Untuk artikel khas sempena Hari Merdeka yang ke-64 tahun dan Hari Sabah 2021, saya sampaikan kisah salah satu pejuang Borneo Utara menentang kerajaan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) yang bernama Mat Salleh pada zaman pra-kemerdekaan Sabah dan persekutuan Malaysia.

Mat Salleh atau nama sebenarnya ialah Datu Paduka Mohammad Salleh bin Datu Balu dilahirkan di Inanam, Sabah dan berketurunan campuran Suluk dan Bajau di mana ayahnya ialah orang Suluk yang berasal dari Sungai Sugut manakala ibunya berketurunan Bajau Inanam.

Beliau menganut agama Islam dan mempunyai tiga orang isteri. Isteri pertama dikenali sebagai Dayang Bandung, anak saudara kepada Sultan Jamalul Kiram dari Kesultanan Sulu. Isteri kedua beliau pula seorang wanita dari etnik Paitan bernama Aishah. Hasil hubungan Mat Salleh dengan isteri kedua ini lahirnya dua orang anak lelaki iaitu Ahmad dan Kapayan dan seorang anak wanita bernama Anang. Manakala isteri ketiga beliau dikebali sebagai Sitimah yang berdarah Kadazan-Dusun dan mempunyai dua orang anak lelaki bernama Palalun dan Tagaas.

Mat Salleh terkenal dengan sifat kepahlawanan dan beranian dalam bertempur. Semasa pemerintahan Kesultanan Sulu, beliau dilantik sebagai Wakil Kesultanan Sulu di Sungai Sugut. Perlantikan ini menjadikan beliau berpengaruh dan disegani oleh rakyat di bawah kepimpinannya kerana memperjuangkan sistem ekonomi dan perdagangan tempatan dari diganggu oleh pedagang asing. Kerana tabik dengan kepimpinan Mat Salleh, pengikutnya terdiri dari ramai etnik-etnik Sabah seperti Bajau, Brunei, Kadasan-Dusun, Murut, Paitan, dan Sungai.

Ramai sejarahwan mempunyai pendapat berbeza terhadap susur galur keturunan Mat Salleh kerana pengaruhnya serta mempunyai hubungan baik dengan Kesultanan Sulu sehingga berkahwin dengan salah satu ahli keluarga diraja. Namun yang pasti sejarah telah mencatatkan perjuangan Mat Salleh yang menjadi bualan masyarakat serta rekod perjuangan dalam dunia perjuangan kemerdekaan Sabah.

Ilustrasi Paduka Mat Salleh

FAKTOR-FAKTOR MENDORONG PENENTANGAN MAT SALLEH

Perjuangan Mat Salleh menentang SBBUB bermula ketika SBBUB bertapak di Borneo Utara dan menubuhkan pemerintahan baru setelah penyerahan sebahagian tanah Borneo Utara kepada SBBUB. Pusat pentadbiran SBBUB bermula di Kudat pada Disember 1881. Kemudian pada 1884, Sandakan menggantikan Kudat sebagai pusat pentadbiran yang baru.

Sepanjang pentadbiran SBBUB, syarikat ini telah memodenkan Sabah dengan pembinaan jalanraya, sekolah, dan hospital bagi membaiki taraf hidup warga Sabah malah membentuk sistem pentadbiran yang tersusun dan berpusat. Walaupun niat SBBUB agak baik, namun kuasa pentadbiran syarikat ini perlahan-lahan menghakis kuasa pemimpin tempatan malah mencampuri urusan ekonomi mereka.
Perkara pertama yang melemahkan kuasa pemimpin tempatan ialah penguatkuasaan undang-undang yang diluluskan SBBUB. Antara undang-undang itu ialah Akta Peraturan Kampung atau dikenali sebagai Village Ordinance pada 1891. Akibat penguatkuasaan akta ini, ramai pemimpin tempatan tidak diiktiraf oleh SBBUB, menjadikan mereka tiada kuasa dan pengaruh terhadap rakyat bawahan para pemimpin ini. Secara tak lansung pemimpin-pemimpin yang tidak diiktiraf ini menyokong perjuangan Mat Salleh menentang SBBUB.

Mat Salleh juga menentang SBBUB atas fakor sistem cukai yang tidak berasas. Sebelum ketibaan SBBUB, wakil Kesultanan Sulu dan Brunei mengutip cukai rakyat tempatan Sabah. Setelah ketibaan syarikat ini, hak mereka mengutip cukai terbatal dan SBBUB mempunyai kuasa dominan dalam pengutipan cukai. Tambahan pula, SBBUB mengenakan cukai yang tinggi bagi menampung kos pembinaan laluan keretapi dari Teluk Brunei hingga Pelabuhan Cowie dan talian telegraf dari Labuan hingga Sandakan.

