“Eh, Safuan. Aku ada sepupu perempuan dari Negeri Sembilan. Dahlah cantik, baik budi orangnya.”

“Tak naklah, Zimi. Tapi terima kasih sebab cuba perkenalkan aku dengan sepupu kau tu.”

“Kenapa kau tolak? Bukankah dia tu menepati citarasa kau?”

“Aku tak nak dia buat fiil ‘queen control’ dekat aku kalau dah kahwin nanti!”

Dialog sebegini mencerminkan persepsi sesetengah pihak terhadap golongan wanita dari Negeri Sembilan. Kononnya kerana diberi hak mengikut Adat Perpatih, hak wanita diutamakan dan hak orang lelaki dinafikan. Tetapi hakikatnya, persepsi ini sebenarnya salah disebakan salah faham terhadap Adat Perpatih itu sendiri.

Menurut Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Nisah Haron, salah satu punca salah faham ini ialah salah faham berkaitan pewarisan tanah adat dan bukannya pewarisan tanah biasa. Beliau menyifatkan tanah adat dan tanah biasa merupakan dua perkara berbeza kerana menerusi pewarisan tanah adat, anak perempuan mewarisinya daripada ibu atau emak saudara sebelah ibunya.

Rajah 1: Nisah Haron.

Perkara ini telah termaktub dalam undang-undang tanah adat di Negeri Sembilan dan wilayah yang mengamalkan Adat Perpatih. Tetapi bagi tanah lain, ia bebas diwariskan kepada waris lelaki atau perempuan mengikut hak masing-masing atau mengikut pembahagian faraid yang ditetapkan syarak. Justeru, beliau melihat peranan wanita dalam Adat Perpatih perlu dijelaskan bagi menghentikan salah faham ini daripada terus berlaku.

Dalam Adat Perpatih, wanita yang dimuliakan dan tua dalam kalangan keluarga atau sukunya digelar Ibu Soko. Sementara di wilayah Minangkabau pula, wanita ini diberi gelaran Bundo Kanduang (Bonda Kandung). Dalam kalangan sukunya, wanita ini bersifat matriark kerana mempunyai ilmu, pengalaman dan penghormatan dalam kalangan mereka.

Ibu Soko turut menyokong penyandang pesaka adat seperti Buapak, Lembaga dan Datuk Undang. Malah, menurut Nisah lagi, Ibu Soko dikatakan turut memainkan peranan di belakang tabir kepada pemilihan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Tambahnya lagi, perihal Ibu Soko ini bagaimanapun ditenggelamkan oleh mitos ‘queen control’ dan isu pembahagian tanah yang kononnya tidak adil kepada kaum Adam.

Jika diamati, terdapat sebab munasabah mengapa wanita layak mendapat tanah adat. Bagi wanita yang belum berkahwin, dengan mendapat tanah adat yang diwarisi daripada keturunan sebelah ibunya, ia dapat menjamin masa depannya daripada sebarang bentuk penganiayaan. Sekiranya wanita itu berkahwin, ia akan menjadi tempat untuk dia dan anak-anaknya berlindung sekiranya berlaku perceraian.

Tambah Nisah lagi, tanah adat dianggap unik kerana ia bukan bersifat pemilikan individu. Tetapi sebaliknya, ia dimiliki oleh waris perempuan lain seperti anak perempuan dan anak saudara perempuan. Mereka juga dibenarkan untuk membina rumah tambahan dan mengusahakan tanah adat berkenaan.

Bagi waris lelaki pula, rumah dan tanah masih boleh digunakan tetapi mereka tidak memilikinya. Namun begitu, sekiranya waris lelaki itu tiada tempat berteduh, maka menjadi tugas waris wanita untuk memastikan saudara lelakinya atau anak buah lelakinya diberikan perlindungan. Perlindungan akan terus diberi sehingga mereka kembali berdikari.

Nisah menambah, begitulah pentingnya kedudukan wanita yang diberikan oleh adat di mana apabila menjadi isteri, dia dilindungi suaminya yang dalam adat dipanggil orang semenda (pertalian keluarga melalui perkahwinan). Sementara wanita bertaraf ibu saudara, Ibu Soko atau matriark, dia pula yang melindungi anak-anak buahnya dan mereka yang berhak untuk diberikan perlindungan sekaligus menyokong antara satu sama lain.

Bila ditanya mengapa salah faham ini berlaku, Nisah percaya ia terjadi akibat sikap golongan muda semakin menjauhkan diri daripada mendekati generasi lama dan tidak cuba untuk mempelajari daripada mereka. Beliau melihat pembelajaran melalui pengalaman sama sekali berbeza daripada pembelajaran melalui teori kerana pengalaman dapat menunjukkan bagaimana sesebuah ilmu itu dipraktikkan di dunia luar.

Tanpa itu, ia mengakibatkan salah faham terhadap pemahaman sesebuah adat dengan punca kekeliruan itu tidak dapat dileraikan. Lantas, itu yang membawa kepada salah faham bahawa Adat Perpatih kononnya melanggar syariat agama tetapi hakikatnya ia merupakan dua aspek berbeza. Malah, mengikut syariat Islam, tanah amanah terkeluar daripada himpunan harta yang boleh difaraidkan.

RUJUKAN:

Ismail, Saadiah. (2021). Wanita Negeri Sembilan ‘Queen Control’?. Berita Harian.

Sumber gambar: Azlina Abdullah/The Star


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.