Seluruh dunia gembira bila mendengar berita pertunangan pewaris takhta Britain, Putera Harry dengan bekas pelakon Suits, Meghan Markle. Perkahwinan pasangan bahagia ini akan dilangsungkan pada 19 Mei 2018 dan sejak tarikh tersebut diumumkan, ramai mencari maklumat berkenaan jelitawan yang berusia 36 tahun itu. Apabila beliau berkahwin dengan Putera Harry, Markle akan diraikan sebagai puteri kulit hitam pertama Britain, sesuatu yang disifatkan bersejarah bagi keluarga diraja Britain. Namun tahukah anda, Markle bukanlah anggota kerabat diraja kulit hitam pertama Britain? Rekod tersebut dikatakan dipegang oleh Charlotte dari Mecklenburg-Strelitz, Permaisuri Raja George III.

Berikut beberapa anekdot menarik berkenaan Permaisuri Charlotte:

Permaisuri yang hidup antara tahun 1744 hingga 1818 ini merupakan anak kelapan dan puteri bongsu kepada Duke Charles Louis Frederick dan Duchess Elizabeth Albertine. Menurut laporan diplomatik semasa pertunangan baginda dengan George III, pendidikan yang diterima bersifat sederhana saja. Permaisuri Charlotte hanya mempelajari ilmu asas botani, sejarah alam semulajadi dan bahasa dari para tutor sementara seorang paderi mengajarnya pengurusan rumahtangga dan agama. Selepas kekandanya, Adolphus Frederick diangkat sebagai Duke menggantikan ayahandanya pada tahun 1752, barulah permaisuri ini menimba pengalaman sebagai anggota kerabat diraja dan hidup di istana.

Selepas Raja George III menaiki takhta menggantikan ayahandanya, Raja George II, baginda ketika itu berusia 22 tahun dan masih bujang. Untuk memenuhi kehendak bonda dan para penasihatnya, baginda dijodohkan dengan Permaisuri Charlotte. George III memilihnya kerana berasal dari kawasan bangsawan yang kurang dikenali di Jerman, sekaligus menyaksikannya tiada pengalaman atau minat mencampuri soal politik atau perebutan kuasa. Atas sebab itu selepas mereka berkahwin, baginda memerintahkan Charlotte tidak mencampuri urusan pemerintahan, satu permintaan yang diterimanya dengan senang hati.

Hasil perkahwinan pasangan bahagia ini, mereka dikurniakan 15 cahaya mata. Bagaimanapun kekerapannya mengandung dilihat mengundang tekanan pada Permaisuri Charlotte. Baginda berkata, “Beta tak fikir seorang banduan akan memikirkan lebih daripada kebebasannya berbanding beta yang mahukan bebanan ini dibuang dan kempen ini berakhir. Beta akan merasa gembira jika ini yang terakhir.” Catatan kata-kata ini diungkapkan pada tahun 1780 semasa Permaisuri Charlotte sedang sarat mengandungkan cahaya mata ke-14, Putera Alfred. Bagaimanapun, hayat Putera Alfred tidak bertahan lama dan mangkat pada usia dua tahun. Sementara seorang lagi putera baginda, Putera Octavius mangkat setahun kemudian.

Permaisuri Charlotte merupakan penaung kepada beberapa komposer klasik terkenal. Antaranya ialah Johan Christian Bach, anak ke-11 komposer terkenal Johan Sebastian Bach. Bach menganggap baginda sebagai seorang kawan dan penyokong. Terima kasih kepada sokongan Charlotte, Bach dilantik sebagai ahli muzik negara menggantikan penyandang sebelumnya, George Frideric Handel yang meninggal dunia pada tahun 1759. Handel sebelum itu berkhidmat sebagai ahli muzik negara semasa pemerintahan George I dan George II.

