Perjuangan Al-Amin: Rasul Ulul Azmi

1158
views

Sudah jatuh, ditimpa pula dia dengan tangga. Ya, mungkin itu merupakan frasa atau ungkapan yang dapat memberikan gambaran kepada sesuatu keadaan seseorang itu sedang mengalami kesulitan demi kesulitan. Belum selesai satu masalah, datang pula satu masalah yang lain. Sudahlah dia jatuh dari tempat tinggi, tertimpa pula badannya dengan tangga yang digunakannya untuk memanjat tempat tersebut. Sesuatu keadaan yang menggambarkan seseorang itu menerima ujian yang bertubi-tubi.

Justeru, bagi orang yang ditimpa pelbagai ujian, kemalangan dan kesulitan sudah pasti memaksa dirinya untuk bertahan serta bersabar pada tahap yang paling tinggi. Usahkan keringat, bahkan bendungan air mata sekalipun sudah kering tersejat dek kerana ujian yang menimpa begitu berat. Tetapi percayalah, ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT adalah bertujuan untuk menguji keteguhan dan kekuatan iman seseorang. Semakin kuat ujian, semakin tinggi kesabaran maka semakin kukuh dan teguhlah keimanan.

Itulah hakikat dan keadaan yang berlaku kepada Rasul Ulul Azmi. Ulul Azmi merupakan gelaran yang diberikan khusus kepada para rasul yang mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dan istimewa disebabkan ketabahan mereka sungguh luar biasa. Ketabahan dan kesabaran mereka terhadap ujian Allah SWT melebihi kerasnya batu, melebihi kukuhnya konkrit. Celaan, tohmahan, hinaan hatta ugutan pembunuhan merupakan makanan ruji buat mereka dalam menyampaikan risalah suci agama Allah SWT.

Antara 25 rasul, hanya ada lima orang sahaja yang mendapatkan gelaran istimewa dan khusus ini. Mereka ialah Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan yang terakhir merupakan penutup bagi segala nabi dan rasul serta insan paling mulia di muka bumi iaitu Nabi Muhammad SAW. Mereka inilah yang berjuang dan berkorban, bermandikan darah serta bertemankan lelah semata-mata untuk menyebarkan seterusnya mewariskan kepada kita risalah agama Allah SWT.

Sehubungan dengan itu, sempena dengan hari kelahiran junjungan besar dan mulia Nabi Muhammad SAW, marilah seluruh umat Islam khususnya untuk sama-sama menelusuri dan menghayati sirah serta perjalanan Baginda sehingga gelaran ini diturunkan kepadanya.

PENGERTIAN ULUL AZMI.

Dalam buku ‘Kamus Pintar Agama Islam’, rasul membawa maksud seorang utusan Tuhan (Allah SWT) dan mendapat wahyu darpada Allah SWT dan diperintahkan kepadanya untuk menyampaikan wahyu tersebut kepada seluruh umatnya (Ahmadi dan Abdullah, 1991, 233).

Adapun bagi pengertian Ulul Azmi, dalam buku ‘Ensiklopedia Islam’ menyebutkan bahawa pengertian bagi gelaran Ulul Azmi adalah orang-orang yang mempunyai kemahuan yang kuat dan teguh (Sirojuddin, 1993, 121).

DALIL BERKENAAN RASUL ULUL AZMI.

Allah SWT telah berfirman dalam kitab suci al-Quran mafhumnya,
“Maka bersabarlah engkau (Muhammad) sebagaimana kesabaran rasul-rasul yang mempunyai keteguhan hati. Dan janganlah engkau meminta agar azab disegerakan untuk mereka. Pada hari mereka melihat azab yang dijanjikan, mereka berasa seolah-olah tinggal di dunia hanya sesaat sahaja pada siang hari. Tugasmu hanya menyampaikan. Maka tidak ada yang dibinasakan, kecuali kaum yang fasik (tidak taat kepada Allah).”
(al-Ahqaf, 35)

“Dia (Allah) telah mensyariatkan kepadamu agama yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nabi Nuh AS dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad), dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Nabi Ibrahim AS, Musa dan Isa, iaitu tegakkanlah agama (keimanan dan ketakwaan) dan janganlah kamu berpecah-belah di dalamnya. Sangat berat bagi orang-orang musyrik (untuk mengikuti) agama yang kamu serukan kepada mereka. Allah memilih orang yang Dia kehendaki ke atas agama tauhid dan memberi petunjuk buat orang yang kembali kepada-Nya.”
(al-Syura, 13)

Al-Bizar dan al-Haitsimi menerangkan bahawa,
“Dan lima rasul ini ialah semulia-mulia anak Adam. Telah berkata Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda,
Semulia-mulia anak Adam ada lima orang. Iaitu Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad SAW. Dan semulia-mulia antara mereka ialah Muhammad SAW.”

