Pergamum, Anatolia, atau kini bandar Bergama, Turki moden merupakan salah sebuah kota paling penting di Yunani pada zaman Hellenistik. Kota ini kaya dengan budaya dan perpustakaan besar di tengah-tengah kotanya. Kota ini masyhur sebagai sebuah pusat pentadbiran terutama ketika ia diperintah oleh Raja Eumenes II dari Dinasti Attalid. Di bawah kekuasaan raja ini, Pergamum memutuskan hubungan dengan Macedonia dan bersekutu dengan Republik Rom.

Lukisan Pergamon purba

SALAH SEBUAH PERPUSTAKAAN UTAMA DUNIA PURBA

Kota ini memiliki populasi lebih 200 000 orang. Secara kebudayaan, ia berseteru dengan Alexandria dan Antioch, terutama dari segi hasil-hasil seni termasuklah patung-patung dan seni bina. Hal ini dapat dilihat menerusi pembinaan Altar Agung Pergamum. Kota ini juga merupakan pusat keagamaan yang signifikan dan ia pernah disebutkan di dalam Perjanjian Baru sebagai salah sebuah dari Tujuh Buah Gereja Wahyu. Sekitar tahun 133 Sebelum Masihi, Pergamum diserahkan kepada Republik Rom dan pada Zaman Pertengahan pula, ia tumbang ke tangan pemerintahan Empayar Uthmaniyah.

Peta acropolis Pergamon (1882), dari Die Ergebnisse der Ausgrabung zu Pergamon 1880-1881, Universiti Heidelberg

Perpustakaan Pergamum adalah pusat bagi segala elemen kebudayaan. Seorang penulis Yunani yang bernama Plutarch berkata bahawa ia menyimpan sebanyak 200 000 jilid buku. Perpustakaan ini dikenali sebagai salah sebuah perpustakaan paling penting di dunia purba dan kedudukannya hanya dapat ditandingi oleh Perpustakaan Iskandariah (Alexandria).

Menurut seorang penghikayat purba, Pliny the Elder, Perpustakaan Pergamum sangat masyhur hingga ia dianggap sebagai ‘pesaing terhebat’ Perpustakaan Iskandariah. Kedua-dua perpustakaan ini cuba untuk menghimpunkan koleksi manuskrip yang paling lengkap. Keduanya tuut membangunkan sekolah-sekolah pemikiran yang saling berseteru.

Malahan, legenda menceritakan bagaimana Empayar Ptolemaic di Mesir menghentikan penghantaran papirus ke Pergamum semata-mata atas tujuan agar mereka dapat melambatkan perkembangan perpustakaan itu. Sebagai susulan, kota itu kemudiannya berkembang menjadi sebuah tapak penghasilan kertas kulit.

Sekumpulan rakyat Pergamum dan isteri kepada canselor bandar, Flavia Melitene, memainkan peranan yang besar dalam membekalkan bahan untuk perpustakaan tersebut. Misal yang paling signifikan adalah beliau menghadiahkan sebuah patung Maharaja Rom, iaitu Maharaja Hadrian kepada perpustakaan tersebut.

Tugu Hadrian dalam pakaian tentera, Antalya, Turki

HADIAH KEILMUAN

Legenda menyebutkan bahawa Mark Anthony, pemerintah empayar Macedonia pada zaman kemuncaknya, pernah memberikan kesemua 200 000 jilid dalam perpustakaan itu kepada Cleopatra sebagai hadiah perkahwinan. Jilid-jilid ini ditakdirkan untuk dimiliki oleh Perpustakaan Iskandariah, sekaligus menamatkan status Perpustakaan Pergamum sebagai salah sebuah perpustakaan agung di zamannya. Terdapat kemungkinan bahawa jilid-jilid yang dihadiahkan ini turut musnah dalam kebakaran yang melanda Perpustakaan Iskandariah, memandangkan tarikh kemusnahan jilid-jilid tersebut masih tidak diketahui dengan jelas.

Sebahagian pihak berpendapat bahawa Julius Caesar membakar perpustakaan ini semasa berlakunya perang saudara pertama pada tahun 48 Sebelum Masihi. Pihak lain pula mengemukakan tarikh kehancuran perpustakaan itu kepada beberapa tarikh; semasa serangan Aurelian pada tahun 270-275 SM, titah Paus Theophilius of Alexandria untuk meruntuhkan ilmu pagan silam atas nama tuhan pada tahun 391 Masihi, atau penaklukan Islam ke atas Mesir pada tahun 642 Masihi.

