Perbezaan Sistem Peredaran Darah Sebelum Dan Selepas Dilahirkan

357

Dalam beberapa bulan yang lalu, saya ada pernah terbaca mengenai satu entri post di facebook mengenai larangan memakai pad untuk wanita yang hamil. Mengikut kepada orang yang menulis perkara tersebut, larangan ini adalah kerana pemakaian pad akan menutup bahagian kemaluan wanita dan akhirnya menyebabkan bayi tersebut yang berada dalam kandungan mati lemas.

Mengapakah boleh timbul sesuatu perkara yang agak pelik, ganjil dan tidak pernah diperkatakan oleh orang ramai selama ini? Adakah ini adalah sebagai satu cara untuk membuat sedikit ‘awareness’ kepada masyarakat kita di Malaysia? Adakah perkara ini benar? Hmmm, sekiranya anda berada di tingkatan 3 persekolahan lagi anda dah boleh tahu bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu tidak benar, tidak munasabah dan mengarut tahap dewa.

Akan tetapi, mengatakan perkara tersebut mengarut tanpa menerangkan fakta pada saya tidak adil. Hal ini adalah kerana walaupun kita tahu perkara yang diperkatakan oleh pihak tersebut merapu, dan ada kemungkinan si penghantar tu sedang berada di bawah pengaruh dadah, tetapi, apakah hujah yang kita perlu bagi kepada orang yang menulis kenyataan sebegini?

Jadi, dalam rencana saya hari ini, saya akan membincangkan sedikit, mengapakah sesuatu janin yang membesar sehingga ke tahap bayi yang berada di dalam kandungan, tenggelam di dalam cecair ketuban atau cecair amniotik (amniotic fluid) boleh hidup seperti biasa. Daripada situ, mari kita lihat sedikit mengenai sistem peredaran darah di dalam badan seseorang yang masih berada di dalam kandungan serta apakah perbezaannya yang terdapat di dalam sistem terebut, yang menyebabkannya lain daripada sistem peredaran manusia dewasa.

Sebelum itu, mari kita lihat terlebih dahulu, bagaimanakah sistem peredaran darah dan jantung, atau nama lainnya adalah sistem kardiovaskular serta sistem pernafasan seseorang manusia dewasa. Untuk pengetahuan anda, asas untuk sesuatu kehidupan itu adalah 2 bahan utama iaitu glukosa (gula) dan juga oksigen. Lain-lain jenis unsur juga amat penting, akan tetapi, yang utamanya adalah glukosan dan oksigen.

Oxidative phosphorylation memerlukan oksigen dan glukosa – crossfit.com

Mengapakah manusia memerlukan kedua-dua elemen ini untuk hidup? Baik, saya jelaskan dalam bentuk saintifik sedikit ya. Untuk pengetahuan anda, untuk sesuatu organisma itu berfungsi, ianya memerlukan tenaga. Jika kereta, kita ada petrol atau diesel, jika lampu kalimantang atau LED kita ada tenaga dalam bentuk elektrik. Jika manusia pula? Bentuk tenaga yang diperlukan adalah dalam bentuk satu molekul yang kita panggil sebagai Adenosine Triphospate, atau singkatannya adalah ATP.

ATP ini dihasilkan dalam satu bentuk proses kimia yang kita panggil sebagai oxidative phosphorylation. Secara asasnya, bahan utama untuk penghasilan tenaga ini adalah oksigen dan glukosa. Apabila satu sel itu mempunyai tenaga, maka ianya akan dapat menjalankan fungsinya, yang menyumbang kepada fungsi organ. Daripada gabungan kesemua organ ini, akan terdapat satu sistem, dan gabungan sistem inilah yang menjadikan sesuatu organisma, yang kita namakan sebagai manusia.

Asas peredaran darah manusia – EBME

Untuk orang dewasa, kita akan bernafas, di mana pengecutan otot diafragma ini akan mengurangkan tekanan udara di dalam paru-paru, dan daripada situlah kita mendapat oksigen. Glukosa pula kita dapat daripada makanan yang kita makan.

Setelah darah kita mendapat oksigen, darah tersebut akan masuk ke dalam jantung kita, iaitu bahagian atrium kiri jantung, yang akan dipam ke bahagian ventrikel kiri kita yang mempunyai ruang yang terbesar dalam jantung kita untuk memaksimukan tekanan yang terjadi apabila otot jantung ini mengecut, dan seterusnya darah tersebut akan ke bahagian aorta sebelum dipam ke seluruh badan kita.

