Perihal Matahari Terbit Dari Barat

1106
views

Sejak akhir-akhir ini, saya mendapati ada banyak khabar-khabar angin yang berlegar di media sosial berkaitan dengan tanda-tanda kiamat besar. Seingat saya pada tahun lepas, negara kita pernah dilanda musim kemarau sehingga menyebabkan penurunan paras air yang mendadak di beberapa sungai dan tasik. Dalam kekalutan itu, tiba-tiba tampil pula beberapa individu yang mendakwa kononnya musim kemarau tersebut menandakan Dajjal akan muncul tidak lama lagi.

Tidak kurang juga ada sesetengah individu mendakwa kononnya kejadian matahari terbit daripada barat boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dalam masa terdekat. Lagi parah, ada yang cuba untuk menguatkan dakwaan mereka dengan firasat atau mimpi yang mereka yang pernah alami. Oleh itu, saya ingin menjelaskan serba sedikit tentang perihal matahari terbit daripada barat.

Walaupun tiada dalil-dalil sahih yang menerangkan tentang susunan atau kronologi tanda-tanda kiamat besar, namun tidak salah untuk kita membincangkan hal ini asalkan tidak menyalahi akidah kita sebagai orang Muslim. Lagipun, ada beberapa hadis sahih yang menerangkan bahawa tanda-tanda kiamat tidak akan berlaku secara mengejut atau sekaligus. Tanda-tanda kiamat berlaku secara satu demi satu seperti dalam hadis berikut:

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

خُرُوجُ الْآيَاتِ بَعْضِهَا عَلَى إِثْرِ بَعْضٍ، يَتَتَابَعْنَ كَمَا تَتَتَابَعُ الْخَرَزُ فِي النِّظَامِ

Maksudnya: “Munculnya tanda-tanda (Kiamat) sebahagian mengikuti bahagian yang lain, saling mengikuti bagaikan mutiara pada sebuah ikatan”. [Lihat: Mu’jam al-Awsath (4271)]

Selain itu juga, daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الآيَاتُ خَرَزَاتٌ مَنْظُوْمَاتٌ فِيْ سِلْكٍ، فَإِنْ يُقْطَعِ السِّلْكُ؛ يَتْبَعْ بَعْضُهَا بَعْضًا

Maksudnya: “Tanda-tanda (Kiamat) seperti mutiara yang tersusun pada seutas benang, jika benang itu dipotong maka sebahagiannya akan mengikuti sebagian yang lain (jatuh)”. [Riwayat Ahmad (7040)]

Tambah lagi, terdapat juga beberapa ijtihad para ulama tentang susunan atau kronologi tanda-tanda kiamat besar. Antaranya mengikut Syeikh al-Mubarakfuri:

اعْلَمْ أَنَّ الرِّوَايَاتِ قَدِ اختلفت في ترتيب الايات العشر ولذ اخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي تَرْتِيبِهَا فَقَدْ قِيلَ إِنَّ أَوَّلَ الْآيَاتِ الدُّخَانُ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّجَّالِ ثُمَّ نُزُولُ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ ثُمَّ خُرُوجُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّابَّةِ ثُمَّ طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا فَإِنَّ الْكُفَّارَ يُسْلِمُونَ فِي زَمَنِ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ حَتَّى تَكُونَ الدَّعْوَةُ وَاحِدَةً

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa riwayat-riwayat ini (berkaitan tanda-tanda besar Kiamat) telah menjadi perselisihan pada susunan tanda-tanda yang sepuluh (tanda besar Kiamat). Untuk itu, telah berselisih para ahli ilmu dalam menentukan susunannya. Telah dikatakan bahawasanya tanda besar Kiamat yang pertama adalah Asap, kemudian keluarnya Dajjal, kemudian turunnya Isa AS, kemudian keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, kemudia keluarnya al-Dabah, kemudian terbit matahari dari Barat kerana orang kafir memasuki Islam pada zaman Nabi Isa AS sehingga dakwah ini menjadi satu”. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 346/6]

Menurut Amin Muhammad Jamaluddin, penulis buku “Perang Armageddon dan Kedatangan Imam Mahdi A.S.”, dalil-dalil sahih mengenai matahari terbit dari barat membuktikan bahawa adalah mustahil untuk petanda ini bermula terlebih dahulu:

1. Rasulullah bersabda,

“Tidak akan terjadi kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya, apabila ia telah terbit dari barat dan semua manusia melihat hal itu maka semua mereka akan beriman, dan itulah waktu yang tidak ada gunanya iman seseorang yang belum pernah beriman sebelum itu.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah. Dan riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Ibn Majah)

2. Diriwayatkan oleh al-Bukhari rahimahullah dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu, bahwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَ تَقُوْمُ السَّاعَةُ حَتَّى تَقْتَتِلَ فِئَتَانِ… (فَذَكَرَ الْحَدِيْثَ، وَفِيْهِ:) وَحَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا، فَإِذَا طَلَعَتْ؛ آمَنُوا أَجْمَعُوْنَ، فَذَلِكَ حِيْنَ لاَ يَنْفَعُ نَفْسًا إِيْمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِيْ إِيْمَانِهَا خَيْرًا.