BIODATA RINGKAS NABI MUHAMMAD SAW.

Telah dilahirkan Nabi kita Muhammad SAW di tengah-tengah keluarga Bani Hasyim di Kota Mekah pada 9 Rabi’ul Awwal (riwayat yang paling masyhur dalam kalangan ulama adalah 12 haribulan), permulaan tahun daripada peristiwa penyerangan Tentera Gajah dan 40 tahun setelah kekuasaan Kisra Anusyirwan atau bertepatan dengan tarikh 20 (atau 22) April tahun 571 M yang berdasarkan kepada penelitian Muhammad Sulaiman al-Manshurfuri, seorang ulama besar dan peneliti astronomi Mahmud Basya.

Nabi Muhammad SAW dilahirkan dalam kalangan keluarga pilihan dan mulia yang menjadi sebagai salah satu asas lahiriah yang kukuh. Lebih-lebih lagi pada ketika itu, masyarakatnya masih tebal dan kuat dengan fahaman kekeluargaan (asabiyyah). Di samping itu, faktor ini menjadi satu nilai tambah kepada keluarga Baginda dan bangsa Arab sebagai kurniaan daripada Allah SWT. Sesungguhnya, keluarga memainkan peranan yang sangat signifikan dalam usaha penyebaran dakwah seperti yang telah dikatakan oleh Nabi Luth AS ketika dikepung oleh kaumnya,

“Seandainya aku mempunyai kekuatan, atau seandainya aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat.”
(Hud : 80)

Nabi Muhamad SAW ialah anak lelaki kepada Abdullah bin Abdul Mutalib (nama sebenarnya ialah Syaibah al-Hamd) bin Qushaiy (nama sebenarnya ialah Zaid) bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’aiy bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin an-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bun Mudhar bin Nazar bin Mu’id bin Adnan.

Setakat itulah batas keturnan Nabi Muhammad SAW yang telah disepakati oleh jumhur ulama. Adapun salalisah keturunan Baginda selepas Adnan masih menjadi perselisihan dalam kalangan para ulama. Namun, telah menjadi sebuah kesepakatan bahawa Adnan ialah keturunan daripada Nabi Ismail AS bin Ibrahim AS.

Imam Muslim meriwayatkan dengan sanad yang tersambung hingga Nabi Muhammad SAW bahawa sesungguhnya Baginda telah bersabda:

“Sesungguhnya Allah SWT telah memilih Kinanah daripada keturunan Ismail dan memilih Quraisy daripada Kinanah dan memilih Hasyim daripada Quraisy dan memilihku dalam kalangan Bani Hasyim.”

CABARAN DAN UJIAN YANG DIHADAPI.

1) YATIM PIATU.

Sedari kecil lagi, Nabi Muhammad SAW melayari bahtera kehidupan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi. Baginda tidak sempat menjamah perhatian dan kasih sayang seorang bapa yang sepantasnya mendidik serta memberikan perlindungan kepadanya. Bapanya iaitu Abdullah bin Abdul Muthalib telah pergi menghadap Sang Pencipta sebelum Baginda dilahirkan ke dunia lagi. Manakala ibunya pula, Siti Aminah telah wafat sewaktu Nabi Muhammad SAW hanya berusia enam tahun. Dikatakan bahawa pada suatu hari, Siti Aminah ingin menziarahi makam arwah suaminya yang terletak di Yathrib (Madinah).

