Petempatan kampung air merupakan bentuk petempatan tradisi yang lumrah terdapat di sebahagian besar pinggir pantai, pulau-pulau dan muara-muara sungai Pulau Borneo amnya dan negeri Sabah khasnya. Semasa keagungan kerajaan-kerajaan maritim sebelum abad ke-19,  petempatan kampung air adalah bekas kota-kota yang menjadi pusat pentadbiran dan perekonomian sesebuah kerajaan maritim tersebut. Petempatan tersebut kemudiannya musnah akibat penjajahan kuasa-kuasa barat dan peranannya berubah daripada sebuah petempatan pusat kepada petempatan terpinggir. Pada masa kini, kebanyakan petempatan kampung air telah dianggap sebagai kawasan setinggan yang bermasalah.

Kawasan perkampungan air juga dikatakan sebagai kawasan hitam yang sering dikaitkan dengan pelbagai kegiatan jenayah antaranya termasuklah penyeludupan, perjudian, dan dadah. Petempatan kampung air juga menjadi punca kepada berlakunya masalah pencemaran air sungai atau laut. Hal ini  kerana sampah sarap dan sisa kumbahan penduduk dibuang terus ke sungai atau laut yang kemudiannya menghadirkan bau yang busuk serta pemandangan kurang menyenangkan. Dalam pada itu, pembinaan rumah-rumah yang terlalu padat dan sesak telah mendedahkan petempatan kampung air kepada bahaya kebakaran.

Boleh dikatakan hampir setiap bulan, tragedi kebakaran berlaku di kawasan perkampungan air. Tragedi ini menjadi satu ancaman dan mimpi ngeri kepada penduduknya yang ramai. Apabila bercakap tentang penduduk, satu lagi masalah besar yang timbul ialah penduduk yang bukan warganegara Malaysia, sama ada datang dengan izin atau tanpa izin. Kebanyakannya, tanpa izin. Keadaan ini  telah menyebabkan tidak semua kewujudan petempatan kampung air diiktiraf oleh kerajaan tempatan. Sebilangan petempatan kampung air dianggap oleh pihak berkuasa sebagai kawasan negatif dan bermasalah. Pihak berkuasa mengkategorikan kampung-kampung air tersebut setaraf dengan penempatan setinggan.

Oleh yang demikian, pihak kerajaan sama ada kerajaan tempatan, kerajaan negeri atau kerajaan pusat tidak melakukan sebarang bentuk pembangunan di kawasan-kawasan tersebut. Malah, pihak berkuasa telah mengambil pendekatan untuk menghapuskan petempatan kampung-kampung air dengan melaksanakan usaha pembongkaran terhadap petempatan yang terlibat. Persoalannya, adakah kebakaran-kebakaran yang mewarnai paparan berita sama ada media cetak atau media elektronik ini benar-benar berlaku tanpa disengajakan ataupun ada antaranya yang disebabkan oleh pembersihan dalam diam (sebagai mana yang didakwa oleh segelintir masyarakat di sana).

Sumber : Google – Antara kebakaran yang pernah berlaku di Kampung Sim-Sim, Sandakan (kelihatan di sebelah kawasan tersebut ialah Masjid Daerah Sandakan)

Sebenarnya, kebakaran-kebakaran yang berlaku di sana bukanlah kebakaran terancang. Keadaan kawasan petempatan menjadi faktor utama kebakaran berlaku. Rumah-rumah yang dibina di kawasan ini diperbuat daripada kayu. Jarak dari satu rumah ke satu rumah juga sangat dekat ibarat sepelaung sahaja jaraknya. Kedudukan kawasan ini yang terletak di pinggir laut juga mempengaruhi kebakaran kerana tiupan angin menyebabkan api yang kecil walau hanya sekeping kertas yang terbakar mudah merebak. Bukan itu sahaja, sistem pendawaian elektrik yang tidak menepati piawaian juga menyebabkan litar pintas berlaku dengan mudah dan menyebabkan kebakaran.

Petempatan kampung air yang tidak diiktiraf telah dikategorikan setaraf dengan petempatan setinggan. Di petempatan tersebut pihak kerajaan tidak menyalurkan sebarang bentuk pembangunan, sebaliknya seboleh mungkin cuba menghapuskan kawasan petempatan tersebut. Salah satu langkah untuk menghapuskan petempatan kampung-kampung air yang tidak diiktiraf adalah dengan melakukan usaha pembongkaran rumah-rumah di perkampungan air yang telah dikenal pasti.

Usaha pembongkaran petempatan setinggan di perkampungan air di Sabah khususnya di Kota Kinabalu telah dijalankan sejak pertengahan tahun 1980 an lagi. Tindakan membongkar rumah-rumah setinggan di perkampungan air tersebut adalah tertakluk kepada undang-undang yang diguna pakai bagi menangani masalah setinggan. Undang-undang berkenaan adalah Undang-undang Kecil Bangunan 1951, Land Ordinance (Chapter 68) dan Kanun Keseksaan (Panel Code) Seksyen 447. Perlu dijelaskan, sejak tahun 1986, kerajaan negeri Sabah telah memperkenalkan Polisi Pembendungan. Tujuan utama Polisi Pembendungan adalah untuk mengehadkan atau menghentikan pembinaan rumah-rumah di petempatan setinggan khususnya di kampung air sama ada di kawasan tanah milik kerajaan atau milik persendirian.