“Tidak akan terjadi Kiamat hingga ada dua kelompok yang saling berperang… (lalu beliau menuturkan hadits, dan di dalamnya:) hingga matahari terbit dari barat, lalu jika ia telah terbit, maka semua orang akan beriman, ketika itu tidaklah bermanfaat lagi iman seseorang yang belum beriman sebelum itu, atau dia (belum) mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.”

3. Pada hadis yang diriwayatkan oleh Al Hafizh Abu Bakar bin Mardawiyah dari ‘Abdullah bin Abu Aufa, berkata ia:

“Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya akan datang kepada manusia suatu malam yang sama lamanya dengan tiga malam kamu ini, apabila peristiwa itu terjadi maka ia akan diketahui oleh orang-orang yang sedang berbuat amal sunnat, dimana apabila salah seorang mereka membaca satu hizib (dari Al Qur’an) kemudian dia tidur, setelah bangun iapun membaca satu hizib lagi, kemudian ia tidur, dan ketika mereka melakukan itu, maka orang-orang saling berteriak: “Ada apakah ini?”, maka mereka pun lari berlindung ke masjid-masjid dan tiba-tiba mereka melihat matahari sudah terbit dari tempat terbenamnya, sehingga apabila ia telah sampai di tengah langit, iapun kembali.”

Al Hafizh Al Baihaqi dalam kitab “Al Ba’tsu Wa Annusyur” meriwayatkan suatu hadis dari Ibn Mas’ud tentang hal ini:

“Pada malam itu seorang laki-laki akan memanggil tetangganya: “Wahai saudara apakah yang telah terjadi terhadap kita pada malam ini? Aku telah tidur sampai puas dan akupun telah shalat sampai penat”, kemudian dikatakanlah kepadanya (matahari): “Terbitlah kamu dari tempat terbenammu” dan itulah hari yang tidak berguna iman seseorang yang tidak pernah beriman sebelumnya atau berbuat baik dalam imannya.”

(Fathul Baari, Kitaburriqaq, Juz 11, Bab Thulu’issyamsi Min Maghribiha. Dan lihat kitabul-Fitan Wal-Malahim, Zikru Thulu’issyamsi Min Maghribiha)

Ketiga-tiga hadis ini menunjukkan bahawa iman dan amal kebaikan manusia tidak lagi diterima selepas terbitnya matahari daripada barat. Hal ini kerana pintu taubat telah tertutup selepas berlakunya peristiwa tersebut.

Maka, di sini kita perlu berfikir sejenak. Jikalau benar petanda tersebut yang bermula terlebih dahulu, jadi untuk apa Allah menetapkan kemunculan Imam Mahdi, Dajjal, Nabi Isa AS dan Yakjuj Makjuj?

Bukankah kesemua kejadian ini adalah bertujuan untuk menguji keimanan orang-orang Muslim ketika itu? Untuk apa pula Imam Mahdi dan Nabi Isa AS menaikkan syiar Islam ketika itu sedangkan iman dan amalan kebaikan sudah tidak berguna lagi?

Nasihat saya, kefahaman kita terhadap tanda-tanda kiamat perlulah didasari oleh rujukan-rujukan yang sahih, bukannya dengan tafsiran sendiri dengan semberono. Saya menyeru saudara-saudara seagama sekalian supaya jauhilah sebarang unsur syirik dan khurafat dalam membincangkan perihal tanda-tanda kiamat.

Dalil-dalil mengenai tanda-tanda kiamat sepatutnya menguatkan keimanan kita terhadap Allah SWT serta kerasulan junjungan Nabi Muhammad SAW, bukannya merosakkan keimanan kita. Sekian.

Sumber: 

  1. Amin Mohd Jamaluddin. (n.d.). Perang Armageddon & Kedatangan Imam Mahdi A.S. Pustaka Syuhada
  2. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-138: Tanda-Tanda Besar Kiamat. http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1443-irsyad-al-hadith-siri-ke-138-tanda-tanda-besar-kiamat
  3. Pasal Ketujuh : Terbitnya Matahari Dari Barat. https://almanhaj.or.id/798-pasal-ketujuh-terbitnya-matahari-dari-barat.html