Maka, dengan tekad yang bulat Siti Aminah menziarahi makam suaminya dengan membawa putranya yang yatim ditemani oleh pembantunya, Ummu Aiman. Perjalanan ditempuh sejauh 500 km. Setelah menetap di sana selama satu bulan, Siti Aminah binti Wahab pun bersiap sedia untuk berangkat pulang ke Kota Mekah. Sungguh, suratan Allah SWT melebihi daripada semua perkara. Sewaktu dalam perjalanan pulang ke Kota Mekah, Siti Aminah telah jatuh sakit dan akhirnya beliau dipanggil untuk menghadap penciptanya. Beliau meninggal dunia di Abwa’, tempat yang terletak di antara Mekah dan Madinah.

Usia baru setahun jagung, namun Nabi Muhammad SAW sudah menanggung beban yang begitu berat walaupun Baginda masih kecil lagi. Bayangkan, seorang anak kecil yang sepatutnya mendapat kasih sayang, perlindungan dan perhatian telah menjadi yatim piatu dan hilang tempat berteduh dan sandaran. Masya-Allah, sungguh hebat ujian yang kau tanggung, wahai kekasih Allah!

2) PEMERGIAN DATUK TERCINTA.

Datuk kesayangan Baginda, Abdul Muthalib membawa Nabi Muhammad SAW kembali ke Mekah setelah mendengar berita yang amat menyedihkan berkenaan kematian Siti Aminah binti Wahb. Perasaan sayang dan simpati semakin lama semakin membekas mengenangkan nasib cucu tercinta yang terpaksa menanggung derita beban berat pada saat usianya yang masih sangat kecil lagi.

Perasaan yang tak pernah terasakan walaupun terhadap anak kandungnya sendiri. Abdul Muthalib tidak berkehendak kepada cucunya untuk melangsungkan kehidupan dengan sebatang kara. Hatta, beliau sering mengutamakan urusan Nabi Muhammad SAW berbanding dengan anak-anaknya.

Di hadapan Ka’bah terdapat sebuah kerusi atau singgahsana yang dicipta khas untuk Abdul Muthalib dan tiada barang seorang pun yang dengan lancangnya duduk di situ sebagai penghormatan kepada beliau. Suatu hari, layaknya seorang kanak-kanak kecil, Nabi Muhammad SAW bermain-main di sekitar kawasan singgahsana milik Abdul Muthalib. Tidak disangka-sangka, Nabi Muhammad SAW terus naik ke singgahsana tersebut dan bermain-main di situ.

Lantas, apabila melihat kejadian itu, orang-orang yang menjadi saksi terus menahan dan memegang Baginda Nabi Muhammad SAW agar tidak duduk di atas singgahsana tersebut. Mereka takut Baginda bakal dimarahi oleh Abdul Muthalib. Namun, perkara sebaliknya malah berlaku. Tatkala melihat kejadian yang berlaku, maka beliau berkata, “Biarkanlah anakku ini. Demi Allah, sesungguhnya dia akan memiliki kedudukan yang sangat agung pada kemudian hari”. Kemudian, Abdul Muthalib duduk di atas singgahsananya sambil mengelus dan meriba Nabi Muhammad SAW dengan penuh kasih sayang.

Sesungguhnya benarlah ujian Allah SWT itu diberikan kepada tentera-Nya yang tangguh dan kental jiwanya. Sewaktu Nabi Muhammad SAW telah mencecah usia 8 Tahun 2 bulan dan 10 hari, Baginda sekali lagi ditimpa musibah kematian. Kematian datuk kesayangannya Abdul Muthalib benar-benar telah merobek hati dan memecahkan bendungan tangisan Baginda. Sebelum meninggal, beliau sempat menyampaikan wasiat untuk menitipkan Nabi Muhammad SAW di bawah asuhan bapa saudara tercinta, Abu Thalib.

3) DARIPADA KEPERCAYAAN, BERTUKAR KEPADA KEBENCIAN.

Di usia mudanya, Nabi Muhammad SAW membesar menjadi seorang pemuda yang cukup masyhur dengan sifat jujur dan watak lemah lembutnya. Hatta Baginda digerlar sebagai al-Amin yang bererti orang yang dipercayai oleh masyarakat Kota Mekah dek kerana sikap yang ditonjolkan olehnya. Bagi mereka, tidak ada pemuda di Kota Mekah yang lebih dipercayai berbanding Muhammad al-Amin. Oleh demikian, tidak hairanlah apabila Siti Khadijah binti Khuwailid menerima cadangan Abu Thalib untuk menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai orang yang diamanahkan untuk menguruskan barang perniagannya.

