Perlunya Perpustakaan Di Setiap Rumah

748
views

Bulan Februari ialah bulan cinta. Maka, eloklah kiranya penulis membicarakan tentang cinta untuk kali ini. Namun penulis tidak mahu bicarakan tentang cinta kimia antara dua manusia yang menggalakkan pembiakan, tetapi cinta yang akan memberikan kita kehidupan yang bermakna. Ia adalah cinta pada buku.

Neil Gaiman, seorang pensyarah dan juga seorang pengarang terkenal menceritakan pengalamannya mendengar satu ceramah di New York tentang populasi penjara. Beliau bertanya bagaimana untuk bersedia menghadapi populasi penjara yang semakin membimbangkan. Adakah makin teruk atau makin elok? Jawabnya kaji bilangan anak-anak yang boleh membaca 11 tahun ke atas. Jika makin ramai yang tidak boleh membaca, maka makin ramailah penjenayah yang akan masuk penjara. Bertepatan dengan kata-kata Joseph Brodsky:-

“There are worse crimes than burning books; not reading them.”

Namun bukanlah bermaksud madani yang membaca itu bebas jenayah, tetapi membaca merupakan satu elemen yang penting yang akan membezakan status kedudukan seseorang, malahan zaman seseorang. Sebagai orang Islam, kita harus menggali hikmah di sebalik potongan surah pertama yang diturunkan ke bumi ini. Mengapa Surah Al-Alaq ayat 1-5 dipilih oleh Allah untuk menjadi ayat awal kepada pengenalan Islam untuk masyarakat? Padahal ketika itu dengan keadaan Nabi Muhammad S.A.W. yang tidak tahu membaca, kenapa ayat pertama yang diturunkan Allah ialah membaca? Bayangkan bermulanya perjalanan seorang manusia di dunia sepanjang hayat ialah perkataan ‘baca’… dalam zaman yang penuh dengan kemewahan. Masyarakat Mekah ketika itu kebanyakannya terdiri daripada ramai golongan kaya, mengamalkan pluralisme dan keterbukaan terhadap agama serta banyak buku-buku dan kitab –kitab tentang agama terdahulu.

Ternyata kini, cinta pada ilmu dan buku merupakan cinta yang semakin hilang dalam kalangan anak-anak kita. Salah satu kaedah orang dewasa menghilangkan cinta anak-anak dengan buku ialah dengan memastikan tiada buku untuk dibaca. Masyarakat sekarang semakin susah untuk mewujudkan pustaka di dalam rumah. Penulis sendiri pun mengakui dengan keadaan penulis ( dan kebanyakan orang lain) yang hidupnya terpaksa bertukar-tukar kerja, terpaksa menyewa di rumah yang sempit, serta duit gaji cukup-cukup makan menyebabkan susahnya untuk mewujudkan pustaka di rumah. Tetapi sebenarnya pustaka sesebuah rumah bukanlah beban, tetapi lambang kebebasan. Kebebasan maklumat, kebebasan berimaginasi, kebebasan berkomunikasi dan sebagainya.

Celik huruf sekarang ini makin penting. Celik bukan bermakna pandai membaca sahaja, malah minat membaca untuk hidup. Penulis tertarik untuk menjadikan Singapura sebagai contoh dalam hal ini. Untuk pengetahuan, negara Singapura adalah negara yang mempunyai sistem pendidikan antara yang terbaik di dunia, dan purata IQ rakyatnya adalah 108. Walaubagaimanapun, ramai rakyat dan para pelajar Singapura mengelakkan diri daripada mengambil kursus sastera kerana kursus ini perlukan pembacaan yang tinggi dan pemarkahannya juga lebih ketat berbanding subjek sains, matematik dan geografi. Pada tahun 2001, hanya suku daripada pelajar O-level di Singapura menduduki peperiksaan sastera manakala hanya 4% sahaja pelajar aliran biasa mendudukinya.