Apabila nutrien dan oksigen darah tersebut telah digunakan, yang mana ianya menjadi darah yang mengandungi oksigen yang sangat rendah atau termanya adalah deoxygenated blood. Darah deoxygenated ini akan mengalir menerusi inferior vena cava sebelum ianya masuk ke bahagian atrium kanan jantung, dan kemudiannya dipam ke ventrikel kanan jantung, yang kemudiannya dihantar ke paru-paru kita untuk membuang sisa karbon dioksida serta mengambil semula oksigen.

Struktur jantung dan pengaliran darah – Wikimedia

Kitaran ini akan berterusan sepanjang hayat kita di mana dalam masa seminit, untuk mereka yang normal, kadar denyutan jantung kita adalah diantara 60 – 100 degupan per minit. Pengepaman inilah yang boleh mengedarkan darah ke seluruh badan kita. Akan tetapi, berbalik kepada persoalan utama kita, iaitu bagaimana bayi yang berada di dalam kandungan ibunya menjalankan proses ini? Adakah bayi tersebut mempunyai insang? Jawapannya tidak. Seharusnya kita perlu lihat satu per satu sistem yang berada pada bayi di dalam kandungan.

Pertama sekali adalah sistem kardiovaskular. Pembentukkan sistem vital ini bermula seawal 3 – 6 minggu selepas persenyawaan berlaku. Pada awalnya, setelah 9 minggu dalam kandungan pula, pengaliran darah mula terjadi, akan tetapi, pengaliran ini bersifat monophasic, iaitu ianya hanya mengalir begitu sahaja tanpa dikawal oleh degupan jantung.

Pada 10 minggu dan keatas, barulah pergerakkan darah ini akan kelihatan sebagai mempunyai biphasic, iaitu sama seperti orang dewasa di mana terdapat 2 fasa degupan iaitu pengisian darah ke dalam jantung, dan diikuti dengan pengepaman darah keluar daripada jantung. Akan tetapi, bagaimanakah janin tersebut mendapatkan bekalan oksigen dan glukosa? Rata-rata kita tahu bahawa nutrien tersebut berasal daripada ibunya.

Blood Placental Barrier – Wikimedia

Akan tetapi, jawapan yang sebenarnya adalah melalui uri atau yang kita panggil placenta. Sebenarnya, darah ibu dan anak semasa di dalam kandungan itu tidak bercampur. Terdapat satu penghadang, yang kita panggil sebagai Blood Placental barrier yang menapis mana-mana darah mahupun bahan-bahan yang tidak baik yang berasal daripada darah ibu.

Akan tetapi, oksigen dan glukosa, seperti yang saya terangkan di atas boleh menyeberangi blood placental barrier ini dengan mudah kerana itulah dua elemen yang paling penting yang perlu dihantar kepada janin beserta dengan elemen-elemen lain seperti asid amino dan elektrolit.

Keratan rentas tali pusat – intechOpen

Penghantaran ini adalah menerusi uri, dan terdapat salur darah yang terdiri daripada 2 arteri dan satu vena di yang kita panggil sebagai tali pusat. Tali pusat ini akan membawa oksigen dan glukosa ke dalam badan bayi, dan membawa keluar sisa metabolisma termasuk karbon dioksida keluar daripada badan bayi kepada ibu untuk disingkirkan melalui pernafasan ibu. Kiranya, si ibu harus membuang karbon dioksida yang terhasil daripada bandannya sendiri dan juga daripada kandungannya.

Setelah darah ini masuk ke dalam tubuh badan bayi, terdapat beberapa sistem kardiovaskular yang sedikit berbeza di sini di mana bahagian organ hati kandungan tersebut, dan juga paru-parunya masih lagi belum terbentuk sepenuhnya. Justeru, wujudlah beberapa salur darah yang bertindak sebagai jejantas untuk memintas mana-mana organ yang masih belum terbentuk sepenuhnya.

Ductus Venosus – fb Ilzanno Sharky

Struktur pertama adalah kita panggil sebagai ductus venosus. 50% daripada darah yang datang daripada vena tali pusat (umbilical vein) akan terus menghala ke satu salur darah inferior vena cava melalui ductus venosus ini, yang memintas organ hati, manakala 50% lagi darah akan masuk ke dalam hati dan ke arah sistem portal vein. Kemudiannya, darah ini semua akan masuk ke dalam bahagian jantung bayi tersebut, iaitu atrium kanan.

Baik, jika untuk orang dewasa, darah ini akan mengalir ke ventrikel kanan daripada atrium kanan dan seterusnya ke arah paru-paru, akan tetapi, bagi bayi yang berada di dalam kandungan pula, seperti yang saya perkatakan tadi, disebabkan paru-paru mereka masih lagi belum terbentuk, makan daripada situlah wujudnya satu lubang yang kita panggil sebagai foramen ovale. Lubang ini menghubungkan di antara atrium kanan bayi dan atrium kirinya tanpa perlu melalui ventikel kanan dan juga paru-paru.

