Peristiwa Uthmaniyyah Menghapuskan Sendiri Tentera Elit Janissari

4,303

Empayar Uthmaniyyah adalah kerajaan yang sangat sinonim dengan satu nama pasukan tentera elit ini, pasukan ini adalah yang paling terkenal sepanjang sejarah Turki selama berabad-abad, mereka adalah tentera elit Janissaries.

Kemalangan Yang Bermakna (Auspicious Incident) dinamakan sempena hari yang menandakan pembun*han askar-askar Janissari di tangan Sultan Mahmud II, sekaligus mengakhiri kegemilangan pasukan itu.

Dengan kekuatan ketenteraan yang sangat terlatih dan tempoh usianya yang wujud hampir sepanjang tempoh berdirinya Empayar Uthmaniyyah, anggota-anggota tentera Janissari pada asalnya terdiri sepenuhnya dari golongan hamba-hamba yang terikat menjadi hakmilik empayar setelah diambil sebagai hamba dan agama mereka ditukar dari Kristian ke Islam.

Walaupun datang dari sejarah latarbelakang yang mungkin kelihatan kejam pada pandangan dunia moden, askar-askar Janissari sebenarnya telah berjuang dengan bersemangat, berani dan jujur ​​untuk Empayar Uthmaniyyah, mereka terlibat dalam banyak pertemp*ran yang penting, termasuklah Penakl*kan Konstantinopel.

Ini kerana mereka dibesarkan, dididik dan dilatih dengan begitu baik dan teratur sekali.

Malangnya, zaman keemasan Janissari tidak mampu bertahan selamanya, dan penurunan piawaian pengambilan rekrut menyebabkan tahap kesetiaan dan keberkesanan pasukan itu semakin berkurangan.

Menjelang tempoh akhir mereka berperanan sebagai kekuatan per*ng Uthmaniyyah yang tiada tandingan, askar Janissari tidak lebih dari sekumpulan masyarakat kelas elit yang berusaha menguasai pemerintahan melalui pengaruh dan kekuatan ketenteraan mereka.

Hal ini sering membuat mereka bertindak menentang para sultan yang masih memiliki kedaulatan ke atas kuasa mereka jika secara teknikalnya, dan mereka sering terlibat dalam beberapa usaha rampasan kuasa.

Semua itu berakhir, bersama dengan para anggota tentera Janissari sekaligus, pada bulan Jun tahun 1826, ketika Sultan Mahmud II memerintahkan mereka semua dihapuskan dalam sebuah peristiwa yang dikenali sebagai Kemalangan Yang Bermakna (Turki: Vaka-i Hayriye. Inggeris: Auspicious Incident).

Pembun*han Kejam Yang Tersusun Dengan Jaya

Rancangan untuk menghapuskan pasukan elit Janissari adalah sekejam dengan tahap keberkesanannya. Sultan menggunakan khidmat pasukan Sipahi – divisyen unit tentera berkudadengan sejarah yang lebih panjang daripada pasukan Janissari untuk menjadi ‘malaikat m*ut’.

Janissari dan Sipahi sebenarnya telah lama mengalami persaingan yang agak sengit, maka, para tentera penunggang kuda itu amat berbesar hati untuk menyumbang sebanyak mungkin terhadap kemusnahan kegemilangan Janissari.

Mereka menggunakan kepantasan mereka untuk mendesak pasukan Janissari berundur kembali ke barak utama mereka, yang sedang dikepung oleh bala tentera Mahmud II bersenjatakan meriam dan artileri.

Apabila tiba saatnya, Mahmud II terus mengarahkan barak yang penuh dengan askar Janissari itu dibedil dan membakar habis seluruh kawasan itu dalam sekelip mata, sekaligus membun*h lebih dari 4,000 orang anggota tentera Janissari hanya dalam satu ser*ngan.

Saki baki anggota-anggota Janissari yang terselamat dipecahkan dan tersebar ke merata tempat, majoritinya samada dihukum bun*h atau diasingkan keluar negeri, atau dipenjarakan. Dalam masa satu hari sahaja, sejarah pasukan elit Janissari yang berusia 500 tahun telah berakhir.

Ketika Janissari dihapuskan pada tahun 1826, ini menandakan berakhirnya pengaruh mereka yang sangat lama sebagai kuasa ketenteraan utama di dalam Empayar Uthmaniyyah.

Janissari mula bergerak pada akhir abad ke-14, mereka terlibat dalam hampir setiap konflik besar Uthmaniyyah selama 500 tahun ke depan. Janissari telah memainkan peranan penting dalam Penakl*kan Konstantinople pada 29 Mei 1453;  yang kemudian ditukar namanya menjadi kota Istanbul, ibu kota Empayar Uthmaniyyah.

Itu bererti Sultan Mahmud II telah mengambil keputusan yang melibatkan satu sejarah yang banyak dan panjang apabila dia ber*ngkat untuk menghapuskan pasukan Janissari, ia menjadikannya satu keputusan yang tidak boleh dianggap ringan bagi dirinya.

Dari Kelas Hamba Ke Bangsawan Elit

Pada awal kemunculan Janissari, askar-askar Janissari ini keseluruhannya terdiri dari golongan hamba lelaki Kristian, yang kemudiannya memeluk Islam dan bersumpah untuk berkhidmat hanya kepada sultan. Ini menjadikan Janissari tidak perlu dikenakan cukai, kerana mereka tidak menjana pendapatan mereka dengan bebas.

Namun, seiring beralihnya waktu dan zaman, peraturan dan undang-undang mengenai pengambilan rekrut Janissari kian berubah, dan ada waktunya, mereka yang telah berpendapatan tetap dibolehkan menyertai unit Janissari, mereka juga boleh menjalankan perniagaan sendiri dan mendapatkan keuntungan dari dagangan mereka.

Ini secara tidak langsung menjadikan mereka sebagai salah satu kelompok bangsawan elit dalam masyarakat yang memiliki kekuatan ketenteraan yang sangat besar, namun masih dibebaskan dari dikenakan cukai. Secara dasarnya, isu ini mencetuskan gelombang kecemburuan dan kebencian diantara golongan pelbagai kelas di seluruh Empayar ini.

Asas seorang tentera Janissari adalah seorang hamba yang berbai’ah setia kepada sultan Empayar Uthmaniyyah, dan perintah mereka adalah kekal atau secara teknikalnya mereka harus berdampingan dengan sultan hingga seseorang menghancurkan mereka.

Namun, akhirnya, pihak Janissari mulai mentafsirkan istilah “sultan” dalam sumpah mereka adalah merujuk kepada satu kedudukan / kedaulatan takhta – dan bukan untuk individu tertentu yang menjadi Sultan.

Doktrin salah itu menyebabkan mereka sesuka hati bangkit menentang mana-mana sultan yang mereka tidak sukai dan menuntut menggantikannya dengan ahli kerabat pilihan mereka.

Pasukan Janissari terlibat dalam rampasan kuasa yang tidak terhitung jumlahnya, mereka menggunakan kekuatan tentera, pengaruh dan keutuhan ekonomi sendiri lalu menjadikan Janissari satu entiti ‘king maker’ dan satu-satunya kekuatan politik yang dominan didalam Empayar Uthmaniyyah selepas Sultan.

Pada mulanya, Uthmaniyyah memiliki banyak negara jajahan Kristian yang mampu menyediakan anak-anak lelaki untuk diambil sebagai hamba sebelum diserap ke dalam pasukan Janissari, mereka adakalanya diserahkan secara sukarela oleh ibu bapa sendiri dengan harapan dapat menyediakan mereka kehidupan yang lebih baik dan terjamin dalam kerajaan.

Namun, akhirnya, keperluan Empayar dan pengaruh Janissari makin bertambah, dan syarat pengambilan rekrut mula dikecilkan. Pada awalnya, anak merdeka dari keturunan Janissari dibenarkan untuk menyertai, kemudian mana-mana pemuda Muslim yang lahir di dalam Empayar Uthmaniyyah boleh mendaftar.

Penurunan tahap skop kelayakan pengambilan ini dengan pantasnya menyebabkan hilangnya nilai kesetiaan dan moral yang besar dikalangan askar-askar Janissari, menjadikan mereka kerap memberontak dan menentang para sultan dalam banyak kejadian yang boleh dianggap sebagai penderhakaan.

Ketika Mahmud II menaiki takhta Sultan Empayar Uthmaniyyah, dia mentadbir dengan menanam benih pendapat buruk tentang pasukan elit Janissari.

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

Mahmud telah menyaksikan beberapa pendahulunya kehilangan takhta, bahkan nyawa mereka sendiri dalam siri rampasan kuasa yang didalangi oleh Janissari, lagi pula Empayar Uthmaniyyah pada saat itu masih baru terlibat dalam beberapa kekalahan ketenteraan yang memalukan.

Namun, tentera Janissari adalah musuh yang sangat kuat, dan Mahmud II tidak boleh mengeluarkan senjatanya sebarangan.

Sebagai alternatif, dia dengan penuh berhati-hati merancang dan menunggu selama hampir dua dekad, dari hari pertabalannya pada tahun 1808 hinggalah pada hari peristiwa ‘Kemalangan Yang Bermakna’ pada tahun 1826. Permainan panjang itu membuahkan hasil jua untuk Mahmud akhirnya.

Salah satu matlamat utama Sultan Mahmud II dalam pemerintahannya adalah mahu memodenkan secara kebaratan seluruh struktur utama Empayar Uthmaniyyah, yang merupakan satu berita buruk bagi legasi sejarah seperti Janissari.

Sultan Mahmud II

Pasukan tentera elit ini agak bongkak dan secara tradisinya berjuang keras untuk menentang perubahan atas dasar konservatif yang tipikal, termasuklah insiden di mana mereka telah melakukan pemberontakan pada skala penuh hanya kerana menentang perintah untuk memperbaharui pakaian seragam mereka.

Hasrat modenisasi Mahmud dan keinginan pihak Janissari untuk mempertahankan tradisi kuno mereka menyebabkan munculnya jalan untuk konflik, Mahmud telah melakukan sedaya apa yang dia mampu untuk memodenkan seluruh tentera Uthmaniyyah dalam usaha untuk mencegah dari masalah ketinggalan zaman yang akhirnya benar-benar berlaku.

Oleh kerana sejarah dan kekuatan politik mereka yang amat panjang, Mahmud II mungkin tidak merasa selesa untuk mengisytiharkan per*ng terhadap pasukan Janissari.

Namun mujurlah askar-askar Janissari pernah mempunyai sejarah memberontak terhadap sultan, dan mereka terburu-buru menunjukkan penentangan sebagai tindak balas terhadap percubaan Mahmud untuk memodenkan tentera Uthmaniyyah.

Pada dasarnya, oleh kerana tentera Janissari tidak akan menerima sebarang apa jua perubahan yang ingin dilakukan ke atas mereka, Mahmud II mula membentuk unit tentera yang berbeza di luar pengetahuan warga Janissari.

Seperti lazimnya yang dijangka, tindakan itu akan menyebabkan berlakunya pemberontakan oleh Janissari, mereka turun ke jalanan untuk memer*ngi perubahan itu – yang menjadi permulaan kepada peristiwa Kemalangan Yang Bermakna.

Ada beberapa sejarawan yang percaya bahawa sebenarnya Mahmud II cukup licik dan dengan sengaja menghasut hingga tercetusnya pemberontakan oleh orang-orang Janissari.

Dia mungkin dari awal lagi mengetahui bahawa pemberontakan itu akan berlaku tetapi ia dilihat bakal memberikan peluang yang besar untuk membuat perancangan jangka masa panjang dan terus menghapuskan Janissari untuk selama-lamanya.

Suatu ketika dahulu, memang benar pasukan tentera elit Janissari ini adalah sumber kekuatan yang menjadi kebanggaan seluruh warga Empayar Uthmaniyyah, tetapi zaman itu telah lama berlalu pada saat abad ke-19 menawarkan dunia baharu.

Janissari telah berubah menjadi satu entiti bangsawan yang jauh lebih berminat mendominasi masyarakat atau pemerintahan menggunakan pengaruh politik dan menambah kekayaan berbanding berusaha memenangi mana-mana pertemp*ran.

Kenyataan tentang Janissari tidak perlu membayar cukai tidak banyak membantu menyelesaikan masalah, tetapi akhirnya hanya menyebabkan masyarakat awam semakin membenci kewujudan Janissari.

Beberapa sumber bahkan melaporkan bahawa orang awam turut membantu pemerintah memer*ngi mereka dalam konflik yang membawa kepada Kemalangan Yang Bermakna.

Mahmud II menggunakan propaganda berbentuk keagamaan yang kuat ketika menggerakkan penentangan terhadap Janissari yang memberontak.

Mahmud menggunakan Panji Suci Nabi (Sacred Standard / Holy Banner of Muhammad) yang didakwa merupakan panji per*ng milik Nabi Muhammad SAW sebagai simbol mandat kebenaran lalu menyeru semua umat Islam untuk bersatu di bawahnya.

Plot itu kelihatannya berjaya hingga mampu menggerakkan rakyat biasa untuk bangkit menentang elit Janissari.

Peristiwa Ini Memberi Ilham Kepada Filem Star Wars

Peminat siri francais Star Wars mungkin menyedari terdapat banyak persamaan antara plot dari filem-filem prekuel fiksyen ini dengan peristiwa sebenar yang berlaku dalam sejarah dunia.

Selain Per*ng Dunia Kedua, penulis skrip Revenge of the Sith juga memperoleh inspirasi kecil dari tindakan Sultan Mahmud II dalam peristiwa menghapuskan Janissari ini.

Dalam filem ini, Order 66 digubal oleh Senator Palpatine setelah beberapa dekad merancang. Palpatine berusaha untuk menghapuskan pengaruh Jedi, sebagai cerminan konflik antara Mahmud dan Janissari.

Palpatine dan Mahmud masing-masing menghancurkan musuh mereka dengan menggabungkan kekuatan mereka dalam satu ser*ngan secara dramatik.

Malangnya bagi para Janissari, tidak ada Luke Skywalker muncul dari padang pasir untuk meneruskan legasi mereka, dan Janissari akhirnya lenyap begitu sahaja.

Dengan penghapusan Janissari secara efektifnya, Sultan Mahmud II bebas untuk meneruskan perancangannya bagi memodenkan angkatan tentera Uthmaniyyah.

Dia segera menggantikan pasukan Janissari dengan pasukan elit baharu yang dikenali sebagai Âsker-i Mansûre-i Muhammediye (Tentera Muhammad Yang Berjaya), tetapi terbukti mereka sudah terlambat untuk menaiktaraf kekuatan mereka.

Sebelum pasukan yang baru dapat dilatih dengan baik dan semp*rna, Empayar Russia telah melakukan gerakan ofensif terhadap Uthmaniyyah, hasilnya, Uthmaniyyah akhirnya mengalami kerugian yang besar dalam sambungan siri per*ng Russo-Turki dan beberapa perjanjian merugikan yang akan datang.

Akibat terlalu sibuk berper*ng dengan tentera mereka sendiri, Empayar Uthmaniyyah telah menyebabkan kelemahan mereka terdedah dan hanya mengambil masa 100 tahun seterusnya sahaja untuk Empayar Uthmaniyyah diruntuhkan sepenuhnya.

RUJUKAN:

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.