Vasco da Gama merupakan seorang pelaut dan pengembara Portugal yang hidup pada kurun ke-15 dan kurun ke-16 Masihi. da Gama tidak hanya dianggap sebagai figura yang signifikan dalam sejarah Portugal dan Eropah, namun beliau juga penting dalam sejarah dunia (sejarah perlautan sekurang-kurangnya). Vasco da Gama merupakan orang Eropah pertama yang tiba di India melalui jalan laut.

Susulan daripada penerokaan Vasco da Gama ini, Portugal berjaya mengukuhkan reputasinya sebagai negara maritim yang dominan dan berkembang pesat menerusi barang dagangan yang datang dari Timur. Selain itu, penemuan jalan laut oleh da Gama yang menghubungkan Eropah dan Asia juga boleh dianggap sebagai permulaan kepada zaman imperialisme global.

Tidak lama selepas perlayaran pertama da Gama ke Timur, orang-orang Portugal mula menubuhkan koloni pertama mereka di Asia di mana mereka menakluk Goa di India pada tahun 1510. Koloni terakhir Portugal, iaitu Macau juga terletak di Asia dan ia hanya diserahkan semula kepada China pada tahun 1999.

Pengembaraan Vasco da Gama menghubungkan Eropah dan Timur

KEHIDUPAN AWAL VASCO DA GAMA

Vasco da Gama lahir sekitar tahun 1460 di Sines, sebuah bandar pesisiran di daerah Alentejo, bahagian barat daya Portugal. Bapa da Gama adalah seorang bangsawan daerah bernama Estevao da Gama, yang berkhidmat sebagai komander di istana bandar. Namun, tidak banyak maklumat yang kita ketahui tentang kehidupan awal da Gama.

Maklumat seterusnya tentang beliau sebelum berlayar ke Timur hanya berkisar dari tahun 1492. Pada tahun tersebut, Raja Portugal iaitu John II menghantar da Gama ke Setubal, sebuah kota pelabuhan di antara Lisbon dan Sines bagi merampas kapal-kapal Perancis.

Serangan ini dijalankan sebagai tindak balas ke atas serangan-serangan yang dilakukan oleh Perancis ke atas kapal-kapal Portugal, walaupun kedua buah negara itu pada hakikatnya tidak berperang. da Gama membuktikan keupayaannya dengan melaksanakan misinya itu dengan pantas dan berkesan.

POLITIK DAN ARMADA PORTUGAL

Pada tahun 1497, Vasco da Gama diberikan tugas untuk mencari laluan laut dari Eropah Barat ke Timur dan dilantik sebagai pemimpin armada Portugal. Walaupun da Gama adalah salah seorang pengembara laut Portugal yang terhebat, beliau bukanlah yang pertama. Kerajaan itu telah pun mula meneroka lautan di barat dan selatan yang belum dipetakan kira-kira 80 tahun sebelum da Gama melakukan perlayaran pertamanya.

Pada tahun 1415 Masihi, Portugal merentasi Selat Gibraltar dan menawan Ceuta dari bangsa Moor. Kejayaan ini dianggap sebagai titik permulaan bagi Empayar Kolonial Portugal. Pada dekad-dekad berikutnya, Portugal menemukan (dan mengkolonikan) Pulau Madeira dan Azores, lalu meneruskan penerokaan mereka di pantai barat Afrika.

Menariknya, salah satu sebab yang menggamit pihak Portugal untuk mencari jalan laut ke Timur adalah legenda Prester John, yang dipercayai sebagai pemerintah sebuah kerajaan Kristian yang telah lama hilang di Timur. Sebagai penganut Katolik, para pemerintah Portugal melihat usaha pencarian ini sebagai satu tugas suci untuk menyebarkan Kristian dan menghancurkan Islam. Justeru, raja-raja Portugal berharap dapat menemui raja legenda Kristian ini di Timur, dan membentuk pakatan dengannya bagi mengepung dunia Islam.

‘Persekutuan besar’ bagi memerangi Muslim seperti yang dibayang-bayangkan ini tidak pernah tercapai atau dilaksanakan, memandangkan Portugal tidak pernah berjaya menjejak lokasi Prester John. Apapun, Portugal memperoleh harta kekayaan sebagai kesan positif dari perdagangan yang mereka jalankan sepanjang perlayaran. Perdagangan yang paling lumayan antara semua adalah perdagangan hamba Afrika. Kumpulan hamba pertama yang dihantar ke Lisbon adalah pada tahun 1441.