Ironinya, masa pembelajaran yang panjang dan penekanan yang tinggi terhadap pemarkahan oleh ibu bapa dan pihak sekolah menyebabkan pelajar tidak mempunyai cukup masa untuk membaca. Mereka hanya membaca ketika ingin menduduki peperiksaan sahaja dan lebih menumpukan pada subjek-subjek yang keperluan kurikulum sahaja. Oleh itu pelajar-pelajar Singapura ini terbatas minatnya terhadap membaca, sekaligus kurang pemahaman dengan dunia. Bukan sahaja intelek pelajar terjejas akibat masalah ini, tetapi juga kemahiran sosial dan moral. Sebab itulah antara kriteria yang dicari oleh para majikan di Singapura adalah ‘street smart’ , yang mengikut kajian dapat diperolehi dengan ketekunan mencari ilmu (resourceful) dan salah satunya ialah dengan membaca tanpa disuruh.

Rumah yang memiliki perpustakaan peribadi sememangnya dituntut dalam Islam. Al-Jahizh dalam kitabnya Al-Hayawan menjelaskan :-

“ ketika seseorang menjadi ilmuwan, (warisannya merupakan buku-buku langka dan ilmu lengkap) si anak akan memandang bahawa menuntut ilmu adalah sebahagian daripada hidupnya dan aktiviti ajar-belajar akan lebih cepat memainkan peranannya. Anak akan memandang bahawa tidak belajar adalah suatu kesalahan. Dia akan segera mengaplikasikan segala pembelajaran yang telah diserap sesuai dengan metod yang telah diterima. Dia akan segera menggantikan keinginan mencari mafkah dengan menelaah kitab-kitab dan mengikuti pelbagai kajian ilmiah, kecuali apabila dia sudah mendapat apa yang diperlukan.”

Peranan perpustakaan peribadi juga diingatkan oleh Imam Asy-Syahid dalam risalahnya Anja ‘ul Wasa’il fi Tarbiyyati an-Nas’I Tarbiyyatan Islamiyyatan Kha’ishah. Katanya :-

“ Juga saya sebutkan tentang pentingnya rumah memiliki perpustakaan walau kecil sekalipun. Buku-buku koleksinya harus dipilih berupa buku sejarah Islam, biografi ulama salaf, kitab-kitab akhlak, hikmah, ekspedisi Islam, peperangan, dan sebagainya. Kalau peti kecemasan penting untuk mengubati badan, pustaka Islam penting untuk mengubati pola fikir. Ibu bapa harus berusaha menghalang masuknya buku tidak bermanfaat ke dalam rumah. Namun ini tidak dilakukan dengan melarang dan mengancam, kerana ia akan membuat si anak merasa ingin tahu. Sebaliknya dengan mengarahkannya mengonsumpsi buku-buku dan kitab-kitab yang bermanfaat baginya.”

Sebagai kesimpulan, pustaka adalah gerbang masa hadapan. Jadi sungguh mendukacitakan apabila kita sanggup korbankan duit beli buku semata- mata kerana ingin bermewah-mewah, tanpa menyedari duit yang kita belanjakan kini adalah saham masa hadapan. Atau dengan lain perkataan, anak-anak kita semakin kurang ‘celik huruf’ daripada generasi terdahulu. Mereka semakin kurang berupaya untuk ‘navigate’ dunia, untuk memahami dan menyelesaikan masalah. Mereka lebih mudah didedahkan dengan fitnah dan ditipu, susah untuk membantu dunia dan maka, susah dapat kerja.

RUJUKAN

Dr. Muhammad Nur Abdul Hafidh Suwaid. 2014. Prophetic Parenting; Cara Rasulullah Mendidik Anak. Pustaka Saujana Sdn. Bhd.

King, R. 2016. Singapore’s Education System; Myth and Reality. Insight Press.

https://www.theguardian.com/books/2013/oct/15/neil-gaiman-future-libraries-reading-daydreaming

https://www.brainyquote.com/authors/joseph_brodsky