Sistem cukai baru yang diperkenalkan ini juga membebankan rakyat Sabah. Salah satunya ialah cukai beras. Cukai beras harus dibayar 5% daripada harga beras. Selain itu, cukai perahu juga dilaksanakan untuk peroleh cukai kepada para penduduk yang mempunyai perahu. Cukai yang diluluskan oleh SBBUB ini amat membebankan rakyat kerana beras dan perahu adalah keperluan asas rakyat untuk mencari rezeki. Adalah tidak wajar jika syarikat asing mengenakan cukai kepada sesuatu yang terang-terangan menjadi keperluan rakyat.

Sistem buruh paksa juga dikenalakn kepada warga Sabah demi menyiapkan projek pembinaan syarikat. Sistem ini mengarahkan rakyat bekerja sebagai buruh namun mereka tidak diberi upah setimpal dengan titik peluh mereka seperti gaji atau bayaran upah.

Ketiga-tiga faktor inilah mengundang semangat kepahlawanan Mat Salleh untuk menentang SBBUB bersama pemimpim-pemimpin kaum lain yang mengalami nasib malang yang sama, selain darah keturunan Mat Salleh iaitu Suluk yang terkenal dengan semangat bertempur.

PEMBERONTAKAN MAT SALLEH

Sebelum Mat Salleh memulakan gerakan penentangan, beliau harus membawa pendekatan yang aman melalui rundingan. Beliau harus bertemu dengan pihak SBBUB dan membincangkan polisi-polisi syarikat yang membebankan rakyat, berharap syarikat setuju dan membuat pembaharuan baru yang mesra rakyat.

Pada 17 Ogos 1895, Mat Salleh bersama para pengikutnya pergi ke Sandakan, bertemu dengan Gabenor Beaufort bernama C.V. Creagh bagi membincangkan isu cukai dan kekerasan pegawai syarikat terhadap penduduk tempatan. Namun, ketibaan mereka tidak dilayan oleh pihak syarikat. Bermacam-macam Mat Salleh berusaha berunding dengan syarikat, tetapi angkuh pihak syarikat amat tinggi sehingga beliau menganggap syarikat hanya mahu mengeksploitasi bahan mentah Sabah dengan tidak mempedulikan kebajikan rakyat.

Pada 29 Ogos 1895, SBBUB bertindak agresif dengan menangkap Mat Salleh dengan 4 orang pengikut di Jambongan kerana disyaki terlibat dalam pembu.n.uhan 2 orang warga berdarah Iban yang merupakan ejen SBBUB. Mat Salleh berkeras bahawa beliau tidak bersalah dan tidak ada kena-mengena akan kes pemb.un.uhan itu.

Pasukan tentera yang dihantar oleh SBBUB mula membakar kampung halamannya. Mat Salleh berjaya keluar dari kepungan syarikat bersama para pengikut lain. SBBUB seterusnya mengumumkan kumpulan Mat Salleh ialah buruan yang dikehendaki dan memberikan 500 dolar kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Salleh.

Di sinilah Mat Salleh memulakan pemberontakan bersenjata sebagai tindak balas atas tindakan SBBUB itu dengan membakar kedai di Kampung Tatabuan. SBBUB menggiatkan usaha menangkap Mat Salleh dengan menghantar pegawai-pegawai yang dipercayai. Pada pemberontakan pertama, syarikat telah memusnahkan dua buah kubu Mat Salleh di Sungai Libawan dan Sugut namun Mat Salleh berjaya melarikan diri. Pada 23 Februari 1897, SBBUB meny.er.ang Ranau kerana disyaki Mat Salleh berada di situ namun sekali lagi mereka gagal menagkap beliau.

Masuk 9 Julai 1897, Mat Salleh dengan bantuan pengikut kaum Dusun dari Inanam menye.ra.ng pusat pentadbiran SBBUB di Pulau Gaya dan merampas sejumlah senjata, peluru, perahu, dan barang dagangan. SBBUB men.yera.ng balas dengan membakar rumah dan tanaman di Inanam pada 15 dan 16 Julai 1897.

Mat Salleh sekali lagi men.yera.ng SBBUB pada bulan November 1987. Kali ini di Ambong yang dikawal ketat oleh syarikat. Setelah bangunan pejabat daerah dimusnahkan, kumpulan Mat Salleh berundur di Ranau. SBBUB mula menghantar pasukan terdiri 38 orang polis Sikh pergi ke Ranau menangkap Mat Salleh. Tetapi Mat Salleh sekali lagi melarikan diri ke Tambunan selepas mengetahui lebih awal ketibaan pasukan SBBUB ini.

Penat dengan kempen penangkapan Mat Salleh yang tiada kesudahan, SBBUB mula mengatur strategi iaitu melakukan perjanjian damai dengan Mat Salleh. Syarikat ini percaya bahawa perjanjian ini bakal menarik perhatian beliau untuk menyelesaikan isu kebajikan, kemudian bersetuju bersama mengikut isi perjanjian yang telah ditetapkan.

PERJANJIAN MENGGATAL

Perjanjian Menggatal dilihat sebagai usaha yang secara tak lansung memaksa SBBUB duduk semeja dengan pemimpin rakyat Sabah yang berpengaruh ini serta mewakili suara-suara ketidakpuasan hati rakyat atas polisi syarikat yang membebankan.

Pada 28 Mac 1898, Pengarah Urusan SBBUB bernama William Clark Cowie telah memujuk Sultan Sulu untuk menulis surat kepada Paduka Mat Salleh bagi menawarkan pendamaian bersama. Kemudian kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan rundingan di Palatan, Ulu Menggatal pada 19 April 1898.

Hasil rundingan tersebut, Mat Salleh bersetuju untuk mentadbir Tambunan tetapi dengan syarat iaitu hak-hak yang telah beliau perjuangkan harus dilaksanakan. Sepanjang tempoh pentadbiran beliau, SBBUB tidak menunaikan perjanjian yang telah kedua-dua pihak bersetuju. Hal ini menyebabkan Mat Salleh marah dan memulakan sekali lagi siri pemberontakan dengan membina kubu di Kampung Taboh, Tambunan.

PERTEMPURAN TERAKHIR DI TAMBUNAN

Pada 15 Januari 1899, SBBUB dengan licik mengambil pentadbiran daerah Tambunan. Mat Salleh begitu marah dengan kelicikan SBBUB yang memungkiri perjanjian Menggatal itu. SBBUB yang perasan tentang kumpulan Mat Salleh membina kubu itu menghantar ketumbukan tentera seramai 140 anggota dilengkapi dengan meriam dan mesingun.

Pertempuran antara kedua-dua pihak bermula pada 31 Disember 1899 di Kampung Timbau. Pada 19 Januari 1900, tentera SBBUB tiba di kubu Mat Salleh dan memulakan bedilan meriam dan ser.an.gan tanpa henti dengan bantuan polis dari Labuan. Akhirnya pada 1 Februari 1900, kubu Mat Salleh telah ditawan sepenuhnya. Setelah serbuan ke dalam kubu tersebut, hanya beberapa pengikut Mat Salleh saja yang terselamat dalam kalangan para pejuang yang telah terkorban. SBBUB menganggap Mat Salleh telah terkorban dan berusaha mencari mayatnya.

Terdapat spekulasi akan kematian Paduka Mat Salleh ini dalam kalangan sejarah. Ada sebahagian sejarahwan mendakwa mayatnya masih tidak ditemui lagi. Mereka menganggap bahawa beliau mungkin telah melarikan diri semasa pertempuran masih berlansung. Walau bagaimanapun, ia hanya teori semata dan ketua tentera SBBUB telah memaklumkan kematian beliau kepada pihak pentadbiran. Berita kematian Mat Salleh telah disiarkan dalam British North Borneo Herald pada keluaran 16 Mac 1900.

Inilah sejarah perjuangan Mat Salleh, pejuang yang telah memimpin warga Sabah pelbagai etnik untuk menentang ketidakadilan dan kekejaman penjajah, demi tanah air tercinta.

RUJUKAN

Mohamad Shaukhi Mohd Radzi, Baszley Bee Basrah Bee & Md. Saffie Abd. Rahim. Paduka Mat Salleh’s Struggle Against Colonial: A HistoricalStruggle and Interpretation from Islamic Point of View. Retrieved from 30 August 2021.

Muhammad Zaemul Khairi, Pemberontakan Mat Salleh Di Borneo Utara British: Suatu Tinjauan. Universiti Brunei Darussalam. Retrieved from 30 August 2021.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.