Pergunungan Pelangi Di Peru

516

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Jika dulu kita hanya mampu melihat pelangi, kini kita mampu ‘ bertapak ’ di atas pelangi! Pelangi umpama disunting menggunakan Photoshop ini boleh dijumpai di pergunungan Andes, khususnya di negara Peru. Gunung ini diberi nama Vinicunca dan penduduk tempatan menggelarkan gunung ini sebagai ‘ The Mountain of Seven Colors ’. Gunung ini sebenarnya berjiran dengan tapak arkeologi tamadun Inca, Machu Picchu yang hanyalah sejauh 155 km, menurut Google Maps. Jiran jauh.

Vinicunca mula dijumpai sekitar tahun 2015. Penemuan tidak sengaja ini berpunca dari pencairan ais di permukaan kawasan pergunungan tersebut. Permukaan gunung tersebut dilapisi oleh pembentukan mineral yang dipengaruhi oleh faktor cuaca, keadaan persekitaran dan endapan tanah untuk sekian waktunya seiring dengan perubahan iklim dunia. Kesannya, mineral tersebut menghasilkan efek seakan marmar, menghasilkan lapisan – lapisan warna yang terdiri daripada warna – warna utama pelangi yang indah di mata, dekat di hati. Cantik.

Berbicara mengenai ketinggian Vinicunca, puncak gunung ini berada pada paras ketinggian 5200 Meter. Ketinggian ini secara langsung menandingini ketinggian Gunung Kinabalu yang berketinggian 4095 meter! Vinicunca juga dianggap sebagai sebuah tempat suci atau keramat oleh penduduk tempatan kerana tempat ini sering dikunjungi oleh para pengunjung dari luar negara setelah ia mula dibuka kepada orang ramai bersama servis pemandu pelancong pada Januari 2016.

Disebalik keindahan pergunungan ini, terdapat juga beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum melawat ke kawasan ini. Pertama, kesediaan diri terhadap keadaan kawasan persekitaran Vinicunca. Menurut pengalaman individu yang pernah mendaki ke gunung tersebut, disarankan untuk menetap beberapa hari di Cusco, sebuah daerah di Peru yang hanyalah sekitar 99 km dari Vincunca. Perkara ini penting bagi penyesuaian diri pada kawasan yang beraltitud tinggi sebelum mendaki gunung tersebut.

Pihak berkuasa tempatan menyarankan agar sebarang aktiviti pendakian dilakukan sekitar bulan Mac dan November. Sekiranya berhajat momen – momen indah anda di Vinicunca ditemani lautan biru langit yang bersinar indah, disarankan untuk berkunjung pada bulan Jun hingga bulan Ogos. Walau bagaimanapun, cuaca di pergunungan tersebut boleh berubah – ubah dengan begitu cepat sekali.

Menurut individu yang pernah mendaki Vinicunca, malang bagi para pendaki yang sampai ke puncak pada ketika awan menyelubungi kawasan pergunungan tersebut kerana keindahan Vinicunca terhijab cacat oleh awan – awan yang berlegar disekitarnya. Maka, mereka menyarankan agar periksa terlebih dahulu ramalan cuaca di kawasan tersebut sebelum sepakat untuk mendaki pada hari kejadian.

Menurut Lonely Planet, jumlah lawatan pengunjung ke Vinicunca pada musim panas iaitu dari bulan Jun hingga bulan Ogos, mencatatkan kadar yang paling tinggi manakala kadar terendah dicatatkan pada musim sejuk iaitu sekitar bulan Disember hingga bulan Februari. Menurut sebuah media Peru, Vinicunca menerima kira – kira 1500 kunjungan setiap hari yang merangkumi hampir satu per tiga jumlah bilangan harian pengunjung Machu Picchu.

Kawasan yang terpencil di sekitar kawasan gunung Vinicunca menerima impak yang sangat baik dari segi ekonomi. Menurut Associated Press, anak – anak jati pulang dan berpindah ke kampung halaman mereka semula untuk berkhidmat sebagai pemandu pelancong di sepanjang pergunungan Andes. Kadar bayaran yang dicaj untuk seorang pendaki ialah 3 US Dollar. Caj yang dikenakan ini sahaja mampu menjana hampir 400 000 US Dollar setahun!

Kesimpulannya, aktiviti pelancongan sangat membantu kemajuan infrastruktur dan ekonomi sesebuah kawasan. Kadang – kadang, perlunya tirai hijab terbuka. Anda melihat, merka juga melihat. Barulah agaknya dihargai, disayangi. Selamat melancong para pembaca!

RUJUKAN:

Emily, A. (2019, March 18). 11 Things To Know Before You Visit Rainbow Mountain in Peru. Retrieved August 20, 2020, from https://www.alongdustyroads.com/…/rainbow-mountain-cusco-pe…

Taylor, C. (2020, April 17). Instagrammers rave about Peru’s ‘Rainbow Mountain.’ Here’s what it really looks like. Retrieved August 20, 2020, from https://www.cnbc.com/…/what-rainbow-mountain-in-peru-really…

Magra, I., & Zarate, A. (2018, May 03). Will Tourism Ruin the Rainbow Mountain of Peru? Retrieved August 20, 2020, from https://www.nytimes.com/…/americ…/peru-rainbow-mountain.html

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.