Pada suatu hari, tibalah masanya Hajarul Aswad diletakkan pada tempat asalnya semula. Tiba-tiba, berlaku tikam lidah antara kabilah yang terlibat sehingga nyaris berlakunya pertumpahan darah antara mereka kerana masing-masing inginkan kelebihan mengangkat batu tersebut. Akhirnya, mereka menyuarakan kata sepakat untuk melantik seorang hakim bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan memilih orang yang pertama melangkahkan kaki masuk ke masjid. Atas hikmah ketentuan Allah SWT, Nabi Muhammad SAW ialah orang pertama yang melangkah masuk ke dalam masjid. Tatkala melihatnya, mereka berkata,

“Ini dia al-Amin yang kami reda dengan hukumannya. Ini dia Muhammad!”
Maka, dengan kebijaksanaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT, Nabi Muhammad SAW memerintahkan mereka untuk membawa sehelai kain. Setelah dibawakan sehelai kain oleh salah seorang daripada mereka, Nabi Muhammad SAW meletakkan batu Hajarul Aswad dan diletekkan di hamparan kain tersebut. Lantas, Baginda menyuruh tiap-tiap kabilah memegang penjuru kain tersebut. Setelah itu, Nabi Muhammad SAW meletakkan Hajarul Aswad di tempat asalnya dan pembangunan Ka’bah dapat disudahkan dengan jayanya.

Namun, apabila wahyu telah sampai kepada Baginda dan usaha dakwah terhadap risalah agama Allah SWT sudah diperintahkan untuk disebar, maka kepercayaan dan kekaguman terhadap Nabi Muhammad SAW bertukar menjadi kebencian pula. Baginda dicaci, ditohmah dan difitnah dengan macam-macam tuduhan. Dikatakan Bagindalah penyihir, seorang yang berkata dusta dan nabi palsu. Malah, Baginda juga mendapat pelbagai ancaman dan ugutan bunuh. Subhanallah, dalam sekelip mata sahaja, rasa hormat dan sayang itu telah lenyap.

Bukan setakat itu sahaja, malah saudara terdekat sendiri merupakan orang yang paling kuat menentang Baginda. Abu Lahab iaitu bapa saudara Nabi Muhammad SAW menjadi orang yang paling lantang menyuarakan penentangan terhadap risalah yang dibawakan oleh Baginda.

4) PEMBOIKOTAN NABI MUHAMMAD SAW.

Setelah pelbagai cara digunakan untuk menghalang dakwah Nabi Muhammad SAW menemui jalan buntu, para pimpinan Quraisy Mekah berkumpul untuk membincangkan cara terbaik untuk melawan penolakan Baginda terhadap semua tawaran yang diberikan. Harta, kuasa, bahkan wanita semuanya tidak dapat memenangi hati Nabi Muhammad SAW melainkan Baginda betul-betul tekad untuk menyebarkan agama Islam yang mulia.
Mereka mula berhimpun dan saling bertukar pandangan berkenaan bentuk kezaliman yang berkesan. Akhirnya, mereka sebulat suara untuk mematerai satu perjanjian dalam kalangan kabilah-kabilah Quraisy untuk melancarkan pemboikotan (pemulauan) terhadap Bani Hasyim dan Bani Muthalib.

Kemudian, perjanjian yang telah dipersetujui tersebut digantung di dalam Ka’bah untuk lebih meyakinkan keputusan yang telah diambil tersebut. Antara bentuk kezaliman yang dirancang adalah tidak akan bernikah dengan mana-mana orang dalam kalangan Bani Hasyim dan Bani Muthalib, tidak berjual-beli serta menyekat sumber rezeki selagi mereka tidak menyerahkan Nabi Muhammad SAW untuk dibunuh.