Polisi ini juga bertujuan untuk menjaga kebersihan kawasan sekitar khususnya di kawasan berhampiran dengan bandar. Selain menghentikan pembinaan, melalui polisi ini juga pihak berkuasa tempatan tidak membenarkan kerja-kerja mengubahsuai bagi tujuan membesarkan saiz rumah di kawasan setinggan. Rumah-rumah di kawasan yang dikenal pasti akan dinombori dan didaftarkan oleh Majlis Bandar Raya Kota Kinabalu.

Pada tahun 2002,  usaha membongkar petempatan setinggan di kampung air telah dipergiatkan semula. Bilangan rumah setinggan yang telah dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan telah meningkat kepada 4,406 buah rumah.  Peningkatan tersebut adalah sebanyak 599% berbanding tahun 2001. Hal ini merupakan ekoran daripada  tindakan drastik pihak kerajaan dalam usaha membanteras petempatan haram di sekitar bandar raya Kota Kinabalu. Antara petempatan kampung air setinggan yang terlibat di bandar raya tersebut adalah Kampung Sembulan, Kampung Kuala Likas, Kampung Lok Urai, Kampung Pondo dan Kampung Lokub Jalan Sepanggar.

Pada masa kini, kawasan yang menarik perhatian umum adalah perkampungan air Pulau Gaya khususnya Kampung Air Pondo dan Kampung Air Lok Urai. Kedua-dua perkampungan air ini merupakan tempat tinggal bagi pendatang-pendatang Filipina yang masuk secara tidak sah. Kedua-dua perkampungan air ini merupakan tempat tinggal bagi pendatangpendatang Filipina yang masuk secara tidak sah. Oleh yang demikian pihak berkuasa tempatan bersungguh-sungguh menjalankan operasi membongkar rumah-rumah di kedua kampung air tersebut.

Sumber : Google – Kampung Pondo, Pulau Gaya

Sebelum kerja-kerja pembongkaran dilakukan pihak berkuasa akan mengeluarkan notis perobohan kepada penduduk yang terlibat. Notis tersebut mengehendaki penghuni rumah terbabit perlu merobohkan bangunan atau struktur binaan yang didirikan di kawasan yang tidak mendapat kelulusan dalam masa tujuh hari. Jika notis tersebut gagal dipatuhi oleh penduduk yang terbabit tindakan pembongkaran akan dijalankan pada bila-bila masa oleh pihak penguat kuasa sebaik sahaja menerima arahan daripada pihak atasan. Kerja-kerja merobohkan perumahan setinggan ini juga dilakukan di daerah-daerah yang lain seperti Sandakan.

Sumber : Google – ANGGOTA penguatkuasa MPS melakukan perobohan rumah setinggan di Kampung Cahaya Baru, Sandakan.

Penduduk di kawasan perumahan tersebut menyifatkan tindakan yang diambil oleh kerajaan sebagai satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Lebih-lebih lagi, mana-mana kawasan petempatan kampung air yang sudah musnah akibat kebakaran ataupun operasi perobohan, mereka tidak dibenarkan untuk membina kediaman di situ semula. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan mempunyai alasan yang kukuh selain daripada permasalahan sosial yang wujud di kawasan setinggan.

Antara masalah yang lain ialah penggunaan bekalan elektrik dan air secara haram. Misalnya, Penyambungan elektrik secara haram membabitkan 199 penempatan setinggan di seluruh Sabah, menyebabkan syarikat utiliti, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kerugian mencecah RM5.8 juta. Tanpa mereka sedari, Saiz kabel yang tidak mengikut spesifikasi, mengakibatkan beban melampau kepada peralatan elektrik hingga rumah mudah rosak dan apabila terlalu panas, mampu menyebabkan kebakaran.

Sumber : Google – Pemasangan kabel elektrik secara haram

Apa-apa sahaja usaha pihak kerajaan sama ada kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) ataupun pihak kerajaan yang baharu (WARISAN), harus membuat perancangan yang teliti dan sistematik kerana bukan semua penduduk di kawasan perumahan kampung air merupakan pendatang tanpa izin (PATI). Terdapat juga mereka yang merupakan warganegara Malaysia. Justeru, pihak kerajaan harus memikirkan langkah lain untuk menjaga kebajikan penduduk yang bertaraf warganegara seperti menyediakan kawasan petempatan yang baharu. Kawasan-kawasan setinggan yang sudah musnah haruslah dibangunkan dengan segera yang boleh meningkatkan ekonomi dan memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar serta dapat mengelakkan pembinaan rumah setinggan semula.

 

 

 

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah. Berkelulusan Pengajian Melayu (major dalam Linguistik Melayu) di UM. Sejarah, bahasa, sosiobudaya, dan pendidikan merupakan isu yang boleh menarik perhatian mata, hati dan minda. Segala pengetahuan hanya asas dan baru mula mengintai ruang untuk menulis.

Comments are closed.