Tak lama selepas selesai menulis Kronologi Berita Palsu dalam Sejarah untuk The Patriots, ramai bertanya tentang Caligula, salah seorang Maharaja Rom yang dianggap umum paling gila dalam sejarah tamadun tersebut. Pertanyaan ini timbul kerana ada yang kurang bersetuju dengan pandangan saya bahawa cerita-cerita Caligula sebenarnya dibesar-besarkan oleh penulis-penulis pada era tersebut. Sebagai memenuhi permintaan ramai, saya akan menulis motif di sebalik tindakan Caligula dan mengapa cerita-cerita sebegini timbul.

  1. Caligula penggerak agenda reformasi kerajaan.

Bila mana saya menyebut ini dan kaitannya dengan Caligula, saya pasti ramai akan ketawa dan anggap ia satu khayalan. Hakikatnya, ia benar-benar berlaku pada akhir hayat Tiberius, maharaja merangkap nenda Caligula. Ketika itu, Tiberius sakit kuat dan ramai menjangkakan baginda mati dalam masa terdekat. Lalu, Caligula mengambil kesempatan dengan mengambil cincin diraja dari jari Tiberius dan mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja Rom yang baru. Dan berita pengisytiharan ini mendapat sambutan hebat dalam kalangan orang ramai kerana mereka merasakan mana-mana individu lebih baik sebagai maharaja berbanding Tiberius. Tanpa disangka-sangka pada satu hari, Tiberius pulih dari penyakit yang dialaminya dan mahu dihidangkan makan malam. Bimbang akan perkembangan ini, Caligula atau orang kanannya, Macro menekup bantal pada Tiberius sehingga mati.

Selepas Caligula naik sebagai maharaja, baginda melaksanakan pelbagai reformasi pada tempoh awal pemerintahannya. Baginda memberi bonus kepada askar-askar Rom terutama Praetorian Guards, memusnahkan senarai pengkhianat yang disediakan oleh Tiberius, membantu individu terkesan dengan sistem cukai diraja, mengharamkan hubungan-hubungan seksual yang bertentangan dengan tabii, mengadakan pesta-pesta untuk orang ramai termasuk pertarungan gladiator. Caligula juga turut mengeluarkan audit akaun dana awam, ia tidak pernah diberitahu kepada orang ramai semasa pemerintahan Tiberius, memansuhkan beberapa bentuk cukai dan membenarkan kemasukan baru untuk Senator dan Equites. Dan sumbangan paling signifikan bagi Caligula ialah membenarkan pemilihan secara demokratik. Walaupun tindakan ini mengharumkan nama Caligula dalam kalangan rakyat Rom, ia sebenarnya satu isyarat baginda kepada Dewan Senat bahawa baginda berkuasa sebagai maharaja dan tiada siapa dapat menafikan kekuasaan baginda.

  1. Caligula membunuh mana-mana individu yang melihat bahagian kepala baginda yang botak.

Saya dapat dengar bunyi ketawa mengilai berkenaan ini tetapi hakikatnya, ia benar-benar berlaku. Caligula sememangnya dikenali dengan tubuh yang tinggi dan tegap serta dikurniakan rupa paras yang tampan, namun baginda juga mengalami masalah keguguran rambut. Masalah tersebut sangat teruk sehingga selepas baginda menaiki takhta, bahagian tersebut jelas kelihatan. Untuk mengelak orang mengata berkenaan itu, Caligula membuat satu dekri melarang mana-mana individu memandang bahagian kepala botak tersebut. Sekiranya ada yang memandang juga, memang nasib kepala hilang hari itu. Dan baginda juga memaksa rakyat bercakap benda yang baik saja di hadapannya walaupun dalam hati, ramai nak mengata bahagian botak tersebut. Walaupun penulis-penulis Rom menyifatkan tindakan baginda sebagai gila, obsesi Caligula sebenarnya tidaklah segila seperti yang difikirkan. Ini kerana diktator Rom, Julius Caesar turut menghadapi masalah sama. Namun tidak seperti Caligula, Caesar tidaklah obses sepertinya, hanya perlu menutup bahagian tersebut dengan menyikat rambut beliau ke hadapan.

