Rasisme adalah sejenis kepercayaan bahawa sebuah bangsa, warna kulit, atau satu kelompok secara umumnya, sama ada dari segi agama, nasionalisme atau etnik, dianggap lebih tinggi dan dominan berbanding yang lain, namun rasisme terdapat pelbagai jenis dan kategori, adakalanya rasisme itu perlu demi kemandirian sesebuah bangsa. 

Namun berbeza dengan Amerika, rasisme telah menjadi sebahagian daripada lanskap politik Amerika sejak penjajahan Eropah di Amerika Utara bermula pada abad ke-17. Sudah ada pelbagai kelompok yang terpaksa menghadapinya, ia dipraktikkan dalam undang-undang yang diskriminatif, amalan sosial, dan tingkah laku jenayah yang ditujukan kepada kumpulan sasaran.

Berikut adalah senarai beberapa etnik yang menjadi mangsa perkauman orang kulit putih Amerika.

KAUM PRIBUMI AMERIKA

Dengan kedatangan orang Eropah di pesisir Amerika Utara dan perancangan sistem*tik mereka untuk menundukkan dan menakluki tanah itu, berlakulah konflik perkauman dan kekejaman terhadap orang Pribumi Amerika.

Orang Eropah percaya bahawa penduduk asal Amerika adalah kafir dan tidak bertamadun, mereka perlu dikenalkan dengan peradaban melalui agama Kristian dan budaya Eropah. Ini menyebabkan berlaku pembun*han beramai-ramai, pengusiran, rampasan tanah, cubaan untuk menghapuskan tradisi penduduk asli Amerika, serta asimilasi paksa melalui institusi seperti sekolah residen dan menubuhkan “Indian Reservation”. 

Malahan, media menggambarkan penduduk asal di benua ini sebagai orang buas yang hauskan d*rah, ia membantu menghalalkan penindasan Eropah terhadap Pribumi Amerika. Kesan jangka panjang, antara lain, layanan sebegini menjelaskan hakikat hari ini di mana kaum Pribumi Amerika mempunyai kadar kes bun*h diri tertinggi dari mana-mana kumpulan di Amerika Syarikat, menurut National Institute of Mental Health.

AFRIKA-AMERIKA

Ramai orang Afrika yang dibawa ke Amerika bermula pada abad ke-17 tiba sebagai hamba, diculik dari tanah air mereka dari pelbagai bahagian benua Afrika.

Sebilangan dari mereka terkenal sebagai golongan bangsawan dan celik huruf. Lelaki, wanita, dan kanak-kanak Afrika dihapuskan nama asal dan identiti mereka, dipaksa melalui proses “Kristianisasi”, diseksa dan dalam beberapa kes, mereka dihukum atau digantung sesuka hati pemilik mereka dari kaum kulit putih, yang menganggap perhambaan adalah kepentingan utama mereka untuk mengekalkan kekayaan dan hartanah mereka yang luas. 

Ahli keluarga dipisahkan melalui proses jual beli hamba. Walaupun tidak semua orang Afrika di Amerika menjadi hamba, sebilangan besar dijadikan hamba terutamanya di negeri-negeri selatan. 

Bagi orang-orang Afrika di Amerika yang bebas, undang-undang diskriminatif yang melarang mereka memiliki harta dan mengundi, misalnya, serta kepercayaan terhadap kerendahan status diri hakiki orang berkulit gelap oleh majoriti kulit putih yang dominan menghalang mereka dari meraih kesaksamaan penuh dalam negara Amerika Syarikat.

Walaupun perhambaan akhirnya diharamkan dan undang-undang yang melarang diskriminasi terhadap Afrika-Amerika dibuat, perkauman terhadap komuniti ini terus wujud dan ditunjukkan dalam pelbagai cara yang lebih halus hari ini. Sebagai contoh, Suruhanjaya Amalan Pekerjaan yang Adil Washington DC telah mendapati bahawa orang kulit hitam menghadapi diskriminasi dalam satu daripada setiap lima temuramah pekerjaan. 

Persatuan Sosiologi Amerika menyatakan bahawa, “hari ini majikan menggunakan fasa proses pengambilan pekerja yang berlainan untuk mendiskriminasi golongan minoriti (misalnya, merekrut dari sekolah orang kulit putih sebagai prioriti dan bukan melalui program latihan pekerjaan) dan menawarkan pekerjaan dan gaji yang bertaraf lebih tinggi kepada pekerja kulit putih. 

JEPUN-AMERIKA

Dengan pengeboman Pearl Harbor di Hawaii pada bulan Disember 1941, diskriminasi perkauman terhadap komuniti Jepun-Amerika semakin meningkat.

Sama seperti umat Islam setelah ser*ngan 9/11, orang Jepun-Amerika menjadi sasaran gangguan, diskriminasi, dan pengawasan pemerintah. Anggota komuniti ini kehilangan rumah, pekerjaan, dan perniagaan. 

Tetapi tamparan terburuk adalah Perintah Eksekutif Februari 1942 yang ditandatangani oleh Presiden Franklin D. Roosevelt yang membenarkan penahanan mana-mana orang Jepun-Amerika.

Mereka kemudian dianggap sebagai musuh negara.  Lebih separuh daripada 120,000 orang Jepun-Amerika yang dihantar ke kem dilahirkan dan dibesarkan di Amerika Syarikat dan tidak pernah menjejakkan kaki ke Jepun. Separuh dari mereka yang dihantar ke kem adalah kanak-kanak.