Enam tahun selepas itu, para pelaut Portugal berjaya tiba di selatan Sierra Leone moden. Mereka kemudiannya tiba di Congo pada tahun 1482 dan empat tahun kemudian, mereka menjejakkan kaki di Cape Cross atau kini dikenali sebagai Namibia. Portugal pada akhirnya tiba di ‘penghujung selatan’ benua Afrika pada tahun 1488 apabila Bartolomeu Dias tiba di Tanjung Harapan.

Laluan perlayaran pertama Vasco da Gama, 1497-1499


Tanjung Harapan dianggap (disilap anggap) sebagai titik pemisah antara Lautan Atlantik dan Lautan Hindi. Namun pada hari ini, kita mengetahui bahawa penghujung selatan Afrika terletak di Tanjung Agulhas, berlokasi di tenggara Tanjung Harapan. Beberapa sumber mendakwa bahawa nama tanjung tersebut diberikan sendiri oleh Dias, akan tetapi ada juga sumber lain yang mendakwa bahawa pada asalnya, Dias menamakan tanjung tersebut sebagai Tanjung Ribut Taufan.

Peta Tanjung Harapan dan Tanjung Agulhas sebagai titik paling selatan Afrika


Nama ini merujuk kepada cuaca ribut dan gelora laut yang ganas di kawasan tersebut, sekaligus menjadi cabaran wajib bagi para pelaut awal yang mahu mengharungi perairan tanjung itu. Dinyatakan bahawa John II adalah individu yang mengubah nama tanjung tersebut kepada Tanjung Harapan, kerana menganggapnya sebagai petanda baik bahawa orang-orang Eropah akan berupaya tiba di India melalui jalan laut.

Sejarah kemudiannya seakan-akan menyaksikan berlakunya hiatus dalam penerokaan laut dari pihak Portugal sesudah Dias tiba di Tanjung Harapan. Hal ini kerana Portugal mengambil masa sehingga dekad berikutnya untuk tiba di India. Menjelang waktu itu, John sudah pun mangkat dan digantikan oleh Manuel I, raja yang memberikan misi kepada Vasco da Gama untuk mencari jalan laut ke India.

Manuel menyandang gelaran yang aneh namun baik, iaitu “Bertuah” (Fortunate). Beliau merupakan putera kesembilan Dom Fernando, adik Afonso V, ayahanda merangkap pendahulu John. Bersesuaian dengan kedudukannya, Manuel sememangnya tidak cenderung meraih takhta Portugal. Malah, semasa pemerintahan John, satu-satunya beradik Manuel dibunuh oleh raja kerana mengesyaki akan berlakunya pemberontakan.

Namun, Manuel dilepaskan dan dilantik sebagai Pangeran Beja (Duke of Beja). Pada tahun 1491, anak gahara John, Afonso, mangkat akibat kemalangan semasa menunggang kuda. Dalam saki-baki hayatnya, John cuba untuk menamakan anaknya yang dungu, Jorge de Lencastre, sebagai pewaris namun gagal.

Ratu Eleanor of Viseu sendiri menentang cadangan John tersebut dan menyokong Manuel sebagai pewaris takhta. Ratu ini merupakan salah seorang saudara perempuan Manuel. Justeru pada tahun 1494, ketika kesihatan John merudum, beliau menamakan Manuel sebagai penggantinya dan apabila raja mangkat pada Oktober tahu berikutnya, Manuel ditabalkan sebagai raja baru Portugal.

MISI VASCO DA GAMA

Manuel adalah raja yang melantik Vasco da Gama sebagai pemimpin armada yang akan berlayar ke India pada tahun 1497. da Gama dikatakan sebagai seorang yang kurang berpengalaman untuk tugas sedemikian walaupun ada yang berpendapat beliau telah mempelajari ilmu mengemudi dan menavigasi. Tidak kurang juga ada yang berpendapat da Gama dilantik atas sebab-sebab politik, di mana Manuel menyebelahi keluarga da Gama dan para penyokongnya.

Walau apapun keadaannya, Vasco da Gama meninggalkan Lisbon pada 8 Julai 1497. Armada ini terdiri daripada empat buah kapal – dua kapal bersaiz sederhana dan tiga tiang layar, dikenali sebagai kerakah (carrack) di mana setiap satunya seberat 120 tahun; sebuah karavel seberat 50 tan dan sebuah kapal bekalan.

