Peristiwa Kanibal Di Banjaran Andes

928

Pada 12 Oktober 1972, sekumpulan pemain ragbi di bawah kelab bernama Old Christian Club Rugby Team memulakan perjalanan menuju ke Santiago, Chile untuk menyertai satu perlawanan persahabatan bersama satu lagi pasukan di Chile. Terdapat 19 orang pemain ragbi, bersama dengan 21 orang sahabat rapat dan ahli keluarga pemain ragbi tersebut bersama dengan 5 orang anak kapal berlepas pada tengahari itu daripada Montevideo, Uruguay.

Perjalanan mereka perlu melintasi negara Argentina dan banjaran Andes. Mereka menyewa sebuah kapal terbang Twin-Turbo Fairchild FH 227 milik tentera udara Uruguay yang mana pada awalnya, juruterbang pesawat tersebut ingin membuat satu perjalanan secara terus ke Chile, namun akibat keadaan cuaca yang terlalu buruk, mereka terpaksa mendarat di Mendoza International Airport dan bermalam di sana.

Keesokkan harinya, juruterbang tersebut membuat pelan perjalanan yang lain kerana dia memikirkan ada 2 sebab utama yang membuatkan dia tidak mahu melintasi banjaran Andes secara terus, iaitu yang pertama; ketinggian puncak di banjaran tersebut mencapai pada lebih kurang 8 kilometer, dan ketinggian maksimum pesawat yang mereka terbangkan ini adalah 8.5 kilometer sahaja, dan yang kedua; co-pilot yang menerbangkan pesawat ini masih lagi bergelar pelatih. Jadi, kapten pesawat ini membuat keputusan untuk mengelilingi banjaran Andes.

Pengelilingan ini mencapai jarak kumulatif sebanyak 926 kilometer dan memerlukan masa lebih kurang 90 minit untuk tiba ke destinasi mereka. Cuaca yang terlalu buruk mengaburi mata juruterbang tersebut, yang terpaksa menerbangkan pesawat berpandukan transmisi radio dan pegawai trafik udara.

Tiba di satu kawasan, juruterbang tersebut menghubungi pegawai trafik udara, mendapatkan kebenaran untuk turun ke 3.5 kilometer untuk persediaan pendaratan, namun jangkaan mereka silap kerana mereka baru dapat tahu yang pesawat tersebut masih tidak berjaya meninggalkan ruang udara banjaran Andes yang tinggi.

Tepat jam 3.21 pm waktu tempatan, pesawat tersebut terhempas, di mana fusilajnya pecah, menghumban 7 orang penumpang keluar serta membunuh 5 orang lagi yang berada di dalam kapal terbang termasuk kapten pesawat beserta satu-satunya doktor pasukan mereka.

Pesawat yang terhempas dan hilang daripada radar membuatkan pegawai trafik udara untuk menghubungi pasukan penyelamat yang mana menjangka pesawat mereka terhempas di kawasan berdekatan dengan banjaran Andes. Malangnya, tiada seorang pun berjaya mencari mereka semua memandangkan keadaan cuaca yang buruk, ketinggian banjaran tersebut serta warna badan pesawat itu yang bewarna putih, sama seperti wana salji di sekeliling mereka.

Dalam usaha untuk mendapatkan bantuan, mereka menulis perkataan SOS sebesar-besarnya di atas badan kapal terbang yang sudah hancur itu menggunakan gincu yang mereka jumpa di dalam pesawat berkenaan. Mereka juga berjaya menjumpai sebuah radio transistor, yang hanya boleh menerima isyarat sahaja, tetapi tidak boleh menghubungi sesiapa pun di sana. Mereka dapat mendengar usaha menyelamat yang giat dilakukan, namun mereka hanya mampu mendengar sahaja, tidak boleh menjerit atau meminta bantuan sesiapa pun.

Selepas semalaman, seorang lagi daripada penumpang maut akibat cuaca yang terlalu buruk, di samping ketiadaan bekalan makanan dan baju sejuk. Dalam hari-hari berikutnya, mereka mengumpulkan sebanyak mana makanan yang ada dan mencatu seberapa boleh untuk dibahagi-bahagikan bersama satu sama lain. Untuk mengelakkan dehidrasi, mereka mencipta satu cara untuk mencairkan ais menggunakan pacaran matahari.

Mereka jadi terdesak untuk mencari makanan, yang mana sehingga tahap mereka terpaksa mengoyakkan kerusi pesawat yang terhempas serta memakan span didalamnya untuk meneruskan hidup, yang mana pada hari ke-9, salah seorang daripada mereka yang terselamat itu maut akibat hipotermia, iaitu kesejukkan yang melampau.

Lebih mengeruhkan lagi keadaan, pada hari ke-10, kerajaan telah mengumumkan mengenai penamatan usaha search and rescue (S&R) memandangkan mereka langsung tidak menjumpai bangkai pesawat yang terhempas beserta usaha pencarian yang memakan belanja besar nampaknya tidak membuahkan hasil.