  1. Mitos jambatan pontun menyeberangi Teluk Briae

Antara legasi Caligula yang diingati ramai ialah membina jambatan sementara terbesar di dunia dengan panjang dianggarkan 2 batu, bermula dari resort di Briae dan berakhir di bandar pelabuhan Puteoli. Suetonius menyatakan jarak jambatan tersebut untuk menyaingi jambatan sementara Maharaja Parsi, Xerxes ke Hellespont. Setelah jambatan tersebut siap, baginda menunggang kuda kegemarannya, Incitatus sambil memakai pelindung dada Alexander the Great merentasi Teluk Briae. Mungkin ada yang kata apa yang dilakukan Caligula satu pembaziran tetapi ia sebenarnya satu tindakan simbolik oleh Caligula untuk mengukuhkan penguasaan takhtanya. Ini kerana sebelum baginda menaiki takhta, ahli nujum Tiberius, Thrasyllus dari Mendes memperlekeh kredibiliti Caligula dengan meramalkan baginda hanya layak menunggang kuda merentasi Teluk Briae. Menerusi usaha kejuruteraan yang mengagumkan ini, baginda menempelak ramalan Thrasyllus dan menunjukkan baginda ada karisma sebagai maharaja di mata Senat dan rakyat.

  1. Mitos berperang dengan Neptune.

Caligula turut melancarkan beberapa ekspedisi ketenteraan semasa pemerintahannya. Antara ekspedisi ketenteraan yang diketahui ialah cubaan melancarkan ekspedisi ke Britannia (Great Britain moden) tetapi dibatalkan. Penulis-penulis Rom seperti Suetonius memperlekeh ekspedisi tersebut di mana mereka menyatakan orang-orang Gaul (Perancis moden) disuruh berpakaian seperti orang Germania (Jerman moden) dan askar-askar Rom  mengutip kerang-kerangan sebagai rampasan perang. Suetonius turut menyatakan Caligula menganggap ia satu kejayaan kerana baginda mengalahkan dewa laut, Neptune. Sejarawan moden menyingkap mitos-mitos ini dengan menyebut beberapa teori seperti ekspedisi tersebut satu latihan perisikan dan ketenteraan dan menerima kekalahan ketua suku Britannia, Adminius. Tentang soal kerang-kerangan pula, sejarawan berpandangan kerang-kerangan atau conchae dalam Bahasa Latin ialah metafora bagi rahim wanita (askar-askar Rom datang ke rumah pelacuran) atau kapal (kapal-kapal Britannia jadi rampasan perang ekspedisi tersebut). Walau apapun pandangan Suetonius dan Cassius Dio, ekspedisi tersebut membuka jalan kepada penaklukan Britannia semasa pemerintahan bapa saudaranya, Maharaja Claudius.

  1. Melantik kuda sebagai konsul Senat.

Suetonius dan Cassius Dio menyifatkan tindakan Caligula melantik Incitatus, kuda kesayangan baginda sebagai konsul dalam Senat tanda baginda sudah hilang akal. Walaupun apa yang dikatakan kedua-dua penulis tersebut ada benarnya, tetapi perlu diingat perebutan kuasa antara Caligula dengan Senat amat tegang. Bagi Caligula, perlantikan Incitatus ialah satu ingatan kepada Senat bahawa baginda mempunyai kekuasaan ulung dalam Empayar Rom dan baginda tidak akan teragak-agak menggunakannya walaupun ia tidak masuk akal. Pendek cerita, perlantikan Incitatus satu satira politik yang amat signifikan dalam perebutan kuasa ini.