Sekiraya perpustakaan ini dimusnahkan oleh Julius Caesar, hal ini menyokong kisah di mana Mark Anthony menghadiahkan kandungan Perpustakaan Pergamum kepada Cleopatra atas tujuan mengisi semula koleksi Perpustakaan Iskandariah. Namun malangnya, tiada sebarang katalog Perpustakaan Pergamum yang kita ketahui sekaligus memustahilkan kita untuk mengetahui skop atau cakupan koleksinya bagi membuat perbandingan.

SENI BINA PERPUSTAKAAN PERGAMUM

Dibina oleh Eumenes II pada era kemuncak kemasyhuran Pergamum, perpustakaan ini terletak di penghujung utara acropolis. Ia merupakan satu-satunya perpustakaan Yunani yang bukti kewujudannya dapat ditemukan oleh ahli-ahli arkeologi pad ahari ini. Justeru, ia adalah satu-satunya perpustakaan dari dunia purba yang kita boleh huraikan seni bina dan bahan-bahan binaan yang digunakan olehnya secara terperinci.

Secara meluas, pelan reka letak perpustakaan ini difahami kuran lebih seperti ini: sebuah ruangan besar yang mempunyai sebuah patung dewa bersaiz besar di bahagian utamanya terletak bertentangan dengan gerbang utama. Secara tipikal, patung ini tidak lain adalah patung Athena. Ruangan utama ini mempunyai sebuah exedra, bilik sampingan atau portico yang membentuk tapak bagi peletakan rak-rak buku.

Tugu Athena Parthenos dari Perpustakaan Pergamum dengan kuil Zeus Sosipolis dari Magnesia. Muzium Pergamon, Berlin


Rak-rak buku ini hadir dalam bentuk almari bertutup dengan ukuran sekitar 2 meter (6.56 kaki) tinggi, sekaligus meninggalkan sedikit ruang pada sisi dinding menaik ke atap sebagai ruang buat jendela-jendala yang membolehkan cahaya masuk secara alami ke ruangan tersebut.

Bilik ini mungkin turut digunakan untuk aktiviti debat, syarahan, upacara dan pembelajaran. Hanya sebahagian kecil sahaja koleksi yang ditempatkan di bilik ini, memandangkan ia tidak dapat menampung kesemua 200 000 jilid yang terdapat dalam koleksi Perpustakaan Pergamum.

Bilik-bilik sampingan didirikan secara bertahap untuk menempatkan koleksi yang sentiasa bertambah pada era pemerintahan Eumenes II. Bilik-bilik baru ini tidaklah boleh dianggap sebagai sebuah mahakarya seni. Namun, ia tetap berfungsi dengan efisien dan digunakan untuk menampung kebanyakan jilid. Bilik-bilik baru ini turut berfungsi sebagai scriptoria dan bilik-bilik menulis.

Diagram Perpustakaan Pergamum

Terdapat sedikit ruang yang sengaja diwujudkan antara rak-rak buku dengan dinding luar bangunan bagi tujuan membolehkan udara berkitar di sekitar bilik bacaan. Tujuan utama bagi hal ini adalah untuk menghindarkan perpustakaan tersebut dari menjadi terlalu lembab dalam cuaca hangat di Anatolia. Keadaan ini secara meluas dianggap sebagai usaha awal dalam pemeliharaan dan penjagaan perpustakaan.

Kelembapan sering menjadi salah satu musuh utama perpustakaan. Gulungan papirus dan jilid-jilid kertas kulit disimpan di dalam almari bertutup bagi menghindarkannya daripada kelembapan yang datang daripada foundasi dan jendela yang dibuka. Sejurus selepas dibina, jendela-jendela ini memerlukan sengkuap (awning) di bahagian atasnya untuk meneduhinya daripada hujan dan debu daripada luar lantaran panel-panel jendela kaca belum lagi digunakan melainkan pada lewat kurun pertama Sebelum Masihi.

WUJUD DALAM BENTUK PUING-PUING RUNTUHAN

Walaupun sudah runtuh dan hanya wujud sebagai puing-puing bangunan, perpustakaan ini masih berdiri sebagai bukti kepada kekayaan ilmu yang pernah dimiliki oleh orang-orang Yunani, Rom dan sekutu-sekutu mereka. Ia merupakan simpanan khazanah arkeologi yang menguakkan kepada kita jendela ke zaman silam menerusi jilid-jilid yang disimpan olehnya, hasil-hasil seni yang dimiliki serta seni bina purba yang memperindah bangunannya. Lantaran itu, Perpustakaan Pergamum kekal sebagai sebuah tapak yang sangat penting buat kita sehingga ke hari ini, sebagaimana pentingnya ia di zaman silam.

Perpustakaan sebelum diekskavasi

TERJEMAHAN:

Veronica Parkes. (24 Februari 2017). The Library of Pergamum: A Contender for the Greatest Library of the Ancient World. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/library-pergamum-contender-greatest-library-ancient-world-007601


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.