Ketibaan Vasco da Gama di India pada tahun 1497


Kapal-kapal kerakak ini masing-masing dinamakan sebagai Sao Gabriel dan Sao Rafael. Yang pertama dipimpin oleh da Gama sendiri, sambil yang lain diketuai oleh saudaranya, Paulo da Gama. Karavel pula dinamakan sebagai Sao Migeul (digelari Berrio) dan dipimpin oleh Nicolau Coelho, manakala nama bagi kapal bekalan tidak diketahui dan ia dipimpin oleh Goncalo Nunes.

Armada ini melalui Kepulauan Canary (yang berada di bawah pemerintahan Sepanyol) pada 15 Julai dan pada tanggal 26 Julai, tiba di Sao Tiago di Kepulauan Cape Verde. Armada ini kekal di pulau tersebut sehingga 3 Ogos sebelum melanjutkan perjalanan. da Gama pada awalnya berlayar ke selatan di sepanjang pantai barat Afrika, sebelum melencong sedikit menghala ke Atlantik selatan demi mengelak arus kencang di Teluk Guinea.

Pada 7 November, armada ini tiba di Teluk Santa Helena (kini di Afrika Selatan), di mana angin yang tidak membantu dan arus yang menentang haluan mendorong da Gama dan pasukannya untuk menghentikan perlayaran selama beberapa minggu. Akhirnya pada 22 November, da Gama tiba di Tanjung Harapan dan melanjutkan pengembaraan ke timur.

Tiga hari selepas tiba di Tanjung Harapan, da Gama menjejakkan kaki di Teluk Mossel dan mendirikan sebuah padrao (tiang batu yang ditinggalkan oleh pengembara Portugal sebagai mercu tanda dan simbol kekuasaan Portugal di situ). Di kawasan ini jugalah kapal bekalan da Gama dikaramkan. Sekitar Christmas, da Gama berlayar melepasi sebuah pantai yang belum lagi pernah diterokai orang Eropah. Beliau menamakannya sebagai Natal (bahasa Portugal bagi Christmas).

Menara Vasco da Gama di Malindi, kini Kenya, didirikan semasa perlayaran pulang

PENGEMBARAAN VASCO DA GAMA DILANJUTKAN

Pada bulan-bulan berikutnya, armada beliau berlayar ke utara di sepanjang pantai timur Afrika. Pada Januari 1498, armada tersebut tiba di sebuah kawasan di Mozambique moden. Pada tanggal 25 haribulan bulan sama, da Gama dan pasukannya tiba di Sungai Quelimane, yang dipanggil sebagai Rio dos Bons Sinais (bermaksud ‘Sungai Petanda Baik’) dan mendirikan sebuah lagi padrao. Armada ini berehat di situ selama sebulan kerana ramai yang mengalami skorbut atau scurvy. Kapal-kapal juga perlu dibaiki.

Pada 2 Mac, da Gama tiba di Pulau Mozambique yang diperintah oleh seorang sultan Muslim. Penduduk pulau itu meyakini bahawa pelaut-pelaut itu adalah orang Islam sama seperti mereka, justeru melayani orang-orang Portugal ini dengan baik. da Gama memperoleh banyak maklumat dari mereka dan bahkan dihadiahkan dua orang jurunavigasi oleh sultan. Salah seorangnya kemudian keluar dari kru kapal setelah mengetahui bahawa mereka adalah penganut Kristian.

Pada bulan April, armada ini tiba di pantai Kenya moden. Pada tanggal 14 April, da Gama berada di Malindi. Di sana, beliau meraih khidmat seorang jurunavigasi Gujarat yang mengetahui jalan menuju ke Calicut, pantai barat daya India. Pada 20 Mei, armada da Gama tiba di Calicut setelah berlayar selama 23 hari secara berterusan mengharungi Lautan Hindi.

Vasco da Gama berlabuh di Calicut

Di Calicut, hadiah-hadiah dari da Gama gagal menambat hati Zamorin (pemerintah Calicut yang beragama Hindu). Selain itu, para pedagang Muslim yang berada di sana mengambil sikap bermusuhan terhadap Portugal. Sebagai susulan, Portugal gagal memeterai perjanjian perdagangan di Calicut.

Vasco da Gama menemui Zamorin

Dalam pada itu, hubungan antara Portugal dan masyarakat India terus merenggang dan Vasco da Gama pada akhirnya memutuskan untuk berlayar pulang ke Portugal pada penghujung Ogos. Mereka yang masih tidak mengetahui corak angin monsun, memilih waktu yang paling buruk untuk melakukan perlayaran pulang. Lantaran berlayar menentang angin monsun, da Gama mengambil masa hampir tiga bulan untuk merentasi Lautan Hindi dan mengakibatkan ramai anak kapalnya meninggal dunia akibat skorbut (scurvy).

