Sudah maklum bahawasanya perluasan kuasa Islam di laut bermula ketika zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan setelah gabenor Syam, Muawiyah bin Abu Sufian memohon untuk mendirikan pangkalan tentera laut Islam dan membina beberapa buah kapal perang untuk mempertahankan kuasa Islam di daerah Syam.

Walaupun permohonan Muawiyah untuk mengasaskan pasukan laut Islam ditolak pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, beliau tetap tidak berputus asa dalam mengatur langkahnya dalam mempertahankan daerah Syam daripada jatuh ke tangan Rom Byzantine semula.

(Ini kerana daerah Syam yang dipimpin Muawiyah pada masa ini sudah menghampiri wilayah kekuasaan Rom Byzantine iaitu pulau Cyprus dan pulau Rhodes, sekaligus merupakan pangkalan pasukan laut utama mereka untuk melancarkan serangan ke daerah Syam).

Khalifah Umar al-Khattab mempunyai alasan tersendiri pada masa itu mengapa beliau menolak permohonan Muawiyah untuk mendirikan pasukan laut Islam, diantaranya:

1. Al-A’la bin al-Hadrami, gabenor Basrah menghantar sepasukan tentera Islam di bawah pimpinan panglima Arfajah bin Harthamah al-Bariqi yang bertolak dari Bahrain ke empayar Parsi menyeberangi Teluk Parsi tanpa mendapatkan keizinan dari Khalifah Umar. Ekspedisi ini diakhiri dengan kekalahan pasukan Islam di Tawus dengan terbunuhnya panglima Arfajah bin Harthamah ditangan pasukan tentera empayar Parsi Banu Sasan.

2. Khalifah Umar mengetahui kuasa Islam baharu sahaja bertapak di daerah Syam setelah mengalahkan pasukan Rom Byzantine dan juga mereka menghadapi tentangan dari pasukan Empayar Parsi Banu Sasan. Maka dengan itu, Khalifah Umar mengambil langkah menundakan dahulu permohonan Muawiyah, kerana beliau mahu mengukuhkan dahulu pentadbiran Islam di daerah Syam, ini juga bertujuan supaya pihak musuh tidak mempunyai peluang sejengkal pun untuk merebut kembali daerah Syam tatkala pasukan Islam sedang sibuk berperang di laut.

3. Teknologi dan struktur binaan kapal perang Islam yang masih baharu dan belum ada sesiapa yang berkemahiran mengendalikannya. Ini kerana tentera Islam pada masa itu belum mempunyai tenaga pengajar serta taktik kemahiran berperang di atas lautan.

(Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar kuasa Islam telah mencapai ke daerah Syam seperti pembukaan Damsyik, Homs, Qannasirin, Palestin, Baitulmaqdis dan al-Jazirah. al-Jazirah yang meliputi kawasan diantara sungai Tigris dan sungai Furat termasuk dalam episod seperti pembukaan kota ar-Ruha, kota Harran, kota Nasibin serta kota Mardin – sebahagian wilayah yang dikuasainya ini dahulunya adalah bekas jajahan empayar Parsi Banu Sasan dan Rom Byzantine. Pembukaan Iraq melalui perang al-Jisr dan pertempuran al-Qadisiyyah pimpinan Saad bin Abu Waqqas serta pembukaan ibukota Parsi Banu Sasan, al-Madain dan pertempuran Nahawand yang dikenali sebagai episod Fath al-Futuh di bawah pimpinan Nu’man bin Muqarrin – Pertempuran ini meluaskan lagi kuasa Islam sehingga mencapai ke sempadan wilayah Sind. Amru al-As memimpin pasukan Islam membuka Mesir dan al-Iskandariyah).

Khalifah Uthman telah memperkenankan permohonan Muawiyah untuk mendirikan pangkalan kapal perang dan membentuk pasukan tentera khusus untuk berperang di laut setelah berlakunya peristiwa penaklukan semula beberapa bandar persisiran laut Syam milik Islam oleh Rom Byzantine seperti bandar Beirut – Pasukan Rom Byzantine melancarkan serangan kembali untuk mengambil alih kekuasaan Islam di sana kerana pemimpin mereka, Kaisar Constantine II menyangka dengan kewafatan Khalifah Umar akan menyebabkan tentera Islam melemah.Peristiwa ini terjadi pada tahun kedua pemerintahan Khalifah Uthman.

(Bandar Beirut dapat ditawan semula oleh Muawiyah sebelum beliau menghantar surat permohonan kepada Khalifah Uthman pada tahun ke-27 H).

Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman, Muawiyah telah membangunkan pangkalan pasukan laut Islam di pesisiran pantai Syam iaitu di bandar Akka (Acre) untuk melancarkan serangan balik ke wilayah Rom Byzantine. Muawiyah telah mensasarkan ‘Kunci kepada Syam’ iaitu pulau Cyprus dalam ekspedisi pertamanya menggempur wilayah Rom Byzantine di laut Mediterranean.

Khalifah Uthman telah memberikan keizinan kepada Muawiyah untuk memimpin ekspedisi ini dengan beberapa syarat sepert,i tiada paksaan untuk sesiapa yang ingin menyertai operasi membuka pulau Cyprus.

B. Mengapa Muawiyah membidik pulau Cyprus sebagai pulau pertama dalam ekpedisinya?

Pertama: Pulau Cyprus merupakan salah satu daripada tiga pulau utama di bahagian timur laut Mediterranean dan ianya adalah sebuah pulau yang strategik untuk menguasai serta mengawal wilayah Mesir dan Syam melalui jalur laut. Ini kerana pada masa itu, jarak perjalanan laut dari pulau Cyprus ke persisiran pantai tanah besar Syam hanya mengambil masa satu hari perjalanan dan jaraknya ke persisiran pantai Mesir hanya melangkaui tempoh lima hari sahaja.

(Kedudukan geografi pulau Cyprus yang paling hadapan daripada pulau-pulau lain di laut Mediterranean).

Kedua: Mengambil-alih pangkalan pasukan laut utama Rom Byzantine dan menjadikan pangkalan laut pasukan Islam di pulau ini menandakan bahawasanya pasukan Islam mampu melindungi perairan Syam dan Mesir dari serangan jalur laut oleh kapal-kapal perang milik Rom Byzantine.

Ketiga: Menghentikan serta-merta kegiatan pasukan laut Rom Byzantine yang berhasrat untuk menjajah kembali wilayah Syam melalui jalan laut.

C. Senarai pulau-pulau yang dibuka.

PEMBUKAAN PULAU CYPRUS ( 28 H / 648 M ).

Pembukaan pulau-pulau di laut Mediterranean disenaraikan sebagai salah satu episod dari Perang Arab-Byzantine (634 M sehingga 1050 M).

1. Operasi pertama: Pada tahun ke-28 H. ( Pendapat lain adalah 27 H atau 29 H ).

Pada musim sejuk: Setelah menyiapkan pasukan tentera laut dan 220 buah kapal perang jenis Shini, Muawiyah bergerak bersama pasukannya dari kota Damaskus menuju ke pangkalan laut Akka ( sekarang berada di dalam wilayah negara haram Israel ). Pasukan dari Damaskus bergabung dengan pasukan tentera yang sudah bersiap menunggu di pelabuhan ini. Pada ekspedisi pada kali pertama ini, majoriti pasukan tentera terdiri daripada tentera sukarelawan.

Beberapa sahabat yang berpeluang mengikuti ekspedisi ini, diantaranya:

1. Abu Zar al-Ghiffari.
2. Miqdad bin Aswad.
3. Abu Darda.
4. Fadalah bin Ubaid.
5. Umair bin Saad.
6. Wasilah bin al-Asqa.
7. Ka’ab bin al-Habr.
8. Shadda bin Aus.

Armada kapal perang Islam yang bertolak dari pelabuhan Akka pimpinan Muawiyah yang dipandu oleh seorang ‘navigator’ juga seorang laksamana iaitu Abdullah bin Qays al-Jasi (Digelar ‘Raja Laut Mediterranean’) lalu bertemu dengan armada kapal perang Islam dari pelabuhan Iskandariyah, Mesir di bawah pimpinan gabenor Abdullah bin Saad di perairan pulau Cyprus. Gabungan kedua armada ini berjaya menewaskan armada kapal perang Rom Byzantine dan menyebabkan penguasa Cyprus menyerah diri bersama penduduknya (terdiri dari bangsa Rom beragama Nasrani) lalu mereka mengikat perjanjian damai dengan Muawiyah.

Penguasa Cyprus berjanji akan menghantar ufti sebanyak 7,200 dinar setiap tahun kepada Khalifah Uthman dan mereka juga akan bekerjasama dengan tentera Islam untuk memberikan segala maklumat berkaitan semua pergerakan tentera Rom Byzantine di laut Mediterranean.

(Jumlah ufti sebanyak 7,200 dinar dinyatakan oleh sejarawan Islam, Ibnu A’tham dan al-Baladhuri).

Muawiyah bersama armadanya pulang ke Damsyik dan Mesir kembali setelah beliau menempatkan sebuah regu pasukan Islam di sini yang bertujuan untuk memantau segala aktiviti penduduk pulau Cyprus.

Pusat armada laut Rom Byzantine dipindahkan ke pulau Sicily setelah kejatuhan pulau Cyprus ke tangan pasukan Muslim.