Sedikit info tambahan, sekiranya lubang ini gagal ditutup selepas bayi dilahrikan, maka daripada situlah datangnya penyakit yang selalu kita dengar, iaitu penyakit jantung berlubang, atau bahasa perubatannya adalah atrial septal defect (ASD)

Baik, kebanyakkan darah ini terus merentasi jantung kanan ke kiri melalui bukaan lubang tadi, dan mana-mana darah yang tidak mengalir ke foramen ovale ini pula akan mengalir ke bahagian ventrikel kanan jantung. Baik, untuk orang dewasa, seperti yang saya nyatakan di atas (saya ulang semula untuk memudahkan pemahaman anda), darah daripada ventrikel kanan ini akan ke paru-paru melalui pulmonary artery yang mana akan mendapat oksigen melalui pernafasan.

Struktur Jantung dan peredaran darah pada bayi di dalam kandungan – FB Ilzanno Sharky

Untuk bayi yang berada di dalam kandungan pula, terdapat satu lagi salur darah yang menghubungkan di antara ventrikel kanan secara terus ke aorta (kerana darah tidak akan mengalir ke paru-paru disebabkan oleh organ ini yang masih belum terbentuk sepenuhnya. Salur darah ini kita panggil sebagai ductus arteriosus. Melalui aorta inilah, darah tersebut akan mengalir ke seluruh badan untuk membekalkan bayi tersebut segala nutrien yang diperlukan oleh bayi tersebut, termasuklah glukosa dan juga oksigen.

Baik, setelah kesemua sistem dah berjaya terbentuk, maka tibalah masa untuk bayi tersebut dilahirkan. Terdapat beberapa perubahan yang drastik sebaik sahaja bayi dilahirkan dan mula mengambil nafas pertamanya. Apabila paru-paru mengembang, bahagian salur darah kecil yang berada di dalam paru-paru bernama kapilari ini mula mengembang, dan menyebakan pengaliran darah memenuhi ruangan tersebut.

Daripada sini, tekanan meningkat di dalam atrium kiri bayi tersebut, lebih tinggi daripada tekanan yang berada di dalam atrium kanana. Perubahan tekanan ini akan menyebabkan bahagian foramen ovale ini tertutup. Juga, apabila bayi ini menarik nafas, kandungan oksigen di dalam darahnya meningkat tinggi, mengakibatkan kadar satu bahan kimia yang bernama prostaglandin menurun.

Penurunan prostaglandin ini akan menyebabkan pengecutan ductus arteriosus, yang memutuskan perhubungan di antara pulmonary artery dan juga aorta. Penutupan ini menyebabkan lebih banyak darah daripada atrium kanan bayi ke ventrikel kanannya, dan kemudiannya akan dipam ke atas menerusi pulmonary artery ke arah paru-paru, sama seperti orang dewasa.

Patent Ductus Arteriosus – Boston Children’s Hospital

Sekiranya pengecutan ductus arteriosus ini gagal, maka bayi tersebut akan mendapat satu kondisi yang kita panggil sebagai patent ductus arteriosus (PDA). Jadi, secara kesimpulannya, perbezaan daripada segi kardiovaskular di antara bayi dalam kandungan dan orang dewasa adalah disebabkan oleh bahagian paru-paru dan juga hati yang masih belum terbentuk sepenuhnya.

Justeru, benarlah apa yang kita selalu dengar bahawa tabiat pemakanan ibu semasa mengandung boleh memberi kesan kepada kandungan, terutama sekali para ibu yang mengamalkan diet pemakanan yang mempunyai kandungan glukosa yang amat tinggi. Ingatlah, walaupun wujud blood placental barrier untuk menapis mana-mana bahan yang tidak baik, tetapi masih banyak juga bahan-bahan kimia yang lain boleh merentasi sistem penapisan ini.

Justeru, para ibu yang sedang hamil dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan dan mengikut temujanji yang diberikan oleh mana-mana klinik berdekatan agar bayi yang dilahirkan itu sihat tanpa mempunyai aopa-apa penyakit.

RUJUKAN

  1. American Journal of Obstetrics and Gynecology – Blood flow and the degree of shunting through the ductus venosus in human fetus.
  2. Obstetrics by Ten Teachers, 20th Edition – CRC Press, by Louise C Kenny, Jenny E. Myers
  3. Netter’s Atlas of Human Embryology by Larry R Cochard

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.