Pada satu hari, iaitu hari ke -11 mereka terkandas, mereka mulai berkumpul di dalam badan pesawat dan mula berbincang untuk memakan mayat-mayat sahabat dan ahli keluarga mereka. Pada awalnya, ada yang tidak bersetuju memandangkan mereka semua mempunyai pegangan agama yang kuat, dan ada larangan untuk mereka memakan sesama manusia. Namun, setelah mengambil kira situasi yang mana satu-satunya punca makanan yang ada hanyalah daging mayat rakan-rakan mereka, akhirnya semua daripada mereka bersetuju.

Pada awalnya, mereka mulai memotong bahagian tangan dan kaki, dengan potongan yang nipis-nipis dan dijemur di atas sekeping aluminium untuk memastikan daging tersebut betul-betul kering. Mereka mulai makan dengan sedikit, di kala sedang kebuluran, sudah tentu apa sahaja yang diletakkan di dalam mulut mereka menjadi sesuatu yang menyelerakan. Semakin lama, teknik memotong daging manusia mereka ini semakin efisyen.

Jika ada api yang berjaya dihidupkan, mereka akan membakar terlebih dahulu daging tersebut sebelum makan. Jika tiada api, mereka terus menerus untuk makan daging tersebut mentah-mentah sahaja. Setelah mereka mendaptkan tenaga hasil daripada memakan daging manusia, 2 daripada mereka yang terselamat dan paling kuat iaitu Nando Parrado dan Roberto Canessa dipilih sebulat suara bagi mereka untuk mendaki dan berjalan ke arah mana-mana kawasan perkampungan yang berdekatan dengan banjaran ini.

Malangnya, belum sempat mereka memulakan ekspedisi, kawasan tersebut dilanda avalanche yang mengorbankan 8 orang lagi. Mereka yang tinggal di dalam badan kapal terbang terperangkap akibat terkambus dengan salji, di mana mereka memerlukan masa selama 3 hari untuk berjaya menggali keluar daripada kambusan salji terbabit. Masa yang diambil agak panjang memandangkan kebanyakkan daripada mereka tidak bertenaga dan terlalu lemah akibat kecederaan beserta kesan kebuluran.

Tepat hari ke-60 selepas pesawat tersebut terhempas, mereka berdua, Nando dan Roberto memulakan perjalanan untuk mencari kawasan perkampungan bagi mendapatkan pertolongan memandangkan dalam masa tersebut, 3 daripada mereka maut, menjadikan jumlah mangsa yang terselamat hanyalah 16 orang sahaja. Nando dan Roberto mengambil beberapa helai pakaian serta sampul tempat duduk di dalam pesawat untuk membuat beg tidur (sleeping bag) kerana mereka yakin yang mereka perlu bermalam di kawasan terbuka untuk beberapa malam yang panjang.

Setelah mereka berdua berjalan dan hanya berhenti sebentar sahaja untuk berehat akibat cuaca ekstrim beserta kepenatan, pada hari ke 10, mereka berjaya menemui sebatang sungai yang menghala ke satu kawasan hutan. Mereka mulai menyusuri sungai tersebut, yang mana mereka bernasib baik apabila terserempak dengan seorang lelaki yang sedang menunggang kuda. Mereka berlari dan meminta pertolongan, yang mana lelaki berkuda tersebut yang perasan dan tahu mereka adalah mangsa daripada kapal terbang yang terhempas membaling 2 buku roti kepada mereka seraya berteriak

“Esok! Esok aku tolong!”

Perkataan esok itu sebenarnya adalah kerana lelaki berkuda tersebut perlu mendapatkan pertolongan daripada pihak berkuasa yang memakan masa sehingga satu hari perjalanan menunggang kuda.

Keesokkan harinya, terdapat beberapa helikopter penyelamat yang hadir untuk membawa kesemua mangsa untuk pulang. Mereka membawa keluar separuh daripada jumlah mangsa yang terselamat, serta meninggalkan beberapa kumpulan perubatan yang terus mendirikan kem sementara di situ untuk merawat mangsa-mangsa yang cedera.

Genap 72 hari, kesemua daripada mereka berjaya diselamatkan. Sebaik sahaja mereka sihat dan stabil, mereka menemui kesemua ahli keluarga terdekat mangsa-mangsa yang mati, di mana mereka memohon maaf kerana tiada cara lain untuk mereka lakukan kecuali memakan tubuh badan mana-mana mangsa yang terkorban. Kemaafan mereka diterima memandangkan keadaan yang terdesak menyebabkan mereka terpaksa berbuat sedemikian.

Kini, daripada 16 orang yang terselamat, salah seorang daripada mereka meninggal dunia pada tahun 2015, dan selebihnya, mereka berjumpa setiap tahun pada tarikh 22 Disember sebagai tarikh untuk memperingati peristiwa yang berlaku ini. Kisah ini mendapat adaptasi daripada filem Hollywood bertajuk Alive, serta Nando Parrado mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku berjudul Miracle in the Andes.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.