( Saki baki armada Rom Byzantine yang terselamat dalam serangan ini melarikan diri ke pulau Rhodes – ini kerana pulau Rhodes yang terletak di kawasan tenggara laut Aegea merupakan sebuah pangkalan Rom Byzantine yang aktif dari segi ketenteraan di lautan dan dari sinilah armada laut Byzantine melancarkan kembali serangan ke pulau Cyprus ).

2. Operasi kedua: Dalam sekitar tahun ke-32 H.

Penguasa Cyrus mengkhianati perjanjian damai dengan Muawiyah bin Abu Sufian. Penguasa ini memberikan bantuan penuh kepada pasukan Rom Byzantine untuk menawan semula pulau ini daripada kekuasaan Islam.

Muawiyah yang berang dengan tindakan pengecut penguasa pulau ini terus meminta izin dari Khalifah Uthman untuk memimpin armada kapal perang Islam buat kali kedua mengambil alih semula pulau Cyprus.

Muawiyah memimpin sebanyak 500 buah kapal perang yang di mana setiap kapal perang ini dinaiki seramai 12,000 tentera tetap (bergaji) yang nama mereka sudah tercatat secara rasmi dalam senarai Diwan al-Jundi ( Jabatan Tentera ).

Pada masa ini, khidmat pasukan tentera sukarelawan dikurangkan/dihentikan sebentar.
Setelah mengalahkan pasukan Rom Byzantine dan menawan penguasa Cyprus yang telah mengkhianati beliau, Muawiyah menempatkan seramai 12,000 tentera dan beberapa orang penduduk dari Ba’labak (sebuah bandar di daerah Syam) untuk mengawal pulau ini dari pencerobohan pihak musuh.

Penduduk dari Ba’labak dan tentera Islam yang ditempatkan di sini mendirikan bandar baharu yang mana di sini terdapat kemudahan seperti masjid dan pelabuhan yang membina kapal-kapal perang Islam.

PEMBUKAAN PULAU SICILY ( 32 H / 652 M )

Pulau ini terletak berhampiran dengan daratan Afrika dan daratan Eropah. Walaupun pulau ini tidak termasuk dalam kawasan barat Laut Mediterranean dan belum berjaya dibuka pada zaman Khalifah Uthman, peristiwa ini menandakan bahawasanya Muawiyah sangat bermatlamat jauh untuk menghadapi tentangan pasukan besar armada laut Rom Byzantine secara langsung walaupun dalam peringkat permulaan.

Muawiyah menerima keizinan dari Khaifah Uthman untuk membuka pulau Sicily. Beliau segera menghantar sebuah armada pasukan laut sebanyak 200 buah kapal perang pimpinan laksamana Muawiyah bin Hudayj. Pasukan Islam berjaya mengalahkan pasukan laut Rom Byzantine dan menuju masuk ke daratan dengan menawan bandar dan daerah yang berada di dalam pulau ini.

Maharaja Constantine II yang mendengar kegagalan pasukan lautnya untuk mempertahankan pulau ini, baginda dengan segera menghantar pasukan bantuan sebanyak 600 buah kapal perang untuk menghalau pasukan Islam dari pulau Sicily.

Muawiyah bin Hudayj yang mendengar berita kemaraan 600 buah kapal perang tambahan dari ibukota Konstantinopel terus mengambil langkah mengundurkan diri bersama saki-baki tenteranya dari pulau Sicily lalu menuju ke pelabuhan Akka.

Berita pengunduran pasukan Islam dari pulau Sicily menggembirakan hati Khalifah Uthman dan beliau memuji tindakan laksamana Muawiyah bin Hudayj mengundurkan pasukannya dari pulau tersebut.

Daripada kegagalan pasukan Islam untuk menguasai pulau Sicily ini, Maharaja Constantine II terus menjadikan pulau ini sebagai pusat armada lautnya setelah baginda kehilangan pulau Cyprus dengan beberapa alasan iaitu:

1. Maharaja Constantine II tidak berminat lagi mahu merampas kembali tanah Syam dan Mesir sebaliknya baginda merancang strategi menganggu kuasa Islam yang sedang sibuk memasuki wilayah Afrika (ini kerana pulau Sicily sangat hampir dengan persisiran pantai Afrika).

2. Maharaja Constantine II mahu mempertahankan kuasa jajahannya di Itali dan Afrika serta memfokuskan usahanya untuk melindungi kawasan barat laut Mediterranean setelah kejatuhan pulau-pulau miliknya di bahagian timur laut Mediterranean.