  1. Tindakan mencampak penonton ke dalam gelanggang gladiator untuk dimakan binatang buas.

Ramai akan menganggap tindakan Caligula ini kejam tetapi ia sebenarnya berkait dengan strategi politik baginda terhadap Senat. Antara persembahan kegemaran baginda ialah binatang buas seperti singa yang membaham tahanan-tahanan penjara. Pada satu hari, Caligula diberitahu tiada tahanan penjara untuk jadi bahan makanan binatang buas sebagai tontonan rakyat. Tidak mahu menghampakan penonton yang bersesak dalam amphitheatre, baginda mengarahkan pengawal mencampak penonton-penonton yang duduk di lima barisan pertama untuk jadi bahan makanan binatang tersebut. Para penonton bersorak riang semasa penonton-penonton tersebut dicampak. Anda mungkin tertanya-tanya siapa penonton-penonton yang dicampak ini? Mereka ialah orang-orang kaya, berkuasa dan terkenal di Rom dan cara paling mudah untuk menyakitkan Senat ialah menghapuskan penyokong-penyokong mereka. Walaupun Suetonius dan Cassius Dio menganggap ini satu tanda tirani Caligula, pada rakyat biasa, Caligula ialah wira mereka.

  1. Mitos istana dijadikan rumah pelacuran.

Suetonius dalam buku beliau, The Lives of Twelve Caesars menceritakan kegilaan Caligula menjadikan satu bahagian Istana Diraja sebagai rumah pelacuran. Bahagian tersebut dihuni oleh ahli-ahli keluarga perempuan di mana mereka dipaksa melacur dan Caligula adakalanya turut meluangkan masa dengan mereka. Namun, sejarawan-sejarawan moden meragui kenyataan Suetonius. Sebaliknya, mereka berpandangan ahli-ahli keluarga wanita yang ditempatkan di situ sebenarnya dijadikan tebusan oleh Caligula sebagai insuran keselamatan baginda. Sekiranya baginda dibunuh, maka Praetorian Guard tidak akan teragak-agak membunuh mana-mana ahli keluarga senator-senator yang terlibat sebagai tindak balas kepada pembunuhan tersebut.

  1. Tiada keganasan bersifat rambang pada mata Caligula.

Seperti yang diketahui umum, penulis-penulis Rom menggambarkan kekejaman Caligula amat teruk sehinggakan orang di jalanan menjadi mangsa. Tetapi perlu diingat, sebarang bentuk keganasan yang dilakukan Caligula bersifat spesifik dan ada matlamat tersendiri. Bagi Caligula, amat penting bagi mana-mana musuh politik baginda bimbang dengan tindakannya bagi memastikan tidak ada ruang untuk konspirasi ke atasnya. Pada satu ketika, baginda menganjurkan satu jamuan makan dan dihadiri ramai orang berkuasa di Rom. Semasa hadirin menanti makanan dihidangkan, seorang pelayan mengelilingi meja makan mereka di mana satu daripada tangannya dipotong dan digantung pada leher pelayan tersebut. Bila ditanya salah seorang hadirin apa kesalahan pelayan tersebut, Caligula memberitahu mereka bahawa pelayan tersebut telah mencuri sebuah barang perak dari istana. Nampak tak permainan psikologi baginda kepada mereka? Jika si pencuri boleh dihukum sebegitu rupa, maka apa pula hukuman menanti kepada pengkhianat? Sebab pada era tersebut, pengkhianatan bukan satu perkara asing, bahkan ia jadi satu taktik untuk mana-mana individu untuk merampas kuasa atau menghapuskan pesaing mereka.

  1. Mitos Caligula pelaku sumbang mahram.

Bagi yang membaca item ini, ini antara mitos kegemaran penulis-penulis Rom yang menyatakan mengapa Caligula tidak layak diangkat sebagai Maharaja Rom. Penulis-penulis Rom seperti Seneca dan Philo mengakui Caligula mempunyai hubungan rapat dengan adik-adik perempuannya tetapi dalam catatan mereka, tidak ada langsung dakwaan sumbang mahram. Dakwaan ini hanya timbul lebih 100 tahun selepas kemangkatan baginda di mana ia timbul dalam buku karangan Suetonius, The Lives of Twelve Caesars: The Life of Caligula. Khabar angin ini timbul disebabkan Caligula meletakkan kedudukan mereka pada kedudukan seorang isteri jika mengikut susunan formal adat makan Rom, satu perkara ganjil pada ketika itu. Apapun, perlu diingat penulis-penulis Rom suka menggunakan taktik sebegini untuk memperlihatkan mana-mana musuh mereka terutama Caligula sebagai seorang yang lemah dari urus tadbir kerajaan dan keperibadiannya.

