Perginya Sudan, Badak Sumbu Putih Utara Jantan Terakhir

0
602
views

19 Mac 2018. Tarikh yang menyayat hati bagi para ekologis terutamanya para pengkaji spesis badak dan konservasi kerana tamatnya riwayat satu-satunya Badak Sumbu Putih Utara jantan bernama Sudan berumur 45 tahun.

Sudan yang ditempatkan di pusat konservasi Ol Pejeta, Kenya dari habitatnya, terpaksa disuntik mati oleh para konservasi kerana ketidaksanggupan Sudan untuk meneruskan hidup dengan kesakitan seiring dengan usia tuanya. Sudan meninggalkan anaknya iaitu badak betina bernama Najin yang berumur 27 tahun dan cucunya juga badak betina bernama Fatu berumur 17 tahun. Maka, kedua-dua badak sumbu ini adalah harapan terakhir bagi memulihkan kembali populasi dan mengekalkan mandiri spesis badak sumbu terancam ini.

Bagi memperingati badak istimewa ini, saya sertakan informasi tentang asal-usul spesis badak sumbu ini. Badak Sumbu Putih Utara/Northern White Rhinoceros (Ceratotherium simum cottoni) adalah salah satu dari 2 sub-spesis (pecahan dari kumpulan spesis oleh kekangan geografi atau sejarah migrasi) dari spesis Badak Sumbu Putih. Sub-spesis selain Badak Sumbu Putih Utara adalah Badak Sumbu Putih Selatan yang mana habitatnya di Afrika Selatan. Badak Sumbu Putih Utara ditemui di beberapa negara Afrika Timur dan Tengah, serta di selatan gurun Sahara.

Badak Sumbu Putih Utara adalah pemakan rumput dan pohon kayu savanna. Dipercayai Badak Sumbu Putih Utara adalah generasi kini dari moyang mereka iaitu badak purba bernama Ceratotherium praecox yang wujud 7 juta tahun namun dari segi kajian DNA, badak putih ini bukan generasi kini dari badak purba itu. Siapakah moyang sebenar badak putih masih dalam kajian lanjut. Populasi Badak Sumbu Putih Utara dalam kehidupan liar sekitar 500 ekor, populasi yang kecil berbanding Badak Sumbu Putih Selatan yang besar populasinya dengan berpuluh ribu ekor.

Perbandingan populasi Badak Sumbu Putih Utara (jingga) dan populasi Badak Sumbu Putih Selatan (hijau)

Abad ke-19 Masihi adalah abad yang paling memilukan bagi spesis badak sumbu seluruh dunia kerana pemburuan haram badak sumbu yang aktif disebabkan permintaan tanduk badak yang memberangsangkan. Pada 1970, sebanyak 70,000 ekor badak sumbu mati diburu dan populasi Badak Sumbu Putih Utara pula dari populasi sebanyak 500 ekor kepada 15 ekor sahaja. Pelbagai usaha kerajaan bagi mengharamkan pemburuan haram ini dengan penguatkuasaan undang-undang dan membuka pusat konservasi. “Operation Rhino” yang dimulakan pada 1961 adalah program penyelamatan badak sumbu dari kepupusan.

Waqaf Saham

Pada 2014, hanya 7 sub-spesis badak sumbu saja yang tinggal di dunia. Pada musim panas 2015, ia berkurang kepada 4 sub-spesis. Berapa bulan kemudian, hanya 3 sub-spesis yang tinggal. Untuk Badak Sumbu Putih Utara, IUCN iaitu International Union for Conservation of Nature yang bertanggungjawab atas konservasi alam, mengkelaskan sub-spesis ini sebagai Critically Endanger atau Hampir Terancam, bermaksud spesis yang bakal pupus dalam kehidupan liar.

Berbalik kepada kes Sudan, kehilangan spesis badak sumbu jantan sememangnya kehilangan besar kerana tiada lagi spesis jantan yang berupaya melakukan persenyawaan untuk melahirkan generasi baru. Ia kekangan baru untuk spesis Badak Sumbu Putih Utara yang tinggal dua ekor badak betina saja. Ada alternatif lain bagi membendung masalah ini sekaligus dapat memulihkan lagi spesis ini iaitu IVF (in-vitro fertilization), proses persenyawaan dalam makmal namun kosnya menelan belanja yang banyak. Jadi, perjalanan masih panjang untuk memulihkan populasi spesis Badak Sumbu Putih Utara, itupun jika spesis ini punya nyawa masih panjang.

Detik-detik terakhir Sudan

Inilah realiti kehidupan dunia flora dan fauna, telah berjuta-juta tahun mereka bertahan dengan beradaptasi dan melahirkan banyak spesis-spesis selari dengan zaman berzaman. Namun, kehadiran manusia membuatkan spesis flora dan fauna semakin terancam. Habitat dimusnahkan, populasi menurun mendadak dek aktiviti manusia yang mengancam kemadirian mereka dan bermacam-macam penyakit yang tidak dapat disembuhkan oleh tangan manusia. Kita memang tidak sedar akan hakikat ini dalam jangka masa pendek. Namun pada jangka masa panjang, Bumi bakal mati kerana kegilaan kita yang terlalu memajukan komuniti sendiri.

Jadi, jika dunia flora dan fauna masih penting untuk kesejahteraan bersama dan kelestarian Bumi tercinta ini, mari mulakan langkah menyelamatkan spesis flora dan fauna yang hadir di sekeliling kita. Hanya ini saja usaha yang mampu kita lakukan sebagai spesis paling ke hadapan serta pentadbir alam.

RUJUKAN:

  1. After Last Male’s Death, Is the Northern White Rhino Doomed?: https://news.nationalgeographic.com/2018/03/northern-white-rhino-male-sudan-death-extinction-spd/
  2. Last male northern white rhino’s death highlights ‘huge extinction crisis’: https://www.theguardian.com/environment/2018/mar/20/last-male-northern-white-rhinos-death-highlights-huge-extinction-crisis