PEMBUKAAN PULAU RHODES ( 34 H / 654 M )

Muawiyah masih belum bergembira dengan penguasaannya ke atas pulau Cyprus dan kekalahan mereka di pulau Sicily, memandangkan masih ada lagi pangkalan armada perang laut lain milik Rom Byzantine yang terletak di pulau Rhodes. Pulau Rhodes merupakan sebuah transit bagi armada laut Rom Byzantine sebelum mereka melancarkan serangan besar ke tanah besar Syam dan Mesir.

Kedudukannya yang begitu hampir dengan pulau Cyprus dikhuatiri sebagai ancaman yang paling berbahaya kepada Muawiyah, memandangkan pulau ini juga dikhususkan oleh Rom Byzantine membina kapal-kapal perang mereka di sini.

Muawiyah menghantar surat meminta keizinan kepada Khalifah Uthman untuk memberikannya mandat untuk menguruskan pembukaan di pulau Rhodes dengan beberapa alasan diantaranya, pulau Rhodes adalah salah satu dari tiga jantung utama armada laut Rom Byzantine untuk menguasai laut Mediterranean ( kerana kedudukan pulau ini sangat hampir dengan kota Konstantinopel, Anatolia dan Yunani ) dan atas sebab itu juga Muawiyah sebenarnya ingin merancang strategi ‘mengepung’ empayar Rom Byzantine dari jalan laut sebelum beliau menggempur kota kubu Konstantinopel. Khalifah Uthman memperkenankan permohonan Muawiyah.

Pada tarikh yang ditetapkan, Muawiyah memimpin armada lautnya dari Sayda (terletak di persisiran pantai Syam) menuju ke pulau Rhodes. Penduduk pulau Rhodes beserta sebahagian pasukan tentera Rom Byzantine yang berkawal di pulau ini keluar ke laut untuk menghadapi kekuatan armada laut Muslim. Pertempuran berlaku di laut dan akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam.

(Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman, tiada catatan berkaitan pendudukan Muslim di pulau ini).

PEMBUKAAN PULAU KRITI ( TIADA CATATAN TARIKH ).

Pulau ini dibuka oleh laksamana Abdullah bin Saad merangkap gabenor Mesir.

( Isterinya, Qatilah binti Amru bin Abdul Khilal juga menyertai dalam operasi ini ).
PEMBUKAAN PULAU ARADOS/ARWAD ( TIADA CATATAN TARIKH ).

Muawiyah menghantar lagi sebuah armada laut sebanyak 20 buah kapal perang dipimpin oleh laksamana Junadah bin Abu Umayyah untuk membuka pulau Arados.

Pasukan Islam berjaya melaksanakan misi ini dan mereka berjaya membawa pulang banyak ghanimah (harta rampasan perang) ke Damsyik. Muawiyah menghantar ⅕ daripada harta itu kepada Khalifah Uthman dan bakinya dibahagikan kepada tentera Islam yang mengikuti ekspedisi pembukaan ini.

Merupakan ekspedisi terakhir di laut pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman dan dicatatkan mungkin dalam tahun ini juga Khalifah Uthman wafat dibunuh oleh pasukan pemberontak Sabaiyyun pimpinan Abdullah bin Saba.

_______________________________

Kesimpulannya, ekspedisi dan operasi perluasan kuasa Islam di lautan sebenarnya telah bermula dari zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan. Usaha perluasan kuasa di lautan ini telah tergendala sebentar setelah terjadi tragedi pembunuhan Khalifah Uthman. Konflik dalaman yang berlaku di dalam sistem pentadbiran Islam di Madinah akibat dari percetusan beberapa siri peperangan saudara menyebabkan Muawiyah menghentikan segala operasi armada laut di lautan Mediterranean. Konflik dalaman dan politik juga berlaku di dalam empayar Rom Byzantine sehingga menyebabkan Maharaja Constantine II menghentikan segala serangannya ke atas pulau-pulau serta daerah kekuasaan Islam. Kedua buah kuasa besar ini menghentikan segala pertempuran di laut Mediterranean tanpa ada perjanjian gencatan senjata selama tempoh 10 tahun (34 H sehingga 44 H). Muawiyah melancarkan kembali operasi untuk membuka pulau-pulau di bahagian barat laut Mediterranean pula setelah kedudukan beliau kukuh sebagai khalifah pertama Dinasti Bani Umayyah.

– TAMAT BAHAGIAN PERTAMA-

Sumber rujukan:

1. Armada Laut Umayyah: Panahan yang Membelah Api Greek, Sahrulazmi Sidek, 2011, Mazni Irfan Publication.

2. Tamadun Islam: Edisi Kedua, Mahayudin Hj. Yahaya, 2001.

Sumber gambar:

1. Google Earth.

2. Assasins Creed: Black Flag (Game).


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Leave A Reply