Seluruh keluarga Nabi Muhammad SAW telah diboikot selama tiga tahun, melainkan Abu Lahab kerana dia ialah salah seorang yang terlibat dalam perjanjian tersebut. Namun begitu, orang-orang musyrikin sekadar mampu melepaskan geram melalui perjanjian tersebut tetapi tidak dapat melemahkan semangat Nabi Muhammad SAW dan keluarga yang lain. Bahkan, bapa saudaranya sendiri iaitu Abu Thalib sendiri telah turun padang untuk memberikan perlindungan kepada anak saudara tercintanya itu dengan bertukar tempat tidur sesama mereka.

Kezaliman tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja. Golongan musyrikin bukan sahaja memulau dan memboikot, malah mereka mengetatkan kawalan agar bantuan serta sumber makanan tidak terlepas ke kampung Bani Hasyim. Abu Lahab sendiri yang bertindak untuk membayar segala harga keuntungan kabilah-kabilah yang datang ke Kota Mekah sebagai ganti rugi kerana tidak dapat bermuamalat dengan Bani Hasyim.

Walaubagaimanapun, Nabi Muhammad SAW tetap meneruskan dakwah tanpa bimbang akan keselamatan dirinya. Tidak ketinggalan juga isteri tercinta iaitu Sayidatina Khadijah binti Khuwailid yang turut sama mendampingi sang suami dalam menempuhi saat-saat getir ini. Beliau tidak sedikitpun berganjak daripada perjuangan Baginda, malah sentiasa memberikan semangat dan menyumbangkan segala tenaga dan harta buat dibelanjakan di jalan Allah SWT. Inilah pengorbanan terbesar yang dilakukan oleh beliau dan ahli keluarga yang lain dalam menempuh ujian Allah SWT demi memperjuangkan kalimah syahadah.

5) PENOLAKAN PENDUDUK THAIF.

Apabila kezaliman pihak Quraisy semakin bermaharajalela, dalam keadaan yang penuh dengan tekanan ini Nabi Muhammad SAW bersama dengan Zaid bin Harithah telah memilih Bandar Thaif sebagai destinasi untuk menyampaikan dakwahnya. Setibanya di sana, Baginda bertemu dengan tiga orang ketua Bani Thaqif iaitu suku Arab terbesar di Thaif. Salah seorang daripada mereka berkata,

“Jika engkau pendusta, maka aku tidak mahu melayan pembohongan ini. Tetapi jika kamu sungguh merupakan seorang nabi, maka aku tidak mahu dilaknat! Aku tidak peduli tentang dakwah yang kau bawa.”

Manakala, dua orang selebihnya sedari awal lagi sudah tidak bersetuju dan menolak dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW lantas mengusir Baginda keluar dari kawasan tersebut.

Lantas, mereka memanggil seluruh penduduk Thaif untuk berkumpul lalu mengusir Nabi Muhammad SAW keluar dari tempat tinggal mereka. Sungguh tidak berhati perut apabila mereka mengheret insan yang paling mulia itu untuk keluar dari Bustan at-Thaqif dengan kasar. Bahkan, pemuda-pemudi bertindak lebih agresif dengan melempar Nabi Muhammad SAW dengan bebatuan sehingga mengalirlah darah kepala, badan serta kaki Baginda lalu menyembah bumi. Allahu Rabbi!

Zaid pada ketika itu mengalami perasaan yang bercampur aduk. Antara marah dan sedih, tidak dapat dia bezakan. Zaid bin Harithah terus berteriak sambil menahan batu-batuan yang dilemparkan itu dengan bersenjatakan semata-mata badannya sahaja. Bukan setakat darah, malah air mata juga tersimbah!

Diriwayatkan bahawa Malaikat Jibril AS bergegas menemui Nabi Muhammad SAW tatkala melihat keadaan Baginda dan Zaid yang berlumuran dengan darah. Malaikt Jibril AS meminta keizinan kepada Baginda untuk menghancurkan penduduk Thaif dengan diterbalikkan bumi dan tanah tempat mereka berpijak. Bahkan, Malaikat Jibril berjanji akan menghempapkan penduduk Thaif dengan gunung atas tindakan keterlaluan mereka itu.