  1. Mengaku dirinya Tuhan.

Satu tradisi dalam masyarakat Rom ialah maharaja-maharaja yang mangkat akan disembah sebagai dewa selepas kemangkatan mereka. Namun, Caligula bertindak lebih berani dengan mahu diangkat dirinya sebagai dewa semasa baginda masih hidup. Walaupun Cassius Dio menyatakan Augustus juga pernah melakukan perkara sama pada sesetengah masa, dasar ini dijauhi sama sekali oleh kebanyakan maharaja sebelum Caligula. Bagi penulis-penulis Rom, ini kemuncak kegilaan baginda dan tidak layak sama sekali sebagai maharaja Rom. Tetapi jika diperhatikan dengan lebih teliti, polisi kontroversi baginda sebenarnya mahu mencabar kuasa Senat yang berterusan memandang rendah keupayaannya sebagai maharaja dan meningkatkan lagi populariti baginda dengan rakyat biasa. Dan kerana bosan dengan sikap Senat yang berterusan menentang, Caligula mula merancang memindahkan pusat pentadbiran Rom dari Rome ke Iskandariah, Mesir supaya baginda disembah sebagai dewa hidup seperti mana Firaun. Dan atas tindakan tersebut, baginda ditikam 30 kali sehingga mati oleh ketua Pratorian Guard, Cassius Chaerea dan beberapa pengawal lain pada 21 atau 24 Januari 41 Masihi.

  1. Caligula gila atau tidak?

Antara perkara menarik tentang Caligula ialah tahap kesihatan mental baginda. Ada berpandangan selepas apa yang berlaku di Capri (istana nenda baginda, Tiberius) di mana Tiberius mengadakan parti-parti liar dan pembunuhan besar-besaran di depan matanya, ia menyebabkan Caligula bertukar sebagai sociopath. Ada juga berpandangan selepas ditimpa penyakit misteri beberapa bulan menaiki takhta, ia menukar peribadi Caligula 360 darjah. Bagi pengamal perubatan moden, selepas mengkaji rekod-rekod Caligula, mereka berpandangan baginda sebenarnya mengalami epilepsi dan sawan. Tanda-tanda tersebut banyak disebut oleh penulis-penulis Rom. Tindakannya yang bercakap dengan bulan seperti disebut oleh Suetonius antara tanda penghidap epilepsi. Ada juga berpandangan sikap baginda yang mudah marah dan renungan menakutkannya itu disebabkan oleh penyakit hyperthyroidism. Walau apapun konklusi yang diambil, saya berpandangan kegilaan Caligula sebenarnya satu tindakan yang disengajakan untuk menyukarkan musuh-musuh politik baginda meneka tindakan yang diambil seterusnya. Dan siapa sangka, taktik ini ditiru oleh seseorang baru saja mengambil alih White House seperti diceritakan saudara Ayman Rashdan Wong tidak lama dahulu. Tokoh yang saya maksudkan ialah presiden ke-45 Amerika Syarikat, Donald Trump.

Sumber:

  1. Cohen. Jennie (9 Oktober 2012). 7 Things You Don’t Know About Caligula.
  2. O. Temkin. (1971). The Falling Sickness.
  3. Farquhar, Michael. (2001). A Treasure of Royal Scandals.
  4. Sanford, J.: Did Caligula have a God complex?. Stanford Report.
  5. R.W Davies. (1966). The Abortive Invasion of Britain by Gaius.
  6. 10 Things You Don’t Know About Caligula. (2012).

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply