Jika disebut nama Mat Kilau, secara spontannya kita akan mengenali tokoh tersebut sebagai salah seorang pahlawan Melayu yang kuat menentang penjajahan Inggeris di negeri Pahang pada akhir abad ke-19. Bersama ayahnya, Tok Gajah (Imam Rasu) dan pahlawan-pahlawan Pahang yang lain seperti Dato’ Bahaman dan Mat Kelubi, antara sebab utama mereka menentang penjajahan Inggeris di Pahang ialah campurtangan pihak Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang.

Mat Kilau merupakan anak jati kelahiran Kampung Pulau Tawar di Jerantut, Pahang, yang didakwa dilahirkan sekitar tahun 1848. Beliau bersama para pengikutnya telah beberapa kali berperang dengan tentera Inggeris dan tentera Siam di sekitar negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Sekitar tahun 1895, beliau dilaporkan hilang dan didakwa telah terbunuh di sempadan Kelantan-Siam dalam laporan Pemangku Residen British di Pahang iaitu D. H. Wise. ‘Jenazah’ beliau telah ‘dikebumikan’ di Kampung Bunut Payung, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1895.

Walau bagaimanapun, pada 26 Disember 1969, negara digemparkan dengan kemunculan seorang lelaki tua yang mengumumkan bahawa dirinya adalah Mat Kilau di dalam sebuah masjid di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang, selepas solat Jumaat. Lelaki tersebut dikenali oleh orang kampung dengan nama Mat Siam. Selain memakai nama Muhammad bin Ibrahim, beliau turut dikenali dengan gelaran Mat Dahan, Mat Dadu, Mat Teoh dan Din.

Pengakuan tersebut tersebar dengan begitu cepat ke seluruh negara melalui berita di dada-dada akhbar dan mendapat perhatian ramai pihak termasuklah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Pahang sendiri. Menteri Besar negeri Pahang ketika itu, Tan Sri Hj. Yahya bin Mohd. Seth bersama rombongan beliau melawat sendiri lelaki tersebut di rumahnya.

Berikutan isu tersebut, kerajaan Pahang telah membentuk Jawatankuasa Menyiasat Munchul-nya Mat Kilau pada awal bulan Januari 1970 yang dianggotai oleh enam orang anggota jawatankuasa dan diketuai oleh Dato’ Abdul Aziz Ahmad atas perkenan kebawah duli Sultan Pahang ketika itu.

Beberapa hari selepas mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut, tahap kesihatan Mat Kilau tiba-tiba merosot yang menyebabkan beliau tidak boleh bercakap dengan cara yang boleh difahami umum dan pergerakannya menjadi terbatas. Dikatakan perkara tersebut berlaku kerana Mat Kilau telah melanggar sumpah yang dibuat bersama-sama rakan seperjuangannya supaya tidak mendedahkan identiti dan kisah mereka kepada umum.

Jawatankuasa tersebut terpaksa menggunakan cara lain untuk menyiasat perkara tersebut iaitu dengan cara merujuk rekod-rekod kolonial dan akhbar serta kesaksian rakan-rakan seperjuangan Mat Kilau yang masih hidup ketika itu memandangkan keterbatasan bagi mereka untuk mendapatkan maklumat daripada mulut Mat Siam sendiri.

Usaha tersebut turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti pihak Muzium Negara, Arkib Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu serta beberapa orang sarjana dari Universiti Malaya seperti Prof. Mohd. Taib Osman (Jabatan Pengajian Alam Melayu), (Prof.) Khoo Kay Kim (Jabatan Sejarah) dan Prof. Tan Eng Siong (Jabatan Perubatan Ilmu Jiwa).

Pada mulanya, kebanyakan sarjana sejarawan tempatan meragui dakwaan Mat Siam tersebut seperti Cikgu Buyung Adil, Shaharom Husain, Prof. Syed Hussein Alatas dan (Prof.) Khoo Kay Kim sendiri kerana mereka masih belum diyakinkan dengan bukti-bukti kukuh yang konkrit, walau bagaimanapun, mereka tidak menolak bulat-bulat dakwaan tersebut. Prof. Syed Hussein Alatas mencadangkan supaya individu tersebut dianugerahi darjah kebesaran Tan Sri jika penyiasatan jawatankuasa tersebut mengesahkan beliau adalah Mat Kilau memandang kepada jasanya yang besar dalam memperjuangkan kebebasan tanah air.

Jadi, bagaimanakah laporan-laporan pegawai kolonial dan akhbar-akhbar pada tahun 1895 yang melaporkan bahawa Mat Kilau telah terbunuh dan telah dikebumikan di Bunut Payung, Kelantan? Dalam laporan jawatankuasa tersebut mencatatkan bahawa Mat Siam pernah bercerita kepada ahli keluarganya yang terdekat bahawa sememangnya beliau telah ditangkap dan dipukul oleh tentera Siam sehingga pengsan, tetapi beliau tidak mati. ‘Mayatnya’ kemudiannya diserahkan kepada Sultan Kelantan ketika itu untuk urusan pengebumiannya.

Walau bagaimanapun, Sultan Kelantan tersebut mendapati yang Mat Kilau belum lagi mati setelah Mat Kilau sedar daripada pengsannya. Oleh kerana itu, baginda telah berpakat dengan orang-orang istana supaya menukarkan ‘jenazah’ Mat Kilau dengan batang pisang yang telah dikafankan dan membebaskan Mat Kilau setelah menasihati beliau supaya terus hidup dalam penyamaran.

Sejak itu, Mat Kilau berpindah randah di sekitar negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu untuk menyembunyikan identiti sebenarnya kerana bimbang diburu tentera Inggeris. Beliau menggunakan pelbagai nama samaran. Rumah terakhirnya di Batu Lima, Jalan Gambang, Kuantan, Pahang.

Ketika membuat kad pengenalan pada tahun 1948, beliau mendaftarkan dirinya sebagai Muhammad bin Ibrahim dengan nombor kad pengenalan 2044778. Teh Ibrahim adalah salah seorang adiknya yang juga berjuang bersama-samanya. Tidak diketahui secara jelas mengapa beliau menggunakan nama samaran yang berbinkan adik lelakinya.

Sepanjang lebih 70 tahun beliau menyamar, beliau membuat beberapa pekerjaan dan cuma saudara terdekat, beberapa orang kenalan rapat dan anak-anak didik silatnya sahaja yang mengetahui identiti sebenarnya. Beliau pernah bekerja sebagai pengutip getah taban, buruh jabatan ukur, pengusaha kebun getah selain mengajar silat. Beliau telah menyuruh anak-anak murid silatnya bersumpah bahawa mereka tidak akan mendedahkan identiti sebenarnya sehinggalah kubur beliau dikambus nanti (mati).

Pada bulan Disember 1969, setelah beliau didesak berkali-kali oleh cucunya, Abu Bakar bin Hassan dan ahli keluarga terdekat yang mengenali identiti sebenarnya, maka Mat Siam pun bersetuju untuk mendedahkan identitinya kepada kaum keluarganya yang lain termasuklah kepada anak-anak kandungnya sendiri.

Pada 26 Disember 1969, setelah selesai bacaan doa selepas solat Jumaat yang dibaca oleh imam, Mat Siam ke mimbar Masjid Pulau Tawar, membaca Surah al-Fatihah, kemudian membaca Surah al-Baqarah ayat 1-5, seterusnya mengisytiharkan dirinya secara terbuka kepada umum bahawa beliau adalah Mat Kilau. Beliau membuat keputusan untuk mengisytiharkannya di kampung kelahirannya sendiri.

Berita tersebut tersebar luas dengan begitu cepat ke seluruh negara melalui dada-dada akhbar. Jawatankuasa dibentuk untuk mengesahkan dakwaan tersebut. Kaum keluarga, rakan-rakan seperjuangan Mat Kilau yang masih hidup dan orang-orang tua kampung yang berumur lebih 90 tahun disoal siasat untuk menilai kesaksian mereka.

Anggota keluarga Mat Kilau mengesahkan identitinya melalui pengecaman tanda-tanda lahir dan tanda-tanda peluru pada badan sebagaimana yang diceritakan kepada mereka dahulu. Begitu juga ramai golongan tua yang pernah melihat Mat Kilau sebelum ‘kematiannya’ turut mengesahkan identitinya.

Berita tersebut juga menarik perhatian beberapa orang menteri seperti (Tun) Abdul Ghaffar Baba, Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar ketika itu yang datang sendiri ke rumah Mat Kilau di Kuantan dan beramah mesra dengannya.

Tiga bukti paling kuat ialah pengesahan daripada tiga orang rakan seperjuangan Mat Kilau yang pernah ikut berjuang bersamanya dahulu yang masih hidup. Mereka ialah Mat Saman bin Sulaiman atau nama samarannya Mat Kelantan dari Kelantan yang dilaporkan berusia 152 tahun, Raja Ibrahim bin Tan Kechik atau gelarannya Pak Yim yang juga dari Kelantan yang dilaporkan berusia 120 tahun dan Mek Munah binti Salleh dari Terengganu yang dilaporkan berusia 97 tahun.

Mereka berempat telah dipertemukan di Dewan Pusat Latihan Pertanian di Kuantan, Pahang, dengan diusung oleh saudara mara kerana ketiga-tiga mereka telah uzur. Dalam pertemuan tersebut, mereka berempat saling mengenali dan menangisi antara satu sama lain kerana mereka terlalu gembira dapat dipertemukan dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang telah terpisah selama tiga suku abad. Peristiwa bersejarah tersebut turut disaksikan lebih 600 orang (laporan lain tidak lebih daripada 1,000 orang) ramai yang berhimpun di dewan tersebut.

Tepat jam 10:30 pagi, hari Khamis, 6 Ogos 1970, Tan Sri Hj. Yahya, Menteri Besar Pahang ketika itu mengisytiharkan bahawa Mat Siam adalah Mat Kilau, pahlawan Melayu Pahang yang menentang Inggeris pada akhir abad ke-19 berdasarkan laporan Jawatankuasa Menyiasat Munchul-nya Mat Kilau yang telah menjalankan penyiasatan teliti selama tujuh bulan.

Sebanyak 20 kali mesyuarat diadakan sepanjang penyiasatan tersebut. Laporan tersebut juga menyatakan umur sebenar Mat Kilau ketika itu bukanlah 122 tahun seperti yang didakwa (lahir tahun 1848), tetapi sekitar 106 atau 107 tahun (lahir sekitar tahun 1866 atau 1867) kerana ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah (Imam Rasu) hanya berkahwin dengan Teh Mahada iaitu ibu Mat Kilau selepas Perang Saudara Pahang pada tahun 1863.

Malangnya sepuluh hari selepas pengisytiharaan tersebut iaitu pada 16 Ogos 1970, jam 6:45 pagi, Mat Kilau meninggal dunia dan dikebumikan di tanah air kelahirannya, Kampung Pulau Tawar, Jerantut kerana sakit tua. Amanat terakhirnya kepada kaum keluarganya ialah “Jagalah nama baik bangsa dan negara.”

Sultan Pahang yang ketika itu berada di Johor telah memerintahkan dua kaki payung kebesaran diraja warna bendera negeri hitam dan putih dipayungkan ke atas jenazah Mat Kilau. Seluruh negara turut bersedih atas pemergian tokoh pahlawan Melayu tersebut. Ribuan rakyat Malaysia menghadiri upacara pengebumian jenazah Mat Kilau. Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri ketika itu turut mengirim ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Kerajaan Pahang dan kerajaan Persekutuan yang merancang untuk mengurniakan gelaran darjah kebesaran kepada beliau tidak sempat berbuat demikian. Begitu juga sebuah syarikat perkhidmatan haji yang pernah menawarkan khidmat pengurusan ibadat haji kepada Mat Kilau secara percuma, tidak dapat menunaikannya kerana Mat Kilau telahpun terlalu uzur ketika itu.

Menurut anak murid silat dan juga menantu Mat Kilau iaitu Abu Bakar Awang, beliau bersama-sama mertuanya itu pernah ke Padang Masjid Negeri di Kuantan untuk turut sama menyambut kemerdekaan negara peringkat negeri pada pagi 31 Ogos 1957. Oleh itu, Mat Kilau merupakan satu-satunya tokoh pahlawan Melayu abad ke-19 yang sempat hidup menyambut kemerdekaan negara, suatu cita-cita yang sering diimpikannya suatu ketika dahulu bersama-sama rakan-rakan seperjuangannya. Begitulah kehidupan seorang pejuang sejati yang tidak mengharapkan anugerah tetapi sentiasa mahu melihat tanah airnya bebas merdeka.

Menariknya, salah seorang cucu Mat Kilau iaitu Datuk Mazlan Jamaluddin, seorang bekas Penolong Penyiaran di stesen radio BBC di United Kingdom pernah bercerita bahawa sewaktu beliau berkhidmat di BBC ketika itu, seorang bekas pegawai kolonial Inggeris yang juga bekas Ketua Perisikan MI5 yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu dahulu pernah memberitahunya, “Mazlan, your grandfather Mat Kilau is still alive.” Perbualan tersebut berlaku pada tahun 1963, enam tahun sebelum Mat Kilau mengisytiharkan identiti sebenarnya kepada umum. Ini menunjukkan kemungkinan pihak Inggeris mengetahui bahawa pahlawan Melayu Pahang tersebut masih hidup ketika itu.

Satu perkara yang dapat kita pelajari ialah betapa kuatnya pahlawan Melayu berpegang pada sumpah dan janji walaupun terpaksa merahsiakannya daripada pengetahuan isteri-isteri dan anak-anak kandung mereka sendiri. Walaupun selepas 13 tahun negara mencapai kemerdekaan, Mat Kilau tetap berpegang pada sumpahnya yang akhirnya terpaksa dilanggarnya setelah didesak bertalu-talu oleh cucu dan saudara mara terdekat yang mengenalinya.

Mereka berjuang dengan hati yang penuh ikhlas. Penulis ada membaca satu laporan akhbar ketika itu bahawa setelah Mat Kilau mengisytiharkan identiti sebenarnya kepada umum, ramai yang datang menziarahinya di rumah anaknya, Omar, dengan membawa pelbagai buah tangan dan ada juga yang memberi wang tetapi semua pemberian tersebut ditolak mentah-mentah oleh Mat Kilau, bahkan beliau sendiri mengoyak-ngoyakkan wang kertas tersebut.

Hargailah jasa pengorbanan para pejuang tanah air yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka sendiri kerana tidak sanggup melihat tanah air mereka dijajah oleh kuasa asing yang hanya mengeksploitasi kekayaan hasil bumi kita kemudiannya dibawa ke negara mereka untuk kepentingan mereka sendiri.

Mereka dianggap sebagai penderhaka dan penjenayah oleh penjajah, tetapi mereka merupakan wira bagi anak watan. Kaji sejarah perjuangan mereka, pelihara warisan sejarah tinggalan mereka sebagai semangat motivasi, warisan negara dan pelajaran untuk generasi muda akan datang. Paling penting bagi mereka yang beragama Islam, doakan kesejahteraan mereka di alam barzakh sana.

Artikel ini ditulis berdasarkan keratan-keratan akhbar ketika itu dan Laporan Jawatankuasa Menyiasat Munchul-nya Mat Kilau 1970. Untuk mengetahui lebih lanjut, rujuk sumber-sumber tersebut.

Artikel ini ialah artikel ulangsiar yang pernah dinaikkan di portal ini pada tarikh 12 Okt 2017 .

RUJUKAN

Laporan Jawatankuasa Munchul-nya Mat Kilau 1970, Arkib Negara Malaysia Kuala Lumpur.

Berita Harian, 29 Disember 1969 – Ogos 1970, Arkib Singapura.

Dokumentari televisyen Majalah 3, “Mat Kilau Sumpah Bahadur.” Wartawan dan Penerbit Nurul Fariha Onn.

Tuan Sharifah Shahaini & Mohd. Shukri Ishak, rencana “Mat Kilau Turut Laung Merdeka Pada 31 Ogos 1957,” Bernama.com (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia), 10 Januari 2007, jam 1835.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Comments are closed.