Dan sedikit sebanyak, pengaruh Permaisuri Charlotte turut memberi kesan kepada seorang kanak-kanak berbakat bernama Wolfgang Amadeus Mozart. Diceritakan pada satu ketika, tatkala keluarga seniman terkemuka Mozart menjelajah Eropah terutama Britain pada tahun 1764 dan diberi peluang melakukan persembahan di hadapan kelompok penonton terhad. Bach mahu mencabar keupayaan kanak-kanak ini dengan mencabarnya bermain karya Handel, J.S Bach dan Carl Friedrich Abel. Dan Mozart mengagumkan Permaisuri Charlotte dan penonton dengan persembahan muzik yang memukau. Selepas itu, beliau mengiringi persembahan baginda dan mengadakan persembahan solo dengan flut. Impak daripada pertemuan tersebut menyebabkan Mozart mendedikasikan karyanya, Opus 3 kepada baginda pada 18 Januari 1765.

Menurut sejarawan Mario Valdes, Charlotte mempunyai hubungkait dengan Margarita de Castro y Sousa, seorang anggota kerabat diraja Portugal yang berkulit hitam. Ini ditambah pula dengan keterangan kurang menyenangkan berkenaan rupa baginda. Semasa bergelar Permaisuri, Permaisuri Charlotte diejek kerana mempunyai rupa Mulatto (orang yang berdarah campuran kulit putih dengan kulit hitam). Sementara sejarawan dan sasterawan British, Sir Walter Scott menulis anggota keluarga baginda mempunyai kulit gelap, mempunyai rupa seperti orang hutan dan dikatakan ada darah orang Vandal kerana mempunyai rupa seperti mereka. Keturunan de Castro y Sousa boleh dikesan kepada pemerintah abad ke-13 Masihi, Alfonso III dan kekasihnya, Madragana. Valdes mengesyaki Madragana sebenarnya seorang Moor (Muslim dalam Bahasa Sepanyol). Bagaimanapun, teori tersebut masih belum terbukti kerana ia masih belum mengesahkan identiti sebenar bangsa de Castro y Sousa.

Jika benar Permaisuri Charlotte berkulit hitam, mengapa kebanyakan potret atau lukisan yang menampilkan baginda tidak memaparkan ciri sedemikian? Kebanyakan pelukis sedar jika mereka cuba menyelitkan imej sebenar baginda, pasti ia akan mengundang polemik berpanjangan dan boleh memberi kesan dari segi politik. Mereka diharap tidak menonjolkan, mengaburkan atau memusnahkan terus mana-mana ciri yang tidak bersesuaian dengan subjek termasuk warna kulit mereka.

Isu orang kulit hitam yang mempunyai dinasti monarkinya tersendiri bukanlah cerita baru bahkan ada di antara mereka menjadi terkenal seperti pemerintah Empayar Mali, Mansa Musa. Tetapi di Eropah, kelompok monarki hanya terhad kepada keluarga-keluarga elit berkulit putih saja. Apabila pihak media cuba mendapatkan maklum balas Istana  Buckingham berkenaan latar belakang Permaisuri Charlotte pada tahun 1989, pihak istana tidak berminat melayan khabar angin dan lebih berminat membicarakan perkara lebih pentin.

Pada zaman moden ini, gelaran anggota kerabat diraja berdarah campuran pertama tidak akan menjadi milik Markle. Ini kerana perkahwinan sebegini membabitkan anggota keluarga Habsburg dan kerabat diraja dari Liecthenstein dan Monaco dengan wanita berkulit hitam bukanlah sesuatu yang asing. Contohnya anak saudara Putera Rainier dari Monaco merangkap Baron Massy, Christian Louis berkahwin dengan seorang wanita kulit hitam bernama Baroness Cecille de Massy.

SUMBER

  1. Walk-Morris, Tatiana. (2017). Smithsonian Magazine. Five Things to Know About Queen Charlotte. https://www.smithsonianmag.com/smartnews-arts-culture/5-things-you-didnt-know-about-queen-charlotte-
  2. Blakemore, Erin. (2018). History.com. Meghan Markle Might Not Be the First Mixed-Race British Royal. https://www.history.com/news/biracial-royalty-meghan-markle-queen-charlotte

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.