Perintah Eksekutif membenarkan pengecualian secara paksa terhadap orang Jepun-Amerika dari kawasan tertentu demi menjaga keselamatan dari sebarang sabotaj, pengintipan dan menjaga harta benda. 

Sebahagian dari mereka yang dipenjarakan m*ti di kem kerana kekurangan rawatan perubatan yang tepat. Yang lain kebanyakannya dibun*h kerana tidak mematuhi perintah.

Menurut laporan tahun 1943 yang diterbitkan oleh War Relocation Authority, iaitu pihak yang menguruskan kem, orang-orang Jepun-Amerika ditempatkan di “barak-barak yang dilapisi kertas tar dengan pembinaan struktur sederhana tanpa kemudahan saliran mahupun fasiliti untuk memasak.” 

Penginapan yang penuh sesak ini amat suram dan dikelilingi oleh kawat berduri.  Presiden Roosevelt sendiri menggelar tempat itu sebagai “kem konsentrasi.”

SINOFOBIA/CINA-AMERIKA

Sentimen anti-China atau sinofobia telah wujud di Amerika Syarikat sejak pertengahan abad ke-19, tidak lama setelah imigran dari China pertama kali tiba di pantai Amerika Syarikat. Ia dianggarkan bermula pada tahun 1860-an, ketika orang-orang Cina membantu membangunkan projek Kereta Api Transkontinental Pertama. 

Pernah dinyatakan dalam Rang Undang-Undang Pengecualian Cina tahun 1882, iaitu menghentikan bukan sahaja imigrasi tetapi juga naturalisasi. Puncanta dapat ditelusuri melalui para pedagang, mubaligh, dan diplomat Amerika yang pulang dari China bersama laporan “negatif tanpa henti” mengenai orang-orang yang mereka temui di sana.

Persepsi ini ditularkan kepada orang Amerika yang tidak pernah meninggalkan Amerika Utara, memicu perbahasab mengenai Yellow Peril, dan terus berlanjutan melalui Per*ng Dingin semasa McCarthyism.

Beberapa sentimen anti-Cina moden mungkin disebabkan oleh kebangkitan kerajaan komunis Republik Rakyat China sebagai kuasa besar dunia yang dilihat memangsakan negara-negara di luar China.

Sentimen sinofobia atau anti-Cina adalah istilah sifat penentangan atau permusuhan yang ketara terhadap budaya Cina, politik Cina dan dasar Republik Rakyat China, kadang-kadang, terhadap kumpulan tertentu orang-orang Cina.

YAHUDI-AMERIKA

Walaupun orang Yahudi pertama kali tiba di Amerika lebih dari 300 tahun yang lalu dan menikmati tahap kebebasan beragama tertentu, anti-Semitisme tetap wujud dan biasa dilakukan secara sosial dalam beberapa kes.

Sebagai contoh, beberapa negeri pada akhir abad ke-18 melarang mereka yang bukan beragama Kristian daripada mengundi atau memegang jawatan awam. Namun, halangan-halangan ini kemudiannya ditamatkan, terutamanya setelah wujudnya Rang Undang-Undang Hak.

Juga, semasa tragedi Holocaust di Eropah pada tahun 1940-an, sebuah kapal yang memuatkan lebih 900 pelarian Yahudi terutamanya dari Jerman tidak diizinkan untuk berlabuh di tanah Amerika, berdasarkan Undang-Undang Imigrasi yang dikecualikan pada tahun 1924.

Hanya satu pertiga sahaja daripada penumpang kapal itu yang dipaksa untuk kembali ke Eropah, terselamat dari menjadi korb*n pembun*han Yahudi di Eropah pada masa itu.

Klux Klux Klan, salah satu kumpulan pengganas yang paling kejam di Amerika Syarikat, tidak hanya mensasarkan kebencian mereka kepada orang Afrika-Amerika. Bahkan orang Yahudi juga menjadi sasaran mereka.

Diskriminasi terhadap orang Yahudi dilakukan dalam beberapa kes dalam konteks tenaga kerja, dan mereka tidak diizinkan masuk ke sejumlah kawasan peranginan dan kelab sosial. Kolej juga mengamalkan diskriminasi dengan mengehadkan pendaftaran untuk mereka, orang Yahudi juga dilarang membeli jenis harta benda tertentu.

ISLAMOFOBIA

Ini adalah istilah yang diciptakan untuk menggambarkan permusuhan semasa terhadap agama Islam dan Muslim di Amerika Syarikat, yang dizahirkan secara prejudis, gangguan dan diskriminasi.

The Pew Forum On Religion And Public Life mendapati beberapa tahun lalu bahawa pendapat positif terhadap Islam di kalangan orang Amerika telah menurun sejak tahun 2005. Islamofobia semakin meningkat setelah berlakunya ser*ngan 9/11 dan per*ng lanjutan di Iraq dan Afghanistan. 

Umat ​​Islam di Amerika Syarikat dalam satu dekad terakhir ini telah melalui 700,000 soal jawab oleh FBI, pintasan panggilan tanpa wayar, pengawasan telefon, dan pelbagai lagi kaedah.

Ditambah lagi dengan retorik kebencian dan penyampaian maklumat yang salah yang didorong oleh para “pakar” isu keganasan, penulis sayap kanan, hos dan personaliti rancangan bual bicara televisyen dan radio, serta blog dan laman web yang tidak terhitung jumlahnya yang memfitnah Islam dan umat Islam, sekaligus mengaitkannya dengan keganasan.

RUJUKAN:

 Wikipedia : Racism in The United States

Harvest Of American Racism : https://www.press.umich.edu/9684789/harvest_of_american_racism


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.