Perintis Fotografi Berwarna – Prokudin-Gorsky

232

Tahukah anda, perintis kepada teknik fotografi tiga-warna yang berkualiti tinggi secara rasminya dihasilkan oleh seorang ahli kimia dari Rusia? Dilahirkan dengan nama Sergey Mikhaylovich Prokudin-Gorsky, beliau merupakan seorang ahli kimia dan jurugambar Rusia.

Dia terkenal kerana menjadi perintis dalam fotografi warna melalui karya-karyanya serta usahanya dalam kerja keras demi mendokumentasikan foto-foto dinasti Romanov Empayar Russia pada awal abad ke-20.

Namun sebenarnya penyelidikan dan eksperimen dalam menghasilkan foto berwarna telah berlaku semenjak 1840 iaitu sebelum beliau dilahirkan lagi.

Prokudin-Gorsky dilahirkan pada bulan Ogos 1863, di wilayah Vladimir, timur Moscow. Oleh kerana Empayar Rusia waktu itu menggunakan sistem yang kurang tepat untuk menghitung hari dalam setahun yang dipinjam dari Gereja Ortodoks Rusia, hari lahir Prokudin-Gorsky secara rasmi direkodkan pada 18 Ogos.

Tetapi, menurut Projek Prokudin-Gorsky, Rusia secara rasmi meninggalkan kalendar Julian ortodoks dengan pembentukan negara Kesatuan Soviet, yang bermaksud hari jadi Prokudin-Gorsky sebenarnya pada 30 Ogos.

Setelah menamatkan pendidikannya untuk menjadi seorang pakar kimia di Rusia, Prokudin-Gorsky berpindah ke Jerman, di mana dia bertemu dengan ahli fotokimia terkenal dan paling berpengaruh pada zaman itu iaitu Profesor Adolf Miethe dan mula belajar di bawah bimbingannya.

TEKNIK FOTO TIGA-WARNA

Berdasarkan proses saringan tiga saintis Scotland, James Clerk Maxwell, yang telah menghasilkan foto berwarna pertama 40 tahun sebelumnya, Prokudin-Gorsky dan gurunya mengembangkan kaedah emulsi fotografi yang melampaui fotografi tiga warna supaya mampu merakam gambar berwarna dengan perincian dan kualiti gambar yang lebih tinggi.

Kaedah fotografi warna yang dipraktikkan oleh Prokudin-Gorsky itu sebenarnya telah awal lagi dicadangkan oleh James Clerk Maxwell pada tahun 1855 dan ia dibentangkan pada tahun 1861, waktu itu Prokudin-Gorsky belum lahir lagi, tetapi hasil yang sempurna tidak mungkin dapat dilakukan dengan alatan dan bahan fotografi yang tersedia pada masa itu.

Manakala individu pertama yang pernah cuba menunjukkan hasil karya yang terbaik dengan kaedah sebegini ialah Frederic E. Ives, di mana projektor dan sistem peralatan kamera “Kromskop” sudah tersedia secara komersial dari tahun 1897 hingga sekitar tahun 1907.

Dengan meniru kaedah mata manusia normal merasakan warna, spektrum warna yang dapat dilihat dibahagikan kepada tiga saluran saluran dengan menangkapnya dalam bentuk tiga foto hitam putih, satu ditangkap melalui filter merah, satu melalui filter hijau, dan satu melalui filter biru.

Tiga gambar yang dihasilkan dapat diprojeksikan melalui filter-filter dengan warna yang sama dan dilampirkan tepat pada skrin, lalu melalui proses sintesis rangkaian warna asli secara tambahan; atau dilihat sebagai gambar warna tambahan oleh satu orang pada satu masa melalui peranti optik yang dikenali secara umum sebagai kromoskop atau fotokromoskop.

