Perginya Adib Mengajar Kita…

1,763

Perginya Adib mengajar kita bahawa kemanusiaan itu merentasi perkauman. Kita melihat bagaimana seorang India bernama R Narresh yang tak pernah kenal Adib sepanjang hidupnya mengambil risiko diugut, dituduh berbohong dan terpaksa bersendirian sepanjang proses inkues semata mata untuk menegakkan keadilan kepada almarhum.

Kita melihat bagaimana sepanjang tempoh keterangan sebagai saksi, berkali-kali lelaki berfizikal besar ini menahan air mata menceritakan penderitaan Adib pada saat-saat akhir kehidupannya.

Ramai yang tidak tahu, pada hari pengkebumian Adib, R Narresh telah menaiki bas di KL Sentral pergi ke Kedah dan kemudian menukar bas pergi ke Masjid Kampung Tebengau – hanya berpandukan keratan berita semata-mata untuk memberikan penghormatan akhir kepada arwah.

Ramai tidak tahu bahawa seorang lagi saksi bernama S Suresh sangat takut memberikan keterangan kerana ancaman di media sosial. R Narresh lah orangnya yang memujuk dan memberi kekuatan kepada Suresh agar membantu siasatan.

Kita juga ada Melayu bernama Syazlin Mansor yang membantu keluarga Adib secara pro bono (tanpa caj) walaupun ditekan oleh seorang India bernama Tommy Thomas. Bagi mengelakkan masalah lanjut, suaminya meletak jawatan sebagai Setiausaha Akhbar Menteri KPKT agar sang isteri dapat terus berkhidmat tanpa gangguan.

Tetapi kita juga ada peguam melayu rambut karat yang mempersoalkan kenapa kuil tidak dipanggil di dalam inkues. Walhal, inkues ini bertujuan mencari punca kematian. Bukan mencari punca rusuhan. Kalau punca rusuhan, Ganabatirau dan Waythamoorthy pun kena bagi keterangan.

Kita juga ada ahli ahli politik yang mengambil kesempatan. Kononnya mereka dahulu sebenarnya mahu menegakkan keadilan. Hari ini barulah ada yang galak naikkan gambar bersama Almarhum sebagai sokongan. Mana mereka semua ketika keluarga Adib hidup tertekan? Padahal merekalah yang selama ini menuduh tuntutan keadilan kepada Almarhum bersifat perkauman.

Perginya Adib mengajar kita erti kemanusiaan. Bahawa kemanusiaan itu merentas sempadan. Bahawa dengan wujudnya India gagah seperti Narresh dan Melayu hebat seperti Syazlin maka negara kita masih mempunyai masa hadapan.

Mereka berdua adalah rakyat yang negara ini perlukan.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.