Namun demikian, disebabkan rasa sayang Baginda yang tersangat dalam terhadap penduduk Thaif, Nabi Muhammad SAW tidak mengizinkan Malaikat Jibril AS untuk berbuat demikian. Baginya, kalau bukan pada zaman mereka, mungkin zaman anak cucu mereka ajaran Islam akan diterima jua. Selepas itu, Baginda bersama Zaid meninggalkan Bustan at-Thaqif. Ketika menuruni curam bukit, batu masih lagi menghujani mereka berdua. Lantas, mereka bergegas meninggalkan tempat tersebut dan singgah di sebuah kebun milik Uqbah bin Rabiah.

Setibanya di situ, Nabi Muhammad SAW terus mengangkat tangan lalu berdoa kepada Allah SWT. Tatkala Baginda sedang berdoa, dua orang anak Rabiah rupa-rupanya sedang memerhantikannya. Lantas, dipanggil oleh mereka khadam yang bernama Addas dan diarahkan untuk menghidangkan anggur kepada Nabi Muhammad SAW. Addas merupakan seorang yang beragama Nasrani. Ketika Baginda ingin menyuapkan anggur ke mulut, Nabi Muhammad SAW mengucapkan Bismillah lantas memakannya.
Addas yang amat kaget pada waktu itu berkata,

“Demi Allah! Ucapan itu tidak pernah diucapkan oleh penduduk daerah ini.”
Mendengar ucapan itu, Baginda terus bertanyakan tentang agama da nasal-usul Addas. Lalu, Addas menjawab,

“Saya seorang yang beragama Nasrani. Saya berasal dari daerah Ninawa (sebuah kampung di Maushil).”

Mendengar jawapan itu, Nabi Muhammad SAW serta-merta menerangkan bahawa daerah itu wujudnya seorang soleh yang bernama Yunus bin Mathius. Yunus bin Mathius merupakan saudara Baginda dan seorang nabi sama seperti dirinya. Tanpa ragu lagi, pada saat itu juga Addas mengucup dahi, tangan dan kedua-dua kaki Nabi Muhammad SAW.

6) TAHUN KEMURUNGAN.

Setelah sekian lama menderita sakit, maka sampailah kepada saat Abu Thalib menghampiri saat nazaknya. Nabi Muhammad SAW pada ketika itu dirundung perasaan amat berdukacita dan mengharapkan agar orang yang paling banyak berjasa (melindunginya dan menjadi mangsa boikot selama tiga tahun) kepadanya itu mati dalam keadaan beriman serta mengucap kalimah syahadah. Menurut pendapat jumhur Ahli Sunnah Wal Jama’ah, Abu Thalib meninggal dalam keadaan kafir seperti yang telah diriwayatkan oleh pasa ulama hadis.

Al-Bukhari menceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW berkata kepada bapa saudaranya itu,

“Wahai bapa saudara kesayanganku, katakanlah ucapan ‘Laa ilaha illallah’ iaitu kalimah yang membolehkan aku berhujah untukmu di hadapan Allah.”
Tiba-tiba, Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umaiyah yang berada di situ berkata kepada

Abu Thalib yang sedang nazak,
“Wahai Abu Thalib, adakah engkau ingin meninggalkan agama Abdul Muthalib?”
Mereka terus-menerus memberikan tekanan kepada Abu Thalib sehingga pada akhirnya, dia mati dalam keadaan tidak mengucapkan kalimah Laa ilaha illallah dan berpegang dengan agama Abdul Muthalib.

Lalu, Nabi Muhammad SAW pun bersabda,
“Aku akan terus beristighfar untukmu sehingga aku ditegah untuk melakukannya.”

Lantas, Allah SWT menurunkan wahyu yang mafhhumnya,

“Tidaklah sepatutnya bagi nabi dan orang-orang yang beriman untuk meminta ampun (istighfar) bagi orang-orang musyrik,walaupun mereka itu dalam kalangan keluarganya, sesudah jelas bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah isi neraka.”
(at-Taubah, 113)

Kesedihan Nabi Muhammad SAW tidak berakhir setakat itu sahaja. Menurut Ibnu al-Qayyim RA, selepas tiga hari daripada tempoh wafatnya Abu Talib, maka tiba giliran isteri tercinta pula dijemput oleh Sang Pencipta. Peristiwa ini sekaligus merobek hati Nabi Muhammad SAW dan memecahkan empangan tangisan Baginda kerana mengenangkan jasa isterinya yang sangatlah besar dalam perjuangan menegakkan syiar Islam.