Fotokromoskop mengandungi penapis berwarna dan reflektor lutsinar yang menggabungkan ketiga-tiganya menjadi satu gambar warna penuh. Ia juga digunakan untuk membuat cetakan fotografi atau mekanikal dalam warna komplementari cyan, magenta dan kuning, dimana apabila ia dilampirkan, ia menyusun semula warna-warna subtraktif.

Namun Prokudin-Gorsky membuktikan beliau mampu menghasilkan foto berwarna dengan kualiti tertinggi melalui proses meletakkan gambar yang sama melalui tiga penapis kaca yang berbeza, Prokudin-Gorsky berjaya membuat gambar pemandangan lanskap secara komposisi.

DOKUMENTASI IMPERIAL RUSSIA

Ketika Prokudin-Gorsky kembali ke Rusia pada awal tahun 1900-an, dia mulai melakukan perjalanan melalui negara itu, dia juga ke negara-negara Eropah seperti Austria, Denmark, Perancis, Hungaria, Itali dan Switzerland.

Dia mengembangkan reputasi dalam bidang fotografi dan menjadi terkenal di kalangan masyarakat kelas tinggi.

Pada bulan Mei 1908, dia mengunjungi estet Yasnaya Polyana dan mengambil potret berwarna yang dianggap secara rasmi sebagai foto berwarna pertama untuk seorang figura penulis yang terkenal di negara itu, Leo Tolstoy, 80 tahun.

Dia mengelilingi Rusia dengan kenderaan khas, yang dikurniakan kepadanya oleh tsar.  Dengan mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya di luar negeri, Prokudin-Gorsky membuat jelajah dokumentari kerabat diraja Rusia antara tahun 1909 dan 1915.

Jurugambar itu mendokumentasikan tapak-tapak bersejarah tempatan, budaya, ritual dan kehidupan sehari-hari warga negara itu.

Bagi memudahkan pergerakannya ketika bekerja, Prokudin-Gorsky menerima sebuah gerabak keretapi, yang sesuai untuk berfungsi sebagai ruang gelap bagi kerja-kerja mencuci foto, keretapi tersebut adalah milik Tsar Nicholas II.

Jurugambar ini telah melakukan perjalanan ke lebih dari 30 wilayah empayar, termasuk bahagian-bahagian pecahan negara itu yang hari ini menjadi negara Belarus, Finland dan Ukraine.

Dia mahu menggunakan ilmu fotografi canggih bagi mendidik kanak-kanak. Setelah menajamkan bakatnya di seluruh Rusia dan di tempat lain, Prokudin-Gorsky mengumpulkan banyak koleksi katalog gambar.

Ideanya adalah menggunakan “unjuran warna optik” di kelas, untuk mengajar murid sekolah Rusia mengenai pelbagai tradisi warisan empayar kerajaan besar itu.

Dia meninggalkan Rusia semasa per*ng saudara, dan tidak pernah kembali. Dihantar bertugas ke Norway pada tahun 1918, Prokudin-Gorsky tidak pernah kembali ke Rusia, kerana penaungnya, tsar, telah digulingkan oleh revolusioner dan Vladimir Lenin menjadikan Bolshevik sebagai pihak yang mengambil alih kuasa.

Prokudin-Gorsky akhirnya menetap di Perancis, di mana dia meninggal dunia pada tahun 1944. Foto-fotonya kekal menjadi salah satu katalog bergambar Rusia yang paling mengagumkan pada awal abad itu, sebelum kebangkitan Kesatuan Soviet.

Eksperimen percubaan fotografi berwarna bermula pada tahun 1840-an. Eksperimen awal dilakukan untuk mencari “chameleon substance” yang dianggap warna dari cahaya jatuh di atasnya. Beberapa hasil awal agak positif, biasanya dilaksanakan secara projeksi spektrum suria terus ke permukaan sensitif.

Ia kelihatan berjaya pada awalnya, tetapi gambar yang redup terbentuk dalam kamera memerlukan nilai ‘exposure’ yang harus bertahan selama berjam-jam atau bahkan berhari-hari.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.