Kekurangan anak kapal memaksa da Gama untuk mengkaramkan Sao Rafael sebaik tiba di Malindi pada 7 Januari 1499. Dua kapal yang berbaki tiba di Tanjung Harapan pada 20 Mac, namun terpisah selama sebulan akibat ribut.

Kapal Sao Migeul tiba di Portugal pada tanggal 10 Julai, manakala Sao Gabriel pula tiba pada 9 Semptember. Sembilan hari kemudian, da Gama tiba di Lisbon dan disambut sebagai perwira.

Raja Portugal mengurniakan gelaran Dom kepada Vasco da Gama, dan memberikannya pencen tahunan sebanyak 1000 cruzado dan sejumlah tanah estes. Apapun, da Gama terpaksa membayar harga yang tinggi bagi meraih kejayaan ini – dari seramai 170 orang anak kapal secara keseluruhan, hanya 55 orang sahaja terselamat. Saudaranya sendiri termasuk antara yang terkorban.

Raja mengurniakan gelaran Dom kepada Vasco da Gama

EKSPEDISI-EKSPEDISI BERIKUTNYA

Kejayaan ekspedisi Vasco da Gama (dalam meneroka jalan laut ke India) menggalakkan raja untuk menghantar sebuah lagi armada, kali ini terdiri dari sebanyak 13 buah kapal, untuk memeterai perjanjian perdagangan dengan Calicut. Walaupun hubungan antara Zamorin dan pihak Portugal semakin baik kali ini, situasinya semakin lama semakin memburuk. Pihak Portugal juga berkonflik dengan para pedagang Muslim, yang mahu mengekalkan monopoli perdagangan di kota itu.

Susulannya, konflik bersenjata pun tecetus. Pos perdagangan Portugal diserang dan ramai yang terbunuh. Zamorin dipersalahkan di atas kejadian ini dan kotanya dibedil, justeru Portugal mengisytiharkan perang ke atas Calicut.

Pada tahun 1502, sebuah armada dihantar dari Lisbon yang dipimpin oleh da Gama. Armada ini diperintahkan supaya membedil Calicut dan memaksa Zamorin tunduk kepada Portugal. Serangan-serangan turut dilancarkan ke atas kapal-kapal dagang Arab, dan menurut satu cerita, da Gama malah merampas sebuah kapal jemaah haji yang mengangkut seramai 200-400 penumpang. Harta benda yang terdapat dalam kapal itu dijarah dan para penumpangnya dikurung, sebelum pihak Portugis membakar kapal itu.

Ada yang berpendapat bahawa kisah ini palsu atau ditokoh-tambah, lalu membuatkan Vasco da Gama dilihat sebagai penjahat di dunia timur. Apapun, salah sebuah kapal da Gama dari ekspedisi keduanya ini karam di pantai Oman dan ditemui oleh ahli arkeologi maritim pada tempoh 2013-2015.

Vasco da Gama gagal memaksa Zamorin agar tunduk kepada Portugal. Malah, beliau kehilangan sokongan Manuel ketika pulang ke tanah airnya. Sepanjang dua dekad berikutnya dalam hayat beliau, da Gama bersara ke bandar Evora dan menjalani hidup sederhana bersama isteri dan enam orang anak lelakinya. Beliau hanya dihantar bagi menjalankan ekspedisi ketiga dan terakhirnya pada tahun 1524 oleh John III, pengganti Manuel.

Kali ini, Vasco da Gama dihantar untuk berkhidmat sebagai wakil Portugal di India. Pada September 1524, da Gama tiba di Goa dan mula membasmi korupsi yang membarah dalam pentadbiran Portugal di India.

Namun tiga bulan kemudian, da Gama meninggal dunia di Cochin akibat diserang penyakit; sama ada akibat kepenatan atau sebab-sebab lain. Jasadnya disemadikan di Gereja St. Francis di Cochin, kemudian dibawa pulang ke Portugal pada tahun 1539 dan disemadikan di Vidigueira sebelum dipindahkan ke Biara Jeronimos di Belem, Lisbon pada penghujung kurun ke-19 dan kekal di situ sehingga ke hari ini.

Kubur Vasco da Gama di Biara Jeronimos, Belem, Lisbon

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (3 Februari 2020). Epic Voyage of Vasco da Gama Connected Europe to the East. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/vasco-da-gama-0013239


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.