Sayidatina Khadijah RA lah orang yang paling setia di sisi Baginda, segala harta diinfakkannya, nyawa pula menjadi taruhannya bahkan beliau sentiasa menenangkan hati suaminya pada saat-saat getir dan gelisah. Pada saat Nabi Muhammad SAW menerima tentangan yang cukup dahsyat daripada kaumnya, maka Khadijah muncul sebagai wira untuk menenangkan yang mendampingi Baginda.

Beliau lah yang mencurahkan sepenuh kepercayaan terhadap setiap yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW. Bahkan, Sayidatina Khadijah RA ialah antara insan terawal mengucapkan kalimah syahadah.

Sehubungan dengan itu, dengan berlakunya dua peristiwa besar di atas dalam waktu yang sama, maka tahun tersebut digelar sebagai ‘Tahun Dukacita’ atau ‘Tahun Kemurungan’ junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

IBRAH DAN PENGAJARAN.

1) Mengingati Baginda, bukan setakat pada hari ini sahaja. Namun, ingatlah pada hari-hari dalam kehidupan kita. Perbanyakkan selawat kepada Baginda kerana,

“Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat ialah mereka yang paling banyak berselawat kepadaku.”
(al-Nasai & Ibnu Hibban)

2) Risalah dan dakwah yang dibawakan oleh para Rasul Ulul Azmi khususnya Nabi Muhammad SAW menyajikan kisah-kisah penentangan yang tidak kunjung hentinya. Semakin diseru umat menuju Allah SWT dan kebaikan, semakin dahsyatlah rintangan yang disajikan. Hatta saudara dan keluarga sendiri, tidak terkecuali daripada sajian mehnah dan tribulasi ini. Jadi, seandainya dakwah itu mendapat tentangan dan cacian, itu merupakan satu perkara yang wajar.

3) Walaupun seseorang itu mempunyai harta, kuasa dan kedudukan yang dapat menjamin keselesaanya, tetapi sekirang tiadanya tauhid dan kepercayaan kepada Allah Yang Esa maka semua itu bukanlah penyelamat kepada dirinya.

4) Tugas menyebarkan dakwah dan menjadi da’I adalah tugas setiap seorang daripada umat Islam, tidak terkecuali. Setiap insan ada bidang dan kelebihan tersendiri. Jadi, gunakan anugerah tersebut sebaik mungkin untuk mengajak umat manusia yang lain menuju dan mentauhidkan Allah SWT.

5) Ujian dan cabaran dalam jalan dakwah merupakan jaminan daripada Allah SWT tentang kelebihan dan ganjaran yang akan diberikan kepada mereka yang sabar dan istiqamah.

6) Peristiwa kematian Sayidatina Khadijah dan Abu Thalib pada ‘Tahun Kemurungan’ atau ‘Tahun Dukacita’ pada hakikatnya tersirat hikmah yang amat besar. Bagi memurnikan jalan dakwah, maka pertolongan daripada Allah SWT adalah yang paling utama. Memang benar bahawa jasa dan pengorbanan Sayidatina Khadijah serta Abu Thalib merupakan penyumbang terbesar kepada keberhasilan tersebarnya agama Islam, namun perkara ini tidak bermakna bahawa Islam itu berjaya disebarkan semata-mata disebabkan manusia semata-mata.

Tanpa menafikan darah perjuangan Baginda, para keluarga dan para sahabat, hakikatnya Allah SWT yang menjanjikan pertolongan dan perlindungan kepada mereka. Kerana Islam ini sepenuhnya dijaga oleh Allah SWT. Sehubungan dengan itu, tidak wujudnya sesuatu yang dinamakan jalan pintas dalam medan dakwah ini.

7) Tidak diragukan lagi, sesungguhnya dengan mendalami dan menelusuri sirah-sirah nabi merupakan salah satu cara terbaik untuk memahami Islam, khususnya dalam mendalami sirah Nabi Muhammad SAW. Perbuatan ini bukan semata-mata membaca tentang sejarah dan sirah Baginda, tetapi hakikat tujuannya adalah untuk mendapatkan gambaran tentang cara Islam itu disampaikan.

