Perjanjian Air Malaysia-Singapura 1990

0
2651
views

24 November 1990 : Singapura memeterai perjanjian air baharu dengan kerajaan Malaysia dan Johor. Ia adalah perjanjian tambahan kepada perjanjian terdahulu, iaitu Perjanjian Sungai Johor 1962, di mana dalam terma perjanjian tersebut, ia akan tamat pada tahun 2062.

Perjanjian tahun 1990 ini membolehkan Singapura membina empangan di Sungai Linggiu (salah satu cabang Sungai Johor), untuk memproses air dari Sungai Johor itu sendiri.

Perjanjian ini juga membolehkan Singapura menaikkan kapasiti pengeluaran air sehari, berbanding perjanjian tahun 1962, yang dihadkan pada kadar 250 juta gelen sehari.

Sebagai ganti, Singapura membayar pampasan sebanyak RM320 juta kepda kerajaan Johor dan Malaysia, bagi nilai tanah tapak di mana empangan tersebut bakal didirikan.

Selain itu, premium tahunan turut dikenakan sebanyak RM18,000 per hektar dan nilai cukai tanah iaitu pada kadar RM30 bagi setiap 1,000 kaki keluasan tanah.

Singapura juga bertanggungjawab sepenuhnya atas pembinaan empangan dan kos penyelenggaraannya kelak, di mana pada satu tempoh masa tertentu, ia akan di serahkan semula kepada Johor dan Malaysia.

Empangan Linggiu ini membolehkan mengeluarkan lebih banyak air berbanding kadar 250 juta gelen sehari. Air tersebut diproses di Johor dan harganya adalah berdasarkan formula harga air di Singapura dan di Johor.

Dalam masa yang sama, terma perjanjian turut menggariskan bahawa syarikat carigali minyak Malaysia, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) diberikan kontrak membekal gas asli dari Terengganu ke Singapura.

Usaha kearah Perjanjian Air 1990 itu telah bermula sejak Ogos 1982, bila mana Malaysia dan Singapura bersetuju untuk mengkaji semula perjanjian fasiliti air antara kedua negara. Ini bagi membolehkan pengeluaran lebih banyak air terawat dari Sungai Johor untuk kegunaan di masa hadapan.

Rundingan berjalan agak perlahan lantaran terdapat beberapa kekangan dan isu. Isu-isu sensitif turut berkait disebabkan sikap Singapura sendiri. Itu belum masuk hal-hal mengenai kedaulatan yang meningkatkan suhu hubungan Malaysia-Singapura.

Dua kali Perdana Menteri kedua-dua negara, Dr. Mahathir bin Mohamad dan Lee Kuan Yew bertemu bagi membincangkan hal tersebut iaitu pada Ogos 1986 dan Januari 1988. Maka menyusul lah satu Perjanjian Persefahaman pada Jun 1988, yang turut menggariskan hal-hal seperti pengangkutan domestik antara Singapura-Malaysia selain kadar harga air dan gas antara kedua-dua negara.

Seterusnya Singapura membina Empangan Linggiu. Empangan tersebut turut menempatkan kolam takungan dan loji air Linggiu, siap sepenuhnya pada April 1993 yang menelan belanja sebanyak $310 juta. Maka secara tidak langsung selepas itu, Singapura dengan Empangan Linggiu berupaya mengeluarkan air lebih dari kadar 250 juta gelen sehari.

Empangan Linggiu kini diurus oleh Public Utilities Board (PUB) dari Singapura. Selain itu, PUB ini turut menguruskan beberapa lagi fasiliti dan loji air di Johor.

Empat hari selepas termeterai nya perjanjian air tersebut, pada 28 November 1990, Lee Kuan Yew mengundurkan diri dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri Singapura kepada Goh Chok Tong.

Bersara Lee Kuan Yew dengan senyum lebar, meninggalkan ‘kantung air’ buat Singapura yang tidak akan habis-habis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.