahit)
Kes Jenitif: hólibar (punya tukang jahit)
Kes Ablatif: hólibaloi (daripada tukang jahit)
Kes Datif: hóliballa (untuk tukang jahit)

Bahasa Iceland pula mempunyai empat Kes Tatabahasa. Pertimbangkan perkataan “konungur” yang membawa maksud “raja”. Perubahan perkataan berkenaan mengikut kesnya serta maknanya secara ringkas.

Kes Nominatif: Konungur (Raja)
Kes Akusatif: Konung (kepada Raja)
Kes Jenitif: Konungs (punya Raja)
Kes Datif: Konungi (untuk Raja)

Sebahagian besar bahasa dalam Indo-Eropah mempunyai Kes Tatabahasa. Ada bahasa yang masih mengekalkan kesemua lapan kes seperti Sanskrit, ada yang enam seperti Rohingya dan ada yang empat seperti Iceland.

AKHIR KATA

Kesimpulannya, itu adalah antara perbandingan yang dapat dilakukan penulis artikel ini untuk Bahasa Rohingya dan Iceland. Walaupun kelihatan berbeza di bahagian permukaan, kita masih mampu menemui titik persamaannya di sebalik pemisahan geografi sejauh 8 987 kilometer (km). Apakah persamaan lain yang mungkin penulis terlepas? Harap berikan komen anda dalam ruangan komen di bawah.

RUJUKAN

Omniglot: Icelandic. Dicapai pada 23hb April 2020 dari https://www.omniglot.com/writing/icelandic.htm

Omniglot: Rohingya. Dicapai pada 23hb April 2020 dari https://www.omniglot.com/writing/rohingya.htm

Mysterious Indo-European homeland may have been in the steppes of Ukraine and Russia. Dicapai pada 23hb April 2020 dari https://www.sciencemag.org/news/2015/02/mysterious-indo-european-homeland-may-have-been-steppes-ukraine-and-russia

How did the Icelandic language start? Dicapai pada 23hb April 2020 dari https://www.visindavefur.is/svar.php?id=4796

Satem Language Group. Dicapai pada 23hb April 2020 dari https://www.britannica.com/topic/satem-language-group

Centum Language Group. Dicapai pada 23hb April 2020 dari https://www.britannica.com/topic/centum-language-group

Langfocus: Indo-European Connection. Dicapai pada 23hb April 2020 dari https://m.youtube.com/watch?v=SqK7XXvfiXs

Kamus Besar Bahasa Indonesia: Infleksi. Dicapai pada 23hb April 2020 dari https://www.google.com/amp/s/kbbi.web.id/infleksi.html

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.