Melalui pembacaan dan penelitian yang mendalam, umat Islam akan mampu untuk bukan sahaja mempelajari kehidupan Baginda, bahkan mampu untuk melihat tentang keadaan dan cara Baginda menyelesaikan satu-satu permasalahan. Lantaran itu, berbekalkan pemahaman yang baik melalui pendalaman sirah Baginda, umat Islam akan mampu untuk memahami al-Quran dan merasakan nikmat ketika membacanya. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak ayat al-Quran yang makna tersiratnya hanya dapat ditafsirkan dan dijelmakan melalui sirah Nabi Muhammad SAW.

Justeru, pemahaman sirah Nabi Muhammad SAW menjadi antara bekalan utama yang harus wujud dan ditanamkan dalam dada setiap umat Islam khususnya para pendidik dan pendakwah. Sebab, sirah Nabi Muhammad SAW meliputi selurug aspek dalam kehidupan. Baik sebagai individu, pemimpin, suami, pendakwah hatta dalam komuniti masyarakat. Kehidupan Baginda memberikan bekalan yang cukup untuk menjadi insan yang bermanfaat untuk semua.

KESIMPULAN.

Wahai saudara sekalian, tanamlah bibit kesedaran dalam setiap benak sanubari bahawa sesungguhnya tiada insan yang lebih mulia berbanding Nabi Muhammad SAW. Perjuangan, pengorbanan serta keperitan yang dialami kita tidaklah setaraf dengan kesusahan Nabi Muhammad SAW. Darah tertumpah, air mata tercurah, keringat dan tenaga diperah, merupakan mehnah yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW dalam dakwah.

Ini risalah suci dan murni. Bukanlah sebagai kuda untuk ditunggang, yang adakalanya meringkik sesat di tengah hutan. Ini risalah suci dan murni. Bukanlah sekadar tebu yang ditanam di tepian bibir menjadi hiasan kebohongan. Ini risalah suci dan murni. Bukanlah sekadar regu gusti yang bergelut menanti saat kematian. Risalah ini diwarisi dengan darah dan tangis. Risalah ini diwarisi dengan mehnah dan guris. Jangan dicemar dia dengan noda onar, kelak dilaknat Dia Yang Maha Besar.

اللهم صلي على سيدنا محمد
Wallahu Ta’ala A’lam.

Sumber rujukan:

1) Terjemahan al-Quran.
2) Al-Buthy. (2017). The Great Episodes of Muhammad SAW, Menghayati Islam dari Fragmen Kehidupan Rasulullah SAW. Jakarta Selatan: Noura Books.
3) Rusydi Ramli. (2014). Biografi Agung Rasulullah Sallahu Alayhi Wasallam. Batu Caves, Selangor: mustread sdn bhd.
4) M. al- Khudori. (1998). Nur al-Yaqin Kitab Sirah Rasulullah SAW. Kuala Lumpur: Pustaka Salam sdn bhd.
5) Syaikh Syafiyyurrahman. (2017). Ar-Rahiq Al-Makhtum, Sirah Nabawiyyah Sejarah Hidup Nabi Muhammad SAW. Jakarta Timur: Ummul Qura.
6) Shalih Munajjid. (2018). Interactions Of The Greatest Leader, Seni Interaksi Rasulullah SAW, Bagaimana Nabi SAW Menjalin Hubungan Dengan Keluarga & Lingkungannya. Solo: Aqwam.
7) Hadi Awang. (2007). Jilid 1 : Fiqh al-Harakah Dari Sirah al-Nabawiyyah. Shah Alam, Selangor: Dewan Pustaka Fajar.
8) Nizar Abazhah. (2018). Bilik-bilik Cinta Muhammad SAW, Kisah Sehari-hari Rumah Tangga Nabi. Jakarta: Serambi Ilmu Semesta.
9) Abdul Wahid. (2018). Mengenali Para Rasul Ulul ‘Azmi dan Mukjizatnya. Dimuat turun daripada
https://portal-ilmu.com/mengenali-para-rasul-ulul-azmi.com
10) Afdhal al-Khudaifi. (2016). Makalah Tentang Ulul Azmi.
Dimuat turun daripada
https://khudaifimedia.blogspot.com/2016/09/makalah-tentang-ulul-azmi.com